Isnin, 18 Mac 2013

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah


PRU13: PAS Lancar Web Khas Dan hijau.fm

Posted: 18 Mar 2013 05:55 PM PDT

KUALA LUMPUR: Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat dengan kerjasama Jabatan IT PAS Pusat (JITP) membangunkan satu laman web PRU13 untuk menyebarkan maklumat-maklumat  berkaitan dengan PAS bagi Pilihanraya Umum ke-13 melalui capaian http://pru13.pas.org.my

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, laman PRU13 ini akan diisi dengan maklumat-maklumat seperti biodata calon-calon Dun dan Parlimen yang PAS bertanding serta berita-berita dan aktiviti pilihanraya yang berkaitan yang dihubungkan dengan laman web induk, PAS yang boleh dicapai melalui http://www.pas.org.my

Katanya, selain daripada perkhidmatan-perkhidmatan media baru yang telah sedia ada sebelum ini seperti webtv, facebook dan twitter, mulai 16 Mac juga Lajnah Penerangan PAS Pusat dan Jabatan IT PAS Pusat menerusi Urusetia Media Baru (UMB) telah memulakan perkhidmatan radio internet di bawah jenama Hijau.fm dengan menyiarkan liputan Xpresi Ulama Muda dari Gunung Semanggol.

"Radio hijau.fm ini boleh dilayari menerusi http://www.hijau.fm akan beroperasi 24 jam sehari untuk menyampaikan maklumat-maklumat khususnya berkaitan dengan PAS dan Pakatan Rakyat serta program-program dan aktiviti-aktiviti pilihanraya setelah parlimen dibubarkan," ujarnya.

Menurutnya, mulai 16 Mac laman utama PAS versi2 juga dipertingkatkan dari menggunakan aplikasi Joomla 1.5 kepada Joomla 2.5 dengan design baru yang lebih segar untuk menyebarkan maklumat-maklumat parti dan kenyataan-kenyataan rasmi sebagai rujukan semua pihak yang berminat.

Lahad Datu: PAS Hargai Pengorbanan Wira Negara

Posted: 17 Mar 2013 10:08 PM PDT

KOTA KINABALU: PAS hari ini menyalurkan sumbangan sebagai menghargai jasa anggota keselamatan yang terkorban dalam misi mempertahankan negara daripada pengganas yang menceroboh Sabah.

Sumbangan sebanyak RM10,000 itu diserahkan Naib Presiden PAS Salahudin Ayub yang mewakili PAS Pusat kepada wakil Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu Inspektor Yusof Abdul sebentar tadi.

Majlis penyerahan sumbangan itu dibuat di Pejabat Perhubungan PAS Sabah di sini yang turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Sabah Aminuddin Aling.

Salahudin pada sidang media selepas itu berkata, sumbangan dari pihak PAS itu sebagai menghargai jasa wira negara yang telah terkorban dalam insiden itu.

"Mewakili PAS Pusat, kita sampaikan bantuan kepada anggota yang telah terkorban.

"Selain berkongsi rasa simpati, sumbangan ini juga sebagai mengiktiraf dan menghargai jasa besar anggota keselamatan yang telah mempertahankan negara sehingga mereka terkorban," katanya.

Sehingga kini, sepuluh anggota keselamatan terkorban dalam insiden pencerobohan di Sabah yang bermula 12 Februari lalu.

Salah seorang dari mereka maut akibat kemalangan jalan raya ketika menghantar bekalan makanan kepada rakan-rakan yang menyertai misi Operasi Daulat di Lahad Datu.

Operasi memburu penceroboh bersenjata kini masih giat dijalankan dan sehingga kini seramai 57 orang dari kumpulan itu telah ditembak mati oelh pasukan keselamatan Malaysia.

Presiden PAS sebelum ini mengeluarkan arahan kepada seluruh ahlinya agar mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan anggota yang sedang bertugas dalam operasi membasmi saki-baki penceroboh tersebut.

Tiada ulasan:

Pengikut