Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa, Guan Eng dilaporkan berkata demikian ketika memperkatakan tentang isu rasuah dan integriti dan dalam masa sama, turut mengulas mengenai isu banjir di Kelantan dalam keratan akhbar Sin Chew Daily bertarikh 27 Januari lalu.
"Seorang sahabat saya berbangsa Tionghua menterjemahkan kenyataan beliau seperti berikut: "Bebas rasuah itu penting, tetapi lebih penting ialah boleh buat kerja. Kalau tidak mampu buat kerja, apa kamu dapat? Bila banjir besar berlaku, kamu lihat. 

Saya cakap te­rus-terang, saya tak perlu rasa segan. Masa banjir, kerajaan Kelantan macam mana? Macam tak ada kerajaan! Kenapa? Kerana tidak boleh buat kerja! Jadi bebas rasuah (sahaja tidak cukup), kena boleh buat kerja. Jika tidak boleh buat kerja, lebih baik jangan jadi kerajaan."

"Beberapa orang sahabat lain yang juga berbangsa Tionghua telah mengesahkan bahawa terjemahan ini merupakan makna yang tepat terhadap keratan akhbar Sin Chew Daily tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadh­li berkata, Guan Eng perlu segera menafikan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap akhbar Sin CheW Daily jika benar beliau tidak pernah mengeluarkan ke­nyataan seumpama itu.

Namun katanya, sekiranya Guan Eng pernah berkata demikian, kenya­taan tidak tepat diucapkan mungkin disebabkan 'kegagalan' beliau bertemu sendiri pimpinan tertinggi negeri, terutama Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob walaupun pernah melawat Kelantan pada 9 Januari lalu.

"Ya, kelemahan tidak dapat dinafikan kerana banjir ini berlaku di luar jangka. Saya tidak mengatakan kerajaan Kelantan sempurna dan suci daripada kelemahan namun menyebut 'macam tiada kerajaan' ialah satu tuduhan yang sangat me­lampau. 

Ini satu penghinaan kepada kerajaan Kelantan yang turut berada bersama di dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Ahmad Fadhli turut menjelaskan, sepanjang bencana melanda, Ahmad serta Timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah bersama barisan Exco kerajaan negeri tidak pernah gagal untuk turun padang setiap hari membantu rakyat biarpun diri dan keluarga masing-masing turut bergelut menjadi mangsa banjir.

"Saya tidak ingin mengulas berhubung senario pasca banjir kerana kenyataan Yang Amat Berhormat ialah berhubung situasi semasa banjir. Hakikatnya kerajaan Kelantan tidak pernah berhenti daripada berikhtiar segala macam cara untuk memulihkan kembali negeri ini," katanya.

Ahmad Fadhli dalam pada itu turut menyifatkan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali 'tahu pintu dan tingkapnya, masuk tertib dengan tangganya' berbanding Guan Eng apabila sudi meluangkan masa bertemu Ahmad ketika melawat Kelantan baru-baru ini.