TMI
Jika ketua Pemuda Gerakan mahu Adun dan ahli Parlimen meletak jawatan sebagai pilihan sama ada sebab atau tiada sebab, dihukum adalah idealisma budak-budak muda yang biasanya dipengaruhi emosi.
Ada sebab tertentu mengapa orang muda yang berpolitik boleh mencadangkan dikenakan denda hingga RM100,000 atau lebih. Ada politiknya maka dia membuat cadangan demikian.
Tetapi kalau seorang profesor yang memimpin ramai pelajar membuat cadangan sedemikian, maka kita boleh bertanya, macam mana dia boleh diangkat jadi profesor.
Biasanya orang politik daripada parti yang berbeza suka mencabar lawannya seperti wakil rakyat meletak jawatan dan bertanding semula bagi menguji pengaruh masing-masing.
Seorang wakil rakyat dicabar meletak jawatan disebabkan dia tidak buat kerja, atau dia membuat kenyataan bodoh yang tidak melayakkannya jadi wakil rakyat.
Apabila wakil rakyat itu menyahut cabaran, maka ini memberi peluang kepada yang mencabar untuk bertanding. Tidak perlu dia menunggu tamat tempoh untuk mencabarnya.
Orang sepintar Lee Kuan Yew itu sendiri semasa sebelum berkuasa dan menjadi pembangkang juga mencabar musuh politiknya baik seorang mahu pun semuanya meletak jawatan bagi menguji populariti masing-masing.
Orang mencabar biasanya ia ada harapan menang jika diadakan pilihan raya kecil. Dan bagi yang berani menyakut cabaran pula merasa dia mudah mengalahkan si pencabar bila piihan raya diadakan semula.
Tetapi mengapa sekarang ada parti politik tidak suka Adun atau ahli Parlimen parti lawannya meletak jawatan seperti di Kajang itu? Adakah PRK akan memakan belanja besar dan membazirkan duit rakyat bagi mengadakannya?
Mengatakan belanja besar itu dalih saja. Sebenarnya cakap seperti itu ialah kerana ia tidak yakin ada harapan memenangi PRK itu. MCA tiada harapan menang di Kajang, apa lagilah Gerakan. Bila ada PRK mereka terpaksa bertanding. Penat kerja, banyak belanja habis, keputusannya kalah.
Itulah logiknya maka mereka menganjurkan supaya didenda wakil rakyat yang memilih meletak jawatan secara sukarela. Orang mencadangkan supaya didenda wakil rakyat seperti itu adalah kumpulan seperti musang yang mengatakan anggur masam setelah tidak dapat mencapainya.
Mungkin meletak jawatan seperti dikatakan memperolok demokrasi dan kebebasan berpolitik.
Tetapi jika Adun merasakan dia tidak dapat menjalankan tugas dengan baik disebabkan kelemahannya, maka meletak jawatan adalah baik supaya gantinya dapat memberi khidmat yang lebih baik.
Jika didapati ada wakil rakyat yang tidak berguna, kerja tidak dibuat, meletak jawatan tidak mahu, ia adalah lebih buruk daripada yang meletak jawatan.
Yang penting ialah rakyat dan kawasan mendapat khidmat baik daripada wakil rakyat. Kalau yang tidak berguna itu tidak meletakkan jawatan kerana tidak mahu didenda RM100,000, yang rugi ialah rakyat dan kawasan kerana wakil rakyat malas dan poteng.
DAP menunggu saja presiden MCA meletak jawatan di Parlimen Bentong kerana DAP percaya Tiong Lai boleh dikalahkan dalam PRK.
Tiong Lai tidak akan letak jawatan bukan kerana PRK berbelanja besar tetapi dia belum tentu menang.
Tentang profesor yang berfikir seperti budak-budak itu, tidak dapat hendak dibayangkan jenis pelajar yang dilahirkannya. Univeriti bukan sekadar mahukan pelajarnya dinamik, tetapi perlukan profesor dinamik bagi melahirkan graduan dinamik.
Hukum yang dicadangkan itu, bukan untuk melahirkan Adun dan ahli Parlimen yang dinamik dan berani, tetapi ia akan melonggokkan wakil rakyat yang pasif.