SHAH ALAM – Kumpulan penuntut yang mengelar diri mereka Penggerak Mahasiswa Universiti Malaya (UM) menafikan dakwaan Pro-Mahasiswa berhubung enam calon yang dikatakan tidak layak bertanding pilihan raya kampus yang sedang berlangsung.
Proses pengundian akan diadakan esok.
Pengerusinya, Marwan Kahar Baharuddin berkata, kesemua calon yang dibantah itu mempunyai baki tempoh pengajian dua atau tiga semester di UM.
"Enam calon kami itu mempunyai baki dua dan tiga semester tempoh pengajian. Bukan seperti yang didakwa, jadi bantahan ini tidak berasas.
"Mereka dikatakan calon tua dan tidak layak bertanding, malah diasak dengan panggilan yang tidak sepatutnya pada malam Jumaat lalu, di Kolej Kediaman Ketujuh," katanya dalam satu kenyataan video.

Menurutnya, ketika dalam proses bantahan, Pro-Mahasiswa membantah kesemua calon Pro-Aspirasi dengan tidak bersebab.
"Apabila keluar keputusan, calon Pro-Mahasiswa tidak ada yang dibatalkan dan daripada pihak kami, seorang calon umum dibatalkan iaitu Muhamad Syafiq Warrmal dengan alasan tidak cukup baki tempoh pengajian," katanya.
Tambahnya, seorang lagi daripada enam calon yang menerima bantahan Pro-Mahasiswa, Ahmad Syahmi Naim Mohd dikatakan hanya tinggal satu sementar untuk selesai pengajian.
"Kita boleh katakan tuduhan itu tipu. Mereka tidak tengok surat tawaran? Syahmi masih mempunyai baki tiga semester," jelasnya.
Katanya, Pro-Mahasiswa membuat tuduhan rambang dan menghebahkan kepada semua mahasiswa selain menunjukkan kepada mahasiswa bahawa pihak mereka sahaja yang benar.
Beliau juga menasihatkan penuntut universiti itu supaya jangan terpedaya dengan melihat terlebih dahulu fakta yang ada.
"Jangan terpedaya, tengok dulu fakta yang ada. Jangan kerana mereka tunjukkan rasa simpati, kita terpengaruh dan emosi kita terbuai," katanya. - SH