KUALA LUMPUR - Kerajaan didakwa masih belum bersedia melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kerana masih belum mempunyai 'software' sendiri untuk memungut cukai tersebut.

Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) mendakwa, sekiranya kerajaan sudah bersedia kenapa kerajaan masih 'mengupah' perkhidmatan MyEG untuk memungut cukai tersebut.

"Walaupun kami PR kecewa dengan keputusan perlaksanaan GST, tetapi perkara tersebut telah berlaku. Jadi di sini timbul satu persoalan kalau kerajaan sudah bersedia kenapa lantik MyEG untuk pungut cukai tersebut (GST).

"Kalau bersedia, sepatutnya kerajaan latih kumpulannya sendiri, ada mekanisma kutipan cukanya yang tersendiri. Tidak mustahil kerajaan akan menghentikan perkhidmatan ini, seperti mana yang berlaku terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang mengalami kerugian sebanyak RM6 bilion.

"Ini pasti merugikan rakyat. Kami mahukan penjelasan daripada kerajaan mengenai perkara ini" katanya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang GST 2014. Rang undang-undang itu diluluskan menerusi undi belah bahagi sebanyak dua kali dengan undian kali pertama pembangkang memperoleh 81 undi berbanding penyokong kerajaan mendapat 118 undi.

Undian kali kedua menyaksikan pembangkang kekal 81 undi, manakala penyokong kerajaan memperoleh 119 undi.