Ahmad Awang meneliti dokumen tentang
Kassim Ahmad sebelum diserahkan kepada
The Malaysian Insider. – Gambar The Malaysian Insider, 19 Februari, 2014.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa berbohong apabila berkata para ulama di negara ini gagal melawan Dr Kassim Ahmad dengan hujah, lalu melabelkannya sebagai 'anti-Hadis'.
Bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Ustaz Ahmad Awang berkata, ketika kejadian pertama Kassim membawa teorinya pada tahun 1986, beliaulah ketika itu Pengarah Penyelidikan Pusat Islam (kini Jakim) yang berdepan dengan Kassim.
"Atas kapasiti sebagai Yang di-Pertua PUM, kami berdepan dengan Kassim di Masjid Seksyen 16, Petaling Jaya. Beliau meminta kami dengarkan dulu dia bercakap, selepas dia bercakap, masa habis, dan dia pulang ke Pulau Pinang.
"Dia berjanji akan bertemu semula. Namun selepas itu, sampai sekarang dia tidak mahu bertemu kami. Ia berakhir dengan dia sahaja yang bercakap dan kami hanya mampu mendengar dan tidak boleh berhujah balas bagi menjawab dakwaan beliau," cerita Ahmad Awang kepada The Malaysian Insider, mengingati kembali kejadian hampir 30 tahun lalu itu.
Tidak lama selepas pertemuan itu, katanya, Kassim pergi ke akhbar Watan ketika itu (walaupun berjanji tidak ada sebarang laporan media berkaitan majlis itu) dan memaklumkan akhbar tersebut para ulama gagal berhujah dengan beliau.
"Jadi, bukan sahaja Dr Mahathir sahaja yang berbohong dalam hal ini, Kassim Ahmad yang menjadi rakan Mahathir sejak di Universiti Malaya Singapura juga berbohong," kata Ahmad.
Dr Mahathir berkata, Kassim sering dilabel anti-Hadis kerana pihak yang menuduhnya gagal berhujah dengannya mengenai isu agama.
"Dia dilabelkan sebagai anti-Hadis sebab orang tidak boleh jawab apa yang dia katakan. Kita lihat di sini, label digunakan sebagai alat untuk mematahkan pendapat orang lain," katanya selepas Majlis Pelancaran Kursi Keamanan Global Tun Mahathir di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kelmarin.
Katanya, sama seperti Kassim, beliau juga sering dilabel dengan pelbagai gelaran selepas hujahnya tidak diterima pihak tertentu.
"Saya juga dilabel sebagai anti-Cina, dituduh rasis dan macam-macam. Jadi walaupun saya berkata benda yang benar, saya tetap dianggap rasis," katanya.
Kassim adalah junior Dr Mahathir di Universiti Malaya Singapura.
Kassim juga pelopor Kelab Sosialis UM Singapura yang banyak mengeluarkan kenyataan menggunakan tulisan warna merah.
Pada 18 September 1986, Majlis Fatwa Kebangsaan mewartakan fatwa bahawa buku tulisan Kassim bertajuk "Hadith: Satu Penilaian Semula" adalah haram.
Fatwa yang dibuat oleh Majlis Fatwa Sabah itu diterima pakai oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
Antara lain, fatwa itu menyebut, "Pengarang buku itu termasuk dalam golongan orang yang murtad, sekiranya undang-undang murtad dikuatkuasakan di Negara ini, maka pengarang buku itu wajib dibunuh."
Menurut Ahmad Awang, Kassim didakwa anti-Hadis apabila beliau mencadangkan umat Islam hanya merujuk kepada Al Quran semata-mata dan menolak hadis Rasulullah sebagai sumber hukum dalam Islam.
Ia bermula apabila beliau selaku Pengarah Penyelidikan Pusat Islam menerima lima buah buku tulisan Rashad Khalifa dari Tucson Arizona, Amerika yang ditahan oleh Jabatan Kastam daripada diserahkan kepada Kassim yang sepatutnya menerima buku-buku itu.
Buku-buku itu adalah:
1) Miracle of the Quran: Significance of the Mysterous Alphabets
2) The Computer Speaks: God's Message to the world.
3) Quran: The Final Scripture
4) Quran, Hadith and Islam, dan
5) Authorized English version Translated from the Original.
Selepas dikaji, kata Ahmad, ia bertentangan dengan Islam dan Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang di Johor Bahru pada tahun 1986 yang mengharamkan buku-buku itu.
Ahmad yakin, walaupun buku itu berjaya disekat, tetapi Kassim menerima juga buku itu melalui cara lain.
"Hampir kesemua teori Kassim Ahmad tentang Hadis datang dari buku-buku ini," kata Ahmad.
Ketika memberikan ucapan dalam seminar pemikiran Kassim Ahmad di Putrajaya pada 15 dan 16 Februari lalu, yang dianjurkan Yayasan Kepimpinan Perdana, Kassim berkata, umat Islam sepatutnya menjadikan Al Quran sahaja sebagai sumber rujukannya hukumnnya.
Beliau juga berkata, frasa kedua dalam dua kalimah syahadah mendewakan Nabi Muhammad.
Beliau juga berkata, rambut bukan aurat wanita.
"Menutup rambut dengan bertudung bermakna udara bersih tidak dapat memasuki rambut. Dengan itu rambut menjadi busuk.
"Dengan lain perkataan, ia tidak sihat. Anehnya, wanita yang bertudung menganggap diri mereka lebih suci!" kata Kassim dalam ucapannya itu.
Ekoran itu, pelbagai pihak membantah Kassim, termasuk badan yang selama ini menyokong Umno, seperti Isma. – 19 Februari, 2014.
OLEH ZULKIFLI SULONG