Sebuah makmal mengkaji langkah-langkah yang boleh diambil dalam menangani masalah penjenayah melakukan jenayah serius akan diwujudkan selepas hari raya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.

Beliau berkata makmal tersebut akan diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan dianggotai Senator Datuk Low Paul Seng Kuan, serta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya akan turut menganggotai makmal tersebut, yang akan membincangkan perkara berkaitan dengan tugas-tugas agensi di bawah naungan kami," katanya kepada Bernama, di Kuching semalam.

Menurutnya makmal tersebut hanya membincangkan perkara yang perlu dilakukan sebagai pencegahan bagi membolehkan pihak bertanggungjawab melaksanakan tugas mereka dengan lebih berkesan.

Beliau berkata demikian sebagai membetulkan kenyataan sebuah akhbar, bahawa makmal baharu yang bakal dibentuk itu, akan berperanan menyelaras undang-undang baharu menggantikan Ordinan Darurat (EO).

- Bernama