Peguam Negara. Tan Sri Abdul Gani Patail berkata tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang membawa kanak-kanak ke perhimpunan sekiranya  bukti-bukti lengkap dapat dikemukakan.
  
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata Akta Perhimpunan Aman 2012 telah menetapkan larangan penyertaan kanak-kanak dan ia sepatutnya dipatuhi kerana golongan itu harus dilindungi.
  
"Undang-undang telah tersedia ada, sekiranya terdapat bukti kita (pendakwaan) akan mengambil tindakan, sekiranya tiada (bukti) kita tidak boleh mengambil tindakan. saya tidak terlebih dahulu menghukum," katanya yang  ditemui pemberita selepas sidang pleno dalam Persidangan Transformasi  Perundangan Berhubung Dengan Keselamatan dan Hak Asasi semalam.
  
Katanya larangan penyertaan kanak-kanak dalam perhimpunan  awam bukan sahaja ditetapkan di negara ini tetapi juga diamalkan di beberapa negara Eropah.
  
Akta Perhimpunan Aman 2012 melarang mereka yang berusia di  bawah 15 tahun menyertai atau dibawa ke sesuatu perhimpunan.
  
Pada Sabtu lepas, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata polis mendapati penganjur perhimpunan di Stadium Merdeka melanggar beberapa syarat yang dipersetujui termasuk membawa kanak-kanak berusia bawah 15  tahun. 

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat tindakan segelintir peserta perhimpunan kebangkitan rakyat yang membawa kanak-kanak menyertai perhimpunan di Stadium Merdeka, Sabtu lepas.
  
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien  berkata tindakan akan diambil berhubung perkara yang melanggar undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 selepas kertas siasatan dikemuka kepada peguam negara.
  
"Saya nak ingatkan walaupun ada pindaan-pindaan, itu bermakna pelaksanaan undang-undang negara mesti dipatuhi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Transformasi Perundangan berhubung keselamatan dan hak asasi semalam.
   
Dalam pada itu, Hishamuddin melahirkan penghargaan kepada PDRM kerana berjaya mengawal perhimpunan pada Sabtu lepas sehingga berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
  
"Saya bersyukur kerana tiada insiden tidak diingini berlaku, kalau semuanya bertanggungjawab dan bersetuju dengan stadium yang ditetapkan, tiada provokasi, saya percaya bahawa apa yang kita lihat pada Sabtu itu adalah landskap baru," katanya. - Bernama