Majalah yang beribu pejabat di London, Euromoney, menamakan AirAsia Bhd sebagai syarikat terbaik pengurusannya di Malaysia dan syarikat terbaik pengurusannya di Asia dalam sektor Penerbangan/Syarikat Penerbangan.
  
Pungutan suara Asia 2013 yang dijalankan oleh majalah itu didasarkan kepada jawapan yang diterima daripada sebanyak 130 penganalisis ekuiti terkemuka di bank-bank pelaburan dan firma penyelidikan terbesar di rantau Asia Pasifik, yang mencalonkan sejumlah 207 syarikat.
  
"Kami amat berbangga dengan perakuan yang telah diberikan oleh Euromoney kepada kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tony Fernandes, dalam satu kenyataan  semalam.
  
Penganalisis diminta menamakan syarikat yang paling mengagumkan berdasarkan beberapa faktor termasuk, antara lain, kemudahan pengurusan, ketelusan perakaunan dan prosedur tadbir urus korporat.
  
Sementara itu, kenyataan itu menyebut Editor Euromoney, Clive Horwood, sebagai berkata bahawa keputusan pungutan suara tahun ini menunjukkan bahawa penganalisis masih memberi tumpuan kepada gearan berhemah, ketelusan, tadbir urus yang baik dan penzahiran strategi yang jelas.

Ini merupakan penarafan tahunan ke-14 Syarikat Terbaik Pengurusan dan Tadbir Urusnya di Asia yang disiarkan oleh Euromoney.

Sementara itu, AirAsia merancang melancarkan sebuah syarikat
penerbangan India dengan kerjasama bersama promoter tempatan, Videocon Group, demikian lapor akhbar The Economic Times.
  
Memetik dua sumber yang berkait rapat dengan perkembangan itu, akhbar tersebut berkata syarikat penerbangan tambang murah terbesar Asia itu sedang menimbang pilihan untuk menubuhkan sebuah syarikat yang majoritinya akan dimiliki oleh promoter India, sebaik-baiknya kumpulan perniagaan terkemuka.
  
AirAsia akan memegang 49 peratus dalam usaha sama itu yang akan memohon lesen penerbangan.
   
Syarikat penerbangan Malaysia itu telah memulakan perbincangan isu tersebut dengan Videocon Group dan ia masih di peringkat awal, kata seorang daripada sumber itu.
  
Venugopal Dhoot, Pengerusi Videocon Group, mengesahkan bahawa mereka telah dihubungi oleh syarikat penerbangan tersebut.
  
"Mereka telah menghubungi kami. Ini adalah perbincangan awal. Tidak ada apa-apa yang boleh saya katakan sekarang," kata Dhoot.
  
Meskipun pada awalnya tidak begitu teruja dengan liberalisasi pelaburan langsung asing dalam penerbangan di India, beliau dipercayai telah mengubah fikirannya baru-baru ini.
  
Bahagian teras perniagaan Videocon Group ialah elektronik pengguna dan perkakasan rumah. 
- Bernama