Ahad, 4 Mac 2012

Anak Muda Kampung Nak Senang

Anak Muda Kampung Nak Senang


SEMBANG ANAK MUDA

Posted: 04 Mar 2012 02:24 AM PST


SEMBANG ANAK MUDA

Tarikh : 9 Mac 2012, Jumaat

Masa : 9 mlm

Tempat : Pejabat ADUN Sikamat, Taman Sikamat Jaya (Megaway), Seremban

Bersama :

YB Nik Nazmi Nik Ahmad , Pengarah Komunikasi

Siti Aishah Sheikh Ismail , Ketua Srikandi

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Isu Kedah selesai, diumum dalam masa terdekat

Posted: 03 Mar 2012 04:40 PM PST


KUALA LUMPUR, 4 Mac: Pertemuan khas antara Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan Badan Perhubungan PAS Kedah malam tadi telah mencapai keputusan yang dijangka akan menyelesaikan kemelut kepimpinan yang berlaku di negeri itu.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) ketika dihubungi pagi ini berkata, keputusan yang dicapai malam tadi mengambil kira pelbagai pandangan yang dibincang.

"PAS sudah ada keputusan. Ia sangat mengambil kira pelbagai pandangan yang kita bincang.

"Kita akan umum keputusan tersebut secara rasami dalam masa terdekat," katanya kepada Harakahdaily.

Malam tadi, pertemuan khas bagi mencari penyelesaian isu Kedah itu berlangsung lebih lima jam bermula sekitar jam 9.30 malam sehingga jam 3 pagi tadi di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon, Alor Setar.

Ianya berhubung isu Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh yang enggan dilantik semula sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah yang dilihat tidak selari dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ust Azizan Abdul Razak.

Phahrolrazi dan Dr Ismail masing-masing merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri I dan II manakala Azizan adalah Pesuruhjaya PAS Negeri.

Difahamkan pertemuan malam tadi itu dibahagikan kepada dua sesi iaitu pertama pertemuan empat mata antara Salahudin dengan Phahrolrazi, kemudian dengan Ustaz Azizan.

Ia kemudiannya disusuli dengan pertemuan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan Badan Perhubungan PAS Negeri yang dipengerusikan presiden parti sendiri.

Menurut Salahudin lagi, keputusan sebulat suara malam tadi itu juga dibuat dengan meletakkan kepentingan parti sebagai asas utama.

Malah katanya, keputusan itu juga telah dimaklumkan kepada Phahrolrazi.

"Keputusan itu telah kita sampaikan kepada Yb Phahrolrazi," ujarnya.

Sekitar Pameran Kereta Berhias Tahun Melawat Kelantan 2012

Posted: 03 Mar 2012 04:40 PM PST














Durian runtuh: Warga Felda buat laporan polis

Posted: 03 Mar 2012 04:30 PM PST


TEMERLOH, 3 Mac: Lapan orang warga Felda sekitar Jengka hari ini membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah (IPD) di sini berikutan tindakan pengurusan Felda yang menghantar surat pekeliling meminta peneroka menyerahkan dokumen penting.

Laporan tersebut menamakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan pengurus-pengurus Felda yang mengeluarkan pekeliling berkenaan untuk disiasat.

Antara lain pekeliling tersebut meminta peneroka menyerahkan salinan kad pengenalan berwarna, geran ladang dan rumah, maklumat pentadbir tanah, maklumat anak-anak, status bank, salinan akaun Maybank dan nombor keahlian Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Serentak dengan kekeliruan dihadapi peneroka berikutan pekeliling yang mula diedarkan sejak dua minggu lalu itu, mereka mendesak pihak polis menyiasat tujuan dokumen tersebut diperlukan.

Polis juga didesak menyiasat sejauh mana benarnya pekeliling berkenaan kononnya peneroka dijanjikan dengan durian runtuh (hasil penyenaraian saham) sedangkan mesyuarat (EGM) KPF telah dibatalkan.

Polis juga diminta menyiasat kebimbangan dan kemungkinan geran hak milik peneroka akan dicagar untuk tujuan tertentu di sebalik penubuhan Syarikat Tujuan Khas (SPV) seperti diumumkan Isa Samad.

Jurucakap warga Felda yang membuat laporan polis berkenaan, Aris Fezul Ismail berkata, mereka amat dukacita disogokkan dengan gambaran akan mendapat durian runtuh dalam bentuk saham dan wang tunai melalui pekeliling berkenaan.

"Peneroka terpedaya dengan menuruti semua kehendak pengurusan Felda tanpa memikirkan risiko apabila dokumen yang sangat penting seperti geran hak milik diberikan.

"Penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia masih samar-samar ekoran EGM KPF pada 22 Februari yang lalu dibatalkan sedangkan durian runtuh itu apabila disenaraikan.

"Jadi terdapat sebahgian warga Felda yang keliru dengan pekeliling tersebut, adakah pengurusan Felda hanya menjadi alat kepada agenda pemimpin tertentu (Ahmad Maslan dan Isa Samad) yang mempertegaskan penyenaraian FGVH akan tetap diteruskan," katanya.

Tambah Aris, sehingga ke hari ini tidak ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pegawai tertinggi Felda justeru polis diminta menyiasat sejauh mana kebenaran pekeliling tersebut bagi mengelakkan peneroka terpedaya dengan sandiwara pemimpin tertentu yang berselindung di sebalik tawaran durian runtuh.

Sementara itu, kira-kira 200 peneroka hadir memberi sokongan. Turut hadir Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, peguam Harris Abdullah, Ketua Pemuda PAS Pahang Shahril Azman Abdul Halim serta ketua-ketua peneroka.

Dalam pada itu Mazlan menyokong tindakan warga Felda membuat laporan polis supaya siasatan dibuat kerana semua dokumen penting yang diminta boleh dimanipulasi untuk tujuan tertentu.

"Segala kemungkinan boleh berlaku, umpamanya mungkin dokumen penting yang diserahkan dibimbangi untuk tujuan tetap menyenaraikan Felda di bursa saham dan tidak mustahil geran hak milik ladang dan rumah dijadikan cagaran sebab geran besar tanah peneroka ada dalam simpanan Felda.

"Saya juga mendesak pekeliling yang amat mengeliru dan membimbangkan peneroka ini ditarik balik dengan segera oleh Felda atau laporan polis akan dibuat seluruh negara," tegasnya.

Bawa keluar negara atau Himpunan Hijau 3.0

Posted: 03 Mar 2012 04:29 PM PST


KUALA LUMPUR, 3 Mac: PAS dan pelbagai NGO menuntut supaya bahan sisa dari kilang Lynas di Gebeng di bawa keluar dari negara ini.

Ini kerana, sisa itu mempunyai bahan radioaktif yang bakal kekal di bumi Malaysia jutaan tahun dan memudharatkan penduduknya di masa depan.

"Jika tuntutan ini tidak diharaukan, kita tidak menolak Himpunan Hijau 3.0 dianjurkan," kata Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PASA, Zulkefli Mohd Omar kepada Harakahdaily.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan, sisa dari kilang Lynas di Gebeng akan dibuang di tempat lain yang akan dikenalpasti kemudian.

Ia bertujuan untuk menghilangkan kerisauan penduduk tempatan walaupun pihak kerajaan yakin ia selamat.

Anggota Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dalam komennya mencadangkan kepada Najib agar mengumumkan saja tempat baru sisa itu adalah dalam kawasan parlimennya iaitu Pekan.

Hujjah Najib kononnya sisa ini tidak bahaya juga ditolak oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berdasarkan apa yang berlaku kepada kilang ARE yang terletak di Bukit Merah, Ipoh sebelum ini.

Kerajaan terpaksa membuang semua tanah seluruh tapak kilang dan kawasan sekitarnya di  Bukit Merah dan di simpan dalam tong dan seterusnya di masukkan ke dalam sebuah bukit di Perak.

Persoalannya, sampai berapa lama 80,000 unit tong drum 200L dan kawasan takungan itu akan selamat dan tidak pecah atau rosak akibat perubahan cuaca dan jenis tanah di kawasan itu.

Sedangkan, separuh hayat kepada bahan radioaktif yang dihasilkan dari Thorium itu akan berumur ribuan tahun kalau tidak jutaan tahun pun.

Menurut laporan sebuah akhbar Cina, Menteri Kesihatan telah mencapai kata sepakat dengan Menteri Perindustrian Antarabangsa agar sisa ini dihantar balik ke Australia atau sekurang-kurangnya luar dari Kuantan.

Namun, Australia telah membuat keputusan tidak akan menerima sisa itu balik ke negara mereka.

Dalam kes kilang ARE Bukit Merah yang dimiliki syarikat Jepun, Mitshubishi, tuntutan juga dibuat agar sisa yang memenuhi sebuah bukit itu dibawa balik ke Jepun.

"Membenarkan Lynas membuang sisa kilang ini di Malaysia adalah satu subsidi besar buat syarikat Australia itu," kata Presiden CAP, S M Mohamad Idris.

Jangkaan pendapatan yang mungkin diperolehi dari kilang ini adalah sebanyak RM30 juta untuk lima tahun.

"Namun,  kesan kepada ekonomi, sosial, alam sekitar dan kos kesihatan kepada pekerja, masyarakat sekitar, tanah, air, lautan dan jenerasi akan datang dijangka berjumlah sehingga RM150 juta," kata S M Mohamad Idris lagi.

Sekitar Pesta Air Tahun Melawat Kelantan 2012

Posted: 03 Mar 2012 04:29 PM PST

TH kena jelas kenapa pelaburannya selalu rugi

Posted: 03 Mar 2012 04:24 PM PST


KUALA LUMPUR, 3 Mac: Lembaga Tabung Haji (TH) bertanggungjawab menjelaskan kepada penyimpan-penyimpannya mengapa beratus-ratus juta ringgit pelaburannya mengalami kerugian, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Penyimpan-penyimpan akaun TH rata-ratanya adalah umat Islam terutama yang mahu mengerjakan haji.

"TH perlu menjelaskan mengapa wang mereka dileburkan dalam perniagaan-perniagaan yang merugikan. Amat malang bagi mereka jika TH terus meleburkan wang mereka dan bukan melabur," kata beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menyatakan kekesalan apabila  saham Silver Bird Group Berhad (Silver Bird) merudum sehingga bernilai serendah 20.5 sen sahaja.

TH merupakan pemegang saham terbesar dalam Silver Bird iaitu sebanyak 22.19 peratus manakala Koperasi Permodalan Felda Bhd pula mempunyai 12.7 peratus saham dalam syarikat pembuat roti dan kek itu.

Kejatuhan saham syarikat pembuat roti dan kek itu berpunca dari akaun syarikat itu yang tidak teratur yang melibatkan jumlah yang dianggarkan sehingga RM111.5 juta.

Akibat kemelut kewangan itu, tiga pegawai kanan Silver Bird digantung tugas termasuk pengarah urusannya, Datuk Jackson Tan Han Kook.

"TH bertanggungjawab menjelaskan adakah wang penyimpan-penyimpan akaun TH terpelihara?

"Perlu juga dijelaskan mengapa tatacara pelaburan dan pengurusan serta pemantauan TH begitu lemah?" Mahfuz (gambar) mempersoalkan sambil membangkitkan apa yang terjadi dalam Silver Bird itu bukan yang pertama kali.

Sebelum ini, katanya, rakyat mendengar TH rugi beratus-ratus juta dalam pelaburan yang dilaporkan melibatkan percaturan dalam tukaran wang asing sehingga dua pegawainya yang tidak bersalah diheret ke mahkamah dan diaibkan walaupun akhirnya didapati tidak bersalah dan misteri siapa yang sebenar bersalah tidak pernah terungkai.

"Kita juga mendengar pelaburan TH dalam Lityan Holdings Bhd mengalami masalah. Amat malang sungguh nasib penyimpan-penyimpan TH apabila wang mereka dileburkan dengan begitu tidak berhemah," katanya.

Silver Bird adalah pengeluar roti High 5 yang menghadapi kempen boikot oleh pengguna apabila tersebar gambar-gambar yang didakwa diambil di kilang roti tersebut yang menunjukkan proses pembuatannya yang sangat kotor.

Perjanjian strategik antara TH dan Silver Bird ditandatangani pada 2008.

Ketika tersiar berita mengenai pelaburan TH dalam Silver Bird itu, ramai pihak membantah tindakan itu.

Sekitar Majlis Perasmian Tahun Melawat Kelantan 2012

Posted: 03 Mar 2012 04:23 PM PST

TMK@12: Kelantan usaha tarik 6 juta pelancong

Posted: 03 Mar 2012 04:17 PM PST


KOTA BHARU, 3 Mac: Tahun Melawat Kelantan 2012 (TMK@12) telah selamat disempurnakan perasmiannya oleh Tengku Mahkota Kelantan yang mewakili Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, malam tadi.
Sempena majlis bersejarah itu, tiga artis yang mewakili tiga negara telah membuat persembahan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kumpulan Raihan (Malaysia), papa rock Ramli Sharif (Singapura) dan Opick (Indonesia).

Hampir 5,000 orang hadir pada program yang penuh warna warni itu walaupun keadaan hujan.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan timbalannya, Datuk Ahmad Yakob, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, anggota-anggota exco yang lain, Adun serta pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Sempena majlis itu, dua pertunjukkan bunga api telah diadakan di samping persembahan lagu tema TMK@12.

Takiyuddin ketika berucap pada majlis itu memberitahu pihaknya akan berusaha untuk menjayakan hasrat mencapai kehadiran pelancong dalam dan luar negara seramai 6 juta orang.

Katanya, untuk menjayakan hasrat itu pelbagai persembahan dan program telah diatur untuk menarik lebih ramai pelancong.

"Selain persembahan malam ini, diadakan juga Pesata Sukan Air, pertunjukan kereta berhias dan lain-lain lagi," ujarnya.

Ramli Sarip mendendangkan beberapa buah lagu popularnya Doaku Buat Mu Kekasih, Nyanyian Serambi, Kasturi, manakala Opick Cahaya Hati serta lagu popularnya Rapuh dan Raihan lagu-lagu nostalgia kumpulan itu seperti Syukur, Allahu.

Sekitar Kuliah Perdana Tahun Melawat Kelantan 2012

Posted: 03 Mar 2012 04:16 PM PST

Gelombang Hijau akan benam Gelombang Biru

Posted: 03 Mar 2012 04:11 PM PST


KUALA LUMPUR, 2 Mac: "Insya Allah rakyat Terengganu akan pastikan gelombang biru akan dibenamkan oleh Gelombang Hijau di dalam PRU13 akan datang," tegas AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).
Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Terengganu, semalam bahawa Terengganu akan menjadi 'negeri biru'.

Katanya, rakyat Terengganu sudah mual dengan gelagat kepimpinan Umno yang gagal urus tadbir negeri yang memililiki emas hitam.

"Semuanya gara-gara tidak amanah dan diskriminasi  pimpinan Umno  menyebabkan rakyat Terengganu masih miskin di tahap kedua selepas negeri Sabah," ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, janji manifesto BN pada tahun 2004 untuk memberi peluang 25,000 pekerjaan masih tidak tertunai lagi.

Beliau berkata, apabila PAS menawarkan 17,000 pekerjaan di dalam manifesto  di dalam PRU akan datang, maka Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menjanjikan peluang pekerjaan sebanyak 80 ribu.

Baginya, rakyat ketawa melihat gelagat pembohongan pemimpin Umno dengan janji yang tidak tertunai.

Jelasnya, rakyat negeri itu tidak boleh menerima sikap sambil lewa pemimpin Umno yang gagal mengurus tadbir sehingga berlaku kerugian seperti runtuhnya  Stadium Sultan Mizan RM292 juta, kos hendak membaiki pula RM25 juta.

Begitu juga, ujarnya dengan kerosakan Lapangan Terbang Sultan Mahmud bernilai RM123 juta, kolam renang di Batu Buruk berharga RM18 juta untuk Sukma 2008 rosak setelah setahun digunakan, bumbung Masjid Kampung Batu Putih, Kemaman berharga RM2.1 juta runtuh, perhentian bas di Kuala Berang yang berharga RM4.2 juta juga runtuh walaupun baru 80% siap.

Rakyat Kelantan sambut 'meriah' kedatangan Najib

Posted: 03 Mar 2012 04:10 PM PST




(Antara banner yang dinaikkan untuk menyambut kedatangan Najib)

KOTA BHARU, 2 Mac: Kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Kelantan disambut meriah oleh rakyat negeri itu termasuk mengantung banner.

Di Jeli, tempat Najib dibawa oleh Datuk Mustapha Mohamad bertemu rakyat, kain-kain pemidang dinaikkan oleh rakyat kawasan itu.

Najib dalam rangka lawatannya ke Kelantan hari ini dijangka akan bertemu rakyat di Jeli, kawasan Parlimen pengerusi perhubungan Umno Kelantan.

Lawatan terakhir Najib ke Kelantan adalah Julai tahun lalu di mana beliau telah melawat daerah Pasir Puteh, Machang dan Kota Bharu.

Di Pasir Puteh, beliau telah melawat stesen teksi Pasir Puteh dan berjanji akan membina stesen teksi baru di situ.

Untuk lawatan kali ini, Perdana Menteri akan memulakan lawatan kerjanya dengan menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Anggota Tentera dan keluarga Rejimen Sempadan 2 di Batu Melintang, Jeli.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Perdana Menteri kemudiannya akan menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kampus Jeli.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, akan mengiringi lawatan Perdana Menteri itu.

Kementerian Belia didakwa seleweng duit untuk politik

Posted: 03 Mar 2012 04:10 PM PST

KUALA LUMPUR, 2 Mac: PAS menuntut Kementerian Belia dan Sukan menjelaskan kewujudan Cawangan Strategik dan Urat Saraf di bawah kementerian itu yang didakwa digunakan untuk tujuan pilihan raya.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, kewujudan cawangan itu sangat diragui ketelusannya lebih-lebih lagi ia tidak mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menurutnya, cawangan tersebut tiada organisasi khusus, malah peruntukannya diambil daripada bahagian lain dalam kementerian.

"Banyak peruntukan di bawah Kementerian Belia dan Sukan untuk kepentingan belia tapi hakikatnya cawangan ini digunakan untuk tujuan politik, bagi tujuan pilihan raya dengan mewujudkan unit-unit tertentu dalam kementerian.

"Saya angap ini satu penyelewengan apabila mengambil peruntukan dari bahagian lain.

"Semasa pilihan raya Sarawak, cawangan ini bermukim di Sarawak selama tiga bulan dan mengadakan pelbagai program gerak saraf belia yang memakan belanja sehingga RM40 juta. Saya minta Menteri Belia dan Sukan jelaskan perkara ini," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut menambah, Ketua Setiausaha Kementerian juga telah mengarahkan cawangan ini untuk mengadakan program politik di semua daerah lebih iaitu 2,000 program setiap negeri dengan kos RM30 juta untuk Pakar Motivasi, Datuk Dr. Hasan Ali berceramah kepada pengundi muda.

"Nampak sangat Umno guna peruntukan untuk kepentingan politik Umno. Sekarang mereka tak perlu turun padang, hanya guna  Hasan Ali sebagai mata kapak dan hulu kapak," katanya.

Selain itu, beliau turut mempersoal  "kehilangan RM8juta peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk belia pada Himpunan Sejuta Belia 2011.

Menurut maklumat, hanya RM2 juta diterima oleh Majlis Belia.

"Saya setuju kalau peruntukan untuk pembangunan belia, tapi bukan dalam  bentuk program himpunan sehari yang tidak memberi apa-apa kesan, hanya seperti Karnival Jom Heboh dan sebagainya," katanya.

Turut dipersoal beliau, kos yang terpaksa ditanggung kerajaan akibat pembatalan belia kreatif 2012 yang sepatutnya diadakan pada 10 hingga 12 Februari lalu serta sebab pembatalannnya.

"Karnival ini telah diiklan secara meluas di media massa tapi akhirnya dibatalkan. Kenapa program ini dibatalkan dan berapa pula kos yang terpaksa ditanggung kerajaan setelah pelbagai promosi telah dilakukan?" soalnya.

Dalam pada itu, beliau meminta Kementerian terbabit menjelaskan bagaimana projek perkhidmatan kafe di 17 Instititut Kemahiran Belia Negara (IKBN) hanya diberikan kepada sebuah syarikat yang berpangkalan di Kelantan.

"Kalau betul kerajaan ingin membangunkan syarikat bumiputera, kenapa hanya beri kepada sebuah syarikat? Sepatutnya kalau ada 17 IKBN, berilah kepada 17 syarikat," katanya.

Ulamak PAS Kedah pertahan kerajaan negeri

Posted: 03 Mar 2012 04:09 PM PST

Kenyataan Bersama Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat dan Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah

1. Dewan Ulamak PAS Kedah dengan ini menyokong penuh dialog antara Menteri Besar Kedah, YAB Datuk Seri Diraja Ustaz Azizan Razak dan Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri Kedah, Wakil-Wakil Rakyat PAS Kedah dan Ahli Badan Perhubungan PAS Kedah untuk mendapatkan penjelasan bagi apa sahaja isu yang dibangkitkan akhir-akhir ini. Hal ini berlandaskan arahan Allah Taala bermaksud: "Dan segala urusan mereka berlaku dengan perbincangan sesama mereka." (Surah al-Syura ayat 38)
2. Dewan Ulamak PAS Kedah menegaskan sama sekali tidak menyokong sebarang usaha untuk menjatuhkan Kerajaan PAS Negeri Kedah.
3. Dewan Ulamak PAS Kedah sentiasa istiqamah untuk mempertahankan Kerajaan PAS Negeri Kedah bersama-sama dengan ahli dan kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia.
4. Dewan Ulamak PAS Kedah menyokong penuh sebarang usaha menggantikan mana-mana pemimpin yang sabit penyelewengannya.
YB Datuk Tuan Guru Harun Taib,
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Tuan Guru Syeikh Mohamad Abdullah,
Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah.
Jumaat, 2 Mac 2012 bersamaan 8 Rabi'ulAkhir 1433H, 5.30 petang
Madrasah Makarimul Akhlak, Pondok Hj Abdullah Kecil, Langgar, Alor Star, Kedah Darul Aman.

Pengikut