Jawapan tak kunjung tiba
Mariani dan suami serta tiga anak mereka yang masih mengharapkan bantuan PPRT.
ALOR GAJAH - Permohonan bantuan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dibuat sejak 2009 sudah diluluskan namun masih belum menerima sebarang
jawapan pasti.

Itulah dilema dihadapi pasangan suami isteri, Jef Roslan Abd Rahim, 40, dan Mariani Mamat, 33, di Kampung Lendu, di sini.

Pasangan ini mempunyai tiga anak yang masih kecil dan bersekolah, berumur antara 3 hingga 10 tahun.

Mariani berkata, kali pertama mereka membuat permohonan pada penghujung 2009 dan pihak berkenaan memaklumkan alamat kad pengenalan tidak sama dengan alamat yang dipohon.

"Mereka minta kami buat semula permohonan dan majukan kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) tapi selepas itu terus senyap.

"Jika ada masalah, mereka sepatutnya maklum kepada kami, bukannya mendiamkan diri kerana menyebabkan kami seolah-olah 'menunggu buah yang tak gugur," katanya, semalam.

Menurutnya, dia tidak bekerja dan hanya bergantung kepada pendapatan suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan iaitu RM500 sebulan.

"Kami berpindah ke kampung ini dan tinggal bersama ibu saya, Jamaliah Pakeh, 72, sejak tiga tahun lalu sebelum memohon bantuan PPRT.

"Saya memang dibesarkan di sini, cuma pernah merantau ke negeri lain, tetapi kembali semula menetap di kampung halaman," kata anak bongsu daripada tujuh beradik ini.

Justeru, Mariani merayu pihak berkenaan supaya mempertimbangkan permohonannya untuk memiliki rumah PPRT.

"Walaupun sudah tiga kali memohon, saya masih menaruh harapan supaya permohonan diluluskan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Kampung Lendu, Norhayati Yatim berkata, segelintir pemohon menghantar borang bantuan PPRT tanpa melaluinya.

Menurutnya, pihaknya menyimpan senarai nama penduduk yang memohon bantuan\ PPRT dan jika ada yang tercicir, kami akan siasat.

"Kami akan selidik perkara ini terlebih dahulu kerana tidak pasti sama ada permohonan melalui saya atau sebaliknya," katanya yang baru memegang jawatan tersebut dua tahun lalu.