Hairuddin Omar
Gerai menjual cenderahati dan baju menyokong pasukan ATM di pekarangan Stadium Shah Alam petang tadi. - Foto Sinar Harian oleh Safwan Mansor

DALAM beberapa jam sebelum perlawanan akhir bermula, selebriti tempatan juga tidak terlepas daripada menunjukkan sokongan kepada pasukan pilihan mereka yang bakal bertempur jam 8.45 malam ini.

Rata-rata selebriti yang ditemui pada Konsert Akhir Era Piala Malaysia 2012 menyokong pasukan yang diketuai oleh Hairuddin Omar itu untuk menjulang Piala Malaysia musim ini.

Penyanyi yang kini popular dengan lagu Teman Pengganti, Black menjangkakan pasukan ATM bakal memberi kejutan dengan memenangi Piala Malaysia kali ini.

"Saya pilih pasukan ATM kerana permainan cantik yang mereka tonjolkan.

"Saya juga pilih ATM kerana kehebatan kaptennya, Hai-O dengan kekuatan 'killer headingnya'.

"Saya jangkakan ATM menang 2-0," katanya yang merupakan penyokong setia pasukan Selangor.

Penyampai radio Era, Haniff juga menjangkakan ATM akan menewaskan Kelantan dengan jaringan 2-1.

"Saya jangka ATM akan menang kerana ada Hai-O yang berpengalaman.

"Dia sudah banyak pengalaman bermain dengan ramai pemain kebangsaan dan kekuatan kembar, Aidil dan Zaquan yang 'power' mungkin menjadi faktor penyumbang kepada kejayaan ATM," katanya.

Penyanyi dan penyampai radio Era, Zahid juga menjadikan ATM sebagai pasukan pilihan untuk memenangi Piala Malaysia 2012 dengan jaringan 2-1.

"Saya menjangkakan perlawanan malam ini akan diheret ke masa tambahan memandangkan Kelantan merupakan pasukan yang kuat, begitu juga ATM.

"Ketiadaan tonggak utama Kelantan, Ghaddar dan Farhan mungkin menyebabkan sedikit kepincangan terhadap persembahan permainan Kelantan tetapi Kelantan memiliki penjaga gol yang hebat!," katanya yang menjadikan Hai-O dan Indra Putra Mahyuddin sebagai pemain pilihannya.

Vokalis kumpulan Jimbara, Tia juga menyokong pasukan ATM dan mengatakan pasukan itu berpeluang besar untuk muncul juara pada malam ini.

"ATM ada peluang untuk menang kerana Kelantan kekurangan dua pemain yang menjadi nadi kepada kekuatan mereka.

"Saya jangkakan ATM akan menang dengan jaringan 3-1," katanya.

Sementara itu, penyampai radio Era, Dina Nadzir memilih pasukan Kelantan sebagai juara Piala Malaysia 2012 berikutan The Red Warrior itu memiliki penjaga gol yang terbaik.

"Khairul Fahmi Che Mat memang bagus kerana prestasinya, orang pandang itu. Bukan kacak ke tidak.

"Saya percaya kehebatan dia mampu menyelamatkan Kelantan," katanya yang menjangkakan Kelantan menang 2-1.

Kumpulan Bunkface yang dianggotai Sam, Paan dan Youk juga memilih pasukan Kelantan untuk menjuarai Piala Malaysia tahun ini.

"Selama ini Kelantan memang bermain dengan bagus dan sokongan yang diberikan penyokong mereka sememangnya menyuntik semangat kepada pasukan itu untuk bermain dengan sehabis baik.

"Gema dalam stadium sangat penting untuk pemain-pemain memberikan yang terbaik dan kami sangat kagum dengan semangat yang ditonjolkan oleh penyokong pasukan The Red Warrior," kata Sam yang mewakili ahli kumpulannya yang lain dan mereka menjangkakan Kelantan akan menang dengan penentuan sepakan penalti 3-2.