MELAKA - Seorang lelaki yang baru selesai menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Seksyen Ayer Keroh mati ditembak di Jalan Tun Abdul Razak-Ayer Keroh di sini, hari ini.
 
Mangsa, S. Saravanan, 39, yang memandu kereta jenis Honda Accord bersama seorang rakan berusia 28 tahun dipercayai ditembak ketika berhenti di lampu isyarat persimpangan Kawasan Perindustrian Ayer Keroh di sini kira-kira 10.20 pagi.
 
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata sebelum kejadian, mangsa dari Butterworth, Pulau Pinang hadir di mahkamah berkenaan sebagai Orang Kena Tuduh (OKT) dalam satu kes samun pada 2002.
 
Dalam kejadian itu, mangsa yang memandu kereta menuju ke arah tol Ayer Keroh didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal dari arah sama sebelum pembonceng motosikal terbabit melepaskan beberapa das tembakan ke bahagian tempat pemandu kenderaan itu.
 
"Motosikal terbabit kemudian bergerak ke bahagian depan kereta sebelum melepaskan lagi tembakan ke arah mangsa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.
 
Salehhudin berkata, ekoran tembakan itu, kereta mangsa hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kereta lain di hadapannya.
 
Mangsa ditemui mati dengan kesan tembakan di leher dan bahu ketika polis tiba di lokasi kejadian, katanya.
 
Bagaimanapun, katanya, rakan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kini berada dalam jagaan polis bagi membantu siasatan.
 
Katanya, berdasarkan pemeriksaan awal, polis menjumpai tiga kelongsong peluru di lokasi kejadian namun polis masih menunggu laporan penuh daripada unit forensik bagi memastikan jumlah tembakan yang dilepaskan ke arah mangsa.
 
Salehhudin meminta saksi kejadian agar tampil membantu siasatan. - Bernama

Sumber : Sinar Harian