Ahad, 29 Disember 2013

Pakatan Rakyat

Pakatan Rakyat


DIALOG RAKYAT

Posted: 29 Dec 2013 03:16 PM PST

Pemuda Pakatan Rakyat sokong himpunan 31 Disember, ajak Pemuda BN turut serta

Posted: 29 Dec 2013 06:57 AM PST

THE MALAYSIAN INSIDER

Pemuda Pakatan Rakyat (PR) memberikan sokongan terbuka kepada perhimpunan menurunkan harga barang yang akan diadakan serentak dengan sambutan tahun baru dan mengajak Pemuda Barisan Nasional (BN) untuk bersama mereka.

Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong (gambar) berkata, pemimpin BN perlu melaksanakan cadangannya untuk perubahan dengan tidak kekal diam dan menyokong hak demokratik rakyat.

"Prinsip kami untuk menyokong hak demokratik rakyat perlu diikuti oleh Pemuda BN khasnya Pemuda MCA kerana pemimpin mereka juga mengajak kepada perubahan," Teo berkata dalam kenyataannya hari ini.

Sambil mendesak Pemuda Umno dan MCA menyertai perhimpunan 31 Disember, Teo berkata jika Pemuda BN tidak menyertainya, "desakan menuntut perubahan oleh Pemuda BN hanya retorik semata-mata".

Pagi tadi, Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat dalam kenyataannya menyeru semua ahlinya turun bersama anak muda untuk menyertai perhimpunan ini.

Beliau sendiri, katanya, akan turun ke Dataran Merdeka pada Selasa ini.

Cadangan perhimpunan di Dataran Merdeka telah dikritik oleh media tradisional sebagai usaha "menggulingkan kerajaan".

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia melaporkan, lebih 1,000 laporan polis telah dibuat untuk membantah perhimpunan itu manakala polis pula telah mengenalpasti penganjurnya iaitu empat NGO yang didakwa rapat dengan PR.

Pemimpin pelajar Azan Safar telah ditahan awal minggu ini untuk disoal berhubung dengan dakwaan dia adalah dalang di belakang perhimpunan untuk mengambil alih Putrajaya.

Walaupun PR menafikan mereka merancang perhimpunan ini tetapi mereka tidak menentangnya.

"Kami dari Pemuda DAP bersama Pemuda PAS dan PKR secara prinsipnya menyokong himpunan ini dengan mengambil kira semangat perlembagaan, undang-undang dan demokrasi yang matang," kata Teo.

Ketika mempertahankan penganjur perhimpunan ini, Teo berkata kumpulan pro demokrasi tidak patut dilabel sebagai penjenayah.

"Kumpulan pro demokrasi ini bukan penjenayah atau mereka yang mempunyai niat jahat untuk menggulingkan kerajaan atau kumpulan ganas.

"Kumpulan pelbagai kaum dan dari pelbagai latar belakang ini berjuang untuk kepentingan rakyat yang tertindas yang perlu dipertahankan dan dibantu," katanya.

Siapa Yang "Memudharatkan Demokrasi"? Polis Atau TURUN?

Posted: 29 Dec 2013 06:54 AM PST


Ugut perhimpunan aman canggah perlembagaan


KELAB GREENBOC


 

KUALA LUMPUR: Lajnah Undang Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS Pusat menyifatkan tindakan pihak berkuasa mengugut peserta perhimpunan aman 'Turun', 31 Disember ini sebagai bercanggah dengan peruntukan perlembagaan.

Pengerusinya, Hanipa Maidin berkata, perhimpunan aman tanpa senjata adalah hak asasi yang juga kebebasan fundamental mana mana rakyat negara ini yang dijamin oleh Perkara 10 ( 1 ) Perlembagaan Persekutuan.

"Apa guna wujudnya Akta Perhimpunan Aman jika polis dan BN terus melaungkan mentera Akta Perhimpunan Aman bagi menggagalkan mana mana perhimpunan aman.

"Jika keadaan ini terus berlaku maka nama Akta Perhimpunan Aman elok ditukar kepada Akta Larangan Perhimpunan Aman," katanya dalam satu kenyataan.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Lajnah Undang Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS Pusat memandang serius ancaman pihak berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas mana mana peserta perhimpunan aman yang ingin diadakan pada 31 Disember ini bagi membantah kenaikan harga barang dan kos sara hidup .

Tidak perlu ditegaskan di sini bahawa hak rakyat kepada perhimpunan aman tanpa senjata adalah hak asasi yang juga kebebasan fundamental mana mana rakyat negara ini yang dijamin oleh Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Polis dan Barisan Nasional perlu faham Perlembagaan Persekutuan adalah undang undang tertinggi negara ini di mana semua undang undang dan tindakan pihak berkuasa adalah berasal dari Perlembagaan. Perlembagaan adalah kompas yang mengarah hala tuju undang undang dan perilaku pihak eksekutif, legislatif dan kehakiman termasuk pihak polis.

Amat malang hasrat rakyat prihatin yang ingin mengguna pakai hak dan kebebasan yang diberikan oleh Perlembagaan tersebut bagi menyatakan bantahan secara aman menerima pelbagai respon dan reaksi aneh dari pihak polis . Begitu aneh ke tahap mengarut apabila dimomokan bahawa kononnya perhimpunan aman tersebut ingin jatuhkan Kerajaan.

Adakah pihak polis sudah kekeringan modal atau alasan baru sehingga terus menerus terpaksa mendedangkan lagu lagu basi seperti ini setiap kali perhimpunan aman ingin diadakan?

Polis yang turut menerima bahana dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup sudah tentu tahu bahawa perhimpunan aman yang ingin diadakan tersebut bukan bertujuan untuk menjatuhkan atau menurunkan takhta Kerajaan BN yang menerima undi popular hanya 47 peratus sebaliknya perhimpunan aman itu adalah untuk JATUHKAN DAN TURUKAN harga barang dan kos sara hidup rakyat.

Polis seharusnya sedar bahawa peranan mereka bukan untuk mengancam atau mengugut atau melarang mana mana perhimpunan aman sebaliknya peranan dan fungsi polis adalah sekadar mengawal mana mana perhimpun aman yang ingin diadakan. Polis akan dihormati jika mereka tahu peranan sebenar mereka dan polis akan terus dikeji jika mereka dilihat bercakap seolah olah sebagai rakan sekutu BN !

Luham juga ingin menegaskan bahawa apa guna wujudnya Akta Perhimpunan Aman jika polis dan BN terus melaungkan mentera Akta Perhimpunan Aman bagi menggagalkan mana mana perhimpunan aman. Jika keadaan ini terus berlaku maka nama Akta Perhimpunan Aman elok ditukar kepada Akta Larangan Perhimpunan Aman !!!

Sejarah perhimpunan aman di negara ini menunjukkan bahawa jika polis hormati hak rakyat berhimpun maka mana mana perhimpunan aman di negara ini akan dapat dilaksanakan secara aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Jika sebaliknya berlaku perhimpunan aman juga akan bertukar sebaliknya. Ini menunjukkan aman atau tidak aman perhimpunan bergantung kepada bagaimana polis mempamerkan profesionalisme mereka.

Akhirnya kita menyeru pihak polis supaya bersikap rasional dan betul betul profesional dalam isu ini. Ingatlah mengancam atau mengugut rakyat yang ingin melaksanakan hak mereka untuk berhimpun secara aman adalah ibarat " jenayah rogol" ke atas hak dan kebebasan rakyat yang dijamin oleh Perlembagan Persekutuan.

Untuk polis dan BN hentilah jadi " perogol bersiri" hak rakyat sebaliknya jadilah polis yang berintegriti dan dihormati.

Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi PAS Pusat.

ULASAN GB

Ugutan demi ugutan dikeluarkan oleh pihak berkuasa terhadap peserta perhimpunan aman 'Turun', 31 Disember ini. Diantara alasan yang diberikan oleh pihak polis menghalang perhimpunan tersebut kerana ia dikatakan untuk mengguling kerajaan dan ia kononnya "memudaratkan demokrasi".

Perhimpunan aman telah jelas terjamin di dalam Perkara 10 ( 1 ) Perlembagaan Persekutuan. Justeru itu sebarang halangan, ancaman dan ugutan terhadap sebarang perhimpunan aman itulah sebenarnya yang "memudharatkan demokrasi".

Sehingga kini polis belum memberi bukti bahawa perhimpunan TURUN itu adalah untuk mengguling kerajaan. Oleh itu tiada sebab polis perlu mengeluarkan ugutan-ugutan untuk menakut-nekautkan rakyat malah tindakan polis berkenaan sepatutnya boleh dicabar dan didakwa di mahkamah kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan.

Polis tidak belajar dari kesilapan lampau mereka di dalam perhimpunan BERSIH. Apa yang berlaku di dalam PRU13? Rakyat menolak tindakan polis yang membelasah rakyat dengan kejam apabila kerajaan UMNO BN tidak mendapat sokongan undi popular dari rakyat.

GB ingin mengulangi kata-kata hikmat Mursyidul Am PAS, TG Nik Abdul Aziz:

"Bagaikan tabie air, rakyat pun begitu. Sebarang usaha menyekat dan membenteng air yang turun dari gunung akan menunggu bencana di hari depan, di satu masa dan ketika nanti."

BN 'turun takhta' sebelum PRU14?

Posted: 29 Dec 2013 06:43 AM PST


Oleh ZULKIFLI YAHAYA

SEKARANG adalah masa paling sibuk bagi pakarpakar propaganda dan para konspirator BN cuba menutup atau mengalih isu tekanan kos hidup yang dihadapi rakyat Malaysia.

Jika isu bebanan kos hidup akibat kenaikan harga barang dan perkhidmatan tidak dialihkan, kerajaan BN menghadapi ancaman paling serius terhadap survival kuasa mereka. Kerajaan yang mentadbir diberi mandat oleh 47 peratus pengundi.

Kalangan 47 peratus itu terdiri daripada undi pos yang diragui, undi daripada penerima 'rasuah' serta daripada kakitangan kerajaan yang diugut untuk tidak menyokong selain BN jika tidak mahu mendapat susah. Di kalangan itu juga terdapat mereka yang menyokong BN kerana tidak tahu membezakan antara BN dan kerajaan lantaran kejahilan.

Mereka tertipu dengan propaganda BN.

Sekarang, semua golongan yang pernah memberi mandat kepada BN sehingga parti tua itu berjaya membentuk kerajaan, sedang didera dengan bebanan kos hidup melampau. Kenaikan harga barangan melanda Malaysia macam banjir besar yang melanda Pantai Timur tempoh hari. Ia tidak mengenal rumah orang Umno, PAS atau atas pagar. Semuanya terima nasib yang sama.

Pengerusi Kira-kira Wang Negara (PAC), Dato' Nur Jazlan Mohamed berkata, akibat kenaikan kos hidup maka BN akan mengalami kekalahan lebih teruk teruk pada PRU14 di bandar dan separa bandar. Kenyataan itu untuk menyedap hati BN. Hakikatnya tekanan kos hidup tidak hanya dirasai oleh masyarakat Cina yang mendiami bandar atau masyarakat Melayu kelas menengah dan terpelajar yang menghuni bandar atau separa bandar. Tekanan kos hidup akan turut dirasai oleh orang Melayu luar bandar, selagi mereka perlu makan untuk meneruskan sisa hidup. Ertinya seluruh rakyat jelata akan merasai tekanannya.

Sejarah menunjukkan bahawa 'rakyat yang kelaparan' mampu menumbangkan kerajaan lebih cepat dan kuat berbanding dengan isu lain. Apatah lagi jika ia dibantu dengan elemen kemewahan hidup para pemimpin kerajaan yang memerintah serta keluarga mereka.

Revolusi Perancis yang berjaya menumbangkan kerajaan apabila rakyat ditindas dengan cukai yang tinggi sedangkan Raja Louis XVI dan Maria Antoinette bermewahmewah dengan wang rakyat.

Pemerintahan Zine El Ebidin Ali di Tunisia ditumbangkan dengan kuasa rakyat yang turun ke jalan raya apabila menyampah dengan kemewahan isterinya Leila dan keluarga Presiden itu di saat rakyat diulit masalah ekonomi. Ferdinand Marcos digulingkan pada 1986 apabila rakyat yang tertekan dengan masalah ekonomi muak dengan kekayaan keluarga Marcos, khususnya isteri beliau Imelda yang mempunyai kemewahan luar biasa.

Penyakit yang dihadapi oleh pemimpin kerajaan daripada parti yang terlalu lama memerintah sama sahaja, iaitu mementingkan penganugerahan kekayaan untuk keluarga dan kroni. Lebih-lebih lagi isteri tercinta.

Satu Malaysia tahu hebatnya 'Wanita Pertama Malaysia' Rosmah Mansor di mata Perdana Menteri sehingga Perhimpunan Agung Umno dijadikan medan memuja muji isterinya sehingga ramai kalangan rakyat yang melugailugai.

Kemewahan hidup Rosmah- Najib sudah lama diperkatakan. Daripada cincin dan beg tangan mewah hinggalah pakej makan angin ke luar negara yang luar biasa.

Kos lawatan ke luar negara sahaja dilaporkan bernilai RM17 juta, kos pengurusan jet mewah RM100 juta, bil air dan elektrik RM2.5 juta. Pendedahan yang paling mengejutkan rakyat di Baling dan Sik ialah kos penginapan mereka di Dubai dilaporkan RM140,000 untuk satu malam.

Kemewahan tidak hanya berkisar pada keluarga Perdana Menteri. Sebahagian besar pemimpin politik BN adalah kaya dan mampu pula melebarkan kemewahan kepada kaum keluarga serta kroni. Mereka mampu membolot projek kerajaan dengan mudah dengan harga projek yang di luar kemunasabahan. Inilah proses utama yang menyumbang kepada ketirisan wang negara antara RM20-RM30 bilion setahun.

Sebuah majalah di Kanada, Frank mendedahkan anak Ketua Menteri Sarawak, Jamilah Taib sebagai 'wanita paling kaya' di Kanada dengan pemilikan aset berjumlah RM1.2 bilion. Turut dipetik dari majalah itu ialah kekayaan Taib Mahmud selama 30 tahun menghimpunkan kekayaan dianggar berjumlah RM15 bilion menerusi syarikat-syarikat keluarganya dengan mendapatkan kontrak utama di Sarawak.

Busuknya cerita pemimpin politik Malaysia mengumpul kekayaan berbau hingga seantero dunia. Bagaimanapun, itu cuma catatan satu daripada 1,001 cerita para pemimpin BN mengkayakan keluarga serta kroni.

Kini kerajaan BN sibuk menaikkan harga barangan terkawal bagi mempastikan hasil kekayaan kroni tidak susut sekalipun yang menderita adalah rakyat yang pernah memberi undi menaikkan mereka. Bermula dengan petrol, diesel dan gula kini tarif elektrik dan tol akan dinaikkan.

Maka semua harga barangan dan perkhidmatan akan turut naik tanpa disuruh.

Selepas ini akan muncul Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus.

Rakyat akan terus dimiskinkan dan kerajaan akan membolot RM27 bilion. Kadar inflasi akan naik melambung-lambung tanpa dapat dikawal lagi.

Para menteri usahlah beretorik dengan statistik ekonomi yang orang kampung tidak boleh faham, kononnya ada rasionalnya kerajaan menaikkan harga barangan/perkhidmatan tertentu.

Orang kampung cuma mahu tahu mengapa hampir semua harga barangan naik mendadak? Takkan kerajaan tak boleh buat apa-apa? Apa guna jadi kerajaan kalau tak dapat ringankan bebanan rakyat? Dalam perniagaan terdapat satu konsep 'pelanggan sentiasa betul'.

Dalam politik Malaysia (hanya di Malaysia) terdapat pula 'kerajaan sentiasa betul'…. maksudnya kerajaan BN. Lihatlah GST yang terang-terangan merampas hak orang miskin cuba dibenarkan melalui kempen agresif kerajaan bahawa GST akan membawa kebaikan untuk rakyat.

Naikkan harga barang pun kerajaan betul juga kerana kononnya menghapuskan subsidi demi untuk kegunaan rakyat.

Mujur rakyat Malaysia ramai yang masih boleh diperbodohkan oleh pemimpin kerajaan.

Tapi nampaknya untuk kali ini, saya meramalkan rakyat akan bangkit membetulkan kerajaan.
Sekalipun tidak menunggu sehingga PRU14. Tidak mustahil!

Rafizi tawar RM1,000 peraduan cipta emel palsu

Posted: 29 Dec 2013 06:29 AM PST


KUALA LUMPUR - [Dikemaskini] Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 kepada mana-mana pihak yang boleh mencipta emel palsu atau fitnah terbaik.

Katanya tawaran itu juga terbuka kepada pemimpin politik termasuk Barisan Nasional yang didakwa kerap kali menjuarai cubaan memfitnah dan dakwaan palsu terhadap pemimpin Pakatan Rakyat sejak akhir-akhir ini.

Beliau berkata, pertandingan itu bertujuan untuk melihat sejauh mana tindakan pantas polis terhadap e-mel palsu lain yang boleh menarik minat pihak berkuasa untuk diambil tindakan dan siasatan segera.

"Oleh sebab e-mel fitnah ancaman bom yang didedahkan blogger pro-Umno itu sudah menjadi bahan lawak jenaka, saya sendiri adakan anjurkan pertandingan mencipta e-mel palsu yang paling menarik dengan menawarkan hadiah wang tunai RM1,000 untuk dihantar kepada perdana menteri, ketua polis negara dan timbalan ketua polis Kuala Lumpur.

"Kita hendak tengok berapa banyak e-mel palsu ini yang akan disiasat oleh PDRM dan hadiah itu daripada gaji saya sendiri kepada rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas diambil keterangan berhubung e-mel ancaman bom di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, hari ini.

Semalam, satu entri blog pro-Umno mendedahkan satu e-mel yang mengaitkan beliau dan seorang individu didakwa mendalangi komplot ancaman bom menjelang perhimpunan rakyat pada 31 Disember ini.

Rafizi yang dihubungi Sinar Harian Online semalam turut menggesa pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap blogger terbabit yang mereka-reka e-mel tersebut sambil menyifatkannya sebagai 'fitnah luar biasa' kerana ia membabitkan ancaman bom serta boleh menggugat ketenteraman awam.

Dalam pada itu, Rafizi juga mencabar blogger pro-Umno yang menyebarkan e-mel palsu tersebut supaya membuat pengakuan secara terbuka bagi mengesahkan kesahihan dakwaan tersebut.

"Kalau Papa Gomo lebih pandai memintas e-mel orang, biarlah dia jadi ketua polis negara," katanya.

Sehubungan itu, katanya esok beliau akan membuat satu laporan polis terhadap blogger pro-Umno terbabit di Balai Polis Tropicana bagi mendesak pihak polis membuka kertas siasatan terhadap mereka sekali gus membersihkan nama beliau daripada dakwaan komplot terancang menanam bom di ibu negara pada 31 Disember ini.

"Kita akan pastikan dalam Parlimen selagi tiada tindakan diambil terhadap mereka, Menteri Dalam Negerin akan terus diserang, kenapa tidak diambil tindakan terhadap blogger pro-umno yang jelas melanggar undang-undang dengan wujudkan kucar-kacir dan menyebarkan berita palsu," katanya lagi.

Perkasa Selangor bantah kenyataan paderi

Posted: 29 Dec 2013 06:24 AM PST

SINAR HARIAN

SHAH ALAM - Seramai 70 anggota dan pemimpin Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor, yang diketuai Yang Dipertuanya, Abu Bakar Yahya, membuat bantahan secara aman di depan Ibu Pejabat Polis Daerah di sini hari ini.

Tunjuk perasaan itu berlangsung selepas Perkasa Selangor membuat laporan polis pada 2.30 petang terhadap Pengarang Mingguan Katolik The Herald Paderi Lawrence Andrew berhubung satu kenyataan yang dikeluarkannya dalam portal berita themalaysianinsider.com Jumaat lepas.

Andrew dipetik sebagai berkata Gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah 'Allah' dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan Bahasa Melayu meskipun Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan menghantar notis peringatan kepada mereka berhubung enakmen negeri melarang bukan Islam menggunakan kalimah itu.

Perkasa, dalam laporannya, meminta siasatan terperinci dan tindakan tegas diambil oleh pihak polis dan JAIS terhadap paderi itu serta The Herald agar penggunaan kalimah Allah di gereja dalam negeri Selangor tidak diteruskan.

Polis mengesahkan menerima laporan Perkasa petang tadi. - Bernama

SMS hasutan untuk huru hara keadaan

Posted: 29 Dec 2013 06:19 AM PST

Awang Saribu

SUNGAI BESAR ( SELANGOR ) : Orang ramai di sini kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan untuk mengeruhkan keadaan ,sempena dengan perhimpunan malam 31 Disember depan dengan menghantar pesanan ringkas melalui telefon mengajak kalangan muda membuat huru hara atau rusuhan.

Seorang penerima yang enggan namanya disiarkan memberitahu, beliau menerima pesanan ringkas petang tadi dari telefon bernombor 017-3047518 berbunyi : Wajib hukumnya anak muda yang cool utk berhimpun dan merusuh di Dataran Merdeka malam tahun baru untuk gulingkan kerajaan sial ini. AFDAL LAGI SAHIH. Kita pogo polis dengan kayu !!.

Katanya , beliau pecaya pesanan ringkas tersebut dihantar oleh pihak tertentu secara pukal , bertujuan supaya penerima menyebarkan pula kepada rakan-rakan lain.

" Penghantarnya beranggapan kalangan anak muda sekarang , terutama yang tinggal di luar bandar  mudah diperdaya dan  buta dengan maklumat semasa . Padahal kami juga dengan mudah mendapat maklumat terkini melalui internet .

" Janganlah cuba mengeruhkan keadaan dan membuat fitnah kepada pihak penganjur perhimpunan yang akan berhimpun secara aman pada malam 31 Disember nanti, " katanya kesal.

Katanya, beliau percaya banyak lagi pesanan ringkas melalui tetefon seumpamanya akan dihantar oleh pihak –pihak tidak bertanggungjawab menjelang 31 Disember 2013 dan berharap ianya diabaikan sahaja atau membuat laporan polis.

" Janganlah dianggap kalangan muda yang tinggal di luar bandar bodoh belaka serta mudah diperdaya dengan fitnah dan hasutan jahat. Kerana kami juga dapat menerima maklumat melalui internet serta tidak lagi bergantung semata-mata kepada siaran media cetak atau siaran TV , " ujarnya lagi.

Ambulan dalam kecemasan pun kena bayar tol?

Posted: 28 Dec 2013 11:57 PM PST

TRANUNG KITE

"Dalam perjalanan pulang dari KL sebentar tadi, ketika sedang beratur untuk bayar tol di Plaza Tol Senawang kedengaran dari belakang bunyi siren ambulan. Ingatkan ambulan ni akan lalulah laluan Touch & Go ke laluan Smart Tag ke atau laluan Motosikal, sebab laluan tersebut kosong. Rupanya ambulan tadi terpaksa beratur menunggu giliran di laluan Tiket.

Saya tak pasti samada ambulan pun perlu bayar tiket tol atau laluan Smart Tag atau Touch & Go tidak dapat dilalui ambulan dalam kecemasan jika tak ada kad Smart Tag atau Touch & Go. 

Bayangkan macamana agaknya jika laluan Tiket tadi sesak teruk dan mangsa kemalangan dalam keadaan kritikal, dimana lambat 1 minit mungkin boleh menyebabkan kematian.

Selepas membayar tol, memang benar ambulan tadi sedang dalam kecemasan. Ada kemalangan di simpang tiga di Seremban Jaya berhampiran Tesco.

Kalau ambulan pun kena beratur di plaza tol, bagaimana pula bomba yang dalam perjalanan memadam kebakaran?

Rafizi: Polis Perlu Tangkap & Siasat Blogger UMNO Sebar Fitnah Ancaman Bom

Posted: 28 Dec 2013 11:50 PM PST


Ancaman bom: PDRM perlu ambil tindakan

KELAB GREENBOC

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat satu entri blog pro-Umno hari ini mendedahkan satu e-mel yang mengaitkan beliau dan seorang individu didakwa mendalangi komplot ancaman bom menjelang perhimpunan rakyat pada 31 Disember ini.

Beliau berkata, pihak polis wajar mengambil tindakan tegas terhadap blogger terbabit yang mereka-reka e-mel tersebut sambil menyifatkannya sebagai 'fitnah luar biasa' kerana ia membabitkan ancaman bom serta boleh menggugat ketenteraman awam.

"Ia lebih berbahaya apabila polis tidak mengambil tindakan terhadap fitnah-fitnah seperti ini yang boleh menghuru-harakan ketenteraman awam.

"Apabila ada fitnah yang menyalahgunakan internet sewenang-wenangnya seperti menakut-nakutkan rakyat dengan bom dan sebagainya, polis sepatutnya mengambil tindakan dan tangkap blogger-blogger Umno terbabit," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut pendedahan sebuah blog pro-Umno yang memuat naik "print screen" e-mel yang dikatakan menggunakan alamat akaun milik Rafizi dan rakannya yang dipintas blogger terbabit pada jam 3.03 pagi, hari ini berhubung rancangan mereka untuk memasang bahan letupan di lima lokasi berasing di ibu negara.

Kandungan e-mel tersebut memberi peringatan supaya peserta dan pimpinan pembangkang yang turun menyertai himpunan 31 Disember itu supaya mengelakkan daripada berada di lima lokasi berkenaan, antaranya persimpangan lampu isyarat berdekatan pusat membeli-belah Sogo, Puduraya, bulatan Kereta api Tanah Melayu (KTM)-berdekatan Masjid Negara, LRT Masjid Jamek dan komuter Bank Negara.

Selain itu, Rafizi juga menyifatkan pendedahan e-mel berniat jahat itu sebagai cubaan mengalihkan isu sebenar daripada bantahan orang ramai terhadap kenaikan barangan dan perkhidmatan secara serentak yang membebankan rakyat selepas Barisan Nasional memenangi PRU13 lalu.

"Ia hanya untuk mengalihkan perhatian daripada isu sebenar yang kita bangkitkan hari ini khususnya soal kenaikan harga barang.

"Jika ada sisatan polis, dakwaan itu mungkin boleh alihkan perhatian umum tindakan kerajaan yang mengumumkan beberapa kenaikan barang dan perkhidmatan yang membebankan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana," dakwanya.

Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan susulan, beliau berkata tiada keperluan untuk melaporkan kepada pihak polis kerana dakwanya secara terang-terangan blogger terbabit mengakui jika dakwaan itu palsu pun pihak berkuasa perlu melakukan siasatan. -SH


[Gempar] Rancangan Letupan Bom Di Himpunan Aman Rakyat 31 Dec, Didedahkan Oleh Bloggers UMNO !

Satu email di katakan telah bocor di mana isi kandungannya menceritakan bagaimana perancangan rapi pihak pembangkang pada malam himpunan gulingkan kerajaan nanti.

Kandungan email itu jelas sekali menunjukkan nama Abdul Rahim Ghouse dan Rafizi Ramli.Ia juga menunjukkan bagaimana perancangan mereka dengan beberapa siri letupan yang di pasang di beberapa tempat serta isyarat tertentu yang perlu di ketahui oleh puak-puak macai mereka.

Malah perancangan itu juga turut melibatkan cybertroopers mereka yang akan berada di "ground" bagi mendapatkan gambar serta rakaman video untuk di gunakan oleh pasukan satu lagi untuk tujuan sebaran.

Apa yang pasti ia menunjukkan perancangan untuk menimbulkan kekecohan malah turut menyatakan dengan jelas insiden itu akan di sasarkan kepada UMNO dan BN termasuklah menyalahkan SB.

Sama ada email ini benar atau tidak , MMI rasa pihak berkuasa perlu segera menjalankan siasatan. - theunspinners

Rahim Ghouse nafi tulis surat isu 'letupan'

Posted: 28 Dec 2013 11:46 PM PST

MALAYSIAKINI

Bekas exco Pemuda Umno Pulau Pinang, Abdul Rahim Ghouse menafikan bahawa beliau menulis surat kepada pengarah strategi PKR Rafizi Ramli berhubung kejadian letupan yang didakwa akan berlaku semasa perhimpunan pada malam sambutan ambang tahun baru 31 Disember.

Abdul Rahim yang dipetik dalam laporan Mingguan Malaysia berkata, surat yang tersebar melalui emel itu bukan ditulis oleh beliau.

"Saya menafikan perkara ini kerana surat itu, bukan saya yang tulis. Ada orang buat surat itu menggunakan nama saya.

"Mereka menulis surat seperti itu untuk agenda mereka, tetapi mahu melibatkan saya," lapor akhbar milik Umno tersebut.

Ia seterusnya menyebut, Abdul Rahim dalam surat tersebut meminta Rafizi serta barisan pemimpin Pakatan mengelak lima lokasi atas sebab keselamatan - persimpangan Sogo, Puduraya, bulatan KTM dekat Masjid Negara, stesen LRT Masjid Jamek dan stesen komuter Masjid Negara.

Polis memanggil Rafizi untuk siasatan berhubung dakwaan dalam emel tersebut di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi pagi ini.

Jingga 13 juga mahu saman Amar Singh

Posted: 28 Dec 2013 11:43 PM PST

 

Satu lagi NGO, Jingga 13, turut merancang untuk mengemukakan saman ke atas Datuk Amar Singh Ishar Singh sekiranya timbalan ketua polis Kuala Lumpur itu enggan menarik balik tuduhan yang mengaitkan pertubuhan tersebut dengan rancangan menimbulkan kekacauan pada malam 31 Disember.

Timbalan Koordinator Jingga 13, Amizudin Ahmat berkata tuduhan tersebut berniat jahat, berunsur fitnah yang melampau serta tidak masuk akal sama sekali dan bertujuan mengalih isu besar mengenai bantahan kenaikan harga barang.

"Jingga 13 tidak pernah sama sekali mengeluarkan sebarang kenyataan atau arahan kepada mana-mana pihak sama ada melalui apa jua instruments merancang untuk mengadakan kekacauan, apa lagi bersabit penggunaan senjata atau bom bagi tujuan mengguling kerajaan," katanya.
Amizuddin ditemui selepas beliau selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi hari ini.

Laporan polis tersebut mendesak pihak polis mengemukakan bukti bahawa Jingga 13 terlibat dengan segala pertuduhan yang dibuat.

Amizudin berkata tindakan saman turut akan dikenakan kepada akhbar Utusan Malaysia dan stesen TV3, yang menyiarkan tuduhan tersebut, sekiranya Amar Singh tidak menarik kembali dakwaan terhadap Jingga 13.

"Jingga 13 tegas menyatakan bahawa segala tuduhan jahat yang dikaitkan dengan kami adalah berupa fitnah serta bertujuan memburukkan imej kami serta bertujuan menakut-nakutkan rakyat dengan isu kekacauan, huru hara, senjata dan bom tangan," kata beliau.

Semalam, Amar Singh mengumumkan empat NGO telah dikenalpasti dalang untuk mengadakan kekacauan dan himpunan gulingkan kerajaan pada malam 31 Disember depan.

Kumpulan tersebut adalah Jingga 13, Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

SAMM telahpun menyatakan bahawa mereka akan menghantar notis saman kepada Amar Singh Isnin ini.

R lelong kalendar 2014 isi tabung bantuan banjir

Posted: 28 Dec 2013 10:58 PM PST

HARAKAHDAILY 

KOTA BHARU: NGO Royalti Kelantan (R) mahu membuat lelongan empat keping Kalendar 2014 eksklusif bagi mengisi tabung bantuan banjir yang diusahakan mereka.

Kalendar tersebut mengandungi tandatangan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz serta Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Menurut NGO itu, bidaan dibuka kepada semua masyarakat Malaysia prihatin dengan harga kadar permulaan bidaan RM500 setiap keping.

"Kepada mana-mana pihak yang berminat untuk mendapatkan Kalendar tersebut sebagai kenang-kenangan dan pada masa yang sama dapat memberikan sumbangan derma kepada mangsa-mangsa banjir tersebut bulehlah menghubungi pihak kami dengan kadar segera," kata NGO itu dalam satu kenyataan.

Pihak mereka boleh dihubungi di talian 016 9354743 atau 09 7478394.

Bagi sumbangan kewangan pula, ianya boleh dibuat atas nama Pertubuhan R Kelantan di nombor akaun Bank Islam 03120010000318.

NGO R sebelum ini telah menghantar Misi Bantuan Banjir ke Kemamam (Terengganu), Kuantan (Pahang) dan Rantau Panjang (Kelantan).

Misi terbaru yang merupakan kali ke-5 adalah pada 27 hingga 28 Disember lalu.

Menurut mereka, walaupun telah banyak misi bantuan seumpamanya telah dianjurkan oleh pelbagai pihak, namun ianya masih tidak dapat lagi mengatasi masalah penyediaan keperluan asas mangsa banjir yang terjejas teruk khususnya di Kemamam, Terengganu.

"Berdasarkan pemerhatian yang baru sahaja pihak R lakukan semasa misi terbaru ini, penduduk di sana masih memerlukan perhatian dari kita semua yang masih bernasib baik berbanding mereka.

"Mereka kebanyakkannya mengalami kerugian besar dengan kemusnahan hampir kesemua peralatan, kelengkapan dan perabot rumah. Umpama memulakan kehidupan sebuah tumahtangga baru dengan segala keperluan tersebut perlu disediakan semula," katanya.

Pemuda PAS kerah anak muda sertai himpunan Turun

Posted: 28 Dec 2013 10:51 PM PST

HARAKAHDAILY 

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia akan menggerakkan mobilisasi anak muda supaya menyertai himpunan Turun pada malam 31 Disember ini bagi membantah kenaikan harga barangan.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat menegaskan Pemuda PAS tidak berhasrat menggulingkan sesiapa melalui himpunan ini kerana masih percaya dengan sistem pilihanraya untuk menurunkan pemerintah.

Sebaliknya, penyertaan rakyat dalam himpunan itu nanti sebagai menyatakan hasrat dan perasaan resah dengan kenaikan pelbagai harga barang dan peningkatan kos sara hidup.

Perhimpunan itu juga katanya merupakan hak demokrasi rakyat untuk berkumpul sebagai tanda solidariti terhadap lebih kurang 27juta rakyat Malaysia yang sebahagian besarnya bakal menerima kesan buruk hasil kenaikan kos sara hidup yang amat mendadak ini.

"Saya akan turut sama di Dataran dan seluruh pemuda PAS peringkat negeri akan berperanan untuk membangkitkan kesedaran dan menggembeling  tenaga rakyat agar turut serta malam 31 Disember 2013 nanti.

"Ini bukan himpunan menggulingkan kerajaan tetapi himpunan ini adalah hak demokrasi mengikut lunas-lunas perlembagaan," katanya dalam satu kenyataan.

Himpunan turun sempenan malam menyambut tahun baru otu dianjurkan NGO Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) bagi membantah kenaikan harga beberapa barangan yang diumumkan kerajaan BN yang sekaligus akan menyebabkan peningkatan kos hidup

2014: Hadiah bom jangka kerajaan kepada rakyat

Posted: 28 Dec 2013 10:44 PM PST


Oleh  Ahmad Fuad Mohd Zani

Tinggal beberapa hari sahaja lagi, tahun 2014 bakal menjelma, tahun yang dikatakan amat mencabar terutamanya bagi rakyat Malaysia khususnya, apabila mungkin sambutan tahun baru pada tahun ini disambut dengan kenaikan berantai barangan keperluan dan kos sara hidup yang tinggi.

20 sen kenaikan bahan api sudah cukup untuk dijadikan alasan bagi 'menghalalkan' kenaikan berantai barang barang keperluan harian rakyat, diikuti dengan rasionalisasi subsidi (baca: kenaikan) harga gula dan tepung, seterusnya tarif eletrik juga meningkat naik, diikuti kenaikan tol dan bakal tiba cukai GST yang bakal diperkenalkan kepada rakyat menjelang April  2014 merupakan ibarat 'bom jangka' hadiah daripada kerajaan buat rakyat.

Paling teruk terkesan dengan kenaikan ini adalah golongan pertengahan dibandar yang rata ratanya berpendapatan antara RM1500-RM3000 sebulan. Mungkin pendapatan RM3000 yang dikategorikan sebagai miskin bandar sudah tidak relevan lagi pada masa hadapan, kita tidak akan pelik suatu masa nanti apabila RM4000-RM5000 masih lagi dikategorikan sebagai miskin di kawasan bandar.

Kronologi kenaikan

Belum cukup lagi 365 hari selepas kerajaan Barisan Nasional memerintah, pelbagai kenaikan mendadak dibuat tanpa mengkaji kedudukan sosio ekonomi rakyat, bermula dengan kenaikan RON95 sebanyak 20 sen seliter, kerajaan berdolak dalih dengan rakyat, sedangkan pada masa itu harga minyak sedunia adalah di bawah paras AS$100 setong, dan beberapa hari kemudian barulah diberitahu rakyat bahawa kenaikan itu sebagai salah satu daripada proses rasionalisasi subsidi oleh kerajaan.

Maka menteri yang menjaga hal ehwal pengguna memberi amaran tegas kepada peniaga peniaga agar tidak menaikkan harga sesuka hati dan akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga barangan mereka.

Suatu alasan dangkal, apabila terus menerus menafikan hakikat bahawa kenaikan tidak akan membebankan pengguna, ironinya, manusia yang waras berfikir dan sejahtera akal fikirannya tidak akan dapat menafikan hakikat bahawa setiap kenaikan pasti akan memberi kesan dan menambah beban kepada pengguna walaupun sebanyak 10 sen!

Begitu juga dengan peniaga, apabila kos bahan api meningkat, maka kos kos yang lain juga turut meningkat, justeru apakah mereka sanggup merugikan perniagaan mereka sendiri dengan mengambil kisah larangan menteri kerajaan yang sentiasa memberi alasan alasan bodoh setiap kali kenaikan, hakikatnya kenaikan walaupun sedikit, akan memberi kesan kepada rakyat daripada yang miskin sehingga yang kaya.

Selepas itu, kita dikejutkan lagi dalam Belanjawan Negara baru baru ini, dengan kenaikan (baca: rasionalisasi) harga gula dan barangan keperluan asas lain, dengan alasan yang mungkin 'cerdik' pada pandangan pembesar negara, kononnya kerana ingin menjaga kesihatan rakyat negara ini supaya tidak terdedah kepada penyakit diabetes.

Manakala pada suatu majlis berasingan Perdana Menteri mengatakan bahawa mengurangkan subsidi gula kepada rakyat dapat meningkatkan tenaga batin serta memperbaik kehidupan seks rakyat, seterusnya alasan alasan dangkal ini pula disambut oleh timbalannya pula dalam suatu majlis ceramah semasa pilihanraya kecil di sebuah negeri di utara semenanjung, apabila mengaitkan kematian bekas menteri besar di negeri tersebut akibat terlalu banyak mengambil makanan bergula.

Soalnya jikalau kerajaan benar benar ikhlas ingin membantu rakyat supaya bebas daripada penyakit diabetes kenapa tidak dimansuhkan subsidi sejak 10 tahun lalu, kenapa tidak 20 tahun lalu, kenapa mesti pada hari ini, kenapa tidak ditutup sahaja kilang kilang tebu di Perlis supaya tiada lagi rakyat Malaysia yang terkena kencing manis. Mungkin ayat di atas berbaur emosi, tetapi ia masih lagi lebih baik berbanding menteri yang memberi alasan alasan 'kurang cerdik' setiap kali kenaikan (baca: rasionalisasi) berlaku.

Belum pun sempat rakyat menyiapkan kira kira mereka sebagai persediaan menghadapi kenaikan kenaikan sedia ada, rakyat dikejutkan lagi dengan kenaikan kadar tarif elektrik yang akan dinaikkan bermula pada tahun hadapan, dengan kadar 4.99 sen per kilo watt di semenanjung dan 5 sen di Sabah dan Sarawak.Nampaknya pengundi tegar kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) di Sabah dan Sarawak juga tidak terlepas daripada terkena tempias 'tsunami kenaikan' ini, apa yang mengejutkan mereka yang digelar 'deposit tetap' kerajaan BN ini juga menghadapi kenaikan 1 sen lebih tinggi daripada penduduk Semenanjung!

Selepas itu diputarkan kembali skrip lama kerajaan dengan memomokkan kepada rakyat bahawa kenaikan itu tidak akan membebankan rakyat dan hanya melibatkan penggunaan domestik.Biasanya kita dapati apabila suatu barangan itu dinaikkan harga mungkin kerana sudah mengalami kerugian, tetapi di dalam kes TNB, beberapa hari selepas mengumumkan kenaikan tarif elektrik, laporan daripada TA securities memberitahu bahawa TNB bakal mendapat peningkatan pendapatan berganda iaitu daripada RM4.614 bilion kepada hampir RM5.102 bilion.

Ironinya, TNB adalah sebagai satu satunya anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang sepatutnya memberi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat sudah tidak berperanan lagi, bahkan mereka ibarat sang kapitalis yang menekan hidup rakyat bawahan dan mengaut keuntungan berganda di atas tekanan hidup rakyat.

Kita masih belum lupa, akan antara 'jasa besar' Tun Mahathir dalam menambah kantung poket kroni, dengan memperkenal penubuhan pembekal tenaga bebas(IPP), pendedahan mantan CEO TNB, Tan Sri Ani Arope hampir 10 tahun yang lalu, berkenaan dengan perjanjian kerajaan dengan pembekal tenaga bebas (IPP) sehingga menyebabkan beliau disingkirkan daripada TNB, jelas menunjukkan perjanjian TNB dan IPP selama 21 tahun, jelas menindas pengguna, apabila mereka mendapat untung atas angin setiap tahun, hal ini terjadi  apabila TNB terpaksa membayar harga yang lebih mahal kepada IPP dan  untuk menampung perjanjian yang berat sebelah ini, rakyat menjadi mangsa dengan menaikkan kadar tariff elektrik supaya mereka memperoleh keuntungan berlipat kali ganda.

Sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah peribahasa yang sesuai bagi menggambarkan nasib rakyat Malaysia yang telah ditekan oleh kerajaan, belum pun reda isu kenaikan tarif elektrik, tol pula bagaikan tidak sabar mengambil tempat, turut mengumumkan kenaikan bermula Januari 2014.Kenaikan yang melibatkan RM1-RM2.50, di semua plaza tol, memberi kesan berganda kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana di kawasan kawasan bandar.

Antara manifesto BN semasa di dalam PRU13 baru baru ini adalah untuk tidak menaikkan kadar tol jika mereka memenangi pilihan raya, namun belum pun sampai setahun selepas PRU mereka telah mengkhianati rakyat dengan menaikkan kadar tol. Yang lebih menzalimi rakyat apabila kerajaan sehingga hari ini masih enggan mendedahkan perjanjian konsesi tol.

Kita masih lagi hairan bagaimana tol boleh dinaikkan sewenangnya, sedangkan kos pengendaliannya masih antara yang terendah (iaitu 10% setahun), pertambahan trafik kenderaan yang semakin meningkat, malah syarikat syarikat ini mendapat subsidi pula daripada kerajaan, mengapakah masih lagi berlaku kenaikan dan yang menyedihkan lagi perjanjian konsesi yang tidak didedahkan ini berlanjutan sehingga 2038! Sekali lagi rakyat yang menjadi mangsa.

Pemberian BR1M

Skrip lama akan berulang kembali, apabila borang borang pemberian bantuan langsung, BR1M mula diberikan kepada rakyat, dengan peningkatan kos sara hidup berlipat kali ganda, namun BR1M yang diberikan kerajaan meningkat tidak sampai pun sekali ganda, kerajaan membelanjakan RM2.6 bilion bagi tahun 2014 untuk peruntukan BR1M diagihkan kepada rakyat, umpama peniaga dengan pembeli, apabila kerajaan mendapat keuntungan berlipat kali ganda hasil daripada pemansuhan pemansuhan subsidi diatas, sedangkan mereka hanya perlu berbelanja sebanyak RM2.6 bilion untuk memenangi hati rakyat, nampaknya rakyat Malaysia tidak ubah seperti nasib ayam daging yang diberi dedak lalu menunggu masa untuk disembelih lagi.

2014, tahun sengsara rakyat

Nampaknya kenaikan berantai pada tahun 2014 hampir tidak boleh dielakkan lagi, ia umpama hadiah bom jangka daripada kerajaan kepada rakyat yang mengundi mereka, menunggu pula pada April 2015, apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan pula, yang dikatakan menjadi pelengkap untuk menjerut rakyat.

Namun kita juga ternanti nanti untuk sampai ke April 2015 berapa puluh kenaikan (baca:
rasionalisasi) akan terjadi lagi yang menunggu masa untuk menghimpit rakyat.Mungkin pada masa GST diperkenalkan rakyat sudah tidak punya apa apa lagi dan kita juga harus ingat antara kesan langsung selepas kenaikan kenaikan berantai ini membawa kepada berlakunya inflasi di negara kita, sekaligus membawa kepada kelembapan ekonomi.

Rakyat tidak memerlukan Ketua Pemuda yang populis, yang menghentam syarikat GLC dalam perhimpunan agung partinya akibat menaikan kadar tarif  elektrik sesuka hati, atau pun ahli parlimen yang menghentam syarikat konsesi akibat menaikkan kadar tol, rakyat tidak memerlukan itu semua, tetapi cukuplah dibuktikan dengan tindakan, andai pemotongan gaji RM10 pun dipandang dingin dan hanya menjadi bahan ketawa mereka, usah bermimpi mahu menjadi hero rakyat!

Rakyat Malaysia boleh menerima sebarang kenaikan yang dibuat atas nama rasionalisasi subsidi andai kerajaan benar benar ikhlas membantu rakyat.Namun rakyat Malaysia tidak boleh melupakan kes jam dinding yang bernilai RM3000 sebiji, ataupun penganjuran konsert  K POP yang menelan belanja RM1.6 juta, kehilangan asset berjumlah RM1.33 juta oleh PDRM dan pelbagai ketirisan lain menyebabkan rakyat benar benar meragui keikhlasan kerajaan dalam menyelamatkan ekonomi negara.

Cukuplah setiap tahun rakyat Malaysia sudah bernanah telinga apabila kerajaan tanpa gagal berbelanja secara boros dan berlaku ketirisan di merata rata tempat, seperti yang didedahkan oleh Laporan Audit Negara setiap tahun. Harus diingat jumlah hutang negara semakin meningkat setiap tahun dan belanjawan negara yang sentiasa defisit hampir 15 tahun menunjukkan bahawa kelemahan tadbir urus negara yang sungguh kritikal. Apakah program Transformasi kerajaan yang dicanang canangkan oleh Perdana Menteri mencapai sasaran kalau begini keadaannya.

Apakah Pak Mat yang kerjanya menangkap keli di permatang sawah atau Mak Mah yang saban hari kerjanya menoreh getah atau Muthu yang kerjanya memerah susu lembu setiap hari untuk di jual atau Ah Chong yang kerjanya pengutip kotak kotak mengerti akan program transformasi kerajaan atau tahukah mereka kadar KDNK negara yang meningkat setiap tahun, terkesankah mereka? bertambah hasil jualan mereka? tahukah mereka akan erti itu semua?

Mereka tidak tahu dan mengerti pun, yang mereka kisah dan peduli bagaimana mahu mencari sesuap nasi dan sedikit lauk buat mengisi perut mereka, namun hari demi hari nilai RM10 yang mereka dapat hasil daripada usaha mereka semakin lama semakin menyusut, jika dahulu RM10 dapat
mengenyangkan seluruh ahli keluarga mereka, namun pada hari ini dengan RM10 yang sama hanya dapat mengenyangkan satu perut sahaja.Siapakah yang peduli nasib mereka yang semakin hari semakin terjerut ini.

Nampaknya tidak banyak yang dapat dilakukan oleh rakyat Malaysia dalam menghadapi tahun tahun suram seperti tahun hadapan,tahun 2014 merupakan tahun sengsara rakyat, nasi sudah menjadi bubur, itulah peribahasa yang sesuai kepada kita semua pilihan raya masih lagi jauh, apa yang mampu dibuat hanyalah bersabar dan nyatakan protes kepada kerajaan dalam himpunan himpunan yang aman.

Walaupun mungkin kesannya sedikit atau sedikit pun tidak terkesan kepada kerajaan jenis 'pekak badak' sebegini, tapi sudah cukup untuk memuaskan hati yang sudah geram akibat dikhianati kerajaan yang tidak sampai setahun memerintah.

Terima kasih kepada 49% pengundi BN, akibat anda 51% pengundi PR turut menerima bala.
Terima kasih kepada kerajaan 49% atas rasionalisasi subsidi (baca: kenaikan) ini!
Selamat tahun baru 2014 Malaysiaku! – .

* Penulis adalah mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

UMNO dipilih bukan kerana parti itu baik

Posted: 28 Dec 2013 10:37 PM PST

Oleh Aspan Alias

Dalam isu memilih pemimpin dalam pilihanraya yang lalu, sebenarnya pemimpin-pemimpin utama pembangkang yang membuatkan BN masih menang dalam jumlah dan perbezaan yang tipis. Disebaliknya, pemimpin BN juga yang membuatkan setengah dari rakyat yang mengundi pembangkang. Masing-masing BN dan pembangkang menyumbang untuk sokongan kepada lawan masing-masing. BN membuatkan PR kuat dan PR juga membuatkan BN kekal sebagai kerajaan. 

Bagi saya, kenyataan ini boleh dibuktikan semasa pilihanraya yang akan datang dan tidak perlu saya melayan kecaman setengah pihak terhadap diri saya kerana pandangan saya yang tidak menyenangkan mereka. Pandai tak ada tetapi pengalaman kepada saya ada sikit-sikit. Saya ulangi, UMNO dan BN tetap akan menang dalam pilihanraya yang akan datang walaupun saya sendiri tidak begitu gemar melihat keadaan itu.

Tetapi kenyataan, tetap kenyataan dan saya belum lagi bercadang untuk menghiburkan diri sendiri dan bermimpi di siang hari seperti ramai yang begitu di luar sana. Siapa yang hendak mengkritik saya silakan lah. Lakukanlah sekehendak hati. Katalah saya apa-apa sekali pun kerana pemimpin pembangkang dan pengikutnya tidak serius dalam melakukan pengambil alihan kuasa negara.
BN pula begitu lalai kerana mereka tahu pembangkang tidak akan mampu mendapatkan mandat rakyat yang memerhati segala gelagat pimpinan kedua-dua belah pihak. Maka berperanglah penyokong terutamanya penyokong pembangkang dimana-mana....dalam ceramah dan dalam alam cyber memaki hamun dan mencarut dengan menggunakan bahasa yang kesat terhadap sesiapa yang mahu bercakap benar yang pembangkang tidak akan mampu mengambil alih kerajaan ini.
Kebanyakan yang bercakap besar dan mencarut itu adalah yang muda-muda yang baru bergiat dari tepian politik dan mereka ini garang-garang kerana hendak menunjukkan hebat dan berbeza. Tetapi ramai hanyalah seperti anak muda julung berkeris, batang pisang pun hendak disanggahnya.
Maklum sajalah baru cuba-cuba memegang keris, sampai tidak ada masa menyarungkan keris kesarungnya. Asyik hendak memaki hamun dengan perkataan-perkataan kotor sampaikan tidak ada masa untuk menunjukkan cadangan yang baik bagi kebaikan bersama. Baru pagi tadi seorang yang agak 'senior' dalam pembangkang bercakap dengan saya.
Katanya "selagi kami pembangkang masih tidak menukar pimpinan mereka selagi itulah PR tidak akan kemana-mana dan selagi UMNO dipimpin oleh Najib serta barisan yang ada selagi itulah mereka akan menjahanamkan kita". Katanya "it's a choice between the devil and deep blue sea".
Saya berasa lega mendengar kata-katanya itu, kerana saya telah menulis dalam posting saya beberapa hari yang lepas, yang kita harus melupakan 'partisan politics' dan kita cari pemimpin yang 'level headed' untuk menyusun kembali negara ini buat seketika. Selepas disusun dan dikembalikan 'sanity' dalam politik negara beliau boleh mengundurkan diri untuk di serahkan kepimpinan negara kepada mereka yang berkesanggupan mengakui yang negara memerlukan pemimpin yang berkepimpinan, bukannya pemimpin yang tidak tahu apa dia kepimpinan itu.
"Kita letih dengan cara memilih pemimpin baik dalam PR mahupun dalam BN. Siapa yang berteriak lebih kuat atau berjenaka diatas pentas itulah pemimpin bagi mereka. Kita sudah banyak sumber untuk mendengar lawak jenaka ini. Kita boleh tengok filem lakonan AR Tompel dan rakan-rakannya" kata kawan saya tadi selamba.
Saya bersetuju dengan pandangannya kerana hakikatnya siapa yang bercakap tidak bersopan itu, memang pasti bukan pemimpin atau penyokong yang baik. Siapa yang bercakap besar dan memaki hamun dengan kata-kata kesat itu, sudah pasti mereka yang kosong dalam pemikiran atau jiwanya. Itu 'nature', kerana orang yang bersikap begitu selalunya orang yang terlalu banyak kelemahan yang hendak ditutupi dan dilindunginya.
Tidak ada siapa yang bercakap secara 'organic' untuk melakukan kelainan untuk kebaikan dan yang bercakap besar ini pun tidak nampak perkara yang benar-benar teguh yang telah membawa perubahan kepada negara. Tidak ada juga perancangan dasar yang boleh merubah politik negara kearah kebaikan. Yang kita dengar hanyalah penghapusan PTPTN, penghapusan tol dan mengurangkan harga minyak.
Tetapi tidak ada perancangan untuk membangunkan rakyat melalui dasar-dasar yang konkrit untuk menambah nilai pemikiran dan sikap manusia dan menambah nilai budaya dan membentuk 'sense of ownership' terhadap negara. Tiada dasar atau usaha untuk meningkatkan nilai dan keutamaan bagi menambah kekuatan negara sebagai sebuah negara persekutuan.
Baik dalam PR atau BN pemimpin yang benar-benar pemimpin tidak boleh timbul kerana politik peribadi masing-masing. Bagi mereka hanya mereka yang berada dalam barisan kroni mereka sahaja yang boleh timbul kerana kuasa itu tidak boleh terlepas kepada orang yang baik dan bermutu.
Contohnya orang Melayu P Pinang sedang cuba dibuktikan oleh parti yang memerintah negeri itu yang Melayu semuanya bodoh dan tidak boleh berada di dalam Dewan Undangan Negeri. Orang melayu yang beragama Islam hanya layak untuk menerima ehsan kumpulan yang mentadbir negeri itu dengan peruntukan untuk hal ehwal Islamnya yang sebanyak RM63 juta itu sahaja.
Selainnya Melayu hanya layak untuk menampal poster dan banting dalam pilihanraya sahaja dan jika cuba bercakap mereka akan diungkit-ungkit dengan peruntukan bagi agama Islam itu sahaja. Tetapi apabila diatas pentas berapi-api berucap mengaku sebagai parti 'multiracial' hanya kerana kehadiran seorang bukan Melayu yang memilih untuk menjadi Melayu dengan menggunakan nama Melayu dan beragama Islam.
Semua yang dikatakan oleh pimpinan mana-mana parti dan pihak semuanya berunsurkan 'political intrigue' terhadap sesama pemimpin dan permainan politik 'inter-party' dikalangan barisan pembangkang dan dalam isu ini BN nampak lebih terbuka di antara parti-parti komponennya.
Didalam PR perhubungan di antara parti-parti didalamnya terpaksa dilalui dengan penuh ranjau dan memerlukan kesabaran. Dalam berjanji setia mereka, ada parti yang membawa isu nama 'Allah' dan isu yang di sebutnya itu menyebabkan PAS terpaksa berkedudukan 'defensive' dan tidak dapat menyelesaikan isu itu dengan pengundi-pengundi di desa-desa tempat di mana PAS diperuntukan banyak kerusi dalam PRU yang lalu.
Walaupun PAS bersabar diperingkat pimpinannya dengan parti yang saya maksudkan tadi, tetapi rata-rata ahli-ahli parti Islam itu diperingkat akar umbi ternyata kecewa kerana tidak dapat menahan ombak permainan isu itu oleh UMNO dan BN. Akhirnya bukan sedikit jumlah ahli PAS sekarang percaya sebusuk-busuk UMNO itu ada juga bau Melayu dan Islam nya.

Itu sebabnya akhir-akhir ini blog ini dengan disokong oleh beberapa pihak memberikan pandangan agar permainan 'partisan politics' ini dihentikan dan buat sementara ini kita fokuskan untuk mencari orang yang  boleh memainkan peranan membangun persepaduan di antara kaum, yang merupakan perjuangan 'ultimate' negara ini sejak merdeka dahulu.

Jangan takut berhimpun, Juham sedia peguam

Posted: 28 Dec 2013 10:33 PM PST

Oleh ARIF ATAN

 
KUALA LUMPUR: Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia (Juham) menyeru semua rakyat Malaysia agar tidak bimbang untuk bersoladiriti menyuarakan bantahan terhadap kezaliman Umno-BN pada malam tahun baharu ini.

Pengarahnya, Noorazmir Zakaria berkata, pihak polis harus menunjukkan sikap bertanggungjawab dengan tidak tunduk kepada tekanan Umno-BN yang semakin tidak relevan dan telah kehabisan talian hayat.

Menurut beliau, perhimpunan aman tersebut tidak lain dan tidak bukan hanyalah sekadar luahan hati rak yat yang bakal berdepan pelbagai siri kenaikan harga barangan dan cukai perkhidmatan menjelang tahun 2014.

"Sejarah membuktikan Umno-BN akhirnya akan akur dengan kehendak rakyat seperti pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA

"Tindakan kerajaan itu hasil daripada pengorbanan dan penat lelah tanpa henti daripada rakyat yang bencikan kezaliman," jelasnya dalam satu kenyataan

Mengulas ura-ura akan berlakunya beberapa siri tang kapan selepas penahanan Pengerusi Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), Azan Safar, 23 Disember lalu, beliau berkata, pi haknya mengecam keras tindakan polis menafikan hak rakyat untuk bersuara.

"Lawak jenaka apakah ini apabila mengaitkan tangisan rakyat terhadap kenaikan harga barang dengan gerakan penggulingan kerajaan?

"Juham percaya Umno- BN sudah kehabisan alasan untuk menutup kelemahan mereka sehingga menggunakan alasan bodoh sebegini," bidasnya.

Sehubungan itu, pihaknya bersedia untuk memberikan khidmat guaman secara percuma sekiranya terdapat sebarang tangkapan serta dakwaan dilakukan sepanjang himpunan aman berkenaan.

Untuk rekod, Azan dibebaskan lewat petang 24 Disember lalu selepas majistret menolak permohonan polis untuk lanjutan reman hasil bantahan Juham melalui barisan peguamnya

SAMM: Tarik balik fitnah atau disaman RM100j

Posted: 28 Dec 2013 10:24 PM PST

SHAH ALAM - Pertubuhan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendesak agar Timbalan Ketua Polis Wilayah, Datuk Amar Singh Ishar Singh menarik semula kenyataan beliau yang mengaitkan pertubuhan tersebut sebagai antara penganjur himpunan guling kerajaan pada 31 Disember ini.

Jelas Presiden SAMM Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard, kenyataan tersebut adalah berbaur fitnah, dan pihaknya tidak teragak-agak untuk menyaman Timbalan Ketua Polis Wilayah tersebut sekiranya tiada bukti kukuh yang mengaitkan pertubuhan tersebut dengan himpunan itu.

"Saya dengan ini mendesak fitnah ini ditarik balik oleh Datuk Amar Singh Ishar Singh dan permohonan maaf dituntut.

"…dia harus dedah apa sumber dia, dan dedah bukti gred A sekiranya ada. Saya akan ambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Amar Singh Ishar Singh dan semua media jahat yang menjadi lidah penyambung fitnah tersebut.

"…isnin ini (30 Disember), Chegu Bard dan SAMM akan menghantar notis undang-undang terhadap Datuk Amar Singh Ishar Singh dan media-media terbabit. Saya akan memulakan proses saman sebanyak RM100 juta ke atasnya," katanya yang dipetik menerusi kenyataan medianya.

Semalam, memetik laporan berita polis telah mengenal pasti empat kumpulan yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dijangka akan membuat kecoh pada sambutan ambang Tahun Baharu di Dataran Merdeka,31 Disember ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, pertubuhan tersebut ialah Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), Jingga 13, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

"Kami tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tegas dan menangkap individu yang menimbulkan kekecohan pada malam tersebut," katanya.

Ancaman bom: Rafizi dipanggil beri keterangan

Posted: 28 Dec 2013 10:21 PM PST


Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli hari ini dipanggil ke Ibu Pejabat Daerah Polis Dang Wangi bagi memberikan keterangan berhubung dakwaan emel mengaitkan beliau dengan ancaman bom pada 31 Disember ini.

Beliau yang diiringi peguamnya, N.Surendran dan Latheefa Loya kelihatan memasuki pekarangan balai polis tersebut kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Rafizi yang ditemui sebelum diambil keterangan mengulangi pendiriannya bahawa emel tersebu sengaja direka dan mendakwa ia didalangi oleh blogger pro-Umno.

"Saya agak terkejut apabila polis agak berminat menyiasat khabar angin yang disebarkan dalam media dan blogger pro-Umno yang mengancam ketenteraman awam dengan mendakwa bom ditanam di beberapa kawasan umum.

"Saya kecewa dengan sikap 'double standard' yang diamalkan polis kerana tidak menahan blogger terbabit atau memanggil media pro-Umno memberikan keterangan seperti yang dikenakan kepada saya," katanya di pekarangan IPD Dang Wangi, di sini, hari ini.

Semalam, Pengarah Strategi PKR itu menggesa pihak polis menyiasat satu entri blog pro-Umno yang mendedahkan satu e-mel yang mengaitkan beliau dan rakan karibnya didakwa mendalangi komplot ancaman bom menjelang perhimpunan rakyat pada 31 Disember ini.

Rafizi menyifatkannya sebagai 'fitnah luar biasa' kerana ia membabitkan ancaman bom serta boleh menggugat ketenteraman awam.

Sementara itu, Surendran yang menemani anak guamnya mendakwa penyebaran fitnah luar biasa itu dilakukan bertujuan untuk menghalang orang ramai daripada berhimpun di Dataran Merdeka bagi membantah kenaikan harga pada hujung bulan ini.

Sehubungan itu beliau memberi amaran kepada pihak polis supaya tidak mencampuri dan menafikan hak rakyat daripada menyertai himpunan aman tersebut.

"Apa jua perhimpunan aman adalah dibenarkan dalam Perlembagaan negara, jika polis cuba menghalangnya, tindakan itu tidak sah," katanya.

Beliau juga menyifatkan tuduhan ke atas anak guamnya itu sebagai 'mengarut' dan Surendran memberi amaran jika blogger terbabit tidak menarik semula dakwaan tersebut, pihaknya akan mengambil tindakan mahkamah kerana tuduhan memfitnah.

"Jumpa kami di mahkamah jika ketua polis negara dan timbalannya tidak menarik balik dakwaan tersebut," katanya lagi.

Tanjung Sepat dibangun jadi kawasan pelancongan baru di Selangor

Posted: 28 Dec 2013 04:06 PM PST

Oleh: Mohd Ezli Mashut,

KUALA LANGAT: Tanjung Sepat berpotensi untuk dibangunkan menjadi kawasan pelancongan baru di Selangor yang mempunyai keunikan tersendiri melalui persekitaran alam bersih dan indah serta penghasilan produk tempatan.

Adun Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan, berkata persekitaran kawasan itu akan dibangunkan dengan penambahan beberapa projek nilai tambah sekaligus menjadikan kawasan persisiran pantainya dapat dinikmati keindahannya oleh para pelancong khususnya di Kampung Batu Laut.

Haslin

Malahan katanya, keunikan dan keindahan kawasan perkampungan tradisi akan menjadi produk pelancongan yang boleh dinikmati pelancong melalui program inap desa atau Homestay.

"Di sini adalah kawasan yang sesuai untuk sukan rekreasi pelahu layar yang telah melahirkan anak tempatan yang berjaya dalam sukan di peringkat antarabangsa," kata beliau.

Haslin berkata demikian semasa Program Karvival Rakyat DUN Tanjong Sepat di Pantai Batu Laut di sini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin.

20131228_114632

Haslin berkata melalui penganjuran Karnival Mesra Rakyat DUN Tanjung Sepat juga adalah untuk mempromosikan produk usahawan tempatan agar mempunyai pasaran yang lebih baik.

Katanya ia juga diharap dapat memberikan motivasi kepada usahawan generasi muda agar dapat membangunkan produk tempatan yang boleh dipasarkan sehingga peringkat luar negara.

"Diharap ketua di peringkat tempatan dapat memainkan peranan yang penting untuk menjadikan kawasan Tanjong Sepat menjadi kawasan yang bersih dan indah," kata beliau.
batu1
 Tanjung Sepat adalah sebuah kawasan di daerah Kuala Langat merupakan sebuag perkampungan nelayan yang kebanyakkan penduduknya terlibat dengan industri perikanan.

Antara perusahan yang terkenal di kawasan ini adalah buah naga, cendawan ganoderma, cendawan tiram, kopi dan kerepek. EZY

Keadilan Kelantan dakwa Ahmad Yaakub dolak dalih

Posted: 28 Dec 2013 03:56 PM PST

MSOEkoran ulasan saya mengenai pandangan Wan Nik Wan Yusuf mengenai Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) dalam posting semalam, malam tadi saya menerima panggilan dari seorang pemimpin Keadilan negeri Kelantan yang menyokong ulasan saya dan memberi input tambahan terhadap apa yang berlaku ke atas parti berkenaan.

Dengan nada sedih dan kesal, pemimpin itu menyatakan apa yang saya utarakan dalam posting itu adalah benar, bahkan ada tindakan-tindakan dari pihak Pas yang lebih menyedihkan lagi. "Pas Kelantan bukan sahaja meremehkan Keadilan, MSO, tetapi ada kalanya mempermain-mainkan kami, menyebabkan kami merasa terhina dan kesal," kata pemimpin berkenaan.

Katanya, sikap berdolak dalih dan meremehkan Keadilan bukan sahaja berlaku di kalangan pemimpin Pas peringkat kawasan atau negeri, tetapi ia melibat Ahmad Yaakub sendiri selaku Pesuruhjaya Pas dan Menteri Besar Kelantan di mana sikap ini sangat-sangat mengilankan Keadilan.


"Kalau peringkat Wan Nik atau lain-lain pemimpin kami tidak merasa terkilan dan ambil kisah sangat, tetapi YAB Menteri Besar juga mempermain-mainkan kami, itu yang menyedihkan" ujarnya lagi yang enggan namanya disebutkan disini.

Beliau memberi beberapa contoh bagaimana Keadilan Kelantan dipermain-mainkan atau dipandang remeh; antaranya masalah lantikan penyelia Dun di kawasan yang diperuntukan kepada Keadilan di Pengkalan Kubur, perlantikan penghulu, pembahagian wang Ladang Rakyat dan perlantikan ahli majlis daerah (PBT) dan lain-lain lantikan politik.

Kata pemimpin itu yang pernah memang dalam pilihan raya, pihaknya sedar mengenai hakikat Keadilan di Kelantan sebagai rakan kongsi yang kecil tetapi atas semangat uhkwah dan maufakat ia tidak seharusnya dilayan macam budak-budak.

Cerita pemimpin itu, Keadilan pernah berjumpa dengan Ahmad Yaakob sebagai Yang di-Pertua Pas kawasan Tumpat agar melantik penyelia untuk Dun Pengkalan Kubur dari Keadilan untuk memudahkan kerja-kerja mendekati rakyat kerana kerusi berkenaan diperuntukan kepada Keadilan. Permintaan itu dianggap munasabah dalam konteks kerjasama dan keperluan politik.

Tetapi Ahmad Yaakub memberi alasan masalah penyelia di Dun Pengkalan Kubur payah untuk diselesaikan disebabkan Wan Jamil Mohamad (Allahyarham) (ketika itu sebagai Yang di-Pertua) enggan serahkan kepada Keadilan. Bagaimana pun, kini Wan Jamil yang dijadikan alasan itu sudah tidak ada lagi di dunia namun permintaan Keadilan itu tetap tidak dilayan.

Selepas memberi alasan Wan Jamil kata pemimpin itu, di masa lain Ahmad Yaakub memberi alasan lain pula, dengan berjanji akan berikan jawatan itu kepada Keadilan apabila penyelia waktu itu (dari Pas) menyelesaikan segala hutang-hutangnya (mungkin hutang dengan rakyat). Bagaimana pun janji itu juga tinggal janji. Ahmad berjanji setahun sahaja, tetapi ternyata selepas itu penyelia itu disambung semula.

"Sudah berbelas tahun Keadilan menuntut jawatan penyelia di Dun berkenaan tetapi tidak ditunai sampai sekarang," tambah pemimpin itu lagi.

Dolak dalih Pesuruhjaya Pas Kelantan itu, bukan saja mengenai lantikan penyelia, tetapi di dalam masalah perlantikan penghulu juga. Katanya, satu masa pimpinan Keadilan berjumpa dengan Ahmad Yaakob agar melantik penghulu di kalangan Keadilan sebagai tambahan kepada yang sedia ada sekarang ini, seorang untuk kawasan kepada dua atau tiga penghulu.

Apa yang dijawab Ahmad Yaakub katanya kerajaan tidak ada peruntukan melantik penghulu tambahan bagi Keadilan. Anihnya menurut pemimpin itu, setahun kemudian Ahmad sebagai orang bertanggungjawab dengan perlantikan penghulu telah menambah bilangan penghulu di kalangan Pas untuk beberapa orang lagi. "Di mana perginya cerita mengatakan kerajaan tidak ada wang?" soal pemimpin itu lagi.

Menurutnya beliau tidak kesal kalau Ahmad tidak mahu melantik penghulu dari kalangan Keadilan, tetapi janganlah berdalih demikian rupa. "Ustaz Ahmad patut malu kepada kedudukannya sebagai seorang bergelar ustaz yang dianggap ikhlas dan jujur, dan kebetulan pula menjadi Timbalan Ketua Dewan Ulamak. Apakah ulamak boleh mempermainkan orang dan bercakap 'belawak'?" soal pemimpin dengan nada semakin kesal.

Selain dari masalah perlantikan penghulu, Keadilan juga tidak dilayan dalam perlantikan ahli majlis daerah seperti mana sepatutnya. Bagaimana pun mengenai hal ini tidak dikesali sangat oleh pimpinan Keadilan itu, tetapi sikap dolak dalih Ahmad Yaakub sesuatu yang sangat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku kerana ia mencomotkan Menteri Besar tersebut.

Pemimpin itu juga mempertikaikan mengenai kedudukan Pengerusi Keadilan Kelantan, Abdul Aziz Kadir yang kalah dalam pilihan raya lalu di kerusi Ketereh yang tidak diberikan apa-apa jawatan bergaji di dalam anak syarikat Kerajaan negeri atau sebagainya.

"Sepatutnya Abdul Aziz diberikan jawatan, hormatilah kedudukannya sebagai Pengerusi Keadilan Kelantan dimana dari segi tarafnya kedudukan itu sama dengan Ahmad Yaakub. Kalau kita benar-benar bersain (berkawan) kita harus menghormati kawan. Tetapi nampaknya semangat kerjasama dan maufakat itu tidak dititik beratkan," tambahnya.

Apa yang peliknya ujar pemimpin Keadilan itu lagi, yang tampak benar-benar kecewa dengan sikap Menteri Besar Kelantan itu, Wan Zawawi Wan Ismail yang menjadi calon Keadilan di Machang juga kalah dalam pilihan raya tetapi diberi jawatan sebagai pengurus Sumber Manusia di PKINIK. Tidak cukup dengan jawatan itu katanya enam bulan kemudian dinaikkan pangkat pula menjadi timbalan Pengerus Besar PKINK.

"Kenapa Pas memberi layanan istimewa kepada Wan Zawawi dan tidak kepada Aziz. Cara itu secara tidak langsung semacam hendak memalukan Aziz sahaja," singgungnya lagi. "Apakah kerana Wan Zawawi itu calon yang disokong dan dipilih Pas?" sambungnya lagi benar-benar tidak berpuas hati.

Tindakan-tindakan sebegitu dianggap double standard dilakukan Ahmad Yaakub, menyebabkan Keadilan Kelantan merasakan mereka dianaktirikan dan segala tindakan dibuat seolah-olah mahu Keadilan hilang dibumi Kelantan.

Seperkara lagi disebut pemimpin berkenaan berhubung dengan pemberian wang Ladang Rakyat. Keadilan meminta agar kouta penerimanya ditambah untuk ahli Keadilan di kawasan tertentu, tetapi tidak dipenuhi oleh Pas. Apa yang sedih dakwahnya, di kawasan yang mana dikuasai Keadilan seperti di Guchil, Pas mendesak agar penerimanya 50 : 50, maksudnya sama ada banyak di antara orang Keadilan dan orang Pas, tetapi peliknya di kawasan Pas tidak berlaku begitu, orang Keadilan diperuntukan 20% sahaja manakala orang Pas 80%.

"Apakah ini pemerintah Islam yang mementingkan keadilan, ketelusan dan kesaksamaan?" tanya dan soal beliau.

Beliau bimbang kalau tindakan diskriminasi ini berterusan berlaku ia akan memburukkan keadaan. Pemimpin itu memberi ingatan kepada Ahmad Yaakub agar tidak meremeh-remehkan Pas dan perlu sedar sekecil-kecil Keadilan, ia mempunyai undi boleh menjadi pemangking kepada Pas.

Pemimpin itu juga menyifatkan tindakan dilakukan Pas sekarang ini khasnya sikap dolak dalih Ahmad Yaakub itu dianggap sebagai tindakan kurang bijak dan meletakkan kepimpinnya lebih kurang seperti pemimpin Umno sahaja.

"Kita mengtakan Umno melakukan pilihan kasih dan penganiayaan terhadap orang Pas di Kelantan, sebaliknya pimpinan Pas juga berbuat lebih kurang sama saja," getus pemimpin itu penuh kejengkilan. Bagaimana pun beliau masih berharap perkara ini akan dilihat dengan saksama oleh Ahmad Yaakub demi membuktikan beliau meneruskan kepimpinan yang diwarisi daripada para Khalifah as Rayidin yang sering disebut dan diungkapkan.

Chef Wan Masuk Hospital

Posted: 28 Dec 2013 03:54 PM PST

Mahirah Zakaria 

Tukang masak tersohor negara, Chef Wan dilaporkan telah dimasukkan ke Hospital Gleneagle Pulau Pinang akibat mengalami gatal-gatal dan bengkak di bahagian dihidung.

Memetik laporan portal hiburan Murai, doktor telah mengesahkan pembedahan perlu dilakukan sebelum kuman merebak ke bahagian mata lalu ke otak yang boleh mengakibatkan keadaan bertambah teruk sehingga boleh mengakibatkan maut.

"Saya telah ke hospital kerana tak tahan sebab tak dapat tidur selama tiga hari menahan kesakitan. Doktor kata ada bisul di bahagian hidung dan perlu dibuang secepat mungkin.

"Saya perlu berada di hospital buat beberapa hari kerana daripada x-ray pihak doktor, jangkitan itu telah berpindah ke bahagian mata dan takut ianya berjangkit ke otak," kata Chef Wan.

Wartawan Perlu Berani Tanya Soalan - Steven Gan

Posted: 28 Dec 2013 03:49 PM PST

Alif Mustapha 

KUALA LUMPUR - Wartawan harus berani mengajukan soalan ketika membuat liputan media walaupun ia melibatkan individu kenamaan termasuklah pemimpin tertinggi negara.

Pengasas bersama portal pro pembangkang Malaysiakini, Steven Gan berkata, editor dalam organisasi media perlu memainkan peranan dengan memberi penekanan kepada wartawan supaya bersikap berani.

"Beritahu mereka, kerja awak adalah bertanyakan soalan sukar. Mungkin ini akan memalukan, atau wartawan lain akan memandang pelik kepada anda tetapi saya rasa sebagai wartawan yang bagus adalah berani bertanyakan soalan.

"Apa yang penting adalah kita mengajar ahli politik supaya tidak kira kita mewakili media mana, mereka perlu  menjawab soalan, tidak boleh alih isu (tidak menjawab soalan) hanya kerana kita dari Harakah atau Suara Keadilan," katanya kepada Rakyat News selepas menghadiri 'Forum Bebaskan Media' di Dewan Perhimpunan Cina (KLCAH) di sini malam tadi.

Forum anjuran Gerakan Media Marah (GERAMM) itu turut menampilkan panelis antaranya V Anbalagan (The Malaysia Insider), G Vinod (Free Malaysia Today), Ronasina (Penerbit bebas), Masjaliza Hamzah (Pusat Kewartawanan Bebas / CIJ) dan Hata Wahari (Reporters Without Borders / RSF) manakala Zakiyah Koya selaku moderator.

Dalam masa sama GERAMM turut menyatakan tuntutannya kepada tiga fokus utama bagi mendukung hak kebebasan media di negara ini. Tuntutan tersebut merujuk kepada pihak kerajaan, parti-parti politik dan semua organisasi media serta wartawan.[ARTIKEL DI SINI]

Dedah Email Guna Bom: Persatuan Mukabuku PP Buat Laporan Polis

Posted: 28 Dec 2013 03:47 PM PST

mukabuku pp rakyatnews

RAKYAT NEWS

KUALA LUMPUR - Persatuan Mukabuku Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis berhubung email yang didedahkan sebagai tanda memberi 'amaran awal' bahawa penggunaan bom akan digunakan pada himpunan 31 Disember ini di sekitar ibu negara.

Semalam, menerusi blog Theunspinners, telah mendedahkan email tersebut berhubung penggunaan bom yang mungkin akan digunakan dan mempunyai persamaan semasa Himpunan Bebas Anwar 901 pada 9 Januari 2012. [ARTIKEL DI SINI]

Pengerusi persatuan, Mohamed Shahrir dalam laporannya meminta pihak polis menasihati Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengubah lokasi atau membatalkan sebarang aktiviti yang akan dilakukan pada malam di ambang tahun baru itu.

"Tindakan itu perlu dilakukan kerana bimbang akan menimbulkan huru-hara serta boleh mendatangkan kecederaan kepada orang awam," katanya.

Pihak polis juga diminta menjalankan siasatan secara terperinci terhadap individu yang terlibat.

Ancaman bom: PDRM perlu ambil tindakan

Posted: 28 Dec 2013 03:44 PM PST


Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat satu entri blog pro-Umno hari ini mendedahkan satu e-mel yang mengaitkan beliau dan seorang individu didakwa mendalangi komplot ancaman bom menjelang perhimpunan rakyat pada 31 Disember ini.

Beliau berkata, pihak polis wajar mengambil tindakan tegas terhadap blogger terbabit yang mereka-reka e-mel tersebut sambil menyifatkannya sebagai 'fitnah luar biasa' kerana ia membabitkan ancaman bom serta boleh menggugat ketenteraman awam.

"Ia lebih berbahaya apabila polis tidak mengambil tindakan terhadap fitnah-fitnah seperti ini yang boleh menghuru-harakan ketenteraman awam.

"Apabila ada fitnah yang menyalahgunakan internet sewenang-wenangnya seperti menakut-nakutkan rakyat dengan bom dan sebagainya, polis sepatutnya mengambil tindakan dan tangkap blogger-blogger Umno terbabit," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut pendedahan sebuah blog pro-Umno yang memuat naik "print screen" e-mel yang dikatakan menggunakan alamat akaun milik Rafizi dan rakannya yang dipintas blogger terbabit pada jam 3.03 pagi, hari ini berhubung rancangan mereka untuk memasang bahan letupan di lima lokasi berasing di ibu negara.

Kandungan e-mel tersebut memberi peringatan supaya peserta dan pimpinan pembangkang yang turun menyertai himpunan 31 Disember itu supaya mengelakkan daripada berada di lima lokasi berkenaan, antaranya persimpangan lampu isyarat berdekatan pusat membeli-belah Sogo, Puduraya, bulatan Kereta api Tanah Melayu (KTM)-berdekatan Masjid Negara, LRT Masjid Jamek dan komuter Bank Negara.

Selain itu, Rafizi juga menyifatkan pendedahan e-mel berniat jahat itu sebagai cubaan mengalihkan isu sebenar daripada bantahan orang ramai terhadap kenaikan barangan dan perkhidmatan secara serentak yang membebankan rakyat selepas Barisan Nasional memenangi PRU13 lalu.

"Ia hanya untuk mengalihkan perhatian daripada isu sebenar yang kita bangkitkan hari ini khususnya soal kenaikan harga barang.

"Jika ada sisatan polis, dakwaan itu mungkin boleh alihkan perhatian umum tindakan kerajaan yang mengumumkan beberapa kenaikan barang dan perkhidmatan yang membebankan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana," dakwanya.

Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan susulan, beliau berkata tiada keperluan untuk melaporkan kepada pihak polis kerana dakwanya secara terang-terangan blogger terbabit mengakui jika dakwaan itu palsu pun pihak berkuasa perlu melakukan siasatan.

Muhammad Ali: Saya terpaksa buat kenyataan media

Posted: 28 Dec 2013 03:37 PM PST


SHAH ALAM - Gara-gara artikel 'Menuntut Hak, Menebus Masa Silam' yang ditulisnya, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corp (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim disifatkan menderhaka kepada Raja.

Menurut Setiausaha Jemaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, artikel berkenaan menyebut nama Tanjung Puteri yang merupakan nama asal Johor dan dikhuatiri artikel itu disalah tafsir oleh sesetengah pihak yang mengaitkannya dengan Sultan Johor.

Semalam, Muhammad Ali telah memulangkan semula ketiga-tiga darjah kebesaran yang pernah diterima iaitu Darjah Dato' Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ), Darjah Dato' Paduka Mahkota Johor (DPMJ) dan Setia Mahkota Johor (SMJ).

Malah menurut beliau, ekoran tidak dapat menerima dakwaan tersebut, Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia itu akui terpaksa membuat kenyataan melalui media bagi menjelaskan perkara tersebut.

"Kenyataan itu dibuat secara spontan dalam satu sidang media yang diadakan oleh beliau (Abdul Rahim). Jadi, ia satu kenyataan umum tanpa terlebih dahulu mendapat penjelasan daripada saya.

"Jadi, saya anggap itu satu tuduhan dan hukuman dilakukan oleh beliau, sama ada dengan persetujuan jemaahnya sekali (atau tidak)...saya tak tahu," katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu tidak menerima apa-apa maklum balas dari pihak tersebut selepas mengirim surat rasmi bertarikh 18 Disember lalu.

"Saya terpaksa membuat kenyataan media ini. Tetapi oleh sebab Setiausaha Jemaah Majlis Diraja Johor telah memulakan isu ini dengan membuat kenyataan di media secara terbuka, itu tuduhan dan hukuman yang tak dapat saya terima. Lebih-lebih kerana saya tidak pernah diminta memberi penjelasan sebelum itu.

"Saya telah menulis surat kepada mereka bertarikh 18 Disember dan saya maklumkan bahawa dalam tempoh tujuh hari, saya akan serah (darjah kebesaran). Dalam tempoh itu, saya tidak menerima apa-apa maklum balas daripada pihak istana Johor, maka saya ambil keputusan untuk membuat kenyataan media," katanya.

Beliau menekankan bahawa khidmat bakti selama 30 tahun di JCorp antara bukti nyata taat setia dan sanjungan tinggi kepada kerajaan negeri Johor dan institusi raja.

"Saya telah mencurahkan segala-galanya untuk membina JCorp sekali gus membangun ekonomi negeri Johor selain meningkatkan ekonomi bangsa Melayu.

"Saya tidak rela khidmat sepanjang kerjaya yang diamanahkan, diperlekeh kerana sesungguh ia bukti nyata taat setia dan sanjungan tinggi yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan negeri dan institusi raja," katanya.

Banjir punca gangguan elektrik di Sepangar

Posted: 28 Dec 2013 03:36 PM PST

KOTA KINABALU - Hampir 2,500 pengguna terputus bekalan elektrik selama beberapa jam ekoran Pencawang Masuk Utama (PMU) Sepangar milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dilanda banjir pada 9.39 malam, Khamis lepas.


PMU Sepangar merupakan pencawang utama yang menyalurkan bekalan elektrik kepada kawasan sekitar Sepangar, Karambunai, Melawa dan Indah Permai.

Pengarah Urusan SESB Abd Razak Sallim berkata penyaluran bekalan elektrik ke pencawang itu terpaksa dihentikan buat sementara waktu atas faktor keselamatan.

"Bekalan elektrik telah dapat disalurkan secara berperingkat di sebahagian kawasan bermula pada jam 12.05 malam keesokan harinya (27 Disember).

Bagi mengurangkan impak gangguan bekalan elektrik di kawasan yang terlibat, pihak SESB turut menggunakan beberapa genset bergerak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abd Razak berkata pada masa ini, kerja pembersihan di PMU berkenaan masih giat dijalankan.

Beliau juga berkata pihaknya turut berterima kasih kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu yang membantu kerja-kerja menyalurkan air keluar dari kawasan pencawang itu.

"Pihak SESB memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi pengguna disebabkan kejadian di luar jangkaan ini," katanya.

Hujan lebat tanpa henti selama beberapa jam pada Khamis lepas turut mengakibatkan pam penyedut air sedia ada gagal beroperasi sehingga menyebabkan kawasan berdekatan mula dinaiki air dan mengalami banjir. - Bernama

Kerabu Bersuara ®

Posted: 29 Dec 2013 03:16 PM PST

December 29, 2013

Saya membaca penuh minat laporan-laporan mengenai kenaikan harga barang. Selaku rakyat biasa, pastinya pengumuman menggila daripada kerajaan ini sedikit sebanyak memberi kegusaran kepada saya.

Ramai berpendapat, sebagai salah seorang penduduk Sarawak, pastinya kurang terasa dengan pengumuman demi pengumuman yang dibuat dan bakal dibuat mengenai kenaikan harga barang. Di Sarawak, tiada pengumuman kenaikan tarif elektrik dan kenaikan tol.

Ya, secara umumnya, penduduk Sarawak tidak begitu terjejas dengan pengumuman-pengumuman ini. Ini kerana, sudah sekian lama penduduk Sarawak dibebankan dengan kos sara hidup jauh lebih tinggi berbanding Semenanjung Malaysia.

Tol-tol yang mahal di Sarawak
Cadangan kenaikan tol-tol dalam bandar sekitar Lembah Klang memang merungsingkan. Bayangkan kenaikan sekitar RM0.30 hingga RM1.00 bakal meningkatkan perbelanjaan harian pengguna tol sebanyak RM9- RM30 sebulan.

Namun, rakyat Sarawak tidaklah merasai kenaikan harga tol ini. Pertama, kerana ia kenaikan harga tol dalam bandar. Tol-tol sebegini tidak wujud di Sarawak. Kedua, kerana tol-tol Sarawak sudah jauh lebih mahal daripada itu. Seperti yang pernah diulas oleh Ketua Pemuda Sarawak, tol Jambatan Miri-Kuala Baram yang panjangnya hanya sekitar 1 kilometer, mengenakan tol RM10 bagi satu arah.

Begitu juga dengan Jambatan Lanang, Sibu, yang pernah dijanjikan 'kajian' untuk pemansuhan tol oleh Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor pada tahun 2011, masih mengenakan bayaran tol RM3. Panjang jambatan ini hanyalah 1.2 km. Harapnya 'kajian' Kementerian Kerjaraya ini bakal disiapkan dalam waktu terdekat kerana sudah ramai yang mengadu terbeban dengan bayaran tol ini. (Jambatan Pulau Pinang, yang sepanjang 7.5 km, mengenakan bayaran tol RM9.40 bagi kenderaan kelas dua).

Tarif elektrik yang mahal
Pengumuman kenaikan tarif elektrik oleh TNB berkuat kuasa 1 Januari 2014 baru-baru ini adalah secara purata akan memberikan kenaikan 10.6% kenaikan atau 3.03 sen/kWh. Namun kenaikan ini dikatakan tidak menjejaskan lebih 70% pengguna elektrik yang menggunakan elektrik dengan kadar minimum (kurang 300kWh).

Namun, sudah sekian lama, tarif elektrik yang dikenakan oleh kepada penduduk Sarawak ialah 34.00 sen/kWh bagi 100kWh pertama dan 29.00 sen/kWh bagi 100-200kWh kedua berbanding tarif elektrik Semenanjung Malaysia ialah 21.80 sen/kWh bagi 200kWh pertama.

Mengambil peratus mudah perbandingan dengan penduduk Semenanjung, sebanyak lebih 70% penduduk kelas bawahan dan sederhana terbeban dengan kadar tinggi ini.

Namun, yang lebih menarik adalah peratusan perbandingan dengan penduduk Semenanjung sebenarnya tidak tepat, kerana masih ramai penduduk Sarawak yang tidak mendapat bekalan elektrik yang sempurna. Sebagai contoh, Kampung Pasir, Lutong yang terletak tidak jauh dari pusat minyak dan gas Miri, masih menggunakan jenerator elektrik sehingga ke hari ini.

Taraf kampung setinggan lebih menyukarkan mereka untuk mendapat kemudahan asas yang sempurna, ditambah pula kebimbangan dengan matlamat kerajaan negeri ke arah 'Setinggan Sifar' menjelang 2015 tanpa ada usaha ikhlas menempatkan mereka ke penempatan yang lebih sempurna.

Dasar Kabotaj: Kenaikan berganda harga minyak
Pastinya kenaikan harga minyaklah yang paling membebankan rakyat Sarawak. Namun, kenaikan ini merupakan kenaikan berganda bagi kami penduduk Sarawak. Dasar Kabotaj, yang digunakan kerajaan sejak tahun 1990 melalui pindaan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, sudah lama menyebabkan harga barangan ke Sabah dan Sarawak jauh lebih mahal berbanding Semenanjung Malaysia. Kenaikan harga minyak ini pastinya meningkatkan kos logistik barangan pengguna. Bagi penduduk Sarawak, kenaikan ini seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Secara umumnya, dasar ini membantu melindungi industri perkapalan domestik, tetapi natijahnya, kos barangan yang lebih mahal di Sabah dan Sarawak.

Tiada aduan, atau menteri yang tidak mendengar?
Beberapa hari yang lepas, seorang menteri dengan selamba menyatakan tiada aduan dan rungutan mengenai kenaikan harga barangan menunjukkan rakyat menyokong kenaikan ini. Tidak lama selepas itu, menteri yang sama menyatakan rakyat jangan merungut mengenai kenaikan harga barangan.

Soalan saya kepada menteri ini, adakah tiada aduan, atau rakyat dibisukan atau menteri sendiri tidak mahu mendengar? Tidak lama selepas menteri ini membuat kenyataan-kenyataan ini, saya melawat
sebuah kampung di pinggir Bandar Miri. Mereka bukan sahaja mengadu, malah marah dengan kenaikan harga barang ini. Kata mereka, hanya gaji mereka yang tidak naik-naik!

Daftar masuk sahaja laman sosial Facebook atau Twitter atau apa-apa sahaja laman sosial, pastinya banyak luahan perasaan rakyat mengenai kenaikan harga barangan ini. Pelik, jika tulisan 'main-main' yang mungkin rekaan mengenai 'Himpunan Jatuhkan Kerajaan' dipandang serius dan dibuat aduan polis seluruh Malaysia oleh pengampu-pengampu kerajaan, masakan tidak pula mereka dan menteri terpandang aduan dan luahan mengenai kenaikan harga barang?

Di mana menteri ini ketika rakyat sedang merintih mengadu? Adakah menteri ini tidak mendengar? – 29 Disember, 2013.

Nota kaki: Adakah saya juga diarah keluar Malaysia oleh Ketua Wanita Umno Kuantan selepas ini? Mohon jangan diarah, saya masih sayangkan Malaysia. Cuacanya kurang enak akhir-akhir ini, tapi makanannya kelas pertama dunia! -

* Penulis adalah Ketua Penerangan Pemuda PAS Sarawak.

Pengikut