
Akta baru hanya gimik jahat Umno-BN
oleh : Mohd Rashidi Hassan
24 NOV — Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 dibentangkan di Parlimen 22 November 2011 dengan memansuhkan Seksyen 27 Akta Polis, kemudian mewujudkan satu akta baru yang lebih melampau, kerana ia jelas bertentangan dengan lunas-lunas demokrasi.
Akta baru, antara lain tidak membenarkan protes jalanan manakala penganjuran perhimpunan awam memerlukan notis 30 hari kecuali peserta berada di kawasan yang ditetapkan oleh Menteri Dalam Negeri.
Menurut akta ini, tidak boleh ada perhimpunan di kawasan 50 meter di lokasi-lokasi larangan seperti sekolah, hospital dan tempat beribadat. Semuanya dibentuk dengan memberi kuasa yang besar kepada polis.
Rang undang-undang itu dijangka dibahaskan minggu depan.
Pakatan Rakyat harus bangkit menentang rang undang-undang ini, yang jelas bertentangan dengan janji perdana menteri untuk memberi lebih kebebasan dalam membuat perhimpunan.
Ia memberi kuasa yang besar kepada polis untuk menahan individu yang menyertai perhimpunan, dengan kuasa itu hanya polis sahaja menentukan sama ada sesuatu perhimpunan itu aman atau tidak.
Pada Seksyen 8 akta tersebut, menyatakan bahawa seseorang pegawai polis boleh mengambil langkah yang difikirkannya perlu untuk memastikan perhimpunan berkenaan dikendalikan dengan teratur.
Malah peruntukan yang lebih menekan dan menyekat rakyat mahu dikuatkuasa Umno-Barisan Nasional, dengan melipatgandakan jumlah denda yang boleh dikenakan kepada peserta dan penganjur terlibat.
Seksyen 9(5) dalam rang undang-undang berkenaan memberi kuasa kepada polis untuk mengenakan denda ke atas penganjur sebanyak RM10,000 sekiranya tidak mengemukakan notis untuk mengadakan perhimpunan kepada polis.
Seksyen 21(3) dalam dokumen sama turut memberi kuasa kepada polis untuk mengenakan denda sehingga RM20,000 berbanding denda sebanyak RM2,000 kepada individu yang ditahan dalam perhimpunan.
Malah, rang undang-undang yang dibacakan kali pertama di Dewan Rakyat itu turut meluaskan lagi kawasan larangan untuk mengadakan perhimpunan.
Tempat larangan yang dinyatakan dalam rang undang-undang berkenaan mengambil takrif kawasan yang diisytiharkan di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.
Ia membawa maksud jelas bahawa di semua tempat tidak dibenarkan rakyat berhimpun, selama mana kawasan tersebut boleh ditafsirkan dalam kuasa polis sebagai tempat larangan.
Menurut rang undang-undang itu juga, polis mempunyai kuasa untuk menyuraikan perhimpunan sekiranya diadakan di kawasan berkenaan atau dalam lingkungan 50 meter daripada kawasan larangan tersebut.
Inti pati sebenar yang dijelmakan daripada akta ini adalah ketakutan Umno-BN terhadap kebangkitan kuasa rakyat, yang sejak mutakhir ini jelas menolaj mereka.
Oleh itu, Umno-BN terpaksa merangka undang-undang untuk menghalang demonstrasi, sekali gus menghalang rakyat berhimpun secara aman.
Umno-BN cuba membuat gimik dengan membuang Seksyen 27 Akta Polis yang mewajibkan permit dipohon untuk sesuatu pihak untuk membuat perhimpunan, digantikan dengan sebuah akta baru yang lebih ketat dan zalim.
Tidak lain dan tidak bukan, ianya dirangka hanya salah satu usaha untuk memanjangkan jangka hayat Umno-BN yang sudah sampai ke penghujung.
Kita percaya akta ini tidak akan mampu mengekang kuasa rakyat, malah ia lebih membulatkan tekad rakyat untuk terus bersama Pakatan Rakyat menggantikan BN selaku peneraju Putrajaya pada Pilihan Raya Umum akan datang. — harakahdaily
Suhakam: Hentikan Bil Perhimpunan Aman
2:33PM Nov 24, 2011
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mahu kerajaan menghentikan enakmen Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011, yang dijadual untuk bacaan kedua di Parlimen hari ini.
"Suruhanjaya ini, menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan cadangan yang dibuat oleh pelbagai pihak dan membuka ruang untuk perbincangan dan wacana awam mengenai kebebasan berhimpun sebelum menjadikan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 itu sebagai suatu akta.
"Ia mesti memastikan bahawa peruntukan-peruntukannya selaras dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia," kata pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut beliau, walaupun Suhakam, badan berkanun yang ditubuhkan untuk menasihati kerajaan berhubung isu-isu hak asasi manusia,- mengalu-alukan rang undang-undang itu, namun beberapa cadangannya berhubung akta yang digubal itu tidak dimasukkan.
Cadangan itu, kata Hasmy, diberikan semasa satu perjumpaan dengan Peguam Negara pada bulan lalu.
Tegasnya, Suhakam menekankan bahawa hak rakyat untuk meluahkan suara mereka melalui perhimpunan aman awam mesti dilindungi.
"Sebahagian daripada peruntukan di bawah rang undang-undang itu mengenakan sekatan yang terlalu banyak dan memberi terlalu banyak kuasa budi bicara kepada pihak polis. Semua ini, sekali gus menjejaskan hak orang ramai untuk menganjurkan atau menyertai perhimpunan aman," katanya.
Bil Perhimpunan Aman bakal dicabar di mahkamah
| Hafiz Yatim 11:18AM Nov 24, 2011 |
|
Meskipun Rang Undang-undang Perhimpunan Aman belum melalui bacaan kedua di Parlimen, namun beberpa pihak telah berikrar akan memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar kesahihannya jika ia diluluskan.
ADUN Kota Alam Shah, M Manoharan (kiri) yang juga seorang peguam, berkata akta yang akan mengharamkan protes jalanan itu satu langkah terbelakang dalam sistem demokrasi dan beliau sanggup menjadi rakyat pertama untuk mencabarnya jika ia diluluskan tanpa pindaan.
Seorang lagi peguam, Edmund Bon yang bergiat aktif dalam Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights, pula menulis di twitter mengenai siapa yang akan menjadi rakyat Malaysia yang akan mencabar rang undang-undang itu jika ia diluluskan tanpa pindaan.
Menurut Bon (bawah, kanan), seksyen 4 rang undang itu berhubung "Hak untuk menganjurkan suatu perhimpunan atau menyertai suatu perhimpunan secara aman" adalah bercanggah dengan perlembagaan.
"@edmundbon #PA2011 Basically the Act kills caused based dissent by way of assemblies & carves it out of Article 10 - section 4, this is unconstitutional."
Seksyen 4 menyatakan hak untuk menganjurkan suatu perhimpunan atau menyertai suatu perhimpunan secara aman dan tanpa senjata di bawah Akta ini tidak meluas kepada yang berikut:
(a) seseorang bukan warganegara;
(b) perhimpunan yang diadakan di mana-mana tempat larangan dan dalam jarak lima puluh meter dari had tempat larangan;
(c) suatu protes jalanan;
(d) berhubung dengan penganjuran suatu perhimpunan, seseorang yang di bawah umur dua puluh satu tahun; dan
(e) berhubung dengan penyertaan dalam suatu perhimpunan selain perhimpunan yang dinyatakan dalam Jadual Kedua,
seseorang kanak-kanak.
Full content generated by Get Full RSS.