Pakatan Rakyat |
Posted: 01 Jun 2014 03:47 PM PDT [Mstar] WANG tunai yang tersembunyi di dalam sampul surat coklat pernah diperkatakan tetapi telah berubah dengan adanya Twitter. Seorang ahli perniagaan misteri telah mencetuskan kegilaan dengan menyembunyikan wang kertas £50 di bandar-bandar di seluruh Britain dan mendedahkan lokasinya di laman rangkaian sosial. Dalam masa kurang dari seminggu, eksperimen sosial 'anonymous' itu telah mendapat lebih dari 40,000 pengikut yang kebanyakannya tidak sabar menunggu penghantaran seterusnya. Dermawan misteri itu memberitahu Daily Telegraph bakal membuat penghantaran khas ke London esok, tetapi dengan bungkusan yang mengandungi wang tunai sehingga £200, menjadikan pemburuan wang tunai misteri itu semakin digilai. "Saya telah pun mempunyai beberapa perniagaan di e-dagang yang berjalan begitu baik untuk diri saya," katanya. "Saya mencapai tahap di mana ada begitu banyak barangan yang boleh saya beli dengan wang...saya mendapat lebih berbanding saya sendiri membelanjakan £50 untuk diri sendiri," katanya. "Saya perlu pergi ke luar negara tetapi saya telah menggesa sekumpulan orang untuk memastikan ia terus dijalankan. Ia akan menjadi lebih kerap, tetapi saya tidak mempunyai apa-apa rancangan untuk menghentikannya. "Tidak ada had tentang berapa banyak yang saya akan berikan. Selagi ada minat, saya akan terus melakukannya." Beliau menambah, beliau yakin George Groves akan memenangi perlawanan tinju malam ini menentang Carl Froch, tetapi akan menyembunyikan wang £200 itu di ibu negara jika dia tewas. Dan dia memberitahu Mail Online bahawa beliau berharap projek itu akan berpanjangan. Kegilaan ini bermula di Amerika Syarikat dan mencetuskan adegan penuh kegilaan di Los Angeles pada malam Khamis apabila beratus-ratus orang menggeledah seluruh taman dan perhentian bas dan menyebabkan huru-hara lalu lintas. Ia kemudian telah merebak di seluruh dunia termasuklah di Nigeria, India, Hong Kong dan Belanda. Sampul surat pertama di Britain telah disembunyikan di luar muzium bandar di Leeds pada Rabu dan ditemui kurang dari satu jam kemudian oleh juruelektrik Harry monichan. Kemudian ia ditemui di Manchester pada hari Khamis, Sheffield pada Jumaat dan lokasi di tepi pantai di Brighton Sabtu. Tindakan itu yang mendapat perhatian media membolehkan krew berita tempatan berjaya merakamkan saat-saat sampul surat di Brighton itu ditemui di dalam sebuah bot lama. Guru Sains Sophie Morris, 26, berkata dia berasa bosan dan melihat Facebook di telefonnya apabila dia menyedari sampul surat berada di satu sudut. Bayangan lokasi wang misteri yang diberikan di akaun Twitter @hiddencash_UK Mereka yang menjumpai wang diminta menghantar tweet gambar ke Akaun @HiddenCash_UK dengan hashtag #payitforward. Ada yang sudah mendermakan wang tersembunyi mereka untuk badan amal. Pengasas kegilaan ini di AS, yang telah mengumpulkan 400,000 pengikut Twitter, terpaksa mengeluarkan suatu notis keselamatan dalam kebimbangan terhadap perebutan itu. "Sila berjalan dan memandu dengan selamat. Seorang wanita muda berlari di hadapan kereta saya beberapa hari lalu. Saya akan melakukan yang terbaik untuk memilih lokasi yang selamat, tetapi sila gunakan akal dan berhati-hati," penderma menulis. "Sila hormati diri mereka dan tempat-tempat tertentu yang menjadi lokasi perniagaan di sekitarnya. Berbuat baik dan bergembira antara satu sama lain, kerana itulah tujuan ia dilakukan.' Tetapi penderma yang tidak diketahui ini juga menulis bahawa dia 'tidak mempunyai rancangan untuk menghentikannya' dan mahu 'terus memperluaskannya dan menjadikannya lebih baik'. Penderma itu menambah: "Idea yang lebih besar hanya dengan memberi semula, dari segi kewangan dan rasa seronok untuk berkongsi dengan masyarakat yang telah menjadikan saya kaya-raya." -1/6/14 |
Posted: 01 Jun 2014 03:46 PM PDT Kejutan besar penemuan DNA babi dalam produk coklat Cadburry telah mencetuskan satu polemik berpanjangan dan mengejutkan, apabila pelbagai pandangan aneh ditimbulkan oleh anggota masyarakat. Beberapa pandangan ekstrem dan tidak bersumberkan pemikiran yang teliti terhadap hukum agama telah ditimbulkan, termasuk keperluan menyamak mulut dan menukar darah. Malah, dalam tindakan yang menampakkan lagi kebodohan dan sikap terburu-buru, ada yang mengajak tindakan ganas dilakukan, seperti membakar kilang Cabdury. Lebih malang lagi, pandangan seperti ini diberi layanan sangat berlebihan daripada yang sepatutnya, dengan memberikannya perhatian dan respons yang memberikan pandangan-pandangan tersebut kedudukan seolah-olah penting, walaupun sebenarnya pandangan marginal berpunca daripada kejahilan. Tindakan memberi layanan kepada pandangan pinggiran ini menyebabkan isu sebenar ditenggelamkan, dan sikap terburu-buru itu mengambil tempat di pentas utama. Tindakan itu, yang dilakukan oleh sesetengah media, menunjukkan sikap politik mereka yang tidak prihatin terhadap umat Muslim, dan kemungkinan juga sikap memusuhi Muslim yang bersuara terhadap isu status halal produk makanan tersebut. Satu lagi perkembangan yang mengusutkan ialah sebilangan umat Muslim di negara ini kelihatan gagal menanggapi dan menangani isu DNA babi ini dengan cara yang sepatutnya, yakni dengan memberi respons tegas, berdasarkan hak sebagai Muslim dan sebagai pengguna. Sebilangan Muslim telah cuba mengambil sikap yang menyusahkan isu yang mudah ini, dengan menimbulkan persoalan seperti kenapa rasuah yang juga haram tidak ditangani dengan tegas seperti isu DNA babi. Mereka ini, yang cuba untuk dilihat liberal, telah cuba memberi gambaran yang isu penemuan DNA babi itu bukan satu isu yang besar, dan ada isu yang lebih utama perlu ditangani oleh umat, iaitu rasuah dan urus tadbir yang baik. Kekeliruan besar dalam persoalan ini ialah kenapa persoalan haramnya rasuah itu ditimbulkan dan dibandingkan dengan DNA babi, dengan memberi implikasi yang mereka yang marah itu bersikap selektif dengan hanya marah dengan kehadiran DNA babi dalam makanan mereka, tetapi mengabaikan amalan rasuah yang juga haram. Sebenarnya, isu halal haram ini tertakluk di bawah undang-undang yang berkaitan dengan pelabelan produk makanan yang perlu dikuatkuasakan oleh pelaksana amanah, yang jelas sekali bermakna isu ini sebahagian daripada isu urus tadbir baik. Di Britain tahun lalu, satu isu yang paling menggemparkan pengguna di sana ialah penemuan daging kuda dalam produk daging lembu. Isu ini melibatkan pelabelan, pemalsuan oleh syarikat pengeluar dan kehendak pengguna. Pada masa itu, mereka yang mengatakan rasuah juga haram seperti babi tentu sahaja tidak mampu dan berani untuk mengatakan sesuatu yang seumpamanya kepada pengguna di Britain. Ada banyak sudut pandang yang membolehkan isu ini dipolitikkan dan diremehkan sebagai respons orang bodoh, tetapi kemarahan dan respons keras daripada Muslim yang terkesan tidak boleh dinafikan dan ditolak begitu sahaja. Dalam kalangan yang marah itu, tidak boleh dielakkan akan ada segolongan yang berlebih-lebihan, tetapi ini sama sekali tidak menafikan kewajaran dan keperluan pengguna yang terjejas mengambil tindakan. Isu sebenarnya hanyalah kemungkinan kecuaian atau kegagalan pembuat coklat tersebut mematuhi peraturan yang telah ditetapkan, dan sebagai pengguna, mereka yang terjejas berhak untuk bertindak menurut undang-undang atau memboikot produk tersebut, seperti yang dilakukan oleh mana-mana pengguna di seluruh dunia. Ramai yang telah mengambil sikap apologetik dan cuba mengalih tumpuan daripada isu sebenar dengan memperbesarkan isu pinggiran yang ditimbulkan oleh mereka yang hanya mewakili sebahagian kecil daripada mereka yang terbabit. Umat Muslim di negara ini perlu mengambil pendirian tegas dengan menuntut kepatuhan terhadap peraturan halal yang ditetapkan, dan bertindak dengan lebih tegas dan rasional menangani isu ini. - Mei 30, 2014 |
You are subscribed to email updates from Pakatan Rakyat To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |