Pengerusinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata keutamaan akan diberikan bagi kawasan Parlimen Bachok dan kerusi DUN Jelawat ekoran calon BN kalah dengan majoriti kecil manakala jumlah undi rosak pula terlalu tinggi.

"Bagi kawasan lain yang membabitkan kerusi DUN Gaal dan kerusi DUN dalam Parlimen Kuala Krai, kita akan buat (petisyen) selepas mendapat pandangan dari akar umbi secara terperinci," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Kampung Bendang di Pasir Puteh, semalam.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh yang juga ADUN Semerak Zawawi Othman dan ADUN Selising Zulkifli Ali serta lebih 300 penduduk kampung berkenaan.

Mustapa berkata demikian bagi mengulas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa petisyen boleh dikemukakan dalam tempoh 21 hari selepas keputusan pilihan raya umum ke-13 diwartakan pada 22 Mei lepas.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, calon Parlimen Bachok iaitu Datuk Dr Awang Adek Hussin hanya kalah 201 undi kepada calon PAS Ahmad Marzuk Shaary manakala jumlah undi rosak pula sebanyak 946 undi.

Bagi DUN Jelawat, calon BN Datuk Dr Ilias Hussin tewas 102 undi kepada calon PAS Abdul Aziz Kadir manakala jumlah undi rosak pula sebanyak 349 undi.

Mustapa berkata BN juga akan melancarkan Gelombang Merah Kedua sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 sebagai kesinambungan Gelombang Merah yang dilancarkan pada 2011.

Gelombang Merah berjaya meniup semangat rakyat Kelantan untuk bangkit berubah apabila berjaya menambah daripada dua kerusi Parlimen kepada lima manakala DUN pula daripada enam kepada 12 pada PRU13, 5 Mei lepas, katanya.- Bernama