Dewan Pemuda PAS Kawasan Ampang, Selangor |
Lembah Bujang : Tinggalan Sejarah... Posted: 06 Dec 2013 06:57 AM PST
Antara subjek paling susah yang saya pernah belajar ialah Ancient Indian Civilization yang diajar oleh Assc Prof Dr Arshad Islam. Subjek itu sangat susah bagi saya kerana ia merupakan maklumat yang hampir 100 peratus baru buat saya. Dalam masa yang sama Prof mengajar secara 'old school' yang mana sebelum kami dibawa ke peringkat analisis, kami perlu sangat banyak menghafal. Peraturan nahu kitab Veda pun dipaksanya kami hafal. Mengkaji Tamadun Indus awal, kami meneroka bersama data-data arkeologi dari Lembah Zhob di utara Baluchistan. Kami juga dikehendaki memahami tablet tembaga Mohenjo-daro hinggalah kepada menganalisis pengaruh Trio, Asvaghosa, Nagarjuna dan Aryadeva ke atas seni Gandharan. Kajian-kajian di dalam subjek ini memahamkan kepada saya bagaimana perkembangan yang berlaku kepada agama Hindu, reformasi Buddha dan tajuk 'assignment' akhir saya ialah "menganalisis kemasukan konotasi agama ke dalam sistem kasta pasca kedatangan kaum Aryan". Sejujurnya, banyak fakta yang saya sudah tidak ingat, namun subjek yang sangat perit ini banyak memberi pengetahuan kepada saya tentang perkembangan tamadun manusia di Benua India, yang merebak ke kawasan Teluk seperti Bahrain, hinggalah ke Lembah Bujang dan Borobudur. Saya berkongsi cerita ini kerana tertampar oleh keangkuhan ahli politik, dan orang ramai yang merumuskan kemusnahan Candi 11 di Lembah Bujang sebagai remeh dan ia sekadar tinggalan HINDU. AL-BIRUNI DAN TAMADUN INDIA Mungkin kita terlupa atau tidak pernah tahu tentang Abū al-Rayhān Muhammad ibn Ahmad al-Bīrūnī. Beliau yang dikenali sebagai Alberonius atau Al-Biruni meninggal dunia pada 13 Disember 1048 di Ghazni. Para pengkaji dalam bidang sejarah dan ketamadunan seperti Francis Robinson berpendapat bahawa al-Biruni yang merupakan seorang ulama Islam dan saintis terkenal, adalah pengasas kepada bidang INDOLOGY iaitu bidang yang mengkaji sejarah dan tamadun benua India. Al-Biruni menghasilkan kitab "Tarikh Al-Hind" (History of India) melalui sedekad keberadaan beliau di India di tengah-tengah masyarakat beragama Hindu. Al-Biruni juga memberikan kepada kepada satu sampel kaedah penyelidikan yang adil. Kerana itu beliau juga dianggap sebagai pelopor kepada bidang anthropologi. Al-Biruni tidak bias dalam menilai malah menganalisis dapatannya untuk menjelaskan mengapakah kaum Hindu sangat bermusuh dengan umat Islam. Al-Biruni juga akhirnya disenangi oleh pemuka-pemuka tempatan yang melihat beliau sebagai seorang 'orang luar' yang jujur dalam mencari ilmu pengetahuan. Sikap menjaga amanah ilmu beliau disebut: I shall not produce the arguments of our antagonists in order to refute such of them, as I believe to be in the wrong. My book is nothing but a simple historic record of facts. I shall place before the reader the theories of the Hindus exactly as they are, and I shall mention in connection with them similar theories of the Greeks in order to show the relationship existing between them.(1910, Vol. 1, p. 7;1958, p. 5) Al-Biruni juga menghasilkan sebuah kitab yang mengkaji pemikiran kaum Hindu. Kitab itu dikenali sebagai "Critical Study of what India Says, Whether Accepted by Reason or Refused", yang juga lebih dikenali sebagai Indica. KEPENTINGAN ILMU MERENTAS AGAMA DAN BANGSA Sangat tidak wajar untuk kita berkata, "ah, itu tinggalan Hindu", "itu benda syirik" apatah lagi kita sedang membangunkan sebuah negara yang penduduknya berbilang bangsa dan agama. Aqidah adalah urusan kita sesama umat Islam dan Aqidah Islam mempunyai pandangannya terhadap kepercayaan-kepercayaan yang lain. Agama yang lain juga mempunyai ulasan dan kritikan mereka terhadap kepercayaan kita sebagai umat Islam. Tetapi aspek ketamadunan, pengalaman manusia dalam membina kehidupan, ia merentas bangsa dan agama. Kita mengkaji segala-galanya. Dan pemusnahan Candi 11 itu mestilah menjadi tragedi terakhir di negara kita, manakala sumber-sumber sejarah yang lain di Lenggong, di Beruas dan lain-lain mestilah dipelihara untuk ilmu. Dan kerajaan yang bijak, akan memanfaatkan ia untuk tujuan pelancongan yang berfaedah. Kerajaan Turki memelihara bandar Birgi di Ödemiş Izmir, serta diwartakan seluruh wilayahnya sebagai World Heritage Centre oleh UNESCO pada tahun 2012, tanpa sedikit pun menjejaskan kepentingan pendudukan seperti yang dihujahkan secara dangkal oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Dawai, malah yang dirisaukan adalah kehilangan satu Dewan Undangan Negeri, jika kawasan Lembah Bujang digazetkan! Khuatir sekali, apa sahaja isu yang timbul di Malaysia, ahli politik akan menyempitkan isu tersebut kepada sentimen parti, bangsa, dan agama. Mangsa sebenarnya adalah ilmu, akademik dan pembodohan jangka panjang masyarakat. Ya, ia memang sebuah ujian. Ujian yang menguji sistem nilai kerajaan dan keupayaan mereka mengekalkan khazanah dunia bersama pemeliharaan kepentingan penduduk tempatan. Jika tidak tahu, pergi ke luar negara dan belajar daripada yang tahu. Ironi sekali pada tahun 2013, kerajaan memutuskan untuk menjadi subjek Sejarah sebagai subjek wajib lulus, pada tahun yang sama Lembah Bujang dimusnahkan untuk projek perumahan. http://saifulislam.com/ |
You are subscribed to email updates from Dewan Pemuda PAS Kawasan Ampang, Selangor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |