Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil |
Akibat Pembaziran di Melaka - Muzium ditutup Posted: 22 May 2015 10:02 AM PDT AYER KEROH - Penutupan operasi Muzium Pengangkutan Melaka di Auto City MITC, di sini jelas membuktikan dakwaan pembangkang terhadap projek berkenaan sebagai usaha sia-sia kerajaan menjadi kenyataan. Sejak muzium berkenaan beroperasi pada April 2010, dikatakan tidak banyak pulangan dapat dihasilkan, sebaliknya ia terus mencatatkan kerugian. Sehinggalah penutupannya pada awal tahun ini, muzium tersebut gagal menarik pelancong untuk melawatnya bahkan kedudukannya yang tidak strategik menjadi salah satu faktor muzium itu kurang dikunjungi orang ramai. Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong berkata, kos penubuhan muzium itu menelan belanja sebanyak RM198,900 manakala kos operasinya melibatkan ribuan ringgit sebulan. "Dalam masa 75 hari sejak ia dibuka sehingga akhir Jun 2010, hanya 28 orang sahaja yang datang mengunjungi muzium ini bahkan kutipan tiket ketika itu hanya RM265 sahaja. Harga tiket dikenakan adalah RM10 bagi dewasa manakala RM5 bagi kanak-kanak," katanya. Menurut Poay Tiong, pihaknya telah membuat bantahan kepada kerajaan negeri sebelum projek berkenaan dilaksanakan. "Kita juga sudah memberikan pandangan di mana projek ini akhirnya akan menjadi satu projek gajah putih sebabnya ia terletak di luar kawasan pelancongan," katanya ketika meninjau bekas bangunan muzium itu, di sini, semalam. Oleh itu, beliau berharap supaya kegagalan Muzium Pengangkutan Melaka boleh dijadikan pengajaran pada masa depan berikutan tindakan kurang bijak pemimpin kerajaan ketika itu. "Pada masa itu kerajaan kononnya hendak banyakkan muzium. Akhirnya ia menjadi tidak realistik sekali gus membazirkan wang rakyat. "Kita merasa kesal dengan keputusan yang dibuat sebelum ini akhirnya merugikan rakyat. Bila cadangkan sesuatu dasar, ia biarlah realistik," katanya. Selain itu, Poay Tiong turut menyifatkan kewujudan Auto City juga merupakan kesilapan merugikan. "Kerajaan negeri merancang pada asalnya mahu semua syarikat penjualan kereta dihimpunkan di sini. Bagi saya semua syarikat yang menjual kereta, mereka lebih arif tentang perniagaan mereka. Mereka tahu di mana hendak bina show room, kerajaan tidak perlu masuk campur. "Pengusaha jualan kereta lebih tahu di mana pasaran mereka. Bila kita paksa inilah yang berlaku," katanya. Sementara itu, tinjauan Sinar Harian ke lokasi berkenaan semalam, mendapati hampir kesemua ruang muzium telah dikosongkan dan yang tinggal hanyalah sebuah jet pejuang serta sebuah kereta BMW model lama. Bangunan muzium telah dijual Dalam pada itu, Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Khamis Abas menjelaskan kewujudan Muzium Pengangkutan adalah sebuah muzium yang dikhaskan untuk penggemar automobil bagi melihat pelbagai jenis kenderaan lama dan baharu, selain mempamerkan pelbagai maklumat perkembangan sejarah pengangkutan negara ini sejak beratus tahun lalu. Menurutnya, ia sebagai memenuhi hasrat kerajaan negeri yang mahukan sebuah muzium diwujudkan di kawasan berkenaan kerana bersesuaian dengan fungsi lokasi terbabit sebagai sebuah Auto City dan sebagai tanda sokongan terhadap industri pembuatan kenderaan komersial. Bagaimanapun, Khamis menjelaskan, bangunan yang menempatkan muzium tersebut kini bukan lagi menjadi milik agensi kerajaan negeri berikutan telah dijual kepada syarikat persendirian. "Sebelum ini, bangunan menempatkan Muzium Pengangkutan ini adalah milik Perbadanan Ketua Menteri namun pada awal tahun ini ia telah dijual dan kami telah diminta mengosongkan muzium ini sejak tiga bulan lalu oleh pemiliknya kini. "Setakat ini, semua barangan asal yang dipamerkan sebelum ini sudah dipindahkan ke beberapa muzium di bawah Perzim misalnya muzium Ketua Menteri dan beberapa muzium lain. Cuma tinggal sebuah jet pejuang dan Perzim bercadang akan menempatkannya di sebelah Muzium Kapal Selam," katanya di sini, semalam. Tambah Khamis lagi, secara rasminya muzium berkenaan masih belum ditutup kerana masih memberi ruang kepada kerja-kerja pemindahan barang pameran dijalankan. "Misalnya, jet pejuang, Perzim masih menunggu kerja-kerja membuat tapak disiapkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum ia dapat dipindahkan. "Perzim akan menyerahkan keseluruhannya ruang ini kepada pemiliknya selewat-lewatnya Jun depan," katanya. Lokasi jauh dari pusat bandar Sementara itu, beberapa orang awam yang ditemui berpendapat kedudukan Muzium Pengangkutan Melaka yang tidak sesuai menyebabkan ia kurang mendapat sambutan ramai. Tan Hup Eek, 44, berkata, lokasi muzium yang terletak agak jauh dari pusat bandar menyukarkannya untuk berkunjung ke muzium berkenaan walaupun dia sendiri meminati bidang automotif. "Sukar untuk menjejakkan kaki ke sana disebabkan lokasinya yang terpisah jauh dari pusat bandar. Lagipun, tidak ramai yang mengetahui lokasi serta jalan masuk ke Muzium Pengangkutan Melaka," katanya. Sementara itu, Safuan Zahari, 32, berkata, dia kurang mengetahui kewujudan muzium tersebut walaupun hakikatnya dia merupakan orang tempatan. "Mungkin kalau muzium ini terletak di Banda Hilir atau Taman Melaka Raya, saya akan melawat juga. Tetapi disebabkan ia jauh dari tumpuan orang ramai, maka saya pun tidak ambil kisah," katanya. |
You are subscribed to email updates from Dewan Pemuda PAS Bukit Katil To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |