Selasa, 25 Oktober 2011

Dewan Pemuda Pas Sepanggar

Dewan Pemuda Pas Sepanggar


Pemuda PAS Sabah Bongkar Penindasan Kerajaan Terhadap Apprentices TLDM

Posted: 25 Oct 2011 09:03 AM PDT

KOTA KINABALU, 25 Okt: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) hari ini mendedahkan penyelewengan dan penindasan kerajaan Malaysia ke atas anggota apprentices Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM).

Menurut Ketua Penerangannya, Saudara Mohd Zulfikar Abd. Mijan, terdapat hampir 1000 anggota apprentices TLDM  dibawah Skim Apprentices Diploma Teknologi Marin (DTM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai berasa teraniaya kerana tidak diberikan hak dan kebajikan kepada mereka dengan apa yang dijanjikan sebelum ini.

 


"Ramai anggota tidak diberikan pangkat Petter Officer (PO) dan gaji yang setimpal kepada mereka", jelasnya kepada sidang media di Pejabat PAS Sabah, Kota Kinabalu pagi tadi.

Tambahnya, terdapat beberapa perkara mengundang rasa tidak puas hati mereka terhadap pengurusan TLDM dalam melaksanakan tanggungjawab kebajikan kepada anggota.

Beliau mendakwa, selain kesemua anggota berkenaan tidak mematuhi kontrak sebenar dalam perkhidmatan, mereka juga tidak diberikan peluang untuk mendapatkan  penjelasan kukuh berkaitan arahan pemberhentian yang lebih awal dari waktunya.

"Alasan yang digunakan oleh pihak TLDM untuk menyekat kenaikan pangkat dan menawarkan berhenti sukarela adalah tidak munasabah dengan menggunakan alasan kegagalan penyiapan kapal ronda generasi baru dan lebihan anggota dalam perjawatan.

"Pampasan berhenti awal juga tidak komprehensif kerana itu  kesalahan TLDM yang tidak mematuhi kontrak menyebabkan caruman LTAT diterima adalah sikit berbanding anggota lain," ujarnya.

Beliau menjelaskan, kegagalan pihak TLDM menyiapkan 23 daripada 27 buah baki kapal perang menyebabkan graduan lepasan DTM terpaksa diserapkan ke unit-unit kecil bahagian TLDM dengan tidak mempraktikal secara teknikal berhubung pengajian mereka di UTM.

Penindasan skim berkenaan semakin ketara apabila kesemua mereka tidak diberikan latihan peralihan untuk mempersiapkan diri sebagai orang awam dalam masyarakat.

"Mereka tidak ditawarkan peralihan sekurang-kurangnya 2 atau 3 bulan untuk mempersiapkan diri menjadi orang awam sebagaimana anggota lain," katanya.

Selain dari itu, kesemua anggota DTM terbabit juga seolah-olah dipaksa dan diugut untuk menandatangani borang perjanjian umpama akujanji untuk tidak mengambil apa-apa tindakan undang-undang terhadap pengurusan TLDM.

"Ini terang-terangan, pihak TLDM adalah dayus dengan memaksa mereka ini tandatangan borang perjanjian. Mereka dipaksa menandatangani bagi menutup salah laku pengurusan TLDM," tegasnya.

Dakwa Zulfikar, walaupun perkara ini berlaku semasa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak memegang tampuk Menteri Pertahanan, namun penyelewengan dan penindasan ini katanya, wajar dijawab oleh Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Pertahanan ketika ini.

Zulfikar menambah, pihaknya akan meneruskan saman keatas pihak TLDM dan Kerajaan Malaysia atas dakwaan penyelewengan dan penindasan tersebut. Walaupun pihaknya sudah mengemukakan saman pemula pada Februari lalu, namun ditolak oleh peguam atas alasan yang tidak munasabah.

Dokumen penyelewengan tersebut juga diserahkan kepada Ahli Parlimen Jerai, Saudara Mohd Firdaus Jaafar untuk didedahkan di Parlimen.

Sidang media tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen Jerai yang juga Pengarah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Saudara Mohd Firdaus Jaafar; Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Saudara Lahirul Latigu dan pimpinan pemuda PAS Negeri Sabah.
 

Jual Pulau: Kenyataan Media Pemuda PAS Sabah

Posted: 25 Oct 2011 02:45 AM PDT

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SABAH

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) terkejut dengan pendedahan yang dibuat oleh sebuah laman web (http://www.privateislandsonline.com) yang berpusat di Toronto, Kanada berkaitan dengan aktiviti penjualan tiga buah pulau milik negeri Sabah.

Ketiga-tiga pulau yang dimaksudkan ialah Pulau Pandanan, Pulau Mengalum dan Pulau Montokud. Mengikut maklumat yang dinyatakan laman web berkenaan, Pulau Pandanan yang terletak kira-kira 30 kilometer timur di timur laut Semporna dijual dengan harga $ 2,000 000. Pulau Mengalum pula yang terletak di Laut China Selatan kira-kira 56 kilometer barat laut Kota Kinabalu dijual dengan harga $ 18,000 000 manakala Pulau Montukod yang terletak berdekatan Kota Kinabalu dijual dengan harga $ 35,000 000.

Adalah memalukan jika pulau yang memiliki ratusan hektar, yang mempunyai kepentingan maritim dan kedaulatan negara di biarkan sahaja terlepas kepada pihak asing tanpa ada tindakan prerogatif dan bersungguh-sungguh untuk mempertahankannya.

DPPNS dengan ini membantah sekeras-kerasnya penjualan ketiga-tiga pulau ini khususnya kepada warga asing. Ini kerana setiap pulau-pulau ini merupakan khazanah negara yang harus dilindungi dan dipertahankan oleh semua pihak. DPPNS akan memastikan setiap kepulauan di sekitar negeri Sabah dipertahankan daripada digadaikan untuk kepentingan pihak tertentu .

Oleh itu DPPNS mengulangi pendirian agar kerajaan menghalang penjualan pulau-pulau tersebut memandangkan ia akan mendatangkan banyak kerugian terutama kepada khazanah berharga yang menjadi hak kepada seluruh rakyat Sabah.

Maka dengan itu,pihak DPPNS menyeru agar masyarakat turut sama beramai-ramai membantah aktiviti penjualan khazanah negara ini dengan menandatangani petisyen secara online di (http://www.thepetitionsite.com/1/save-sabahs-islands/). Selain itu juga, kempen mengumpul tanda tangan juga giat diadakan di pusat-pusat membeli belah seluruh Sabah yang kini telah digerakkan oleh seluruh ahli Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah.

LAHIRUL LATIGU
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Sabah.
(019-3692597)

Jual Pulau: Pemuda PAS Sabah Cabar Musa Aman

Posted: 25 Oct 2011 02:45 AM PDT

KOTA KINABALU, 26 Okt: "Jika benar Musa Aman orang Sabah, maka beliau dicabar memberi penjelasan terbaik buat warga Sabah". Itulah cabaran Pemuda PAS Sabah kepada Kerajaan Negeri khususnya Datuk Seri Musa Aman dalam menangani isu berhubung penjualan tiga buah pulau Sabah yang diiklankan untuk dijual oleh sebuah laman web asing yang berpusat di Kanada.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Saudara Lahirul Latigu (gambar) berkata PAS mengambil pendirian serius berhubung isu berkenaan memandangkan ianya berkait mengenai kedaulatan dan keselamatan negara khususnya negeri Sabah pada masa kini dan akan datang.

"Kenapa pulau ini menjadi bahan dagangan, sedangkan ianya khazanah berharga kepada sesebuah negeri?", soalnya kepada sidang media di Pejabat PAS Sabah, Kota Kinabalu, pagi tadi.

Kata Lahirul, PAS memberi tempoh tujuh hari untuk memberi peluang kepada Ketua Menteri, Musa Aman bagi menjawab semua persoalan dan isu berhubung penjualan pulau tersebut

"PAS juga akan membawa isu ini kepada kementerian yang bertanggungjawab serta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dibahaskan di Parlimen," ujarnya.

Tambahnya, kempen "Selamatkan Pulau-Pulau Sabah" yang dilancarkan pada 16 Oktober lalu akan diteruskan ke seluruh Malaysia dengan kerjasama bersama Pemuda PAS Malaysia.

"DPPNS menyeru agar masyarakat turut sama beramai-ramai membantah aktiviti penjualan khazanah negara ini dengan menandatangani petisyen secara online di laman http://www.thepetitionsite.com/1/save-sabahs-islands," jelasnya.

Kempen mengumpul tandatangan sedang giat diadakan di pusat-pusat membeli belah seluruh Sabah yang kini telah digerakkan oleh seluruh ahli Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah.

Beliau juga mendakwa, isu tanah di Sabah terutama di kawasan pedalaman yang gagal ditangani oleh kerajaan Sabah sebagai punca ketirisan kepimpinan kerajaan pimpinan Musa Aman dalam mentadbir Sabah dengan baik.

Sebaliknya, beliau menganggap sekiranya kerajaan Sabah telus dan ikhlas memperjuangkan hak rakyat maka golongan muda juga seharusnya diberikan hak pemilikan tanah.

Dalam sidang media itu juga, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Saudara Mohd Zulfikar Abd. Mijan pula menempelak Musa Aman yang jangan hanya pandai memerintah tetapi memekakkan telinga apabila berhadapan isu kedaulatan.

"Jangan tahu perintah saja, tapi orang jual pulau dia buat-buat tidak tahu," sinisnya.

Sidang media tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen Jerai iaitu YB Ustaz Mohd Firdaus Jaafar selaku Pengarah Lajnah Pengguna & Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Pusat dan kepimpinan Pemuda PAS Sabah.

Tiada ulasan:

Pengikut