Selasa, 25 Oktober 2011

Angkatan Muda Keadilan Gelang Patah, Johor Darulta'zim

Angkatan Muda Keadilan Gelang Patah, Johor Darulta'zim


PELANCARAN KEMPEN KEAHLIAN MELALUI SMS

Posted: 25 Oct 2011 08:25 AM PDT

AMK Johor akan melancarkan Kempen Keahlian Baru Melalui SMS, pada 29hb Oktober 2011 (Sabtu) di Pejabat Keadilan Cabang Gelang Patah. Kempen tersebut yang akan dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Ketua AMK Malaysia, Sdr. Khairul Anwar Ahmad Zainuddin @ Jonah pada hari tersebut.

Menurut Ketua AMK Johor, Sdr. Mohamad Nazri bin Ismail, AMK Johor tidak menawarkan sebarang habuan atau hadiah sebagaimana yang dilakukan oleh Pemuda Umno/BN kerana mahukan mereka yang menyertai Keadilan adalah golongan yang benar2 sedar dan faham erti perjuangan rakyat. Biar kesedaran itu lahir dari dalam hati mereka. Bukan dipaksa atau terpaksa menyertai Keadilan.
Pendaftaran melalui sms ini adalah terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin menyertai Keadilan walaupun pada awal ianya dibuka hanya kepada anak2 muda yang ingin menyertai AMK. Ini akan mempermudahkan mereka menjadi ahli dan pihak saketeriat di setiap cabang akan menghubungi mereka untuk mendapatkan maklumat pemohon dengan lanjut.
Mereka yang ingin mendaftar keahlian secara sms hanya perlu menaip :-
"TXT AMKJOHOR REG NAMA PENUH DAERAH" dan hantarkan ke 32088

Nazri juga berharap dengan kemudahan sms ini, AMK Johor dapat menambah keahliannya dengan cemerlang.

PROGRAM JELAJAH UNTUK MUAFAKAT & PENYEBARAN MAKLUMAT (JUMPA)

Posted: 25 Oct 2011 08:04 AM PDT

Sebagai persediaan di dalam menghadapi PRU13 yang akan berlaku dalam bila-bila masa sahaja, program-program yang berbentuk penerangan dan penyebaran maklumat adalah sangat penting bagi KeADILan. Angkatan Muda Keadilan (AMK) sebagai sayap kanan parti bersama Wanita telah berkerjasama untuk menjelajah beberapa kawasan Parlimen bagi membantu memperhebat lagi kempen2 menjelangnya pilihanraya umum yang boleh berlaku pada bila-bila masa. Program Jelajah Untuk Muafakat & Penyebaran Maklumat (JUMPA).

Pada 29hb Oktober 2010 (Sabtu), Parlimen Gelang Patah akan menerima kunjungan dari JUMPA dan sebagai persediaan, Angkatan Muda Keadilan Gelang Patah (AMK Gelang Patah) bersama Biro Pilihanraya P162 telah menyusun beberapa program bertemu rakyat disamping mengedarkan risalah2 penerangan kepada rakyat.

Kepada Team JUMPA.... Kami mengalu-alukan kehadiran anda...

DULU RAFIDAH AZIZ SEKARANG SHAHRIZAT JALIL....

Posted: 25 Oct 2011 08:00 AM PDT

KEADILAN menyambut baik keputusan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) untuk memulakan siasatan ke atas National Feedlot Corporation Sdn Bhd yang dimiliki oleh suami dan anak-anak kepada Dato' Seri Shahrizat Jalil, seorang menteri kanan dan Ketua Wanita Umno.

KEADILAN telah membawa isu ini ke perhatian rakyat sejak awal tahun 2010 lagi memandangkan kedudukan strategik projek seperti yang didakwa oleh kerajaan dan peruntukan besar yang terlibat.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-9, Pusat Feedlot Kebangsaan yang dimiliki dan dikendalikan oleh National Feedlot Corporation Sdn Bhd diberi status Projek Berimpak Tinggi dengan sasaran memenuhi 40% permintaan dan pengeluaran daging lembu untuk pasaran tempatan.

Pada hari Khamis, 20 Oktober 2011 satu pasukan peninjau KEADILAN yang diketuai oleh Saudara Mohd Rafizi Ramli (Pengarah Strategi) dan YB Aminuddin Harun (ADUN Sikamat) telah membuat kunjungan tidak rasmi ke Pusat Feedlot Kebangsaan seluas 5,000 ekar di Gemas untuk menentukan prestasi pencapaian pusat tersebut memenuhi sasaran yang ditetapkan.

Hasil dari temuramah dengan pekerja-pekerja, maklumat yang diperolehi adalah seperti berikut:

Jumlah lembu yang dipelihari pada satu-satu masa: Sekitar 1,000 ekor

Asal-usul lembu: Diimport dari luar negara

Anggaran sembelihan setiap hari: Sekitar 20 ekor

Pasaran: Hypermarket seperti Giant, Carrefour dan lain-lain

Anggaran daging lembu yang dikeluarkan sehari (dikira): 3,000 kg

Anggaran daging lembu yang dikeluarkan setahun (dikira): 900,000 kg atau 900 tan

Prestasi operasi ini perlu dibandingkan dengan sasaran yang ditetapkan memandangkan projek tersebut dikurniakan tanah kerajaan seluas 5,000 ekar di Gemas dan mendapat bantuan kewangan kerajaan berjumlah RM250 juta. Oleh itu, prestasi Pusat Feedlot Kebangsaan:

Jumlah penggunaan daging lembu Malaysia[1] setahun: 162,357 tan

% permintaan yang dicapai oleh Pusat Feedlot (dikira): 0.6%

Sasaran % permintaan yang perlu dicapai ditetapkan RMK9: 40%

Jumlah lembu yang perlu disembelih untuk mencapai sasaran: 1,500 ekor sehari

Jumlah lembu yang kini disembelih: 20 ekor sehari

Kajian awal oleh KEADILAN ini jelas menunjukkan bahawa projek ini telah gagal walaupun menelan jumlah wang rakyat yang besar dan kurniaan tanah seluas 5,000 ekar. Malah, ada petani dan penternak kecil yang mempunyai operasi yang lebih besar dan berkesan walaupun tidak mendapat apa-apa bantuan kerajaan.

Penyelidikan KEADILAN juga menunjukkan bahawa sehingga kini, komponen-komponen operasi yang lain yang diamanahkan kepada syarikat milik suami dan anak-anak Dato' Seri Shahrizat Jalil masih belum dilaksanakan walaupun mendapat peruntukan besar. Selain dari aktiviti mengimport lembu, syarikat ini juga dilantik oleh kerajaan untuk:

  1. Membangunkan penternak kecil melalui konsep "penternakan satelit" untuk menggandakan pengeluaran lembu
  2. Membangunkan makanan lembu berkualiti
  3. Membangunkan baja dari operasi penternakan lembu

KEADILAN berpendapat bahawa isu ini perlu diberi perhatian serius kerana ia salah satu contoh utama bagaimana penyelewengan wang rakyat akibat ketirisan mempunyai kesan mendalam kepada kenaikan harga barang yang menekan rakyat.

Projek ini dilancarkan oleh kerajaan bertujuan untuk mengurangkan import makanan yang memainkan peranan utama kepada kenaikan harga barang makanan yang terpaksa ditanggung rakyat. Walau bagaimana pun, sebahagian besar dari peruntukan kepada projek-projek pertanian dan makanan untuk mengurangkan pergantungan kepada import tidak sampai dan diselewengkan sehingga mengakibatkan import makanan mencecah RM30 bilion setahun sehingga akhir 2010.

Dato' Seri Shahrizat Jalil sebagai menteri yang berkepentingan dalam projek ini dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai bekas Menteri Pertanian dan Agro Industri yang terlibat menganugerahkan projek ini kepada rakan menteri beliau tidak boleh lagi terus berdiam diri. Rakyat memerlukan penjelasan segera mengenai kegagalan projek nasional yang menelan belanja besar ini.

Sekiranya kedua-dua mereka masih berdiam diri sehingga Isnin minggu depan, KEADILAN dan Wanita KEADILAN akan menganjurkan satu lawatan menjejaki lembu ke Pusat Feedlot Kebangsaan di Gemas untuk mendedahkan perkara ini dengan luas kepada rakyat.

PERUTUSAN KETUA UMUM : SELAMAT MENYAMBUT DEEPAVALI

Posted: 25 Oct 2011 06:47 AM PDT

Hari Deepavali disambut sebagai pesta cahaya, zahir kemenangan kebaikan ke atas kejahatan. Kemenangan kebaikan, tidak dapat tidak berteraskan amalan berbuat baik dan meninggalkan kemungkaran. Bait dari Thirukural ada menyebut;
"Sesungguhnya dengan amalan kebaikan maka hadirlah kemuliaan, sesungguhnya kejahatan itu menjelma apabila kita melupakan amalan kebaikan."
Hikmah dari bait itu mengungkap fitrah pertembungan cahaya dan kegelapan. Oleh kerana itu, setiap kali kita mendekati kezaliman dan melakukan perbuatan jahat maka semakin malaplah kemuliaan, keadilan serta karamah insaniah.

Justeru saya menyeru agar semua rakyat Malaysia turut serta bersama menegakkan keadilan yang merupakan kelangsungan dari fitrah manusia yang mahukan kebenaran dan menolak kebatilan.
Sempena sambutan Deepavali tahun ini saya ucapkan Deepavali Nal Vathukal
ANWAR IBRAHIM

Tiada ulasan:

Pengikut