Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan |
- Kesan Bersih 2.0 lebih besar – Presiden PAS
- Ijtimak Pilihan Raya PAS Kelantan di Pantai Geting
- 700 mat rempit ikrar pertahan Kelantan
Kesan Bersih 2.0 lebih besar – Presiden PAS Posted: 22 Jul 2011 07:54 AM PDT TUMPAT, 22 Julai: Tidak lama selepas Bersih 1.0 diadakan pada November 2007, kerajaan Barisan Nasional (BN) menerima kesannya apabila dinafikan majoriti dua pertiga di parlimen pada pilihan raya umum Mac 2008. Dan kesan gelombang Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu diakui banyak pihak lebih hebat lagi dirasakan. Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Bersih 2.0 dirasakan lebih hebat berbanding Bersih 1.0. "Antaranya penyertaan masyarakat bukan Melayu begitu menggalakkan sekali. Ini merupakan satu gabungan sangat baik. "Sedangkan kerajaan BN menggunakan pertubuhan-pertubuhan Melayu yang bersikap fanatik seperti Perkasa dan kumpulan seni silat. "Namun akhirnya mereka tidak dapat berhimpun dan terpaksa menarik diri kerana tidak dapat sambutan," katanya selepas perasmian penutup Ijtimak Pilihan Raya PAS Kelantan di Pantai Geting, petang ini. Ijtimak sehari itu bermula jam 9 pagi tadi. Kesemua pemimpin PAS dan wakil-wakil rakyat hadir. Perasmian pada sebelah pagi diadakan serentak dengan kuliah perdana oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dianggar lebih 20,000 hadir pada ijtimak tersebut apabila lokasi tempat perhimpunan penuh dengan kebanjiran pendokong PAS dari seluruh jajahan. Menurut Presiden PAS, di negeri lain juga perhimpunan rakyat mendapat sambutan baik di majlis-majlis yang diadakan di seluruh tempat. "Termasuklah himpunan anjuran Bersih 2.0 yang diatur baru-baru ini mendapat sokongan meluas dari seluruh negara di mana mereka sanggup datang berhimpun di Kuala Lumpur. "Ini menandakan respon yang sangat positif daripada seluruh rakyat, bukan saja daripada penyokong PAS," katanya. Ditanya mengenai peguam Perancis, William Bourdon dilaporkan ditahan Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) katanya ia menandakan demokrasi di Malaysia ini masih tidak sempurna. "Sekiranya kerajaan berada di pihak yang benar, kerajaan betul, apa hendak ditakutkan," ujarnya. Bourdon dilaporkan ditahan sebaik tiba di KLIA. Semalam beliau berada di Pulau Pinang bercakap tentang isu kontroversi pembelian kapal selam Scorpene didakwa melibatkan sogokan berjuta ringgit. Menurutnya peguam terbabit dilihat berani mempertahankan kebenaran dan kalau tak salah apa hendak ditakutkan. Sebelum itu ketibaan Tuan Guru Abdul Hadi yang anggota parlimen Marang ke Pantai Geting menaiki motosikal berkuasa besar dari Pantai Seri Tujuh. Mengenai sambutan hangat ijtimak tersebut katanya Insya Allah kita yakin PAS dapat mempertahankan negeri ini. "Selama ini walau pun pilihan raya tidak bersih di seluruh negara, Kelantan boleh bertahan. Operasi mengangkut pengundi dari luar, gunakan duit, macam-macam serta serangan media. Kelantan mampu bertahan "Dalam masa 20 tahun kita boleh bertahan. Sambutan diberikan hari ini menandakan komitmen, iltizam jentera-jentera PAS untuk terus bekerja bagi mempertahankan kemenangan di Kelantan ini, InsyaAllah," katanya. Mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi mereformasikan demokrasi di Malaysia dan 8 perkara tuntutan Bersih 2.0, beliau mengalu-alukan sebarang langkah supaya membetulkan amalan demokrasi di Malaysia ini. "Kita sangat-sangat mengalu-alukan cadangan penubuhan itu," ujarnya. Mengulas tiada tanda-tanda pimpinan Datuk Seri Najib Razak mahu menerima 8 perkara tuntutan Berih 2.0, beliau berkata sekiranya mahu menjadi pemimpin bertanggungjawab mesti perubahan dilakukan. Menurutnya mana-mana pemimpin yang bertahan secara tidak bermoral, jatuh pun juga secara tidak bermoral. "Lihat seperti apa yang berlaku di Mesir, di Tunisia dan di mana-mana saja di dunia. "Di Asia Tenggara Marcos dengan Suharto yang memerintah begitu lama dengan revolusi tertutup, akhirnya jagi meletup dan berkaku perubahan. "Dan kita harap negara kita juga berlaku perubahan dengan cara yang bersopan, pemimpin kena sedar dan insaf," katanya. Beliau juga berkata, sekiranya tuntutan mereformasi pilihan raya tidak diterima kerajaan BN, PAS tetap akan menyertai pilihan raya dan menentang sebarang penyelewengan. |
Ijtimak Pilihan Raya PAS Kelantan di Pantai Geting Posted: 22 Jul 2011 07:53 AM PDT |
700 mat rempit ikrar pertahan Kelantan Posted: 22 Jul 2011 07:50 AM PDT TUMPAT, 22 Julai: Ijtimak Pilihan Raya PAS Kelantan hari ini menyaksikan ikrar seramai 700 anak muda bagi mempertahankan Islam dan kerajaan negeri. Ramai di kalangan ibu bapa kelihatan terharu di atas semangat anak-anak muda yang begitu lantang berikrar mempertahankan Islam di pentas utama. Bacaan ikrar diketuai Presiden Minda Evolusi Rempit Anak Muda Kelantan (Merak), Azaizuree Ahmad di hadapan pemimpin PAS dan lebih 20,000 peserta ijtimak yang memenuhi pantai Geting, Pengkalan Kubur. Dun Pengkalan Kubur dikuasai Umno sejak pilihan raya umum 2004. Pada pilihan raya umum 1990 kawasan itu diwakili calon Hamim, gabungan Angkatan Perpaduan Rakyat. Anak muda dari pelbagai tempat yang bernaung di bawah Merak datang dengan motosikal menggegarkan kawasan perkelahan. Mereka berjanji berusaha bersungguh-sungguh sebagai seorang anak muda bersama mengembelingkan perjuangan mempertahankan Islam di Kelantan. Azaizuree berkata, mereka akan sentiasa bersama-sama memperkasakan kepimpinan Islam dan jemaahnya yang diketuai Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. "Selain itu sentiasa bersama ahli-ahli jemaah membangunkan Islam di Kelantan. Wahai pimpinan dan ibu bapa bahawa kami semua adalah sebahagian kamu, sebahagian jemaah PAS. "Kami sama-sama mahu mempertahankan agama suci Islam walau apa jua keadaan senang atau susah, bak kata pepatah membujur lalu melintang patah. Janji kami adalah benar, ikrar kami bukan palsu," katanya diakhirnya dengan laugan takbir beramai-ramai. Sebelum itu anggota Merak menerima sijil pelantikan team leader Minda Evolusi Rempit Anak Kelantan yang disampaikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Gimik perasmian ijtimak dilangsungkan apabila Menteri Besar dipakaikan jaket khas oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob. Selain itu turut diadakan sumbangan kameja T kepada peserta gusti lengan terbuka Johor pada 23 Julai ini. Kejohanan itu akan diadakan di Plaza Ansana Johor Bahru. Peserta terbabit termasuk Rosli Ibrahim, Zawawi Ariffin, Mohd Ropi Ibrahim dan Khusairin Siban. Penyampaian t-shirt disampaikan anggota parlimen Tumpat, Dato' Kamaruddin Jaaffar. Peserta Merak mengibarkan bendera Kelantan, Jalur Gemilang dan Bulan Purnama di motosikal masing-masing. Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri, Wan Nik Wan Yusoff berharap setiap jentera termasuk di peringkat cawangan hendaklah meneliti apa yang disampaikan pemimpin pada ijtimak tersebut. "Ia adalah sebagai panduan bagi menyusun gerak kerja pilihan raya yang bakal berlangsung tidak lama lagi," ujarnya. Timbalan Pesuruhjaya II, Datuk Mohd amar Abdullah menyarankan setiap ahli dan pendokong PAS perlu membeli Harakah sebagai maklumat untuk dihadam oleh mereka. "Jangan pula beli tetapi dijadikan tempat duduk sahaja. Hadir pada program ceramah sahaja tidak mampu untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai tanpa ada mekanisme lain seperti maklumat yang ada dalam Harakah," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan