Ahad, 30 September 2012

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah


PAS kesal ASRNS tidak dipulihkan

Posted: 30 Sep 2012 06:06 PM PDT

Oleh: Hj. Hamzah Abdullah
 
PAS Sabah merasa kesal dengan pembentangan Bajet 2013 yang langsung tidak mengambil kira hak kebajikan rakyat Negeri ini. Bagi pihak rakyat Sabah, saya telah meneliti kandungan Bajet yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan dan merumuskan bahawa yang akan 'kenyang' daripada dentuman Bajet ini hanya pemimpin UMNO/BN.

Rakyat Sabah khususnya pribumi Sabah, yang rata-rata masih berada di bawah paras kemiskinan hanya bakal menerima tangki-tangki air dan keperluan asas yang hanya boleh bertahan paling lama 8 bulan.
 
Sebanyak 40,000 tangki air 1Malaysia yang bakal diagih-agihkan kepada orang kampung hanya 'menggemukkan' pembekal yang tentunya kroni-kroni UMNO/BN dan mempunyai saham dalam bentuk komisyen. Tangki air ini hanya mempunyai jangka hayat paling lama 8 bulan kerana daripada jenis berkualiti rendah.

BN sewajarnya tidak berfikir bahawa rakyat masih bodoh dan boleh diperbodohkan seperti zaman sebelum wujudnya ICT. Sekarang kita berada pada era maklumat berada di hujung jari.

Rakyat Sabah masih tidak lupa dengan teguran Ketua Audit Negara bagaimana peralatan sekolah dan alat kelengkapan tentera seperti teropong telah dibeli dengan harga sehingga melonjak 1,000% dari harga asal! Ini lah yang mesti rakyat fikir dan usah teruja terhadap pembentangan yang masih jauh daripada jangkauan kita.

PAS Sabah menuntut supaya dipulihkan semula Amanah Saham Rakyat Negeri Sabah (ASRNS) atau popular dengan panggilan Amanah Saham Tun Mustapha yang telah diasaskan oleh Bapa Kemerdekaan Sabah, Almarhum Tun Mustapha di era pemerintahan USNO.

Almarhum Tun Mustapha adalah pemimpin Sabah pertama yang mempunyai ciri-ciri pemimpin seorang yang berjiwa rakyat dan menitikberatkan kebajikan rakyat Sabah. Di zaman Tun Mustapha jugalah pelajar-pelajar Sabah yang cemerlang dalam peperiksaan Senior Cambridge akan berpeluang melanjutkan pelajaran ke UK atau Australia dengan pembiayaan wang Yayasan Sabah, yang mempunyai konsesi balak pemberian Kerajaan Negeri.

Almarhum Tun Mustapha juga telah menggunakan wang kerajaan Negeri bagi membiaya kos menunaikan haji bagi jemaah haji Sabah, termasuk membiayai guru-guru agama yang bertauliah untuk mengajar di sekolah-sekolah agama seluruh Sabah.

PAS Sabah menuntut supaya Datuk Pairin mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas pemansuhan Amanah Tun Mustapha kerana di zaman PBS lah amanah saham ini telah dimansuhkan!

PAS Sabah seterusnya mencabar Pairin supaya 'cakap serupa bikin' kalau benar dia bersetuju dengan slogan 'rakyat didahulukan'. Ini masanya kehendak rakyat diutamakan memandangkan Datuk Pairin masih berkuasa di dalam kerajaan UMNO/BN Sabah.

PAS Sabah menuntut supaya pembayaran amanah saham ini dibuat dengan mengambil kira tahun ia dimansuhkan iaitu sekitar tahun 1988. Ertinya rakyat Sabah berhak mendapat saham ini untuk tempoh tertunggak sejak 1988 yang bererti selama 24 tahun.

Kalau setiap tahun rakyat Sabah yang layak mendapatnya berjumlah RM200 setiap tahun, maka setiap seorang rakyat yang layak mesti diberikan hak mereka berjumlah RM4,800!

PAS Sabah akan membawa isu ini ke dalam mesyuarat Jawatankuasa Pakatan Rakyat yang akan datang agar diterima sebagai sebahagian daripada Manifesto Pilihanraya. 
 
_____________________________________________
Hj. Hamzah Abdullah, Timbalan Pesuruhjaya I PAS Sabah merangkap Yang Di-Pertua PAS Kawasan Batu Sapi, Sandakan

Bajet 2013: Sabah di'anaktiri'kan

Posted: 30 Sep 2012 05:56 PM PDT

KOTA KINABALU: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah hari ini menyifatkan Belanjawan 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lalu adalah disifatkan sebagai 'Belanja Makan Kroni'.

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, kedudukan Sabah sebagai 'rakan kongsi' Malaya (kini Semenanjung Malaysia) terus dipandang sebelah mata oleh kepimpinan Datuk Seri Najib.
 
 
"Apa hasilnya yang Sabah dapat? Apakah Sabah hanya dapat 57 buah Kedai Rakyat yang dibahagi 3 antara Labuan, Sabah dan Sarawak?

"Kalau betul kerajaan ini mahu menyeragamkan harga barang di Sabah dan Semenanjung, tidak perlu nak buka kedai rakyat umpama itu... laksanakan terus. Mansuhkan dasar kabotaj yang selama ini membelenggu rakyat Sabah. Ini baru dikatakan hak rakyat," katanya.

Katanya, terdapat banyak ruang kelompangan dan ketirisan dalam pelaksanaan pembangunan termasuklah pengagihan peruntukkan pada masa akan datang.

"Banyak peruntukkan diberikan secara one-off kepada rakyat. Tetapi, lagi banyak sebenarnya peruntukkan itu disalurkan menerusi agensi, kontrak-kontrak yang terlibat", ujar beliau.

Bagi maksud tersebut, beliau mendesak supaya kerajaan memainkan perhatian khusus mengenai keperluan asas utama rakyat dalam memberi perlindungan daripada hujan dan panas.

Beliau menambah, kenaikan harga rumah di pasaran Sabah yang meningkat secara mendadak mengatasi bandar besar seperti Kuala Lumpur juga sepatutnya perlu diberi perhatian.

"Kita melihat, banyak projek perumahan baru bakal didirikan. Adakah pembangunan ini mengambil kira faktor harga semasa dari Sabah?

Kerajaan juga katanya, perlu melaksanakan pembangunan bersifat jangka panjang dan tidak hanya menumpukan usaha meraih undi di saat pilihanraya umum akan datang.

"Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada seluruh ketua isi rumah dan golongan bujang adalah satu pendekatan yang agak membebankan.

"Sejauh mana pemberian tersebut boleh bertahan sampai setahun? Ditambah dengan harga minyak yang naik, harga barang tidak menentu, kos taraf hidup yang meruncing... sepatutnya ini diambil kira dalam belanjawan. Bukan setakat beri, tabur beratus ringgit sedangkan hak dan keperluan rakyat semakin hari semakin terabai", jelas Lahirul.

Beliau turut menempelak kerajaan yang sebenarnya mahu memerah harta rakyat sebelum pemberian itu dilaksanakan.

"Bila kita tengok balik, setiap pemberi itu bermula pada Januari 2013... tapi rakyat terpaksa menanggung kenaikan harga gula serta merta, pembayaran PTPTN yang berdiskaun juga bermula 1 Oktober.

"Ini yang dikatakan... rakyat didahulukan," sinis beliau.

Tiada ulasan:

Pengikut