Rabu, 11 April 2012

Pakatan Rakyat

Pakatan Rakyat


Kerabu Bersuara ®

Posted: 11 Apr 2012 03:07 PM PDT

Berapakah sebenarnya hutang PTPTN yang perlu ditanggung oleh kerajaan sekiranya pinjaman PTPTN dihapuskan?

Hutangnya adalah RM24.7 bilion. Ini adalah pinjaman yang telah dikeluarkan oleh peminjam-peminjam sehingga kini.

Angka RM43 bilion yang disebut-sebut BN itu adalah jumlah keseluruhan pinjaman yang telah diluluskan. Sebahagian besarnya belum dibayar, ada juga yang membatalkan pinjaman di tengah jalan dan pelbagai perkara lain.

PTPTN tidak meminjam wang dari institusi kewangan berdasarkan pinjaman yang diluluskan. Ia meminjam mengikut keperluan mengeluarkan pinjaman kepada pelajar seperti yang dituntut pelajar.

Oleh itu, jumlah yang perlu ditanggung kerajaan untuk menghapuskan hutang PTPTN ialah RM24.7 bilion, iaitu separuh dari angka RM43 bilion yang disebut-sebut Perdana Menteri.

Bagaimana KEADILAN mahu membayar jumlah RM24.7 bilion ini?

Seperti juga pinjaman rumah yang kita buat, ia melibatkan tempoh masa pembayaran yang panjang. Jumlah RM24.7 bilion ini bukanlah perlu dibayar serta-merta apabila KEADILAN memansuhkan hutang PTPTN.

Jumlah ini akan dibayar mengikut tempoh masa 10 hingga 20 tahun di masa akan datang, seperti mana pinjaman-pinjaman lain yang dibuat kerajaan kini.

Jumlah yang perlu dibayar setiap tahun adalah antara RM2 bilion hingga RM2.5 bilion mengikut anggaran KEADILAN.

Ada banyak cara kerajaan boleh membayar jumlah ini.

Contohnya, kerajaan boleh merangka satu akta yang mensyaratkan mengikut undang-undang bahawa peratusan tertentu dari hasil minyak perlu dimasukkan ke dalam tabung pelaburan pendidikan. Dana ini tidak boleh diganggu dan hanya boleh digunakan untuk pendidikan.

Setiap tahun, sejumlah RM2 bilion boleh diambil dari dana ini untuk membayar tanggungan hutang PTPTN yang diambil alih oleh kerajaan. Jika ini dibuat, dalam tempoh 10 hingga 15 tahun, kita berjaya menghapuskan hutang PTPTN.

Jika kerajaan tidak mahu menyentuh hasil minyak, kerajaan juga ada pilihan untuk melakukan kaedah pembiayaan semula (atau refinancing). Kerajaan boleh menerbitkan bon baru berjumlah RM2 bilion setiap tahun yang akan dibayar dalam tempoh yang lebih panjang, misalnya 20 tahun. Hasil dari bon ini boleh digunakan untuk membayar hutang PTPTN yang diambil alih.

Sebenarnya, pelbagai cara boleh dilakukan untuk menanggung kos menghapuskan hutang PTPTN ini. Malah, jika kerajaan berjimat dan menghentikan ketirisan perbelanjaan yang melebihi RM28 bilion setiap tahun, jumlah RM2 bilion yang perlu dibayar adalah terlalu sedikit.

Bagaimana pula dengan mereka yang telah membayar sebahagian hutang mereka?

Setakat akhir tahun 2011, dianggarkan RM2.8 bilion telah dibayar kembali oleh 651,000 peminjam sejak PTPTN diperkenalkan.

Sebahagian besar peminjam masih belum melunaskan hutang. Prestasi pembayaran balik juga berbeza-beza mengikut peminjam. Ada yang membayar dengan berterusan setiap bulan mengikut kadar yang ditetapkan. Ada yang membayar lebih rendah. Ada juga yang langsung tidak membayar.

Pun begitu, kutipan RM2.8 bilion bermakna secara puratanya 10% dari jumlah pinjaman yang diambil telah dibayar balik.

Ada pelbagai mekanisme yang boleh dipertimbangkan untuk memastikan kebajikan dan keadilan kepada peminjam yang telah membayar hutang mereka.

Contohnya, kadar purata 10% boleh digunakan sebagai kadar minima pembayaran rebat dan ditambah dengan peratusan rebat yang berkadar terus dengan jumlah pembayaran seseorang individu, seperti berikut:

Maslan Ali meminjam RM18,000 dari PTPTN. Setakat ini beliau hanya membayar RM680 kepada PTPTN.

Munir Ali meminjam RM20,000 dari PTPTN. Beliau telah membayar RM2,500 kepada PTPTN.

Mohamad Ali meminjam RM20,000 dari PTPTN dan membayar RM4,800 setakat ini.

Kadar 10% pembayaran (iaitu kadar purata pembayaran) diambil kira sebagai kadar minima menentukan rebat yang dipulangkan kepada peminjam.

Maslan Ali hanya membayar 4% pinjamannya iaitu dibawah kadar purata nasional. Beliau tidak layak mendapat apa-apa pembayaran rebat.

Munir Ali membayar 12.5%. Beliau layak menerima rebat. Jika kadar pembayaran rebat ditetapkan sebagai berkadar terus dengan jumlah pembayaran, maka Munir Ali mendapat (12.5% X RM2,500 = RM312.50) sebagai rebat prestasi pembayaran PTPTN.

Begitu juga dengan Mohamad Ali yang bakal mendapat rebat sebanyak (24% X RM4,800 = RM1,152).

Banyak lagi mekanisme yang boleh diputuskan untuk menjamin kebajikan dan keadilan kepada peminjam yang membayar kepada PTPTN.

Jika kaedah pembayaran rebat seperti di atas digunapakai, maka tanggungan kerajaan untuk membayar rebat tidaklah setinggi seperti yang diwar-warkan. Jika kadar 10% adalah kadar purata pembayaran rebat, maka jumlah wang yang perlu diperuntukkan untuk membayar rebat kepada peminjam yang telah membayar adalah (10% X RM2.8 bilion = RM280 juta) sahaja.

Setelah kita hapuskan PTPTN, bagaimana kita akan membiayai yuran pengajian dan kos pendidikan tinggi rakyat selepas itu?

Masalah pembiayaan pendidikan tinggi rakyat yang meruncing bermula apabila Dato' Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Pendidikan memperkenalkan beberapa akta baru dalam tahun 1996 seperti Akta Pendidikan dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996.

Pengenalan akta-akta ini menandakan bermulanya era bila mana tanggungjawab menyediakan tempat dan peluang pendidikan tinggi diserahkan kepada pihak swasta. Tindakan ini telah ditentang pimpinan siswa ketika itu atas kebimbangan ia samalah dengan memperniagakan sektor pendidikan tinggi.

PTPTN kemudiannya ditubuhkan dalam tahun 1997 yang bertujuan untuk menyediakan pembiayaan kepada belanja pendidikan tinggi yang mula melambung dengan penglibatan besar-besaran pihak swasta melalui IPTS.

Oleh kerana kerajaan tidak menyediakan tempat yang mencukupi untuk lepasan sekolah yang layak memasuki universiti, ratusan ribu rakyat pelbagai kaum terpaksa mendaftar ke IPTS yang yurannya lebih mahal.

Oleh itu, kita kena kembali kepada zaman sebelum 1996 iaitu tempat dan peluang untuk melanjutkan pendidikan tinggi kepada lepasan sekolah disediakan oleh kerajaan. Kos dan yurannya lebih rendah kerana tiada unsur "keuntungan" berbanding IPTS. Bila ini berlaku, peranan IPTS akan kembali kepada menyediakan peluang khas yang tidak dapat disediakan oleh IPTA seperti kursus-kursus khas, pengajian baru dan lain-lain.

Sejak tahun 2005, jumlah kemasukan pelajar ke IPTS telah mengatasi IPTA dan jurang ini semakin melebar saban tahun. Contohnya, dalam tahun 2005 nisbah kemasukan pelajar di IPTA:IPTS adalah 310,000 (IPTA) berbanding 337,000 (IPTS). Jurang ini telah meningkat menjadi 372,000 (IPTA) berbanding 466,000 (IPTS) menjelang 2010, mengikut unjuran yang dibuat Kementerian Pendidikan Tinggi sendiri.

Lambakan IPTS dan pergantungan kepada IPTS untuk menyediakan kemudahan pendidikan tinggi menyebabkan bebanan hutang PTPTN juga melambung, kerana yuran IPTS yang lebih mahal dan jumlah pemohon dari IPTS yang naik mendadak.

Jika ini berterusan, kerajaan di masa hadapan tidak mampu menanggung kos pendidikan tinggi.

Sebab itu, langkah pertama adalah mengembalikan peranan kerajaan dalam menyediakan tempat dan peluang melanjutkan pelajaran tinggi seperti sebelum 1996.

KEADILAN percaya jika 10 IPTA baru dibina dalam masa 10 tahun akan datang, 100,000 tempat baru di IPTA dapat disediakan. Ini akan mengurangkan pergantungan kepada IPTS dalam menempatkan pelajar lepasan SPM.

Pembiayaan pelajar di IPTA dibuat melalui 3 cara. Pertama, yurannya memang lebih murah kerana tiada unsur keuntungan tidak seperti IPTS. Kedua, jaminan KEADILAN bahawa melalui konsep pendidikan percuma, yuran dan kemudahan tempat tinggal disediakan kepada pelajar lalu mereka tidak perlu meminjam bagi kedua-dua tujuan ini. Ketiga, subsidi makanan dan lain-lain akan memastikan kos makan dan sara hidup pelajar di kampus tidak tinggi, lalu tidak memerlukan pembiayaan yang tinggi.

Berdasarkan yuran IPTA, subsidi kerajaan dan pembiayaan PTPTN sedia ada, kos purata untuk kursus sarjana muda bagi seorang pelajar setiap tahun adalah RM25,000.

Maka, kiraan awal kos pembiayaan yang perlu ditanggung:

Kos tambahan menyediakan pendidikan percuma bagi 100,000 tempat baru di 10 IPTA baru:

RM25,000 X 100,000 = RM2.5 bilion setiap tahun

Kos tambahan memastikan pendidikan percuma bagi 372,000 pelajar sedia ada di IPTA:

RM5,000 (pinjaman PTPTN biasa yang diberikan kepada pelajar IPTA) X 372,000 = RM1.86 bilion setiap tahun

Kos pembiayaan baki pelajar di IPTS (anggaran berdasarkan pengurangan 30% tempat di IPTS dan hanya 35% dari pelajar IPTS mengambil PTPTN, berdasarkan rekod semasa):

RM25,000 (pinjaman PTPTN biasa yang diberikan kepada pelajar IPTS) X 60,000 = RM1.5 bilion setiap tahun

Maka, jumlah pembiayaan pendidikan tinggi di bawah rancangan yang dipertimbangkan KEADILAN adalah (RM2.5 b + RM1.86 b + RM1.5 B) RM5.86 bilion setiap tahun.

Dalam tahun 2010, PTPTN meluluskan RM6.1 bilion pinjaman kepada peminjam.

Ini bermakna, jumlah yang ditanggung kerajaan kini lebih tinggi berbanding dengan jumlah pembiayaan sekiranya pendidikan percuma diperkenalkan melalui pengwujudan 10 IPTA baru bagi menyediakan 100,000 tempat baru seperti yang dicadangkan KEADILAN.

Walaupun PTPTN dihapuskan, dana pinjaman kepada pelajar yang masih mahu meneruskan pelajaran di IPTS tetap disediakan tetapi jumlah ini lebih kecil berbanding tanggungan RM6 bilion setiap tahun sedia ada.

Tambahan pula, lebih ramai pelajar yang akan menikmati kemudahan pendidikan percuma kerana tempat-tempat di IPTA adalah mencukupi dan keperluan menyediakan pinjaman pelajaran kepada pelajar-pelajar akan berkurangan dengan mendadak.

Semua ini bakal dibiayai dengan kos yang tidak banyak berbeza dengan kos yang dibelanjakan sekarang. Bezanya, wang akan dilaburkan di dalam IPTA baru untuk menyediakan lebih banyak tempat bagi pendidikan tinggi percuma, bukannya disalurkan ke pelbagai IPTS seperti sedia ada.

Soal Jawab PTPTN - sila download PDF untuk risalah Soal Jawab

Briged Al-Akhdor LR2

Posted: 11 Apr 2012 01:38 PM PDT


Dalam PRU 1999, orang Melayu lari meninggalkan Umno dan BN kerana kes Anwar. Terengganu terlepas ketangan PAS manakala Kelantan terus kukuh. Di Kedah, majoriti 2/3 dapat dihapuskan…tapi UBN masih dapat mengekalkan Putrajaya kerana undi orang Cina dan India. Cina, India dan SPR menjadi talian hayat kepada Umno.

Selepas 1999, Umno tak percaya kat Melayu. Melayu tak boleh diharap…dan untuk mengekalkan kuasa, maka UBN menggunakan SPR untuk mengubah sempadan pilihanraya. Sempadan pilihanraya dimanipulasi dengan memastikan dalam setiap kawasan Parlimen atau DUN, mesti ada peratus-peratus tertentu undi Cina dan India.

PRU 2004..Umno dan BN menang besar. Tapi masa tu mungkin kerana faktor Pak Lah. Lagi pun Mahathir yang dibenci oleh orang Melayu dah berundur.

Nasib Pak Lah tak baik sebab isteri tersayang meninggal dunia..dan bila dapat bini baru..selalu la kerja overtime. Akibatnya, Pak Lah selalu tertidur dalam waktu kerja.

Bila tiba PRU 2008, keadaan menjadi terbalik. Orang Cina dan India yang dianggap fixed-deposit bagi BN sudah berubah angin. Akibatnya, BN kehilangan lima negeri. Satu negeri berjaya dirampas balik dengan tipu helah.

Tapi sekarang tak sama macam 1999. Lepas tahun 1999, Bn masih boleh mengubah sempadan pilihanraya dan menambah kerusi kerana depa masih lagi menguasai 2/3 Parlimen. Sekarang tak boleh! Undi Cina dan India pun sudah tidak boleh diharap.

Hanya satu talian hayat yang tinggal yang boleh digunakan oleh Umno dan BN iaitu SPR.

Selepas PRU 2008, SPr duduk termenung memikirkan apa nak buat untuk memastikan UBN terus berkuasa. Sapa yang fikir SPR adalah badan bebas untuk mengendalikan pilihanraya…mereka tergolong dalam kalangan orang-orang yang bangang. SPR diwujudkan untuk memastikan BN terus berkuasa.

Nak tambah kerusi tak boleh. Nak ubah sempadan tak boleh. Tapi ada satu perkara yang boleh dibuat oleh SPR iaitu "Belah bahagi kawasan".

Benda ini dibuat sejak Jun 2009. Kalau dulu pengundi dipindahkan..sekarang lokaliti dipindahkan. Contohnya, kalau dulu lokaliti Taman Anggerik termasuk dalam Parlimen Kuala Kangsar, sekarang Taman Anggerik sudah berada dalam Parlimen Padang Rengas.

SPR tak pindah pengundi..tapi bila lokaliti dipindahkan, maka secara otomatik pengundi-pengundi "terpindah". oleh kerana lokaliti yang dipindahkan, maka pertambahan dan pengurangan pengundi tidak dimaklumkan dalam Daftar Pemilih Tambahan. Akibatnya, ramai la orang parti yang tak tau. Tup-tup..bila ada Pilihanraya Kecil..baru terpinga-pinga, "macam mana 14,000 pengundi sudah dipindahkan?". Masa tu tak payah cakap dah..sebab bila tiba pilihanraya, apa yang SPR cakap adalah wahyu. Tak boleh dipertikaikan. Nak bising…bawa ke mahkamah. Tapi nak buat apa? pilihanraya dah habih.

Sapa yang nak pantau apa yang SPR buat? Nak harap parti-parti politik..aku tak harap. Dulu Khalid Ibrahim pernah mengumumkan peruntukan sejuta ringgit untuk memantau SPR. apa yang dibuat dengan duit tu aku tak tau la…tapi bila nama Khalid Ibrahim sendiri kena pindah..baru ada akai!!

SPR kata, apa yang depa buat ialah untuk menyelaraskan peta SPR dengan peta rasmi negara. Hei..SPR boleh bagi macam-macam jawapan. SPR juga kata "…menteri besar Selangor telah didaftarkan sebagai pengundi di Jalan 16/2 di Seksyen 16, Petaling Jaya, yang telah tersilap dimasukkan sebagai sebahagian daripada kawasan Petaling Jaya Selatan sebelum pembetulan sempadan itu dibuat."

Nak terima atau tidak jawapan SPR tu? Kalau tak mau terima..nak buat apa?

Aku boleh terima la jawapan SPR tu sebab masa SPR buat belah bahagi kawasan dulu pun hangpa buat tak tau. Aku cakap pun bukan hangpa nak dengaq.

Macam mana dengan kes yang ini pulak? Ini cuma satu contoh.

Dalam PRU 2008, seramai 308 pengundi pos yang terdiri dari anggota polis dari IPD Teluk Intan mengundi dalam DUN Pasir Bedamar…manakala hanya 4 anggota polis yang mengundi secara pos dalam DUN Changkat Jong.

Dalam PRU tersebut, DUN Pasir Bedamar dimenangi oleh DAP dengan majoriti 7914 undi..manakala DUN Changkat Jong dimenangi oleh PAS dengan majoriti 899 undi.

Kalau hangpa jadi orang Umno..apa yang hangpa nak suruh SPR buat?

DUN Pasir Bedamar tu mampuih pi la. Susah nak dapat balik. Tapi..daripada membazirkan undi di Pasir Bedamar..mengapa tidak dipindahkan pengundi yang dah gerenti mengundi BN ke Changkat Jong? BN hanya perlukan 450 undi baru untuk mengalahkan PAS!!

Tapi kalau dipindahkan terus macam tu saja..nanti orang Pas tau pulak!! Jadi kena buat diam-diam. Dan yang paling selamat dipindahkan ilah undi Pos.

Langkah pertama ialah dengan menukarkan nombor kad pengenalan polis. Pasai apa ditukar..yang tu toksah risau..jawapan boleh dicipta.

Pada akhir 2009, nombor-nombor anggota polis sudah siap ditukar didalam daftar pemilih. Masa tu orang tak perasan..sebab sapa yang nak check satu persatu?

Masuk tahun 2010, pengundi pos yang terdiri dari anggota polis IPD Teluk intan ini ditukar ke DUN Changkat Jong. Tiba-tiba saja DUN Changkat jong mendapat 107 pengundi pos yang baru. Mai dari mana? Bukan ada balai polis baru!

Check punya check..tengok-tengok anggota polis kat IPD Teluk Intan ditukarkan dari DUN Pasir Bedamar ke DUN Changkat Jong. Yang ni SPR nak cakap apa?

Edyes yakin inilah juga modus operandi yang digunakan oleh SPR untuk merampas semula Terengganu dari PAS pada 2004, dan juga lebih penting - untuk merampas semula negeri Selangor dari Pakatan Rakyat.

Antara kesamaan yang jelas ialah, jumlah pertambahan pengundi baru di DUN yang dimenangi Pakatan Rakyat adalah jauh lebih tinggi. Tetapi bukan sembrono, pertambahan pengundi baru yang besar hanya di DUN yang dimenangi oleh PAS dan PKR sahaja, manakala yang dimenangi DAP tidak dipeduli.

Sebenarnya inilah fenomena yang berlaku di seluruh negara! Hanya SPR sahaja yang menjadi talian hayat kepada Umno untuk kekal berkuasa. Perkara ini diakui sendiri oleh bekas pengerusi SPR dalam satu wancana debat di Kelantan Januari lalu. Tan Sri Abdul Rashid membuat pengakuan bahawa ada tangan-tangan ghaib yang mengawal tindak-tanduk SPR sedangkan beliau sudah cuba untuk bertindak telus ketika menjadi pengerusi SPR.

Justeru itu dengan pendedahan MSK di Perak dan kecelaruan senarai pengundi di seluruh negara, maka kita tidak harus berdiam diri membiarkan ibu pertiwi diperkosa semahunya!! Demokrasi yang dinafikan ini akan dibalas dengan demonstrasi besar-besaran!!

Kali ini perhimpunan rakyat akan berlangsung tanpa sebarang rundingan lagi!! Peluang sudah acap kali diberi, BERSIH1.0 dan BERSIH2.0 adalah protes rakyat untuk membersihkan sistem pilihanraya. Namun respon pihak kerajaan terutamanya dari aspek kesungguhan SPR melangsai 8 tuntutan adalah sangat tidak boleh diharapkan. Maka hadir BERSIH3.0 tanpa syarat dan rundingan!!

TARIKH YANG DISEBUT-SEBUT : 28 APRIL 2012

SARASAN YANG DISEBUT-SEBUT: DATARAN MERDEKA

Demi rakyat!! Demi sayangkan negara!! Kita turun BERSIH 3.0 !!!

sumber

Tiada ulasan:

Pengikut