Isnin, 12 Mac 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Saya ditahan dalam keadaan lapar dan dahaga

Posted: 11 Mar 2012 11:54 PM PDT


Tindakan Kerajaan BN Sabah yang di dalangi Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman menghalang saya masuk ke Sabah sebagai angkuh, bongkak dan bacul.

Notis Penolakan Masuk di bawah Seksyen 65(1)(a) Akta Imigresen 1959/63 yang ditandatangani oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Sabah, Addy Rizal bin Jamlidi telah mencabul hak asasi saya sebagai warganegara Malaysia.

Berkali-kali saya mempersoalkan kenapa saya di tahan dan tidak di benarkan masuk ke Sabah?
Apa kesalahan saya; apa jenayah yang saya lakukan? Mereka mengatakan tiada alasan dan sebab melainkan arahan Pihak Berkuasa Negeri!

Saya di kawal ketat, dalam keadaan lapar; bukan sahaja tidak diberi makan; segelas air pun tiada!

Saya telah membuat laporan Polis di Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Kota Kinabalu dan di hantar balik melalui penerbangan Air Asia ke Kuala Lumpur sekitar jam 11 malam tadi.

Hampir dua tahun yang lalu, regim Taib Mahmod juga telah memperalatkan Imigresen untuk menghalang saya masuk ke Sarawak.

Saya berkeyakinan ini semua berpunca dari kebimbangan dan ketakutan regim Musa Aman dan Taib Mahmod dari kebangkitan rakyat yang menentang kezaliman Kerajaan BN.

Isu rampasan tanah Adat atau NCR berleluasa dan sangat kritikal. Kuasa Ketua Menteri sangat besar; sewenang-wenangnya tanah yang di duduki dan di usahakan penduduk puluhan tahun di rampas. Kononnya penduduk menceroboh kawasan hutan simpan dan tadahan air.

Ada rumah penduduk yang dibakar, kebun di sodok oleh jentolak, tanaman musnah dicincang lumat oleh anggota penguatkuasa kerajaan negeri seperti Jabatan Hutan dll.

Peliknya; kawasan yang dirampas di beri pula kepada syarikat-syarikat kroni atas nama pembangunan. Rakyat menderita dan hilang pergantungan.

Hatta; menuntut hak di Mahkamah pun di tangkap, dipukul dan di penjarakan seperti yang berlaku di Pensiangan.

Saya mengetuai Lajnah(Biro) Pembangunan Tanah & Wilayah PAS Pusat bersama rakan-rakan berulang alik ke Sabah Sarawak secara konsisten bertahun lamanya. Turun ke kawasan Pedalaman dan menyaksikan penderitaan rakyat.

Kemiskinan tegar, kemunduran melampau, sangat kurangnya kemudahan asas dan tersiksanya rakyat akibat cengkaman regim BN yang menindas rakyat. 20 tahun ke belakang jika dibandingkan Semenanjung.
Bahkan jika di ukur dengan negeri Kelantan pun seperti langit dengan bumi!
Kelantan jauh lebih maju dan membangun daripada Sabah dan Sarawak.

Saya bawa wakil penduduk ke Parlimen bertemu menteri dan pimpinan BN dan Pakatan Rakyat. Kita iringi mereka membuat aduan di Suhakam. Suhakam mengakui isu tanah Sabah dan Sarawak begitu kritikal dan political will pimpinan BN untuk menyelesaikannya sangat menyedihkan. Laporan Polis, serahan memorandum, bawa kes ke Mahkamah dan apa ruang telah kami lakukan.

Himpunan 123

Pagi ini Himpunan 123 Bangkit di adakan di perkarangan Pejabat Ketua Menteri. Ratusan rakyat yang datang dari Tawau, Keningau, Pensiangan, Kudat, Lahad Datu, Sandakan, Sepanggar dll dengan Bas sewa khas serta pengangkutan awam di layan begitu buruk oleh Musa Aman.

Harapan tinggi rakyat yang sengsara kerana tanah mereka di dirampas untuk mengiringi pimpinan Ngo dan pimpinan etnik kaum menyerah memorandum di anggap remeh Kerajaan BN.

Adakah wajar pegawai rendah di tugaskan menerima memorandum hanya di 'tepi jalan' Wisma Negeri?
Mana pergi Musa Aman atau sekurang2nya Menteri Kanan Sabah? Hina sungguh rakyat jelata diperlaku Kerajaan Bn!
Apa salahnya di bawa masuk wakil2 Ngo dan penduduk sekurang-kurangnya di ruang tamu Wisma Negeri?
Apa salahnya Kerajaan Negeri mendengar dulu isi hati dan derita rakyat?

Ada penduduk menempuh perjalanan selama 12 jam; hanya mampu makan nasi bungkus sepanjang perjalanan, tayar kereta pancit di tengah jalan dan macam-macam kesukaran yang di alami untuk sampai ke Pejabat Ketua Menteri. Begini kesudahan layanan Musa Aman. Mana slogan ' Rakyat di dahulukan, Pencapaian di utamakan?

Perjuangan rakyat akan di teruskan. Seperti slogan penduduk Sabah; 'Tanah adalah nyawa kami, tanah adalah kehidupan kami.'

Kami tidak akan putus harapan dan patah semangat. Regim Musa Aman wajib di tumbangkan!
-------------------------------------------
Penulis, AJK PAS Pusat,  telah dihalang memasuki Sabah malam tadi. Beliau ditahan dan dihantar balik kemudiannya ke Semenanjung.

Adakah wanita penentu generasi hari esok?

Posted: 11 Mar 2012 11:53 PM PDT


Galuran susur sambutan Hari Wanita Antarabangsa (HWA)


Wanita merupakan lebih separuh daripada jumlah penduduk negara ini yang kini telahpun mencecah lebih kurang 28 juta orang. Demikian pula, wanita juga merupakan separuh daripada populasi dan penghuni bumi. Pengiktirafan ke atas wanita telah mendorong  persetujuan PBB pada tahun 1975 untuk menetapkan bahawa tanggal 8 Mac setiap tahun itu sebagai tarikh rasmi bagi sambutan Hari Wanita Antarabangsa (HWA), iaitu setelah HWA disambut buat kali yang ke-64!

Barangkali tidak ramai yang tahu bahawa tanggal 8 Mac 2012 baru-baru ini merupakan sambutan HWA untuk kali yang ke 101 tahun. Sekaligus membawa maksud usaha pemberdayaan wanita dari kacamata Barat (termasuk wilayah pengaruh jajahannya) telah dilipatkaligandakan secara terancang lebih kurang satu abad yang lalu, sekalipun kelihatannya agak terkemudian berbanding pengiktirafan ke atas wanita yang telah diberikan Islam, iaitu lebih kurang 1400 tahun yang silam.

Kali pertama HWA ini disambut ialah pada 19 Mac 1911 oleh Austria, Denmark, German dan Switzerland. Terdahulu, ideanya bermula pada tahun 1910 dalam satu Mesyuarat Pertubuhan Sosial Antarabangsa yang kemudiannya menyaksikan sambutan pada tahun berikutnya melibatkan lebih kurang 1 juta orang wanita, dengan dijayakan bersama-sama dengan kaum lelaki.

Di peringkat negara kita sendiri, HWA telah disambut kali pertamanya pada tahun 1975 dan sebagai rakaman sejarah, negara pada 8 Mac 1975 telah melancarkan Setem Kenang-Kenangan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa. Ironinya, pada masa yang sama terdapat satu lagi tarikh untuk Sambutan Hari Wanita di peringkat Malaysia (dalam negara) iaitu pada tanggal 25 Ogos setiap tahun. Malangnya, tarikh ini adalah hanya mewakili kepentingan segelintir iaitu sempena sejarah penubuhan Ibu Umno yang sekaligus tidak zahir daripada pertimbangan yang barangkali adil untuk semua wanita yang realitinya terdiri daripada pelbagai latarbelakang sosial dan ideologi perjuangan serta ideologi politik masing-masing.

Nah, ini antara cabaran kita dalam menyatukan kepelbagaian wanita itu agar upaya duduk semeja bagi membincangkan perihal paling butuh dan paling perlu demi kelangsungan Generasi Hari Esok, yang nantinya bisa belajar bagaimana untuk terus memacu kebangkitan dan kemajuan meski dalam wadah yang cukup berbeda! Iyya, perbedaan itu sesungguhnya tidak wajar merencat apa jua usaha ke arah yang lebih baik, apatah lagi jika kita meletakkan kepentingan kelangsungan warga manusia dan martabat kemuliaan wanita itu sendiri di neraca kewajarannya.

Siapa wanita hari ini dan apa cabarannya?

Bila kita bercakap tentang siapakah wanita itu pada hari ini, maka kita mesti jujur dalam menyatakan siapakah sebenarnya wanita itu. Kita tidak boleh bersikap, bila bicara sahaja soal wanita maka kita terperangkap dalam fahaman wanita itu adalah kita semata-mata. Jika dengan andaian itu, maka tentulah kita sebenarnya gagal untuk sejujurnya memahami, mengenali dan menyantuni segala persoalan yang berhubungkait langsung dengan kehidupan realitas para wanita, sekaligus segala yang berimpak daripada kewujudannya.

Hakikatnya, wanita pada hari ini merupakan entiti rasmi negara yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang sosial, ekonomi dan politik. Ada yang berpendidikan rendah, menengah, tinggi hatta masih ada juga yang buta huruf khususnya di kawasan kampung, desa dan pedalaman terpencil. Ada yang suri rumah, petani, nelayan, peneroka, peniaga hatta mereka yang berkerjaya dengan profesion-profesion tertentu seperti peguam, doktor, jurutera, ahli politik, aktivis Sosial dan seumpamanya.

Ada juga yang akibat desakan hidup mereka terpaksa menjadi pelacur, GRO dan menjual maruah samada untuk meneruskan hidup, tidak kurang juga bagi mengejar status  dan hidup mewah. Ada yang merupakan penagih dadah, penghidap HIV, mangsa dera, mangsa keganasan, mangsa perceraian, gantung tidak bertali, ditinggalkan suami tanpa nafkah (di mana 3.4 juta wanita kita merupakan ibu tunggal), dirogol, dibunuh, dijual dan dilacur  oleh sindiket pemerdagangan manusia yang kita difahamkan Malaysia merupakan salah sebuah negara paling berisiko dengan masalah ini.

Ada yang hidup bebas merdeka, ada juga yang hidup "terpenjara",  terpaksa menjadi "hamba" khususnya kepada sebilangan lelaki tidak bertanggungjawab.  Ada yang terperangkap dengan "cinta nafsu", akhirnya kecundang di bawah sinaran neon kota kosmopolitan lantas terpalit zina  yang kemudiannya pula menjadi pembunuh bayi-bayi mereka yang tidak berdosa.

Wajar juga kita menginsafi dapatan daripada statistik rasmi negara bahawa setiap 17 minit akan lahir seorang anak luar nikah, setiap 15 minit sebuah institusi rumah tangga akan runtuh (berlaku perceraian), setiap hari lebih kurang 10 orang wanita menjadi mangsa rogol, setiap hari 4 orang kanak-kanak akan hilang, setiap 3 orang daripada 6 orang remaja wanita mengaku pernah melakukan hubungan seks haram dan pelbagai data dan statistik yang cukup menggerunkan kita semua!

Nah, rencam bukan? Inilah realiti wanita kita pada hari ini.  Justeru, kita semua kaum wanita seharusnya sedar  yang pelbagai cabaran besar sedang menunggu kita baik pada masa kini hatta pada masa akan datang. Bahkan sepanjang tarikan dan hembusan nafas kita, juga pada setiap derap dan langkah kita adalah perjuangan untuk sebuah kehidupan yang lebih bermakna di dunia dan juga di akhirat kelak.

Apatah lagi tanggungjawab kita bagi memastikan kelangsungan Generasi Hari Esok, maka mahu tidak mahu, suka tidak suka - WAJIB untuk kita berubah dan berusaha sedaya mungkin memperbaiki dan memperelokkannya ; bukan hanya dengan perasaan, bukan lagi hanya dengan perkataan, tetapi kini WAJIB BANGKIT merubahnya dengan TANGAN dan perbuatan! 18 Mac 2012 insya Allah pastikan kita semua menjadi penyumbang kepada suatu Kebangkitan Baru: WANITA SUARA PERUBAHAN!

Keyakinan kita, insya Allah, setiap perjuangan yang benar itu betapa ditekan tetap ia menjalar. Tanpa dibaja kan tetap ia mekar. Tanpa udara sekalipun kan tetap ianya segar. Medium dan seni perjuangan itu luas dakwahnya. Jangan sama sekali disempitkan sesempit aqal yang tumbesarannya bonsai dalam asuhan Regim!

Rumusan saya, cabaran yang menunggu golongan wanita sekarang terlalu banyak.  Maka adunan kecekapan, kemahiran, kebijaksanaan, kesabaran dan kekentalan semangat hatta seni dalam kepimpinan itu kini suatu yang wajib dimiliki oleh setiap diri di kalangan kita para pejuang wanita yang insya Allah nantinya akan memastikan kita  berjaya mengatasi setiap dugaan, ujian dan rintangan. Tanpa segala keinsafan, kesedaran dan sifat-sifat ini, kita tidak mungkin upaya menjadi pencorak dan penentu Generasi yang lebih baik untuk negara serta masyarakat kita pada hari esok.

Bangkitlah Wahai Adik-Adikku Wanita-Wanita Muda.

Bangkitlah Wahai Seluruh Denyut Nadi Dan Srikandi Negara.

Jangan Biarkan Langkahmu Hanya Terhenti Di Rumah! Sungguh, Ummah Sedang Menanti Senimu Dalam Berdakwah. Segala Derita Dan Sengsara Mereka Mesti Disembuh, Mesti Dirawat Dengan Segala Hikmah Dan Fatanah. HIDUP KEBANGKITAN BARU!

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat.

Shahrizat undur tidak kembalikan RM250 juta

Posted: 11 Mar 2012 04:59 PM PDT


KUALA LUMPUR, 11 Mac: Biarpun menyambut baik pengumuman Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk berundur sebagai menteri, namun PAS mengingatkan rakyat bahawa pengunduran itu tidak mampu mengembalikan semula wang yang dipinjam RM250 juta.

Naib Presdien PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, pengunduran Shahrizat yang hanya selepas tamat tempoh senator itu juga, tidak mampu memadamkan skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) yang masih tidak ada sebarang penjelasan.

"(Datuk Seri) Najib tak sambung Shahrizat dengan harapan dapat buang beban yang ditanggung Umno BN.

"Tapi dengan letak jawatan sahaja, tak upaya memulangkan kembali wang rakyat RM250 juta yang dipinjam. Isu ini tetap jd beban kepada mereka," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kenyataan Shahrizat hari ini yang mahu berundur sebagai menteri Menteri Pembangunan Wanita, keluarga dan masyarakat selepas tempoh pelantikannya sebagai senator tamat bulan April ini.

Beliau bagaimanapun akan mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Wanita Umno.

Beban beralih kepada Muhyiddin

Mengulas lanjut Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, isu NFC bukan isu pribadi yang hanya melibatkan Shahrizat, tapi ia berkait soal integriti sebuah kerajaan.

Rakyat ujarnya masih menantikan penjelasan bagaimana dana ratusan juta itu boleh diberikan oleh kerajaan kepada syarikat milik keluarga Shahrizat yang diketahui tidak bepengalaman.

"Ini soal integriti kerajaan dan (Tan Sri) Muhyiddin juga bertanggungjawab kerana beliau menteri pertanian ketika itu yang mempengerusikan jawatankuasa pemilih yang memberikan projek itu kepada syarikat milik keluarga Shahrizat.

"Bersediakan Najib tubuh suruhanjaya diraja siasat timbalannya Muhyiddin," cabar Mahfuz.

PRU13: PAS Johor kemuka 3 calon DHPP

Posted: 11 Mar 2012 04:59 PM PDT


KUALA LUMPUR, 11 Mac: PAS Johor mengemukakan tiga nama calon dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) kepada PAS Pusat untuk menentukan siapa yang akan bertanding dalam PRU13 nanti.

Menurut Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed (gambar), nama-nama berkenaan sudah dihantar kepada PAS Pusat awal Januari lalu.

Tambahnya, salah seorang calon yang dipilih itu nanti akan mengisi kerusi yang pernah dipertandingkan pada pilihan raya 2008.

"Setakat ini kita hanya kemukakan satu kerusi untuk diberi kepada DHPP, dan terpulang pada PAS Pusat untuk memuuskan calon DHPP yang layak untuk kali ini,"katanya kepada Harakahdaily.

Ketika ditanya sama ada PAS Johor kemukakan calon dari kaum India atau Cina, Mahfodz berkata mereka cuba mencari dua calon berkenaan bagaimanapun sehingga kini cuma ada satu kaum sahaja.

Bagaimanapun katanya, langkah itu jelas membuktikan pimpinan Pas mempunyai hubungan erat bersama DHPP di negeri Johor sekali gus serius untuk mengecap kemenangan kerusi yang dipertandingkan.

"Saya yakin dengan hubungan erat antara pucuk pimpinan PAS Johor dengan DHPP negeri akan membolehkan kita (PR) khususnya PAS mengubah fikiran rakyat untuk bersama pakatan pembangkang sekali gus memenangi kerusi yang dipertandingkan dalam PRU13," katanya.

Dalam PRU-12 lalu, PAS Johor meletakkan calon wanita, Kumutha Raman,  pemegang ijazah undang-undang dari Britain bertanding di Dun Tiram.

Pencalonan Kumutha itu membuktikan PAS turut memberi tempat kepada penyokong bukan Islam untuk turut mewakili parti itu.

Baru-baru ini, Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional yang juga penasihat DHPP Dr Mujahid Yusof Rawa menyasarkan enam negeri meletakkan calon bukan Islam dalam pilihan raya akan datang.

Negeri berkenaan ialah Selangor, Johor, Perak dan Kedah di samping Sarawak dan Sabah.

DHPP mempunyai keahlian seramai 20,000 orang merupakan pengukuhan Kelab Penyokong PAS yang ditubuhkan sejak tahun 2005.

Tiada ulasan:

Pengikut