Rabu, 7 Mac 2012

Angkatan Muda Keadilan Gelang Patah, Johor Darulta'zim

Angkatan Muda Keadilan Gelang Patah, Johor Darulta'zim


BANTAHAN RAKYAT

Posted: 07 Mar 2012 12:03 PM PST


Y.A.B DATO' SRI MOHD. NAJIB BIN TUN ABDUL HAJI RAZAK

PERDANA MENTERI

JABATAN PERDANA MENTERI

BLOK UTAMA, BANGUNAN PERDANA PUTRA

62502 PUTRAJAYA

Tarikh : 7hb Mac 2012

Y.A.B Dato' Sri,

BANTAHAN RAKYAT TERHADAP CARA PUNGUTAN DAN KADAR TOL EASTERN DISPERAL LINK ('EDL') JOHOR BAHRU

1 Kami merujuk kepada perkara di atas dimana kami adalah satu pertubuhan gabungan pertubuhan sivil yang ditubuhkan di Johor Bahru, Johor.

2. Untuk pengetahuan Dato Sri', anak syarikat MRCB Bhd telah membina satu lebuhraya baru di Bandaraya Johor Bahru yang dikenali sebagai Eastern Dispersal Link ('EDL') yang dijangka akan dibuka pada bila-bila masa.

3. Lebuhraya EDL ini adalah sepanjang 8.1 km dan kos pembinaan seperti dilapor dalam media semasa adalah RM977 juta. Juga dilaporkan bahawa MRCB telah diberi konsesi selama 34 tahun untuk memungut tol EDL tersebut.

4. Berdasarkan kepada laporan media semasa dan sehingga hari ini tidak pernah dinafikan oleh pihak MRCB, kesemua kenderaan yang masuk keluar CIQ Johor Bahru di Bangunan Sultan Ibrahim akan dikenakan tol sebanyak RM6.20 sehala (2 hala; RM12.40), tidak kira sama ada kenderaan tersebut merupakan pengguna lebuhraya EDL atau tidak.

5. Ini bertambah dengan tol yang sedia ada iaitu tol PLUS sebanyak RM2.90 bermakna setiap pengguna kereta yang masuk keluar CIQ Johor Bahru akan dibebankan dengan jumlah tol sebanyak RM15.30 berbanding dengan RM2.90 yang perlu dibayar sekarang.

6. Justeru itu, Gabungan Tolak EDL telah ditubuhkan oleh sekumpulan penduduk Johor Bahru yang khuatir dengan perlaksanaan tol baru lebuhraya EDL ini dan kesan negatif yang mungkin akan dibawa kepada ekonomi Bandaraya Johor Bahru dan Johor.

7. Kami, telah melancarkan kempen punggutan tandatangan di sekitar Johor Bahru selama dua minggu lepas ini dan dilampirkan di sini untuk perhatian Dato Sri', borang-borang tandatangan yang sempat dipungut oleh gabungan Tolak EDL untuk perhatian dan timbang rasa Dato Sri.

8. Jumlah tandatangan yang dapat dipungut setakat hari ini adalah 15,306 tandatangan.

8. Kami amat harap Dato' Sri selaku Perdana Menteri untuk semua orang Malaysia boleh menimbang rasa hasrat rakyat Johor yang membantah cara pungutan dan kadar tol tinggi EDL ini.

9. Kami, Gabungan Tolak EDL memohon dan menuntut:-

i. Hanya pengguna Lebuhraya EDL sahaja yang patut dikenakan dengan tol dan pengguna jalan lain ke CIQ JB tidak patut menanggung bayaran tol EDL;

ii. Kadar tol yang dikenakan mestilah munasabah dan seimbang dengan kos pembinaan dan jumlah tahun konsensi yang diberi agak tidak membebankan rakyat;

10. Kempen pungutan tandatangan Tolak EDL akan terus berjalan dan akan diserahkan kepada Dato' Sri sehingga tuntutan Gabungan kami diterima oleh pihak kerajaan.

Yang benar,

STEVEN CHOONG

GABUNGAN TOLAK EDL


**** AMK Gelang Patah mengucapkan TAHNIAH kepada Jawatankuasa BANTAHAN RAKYAT TERHADAP CARA PUNGUTAN DAN KADAR TOL EASTERN DISPERAL LINK ('EDL') JOHOR BAHRU yang berjaya mengumpulkan sebanyak 15,182 tandatangan rakyat Johor dan menghantar memorandum bantahan tersebut kepada Perdana Menteri pada 7 Mac 2012.





GHANI RUNSING... MUHYIDDIN PENING... APAKAH KEHADIRAN NAJIB 9 MAC INI PENWARNYA????

Posted: 07 Mar 2012 11:19 AM PST

Walaupun bunyi kenyataan yang Muhyiddin keluarkan tu macam dia yakin Johor takkan terlepas ke tangan Pakatan Rakyat PRU13 nanti, tapi nampak macam jauh di sudut hati kecil dia rasa risau dengan nasib UMNO BN di Johor.

Kalau tengok rekod memang tak sepatutnya UMNO BN risau langsung di Johor. Sebabnya sebagai negeri kelahiran UMNO, UMNO memang cukup kuat di Johor. Bukan setakat UMNO kuat di Johor, PAS dan PKR pula langsung tak kuat.

Biasa sangat dalam pilihanraya sebelum-sebelum ni calon PAS hilang deposit. Bagi calon PAS, kalau boleh dapat balik duit deposit pun dah boleh dikira berjaya.

Tapi tu cerita dulu, cerita berpuluh tahun dulu, sekarang ni dah lain, keadaan dah banyak berubah terutamanya selepas PRU12 kekuatan PAS semakin meningkat di Johor.

Bermula dengan sejarah PAS menang tanpa bertanding di Dun Senggarang pada PRU11 kemudian meningkat menjadi 2 di Dun Maharani dan Sungai Abong pada PRU12. Sejak PRU11 kalau tak salah, calon PAS dah tak lagi hilang wang deposit di Johor dan PAS semakin berkembang pesat di Johor.

Sebab tu lah, Pesuruhjaya PAS Johor Dr. Mahfodz berani pujuk Salahuddin Ayub balik bertanding di Johor untuk PRU13 akan datang. Bukan setakat tu, Dr. Mahfodz siap berani sebut Salahuddin adalah bakal Menteri Besar Johor.

Kalau tak nampak petunjuk yang meyakinkan takkan Dr. Mahfodz berani nak pujuk Salahuddin tinggalkan kerusi yang boleh dikira selamat untuk Salahuddin di Kelantan dan balik bertanding di Johor.

Memang tak hairan lah kalau Muhyiddin Yasin pun rasa risau. Sebagai Timbalan Presiden UMNO dan berasal dari Johor, memang Muhyiddin Yasin patut risau. Kalau ditakdirkan Johor tumbang, memang malu besar Muhyiddin. Mana nak letak muka, UMNO boleh kalah di negeri kelahiran UMNO, negeri yang semua orang terima sebelum ni sebagai kubu kuat UMNO.

Kalau bukan kerana takut kalah, apa perlu mesyuarat tertutup dengan UMNO dan BN Johor. Kalau bukan kerana takut kalah, apa perlu Menteri Besar Johor, Ghani Othman berkampung dua ke tiga hari di setiap kawasan parlimen.

Malaysiakini melaporkan:

Sumber: Mkini

Tiang seri pun, kalau dah dimakan anai-anai mana nak boleh tahan. Betul macam kayu kena makan anai-anai, kalau tengok dari luar mungkin nampak macam biasa tapi sebenarnya dah rompong di dalam. Dan kalau tiang seri pun tumbang dah tentu sebiji rumah akan tumbang sama.

Perdana Menteri yang dikaitkan dengan pembunuhan model Monggolia, Najib Razak dikhabarkan akan melawat tiang seri Umno ini pada 9hb Mac nanti. Apakah kehadiran Najib dapat mengubati kerisauan serta ketidakyakinan pimpinan Umno Johor untuk mempertahankan kubu kuat Umno ini. Sebagai tanda menghormati Umno yang dikatakan lahir di bumi Johor, marilah kita sama-sama menguburkan Umno dibumi Johor ini.....

Lawan tetap Lawan...

MB SELANGOR AKAN BENTANG DOKUMEN TENDER TERBUKA

Posted: 07 Mar 2012 05:04 AM PST

Pembentangan itu akan membuktikan ketelusan kerajaan negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat, Abdul Khalid Ibrahim.
SHAH ALAM: Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau akan membentangkan segala dokumen berkaitan tender dan sebutharga kontrak dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dijadualkan bermula pada 19 Mac ini.
Katanya pembentangan itu akan membuktikan ketelusan kerajaan negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat membabitkan pemberian kontrak sekaligus mengenepikan pelbagai dakwaan dilemparkan penulis blog Raja Petra Kamaruddin.
"Saya tidak mahu selalu menjawab tulisan Raja Petra kerana banyak yang ditulis itu adalah salah," kata beliau ketika mempertahankan integriti dan keberkesanan fungsi Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawaban, dan Ketelusan Selangor (Selcat) selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini hari ini.

Menurut Abdul Khalid, apa yang dilakukan oleh Raja Petra hanya menimbulkan keseronokan kepada masyarakat.
Ujar beliau, "kita akan keluarkan dokumen kerana kerajaan negeri mengamalkan proses ketelusan dari segi pentadbiran. Segala kontrak, tender dan sebutharga sejak tahun 2006 hingga 2010 akan dibentangkan dalam sidang Dun supaya perbincangan dapat dilakukan.
"Raja Petra dapat semak data itu. Angka boleh jadi serupa, malah rundingan tidak telus ini telah dijalankan sejak 30 tahun lalu. Ini bukan perkara luar biasa.
Akta Rahsia Rasmi
"Kita tidak akan bentangkannya di sini (mesyuarat exco) memandangkan kita ada Akta Rahsia Rasmi. Raja Petra tiada undang-undang.
"Saya ada undang-undang. Maka perlu ikut tatacara yang betul. Contoh buat dakwaan tentang pasir tapi orang yang membuat dakwaan tidak hadir ke Selcat," katanya dalam nada sinis.
Laporan akhbar hari ini memetik pendedahan Raja Petra bahawa kerajaan negeri Selangor memberi projek secara rundingan terus dan (bukan tender terbuka) bernilai lebih RM250 juta sejak Pakatan memerintah negeri itu.
Dalam laporan itu, Raja Petra berkata jika kerajaan negeri menafikan dakwaan berkenaan, beliau akan menyiarkan butiran kontrak seperti nombor dan tarikh kontrak serta nama syarikat terbabit dalam blognya atau melaporkan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketika ditanya pemberita adakah tender itu berkait dengan bekas exconya, Datuk Dr Hasan Ali, beliau enggan membuat spekulasi berhubung hal tersebut.
"Tunggu sidang Dun nanti….buat masa ini tiada maklumat dan saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi," katanya.

'Noh menteri kangaroo'

Sementara itu, Abdul Khalid menempelak Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar kerana gagal melaksanakan tanggungjawabnya sebagai warganegara ekoran enggan hadir dalam Selcat.
"Dia (Noh Omar) menteri kangaroo. Kata nak selesai masalah, kata ada fakta dan mahu keluarkan fakta. Tapi beliau enggan hadir dalam Selcat dan mendedahkan fakta yang beliau dakwa sebelum ini," ujar Abdul Khalid.
Ditanya mengenai pelantikan ahli majlis di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang ditunda hari ini, Abdul Khalid berkata majlis angkat sumpah itu akan diadakan dalam masa terdekat oleh Datuk Bandar.
"Tiada cerita bahawa ada ahli yang tidak puas hati. Saya berharap Datuk Bandar berpuas hati dengan pelantikan itu dan acara angkat sumpah dijalankan dalam tempoh masa dua tiga hari ini," katanya ketika ditanya tentang dakwaan tiga ahli PKR yang memprotes pelantikan ahli majlis MBPJ yang baru itu.

KETUA AMK PERSOAL KENAPA RAZAK BAGINDA TIDAK DIPANGGIL MEMBELA DIRI...

Posted: 07 Mar 2012 05:02 AM PST

Adakah kerana Abdul Razak Baginda merupakan rakan rapat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyebabkan individu itu tidak dipanggil untuk membela diri dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu?
Itu persoalan diajukan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin berhubung keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Zaki Md Yasin tidak memanggil Razak Baginda membela diri dalam kes pembunuhan kejam berkenaan.
Ini kerana katanya, asas kepada kes itu ialah tindakan Abdul Razak Baginda meminta Ketua Pengawal Peribadi Najib, Musa Safri menangani apa yang didakwanya sebagai ugutan wanita itu terhadapnya.
"Persoalannya juga, mengapa Razak Baginda tidak melaporkan kes ugut itu terus kepada polis," soal Shamsul yang juga seorang peguam ketika dihubungi Keadilandaily.com hari ini.

Beliau mengulas mengenai penghakiman penuh yang ditulis oleh Hakim Mohd Zaki setebal 70 muka surat.
Antara lain, Mohd Zaki mengakui Abdul Razak, yang juga seorang penganalis politik, mungkin mempunyai motif untuk membunuh Altantuya kerana wanita tersebut pernah mengugutnya.
Namun hakim tersebut memutuskan ia tidak boleh menjadi asas kepada mahkamah memanggil tertuduh berkenaan untuk membela diri.
Sedangkan kata Shamsul, hakim sendiri mengakui tertuduh itu mungkin mempunyai motif membunuh Altantuya.
"Dalam sesuatu kes jenayah, ia mesti ada niat dan niat itu pula akan disusuli dengan tindakan
"Hakim sepatutnya panggil Razak Baginda membela diri dan memberi keterangan berhubung motifnya dalam kes ini," katanya lagi.
Dalam penghakiman penuh tersebut, hakim Mohd Zaki menjelaskan sebab dua anggota polis dari Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman bunuh.
Mohd Zaki juga menyatakan keadaan si mati yang dibunuh itu adalah tragis, dan "mereka yang melakukan perbuatan terkutuk ini di mana mangsa diletupkan adalah bertujuan untuk menghapuskan bukti".
Azilah dan Sirul Azhar, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April, 2009, selepas mendapati mereka bersalah membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja antara 9.45 malam pada 18 Okt, 2006, dan 9.45 malam hari berikutnya.
Kedua-dua mereka yang merupakan anggota komando Unit Tindakan Khas polis, kemudiannya memfailkan rayuan mereka di Mahkamah Rayuan.
Abdul Razak Baginda pula dituduh bersubahat dengan mereka dalam pembunuhan wanita Mongolia itu, namun dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober, 2008, tanpa dipanggil membela diri.
Sepanjang perbicaraan selama 159 hari Sirul Azhar dan Azilah Hadri enggan mendedahkan muka.

SELANGOR UJUDKAN DANA PENDIDIKAN BERJUMLAH RM10JUTA

Posted: 07 Mar 2012 04:54 AM PST

Kerajaan Negeri Selangor menyediakan Tabung Pendidikan anak-anak syarikat dan badan-badan berkanun negeri untuk memberi biasiswa, dermasiswa dan sebarang bentuk bantuan serta sumbangan kepada warga kerja anak-anak syarikat kerajaan negeri dan anak-anak mereka yang berkelayakan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Tabung Pendidikan Anak-anak Syarikat Negeri Selangor ini adalah salah satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) selaras dengan hasrat dan aspirasi Kerajaan Negeri Selangor merakyatkan ekonomi dan menjadi sebuah negeri maju, sejahtera dan berkebajikan," kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Katanya, dana permulaan tabung itu berjumlah RM10 juta yang disumbangkan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Kumpulan Darul Ehsan Berhad/Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS).

Beliau berkata, Tabung Pendidikan Anak-anak Syarikat Negeri Selangor yang berkuatkuasa pada November tahun lalu dan akan dirasmikan Sultan Selangor pada tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

ISU NFC LAGI : DANA NFC BELI LOT KEDAI DI BANGSAR HAMPIR 10JUTA

Posted: 07 Mar 2012 04:53 AM PST

KUALA LUMPUR 7 Mac: KEADILAN tampil mendedahkan tindakan Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation (NFC) membeli lapan unit hartanah komersil di Bangsar, Kuala Lumpur, dengan menyalahgunakan pinjaman mudah oleh kerajaan.

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, dana NFC tersebut dijadikan cagaran oleh Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail untuk membeli 8 unit kedai di KL Eco City dengan harga keseluruhan RM 9.69 juta.

Katanya, cara itu dilakukan bagi mendapatkan pinjaman peribadi atas nama keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, termasuk pembelian hartanah berkenaan.

"Modus operandi digunakan mudah, sejumlah besar dana NFC didepositkan ke dalam bank tertentu sebelum keluarga shahrizat membuat pinjaman pembiayaan peribadi membeli hartanah mewah di bawah nama mereka, walau secara peribadinya, mereka tiada simpanan kukuh di bank tersebut," katanya dalam sidang media di pejabat KEADILAN hari ini.

Beliau memberi contoh bagaimana suami Shahrizat yang mempunyai simpanan RM421 di sebuah bank mendapat pinjaman peribadi berbaki RM4,391,240, dengan bukti-bukti pendedahan hari ini turut diedar kepada media.

Menurutnya lagi, KEADILAN menganggarkan harga pasaran semasa bagi unit hartanah berkenaan boleh mencecah sehingga RM12 juta

"Kaedah menyalahguna dana awam bagi mendapatkan pinjaman peribadi atas deposit dana NFC seperti ini, menyalahi mandat yang diberi kepada NFC untuk membangunkan projek berkepentingan nasional.

"KEADILAN juga bimbang melihatkan rekod buruk pembayaran pinjaman termasuk tidak membayar bayaran pinjaman pada Julai dan Ogos dan turut diulangi Disember lalu," katanya.

Justeru itu, beliau mendesak Datuk Seri Najib Razak menunaikan janjinya membekukan semua aset NFC termasuk simpanan tetap berjumlah RM71.4 juta.

"Memandangkan simpanan tetap ini berkait rapat dengan pembelian harta-harta peribadi, pengurusan NFC dan Shahrizat sebagai wakil keluarganya perlu menjamin sebarang masalah pembayaran pinjaman peribadi mereka, tiada kesan pada dana awam yang disimpan dalam bank," katanya lagi.

DI PUSAT ISU NFC... DI JOHOR ISU KFC... BUKTI UMNO SEMAKIN KALUT

Posted: 07 Mar 2012 12:10 AM PST


PAS Johor terus mendesak syarikat kerajaan negeri (GLC), Johor Corporation (JCorp) membatalkan cadangannya untuk mengambil alih KFC Holdings Bhd (KFC) dan QSR Brands Bhd (QSR) melalui syarikat tujuan khas, Massive Equity Sdn. Bhd. (MESB).


Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, pengambilalihan itu memberikan implikasi yang besar kepada bumiputera apabila 49% saham dalam KFCH dan QSR akan terlepas kepada warga asing melalui pemilikan 49% saham oleh CVC Capital Partners dalam MESB.

"Implikasi yang sangat besar apabila kepentingan QSR dan KFCH terlepas kepada pihak asing adalah nasib ratusan kontraktor bumiputera yang dibimbing oleh JCorp bagi membekalkan barangan kepada rangkaian restoran KFC, Pizza Hut, Ayamas dan RasaMas termasuk juga penternak-penternak ayam kontraknya," kata beliau kepada Harakahdaily.

Tambah beliau, pengambilalihan tersebut akan menambahkan hutang JCorp samada di peringkat syarikat atau kumpulan sebanyak RM5.2 bilion.

"JCorp sekarang ini mempunyai tunggakan hutang sebanyak RM6 bilion dan RM3.58 bilion perlu dijelaskan pada Julai ini bilamana bon yang diterbitkan pada tahun 2002 akan matang.

"Adalah satu tindakan yang tidak berhemah dan bijaksana dalam keadaan beban hutang yang banyak sepatutnya strategi yang diambil adalah untuk mengurangkan beban hutang bukan sebaliknya," katanya.

Dalam pengambilalihan ini, JCorp berkerjasama dengan CVC Capital Partner Asia Pacific (GVC) bagi menubuhkan MESB.

JCorp memegang 51 peratus kepentingannya manakala 49 peratus dipegang oleh CVC.

CVC merupakan sebuah firma ekuiti persendirian dan peunding pelaburan asing yang ditubuhkan di London pada tahun 1981 sebagai firma modal teroka kepada Citigroup (Citigroup Venture Capital-CVC) milik Yahudi.

MB Johor berbohong

Sementara itu, Dzulkefly (gambar) turut mendakwa Menteri Besar Johor, Abdul Ghani Othman yang juga Pengerusi JCorp berbong dalam kenyataannya baru-baru ini.

Abdul Ghani menyatakan bahawa CVC dipilih sebagai rakan kongsi dalam pengambilalihan ini, bukan Lembaga Tabung Haji (LTH) atau Felda kerana CVC mempunyai prestasi cemerlang dan berpengalaman luas dalam menguruskan perniagaan sama dan membuat pelaburan di rantau ini.

"Kenyataan ini merupakan satu pembohongan kerana CVC adalah syatikat ekuiti persendirian dan perunding pelaburan bukannya pengendali rangkaian restoran makanan segera. CVC sebenarnya tidak mempunyai pengalaman langsung dalam mengendalikan perniagaan rangkaian restoran makanan segera," katanya.

Abdul Ghani juga berkata proses pengambilalihan adalah sebahagian dari "Proses Rasionalisasi" perniagaan JCorp agar bahagian tertentunya menumpu kepada perniagaan utama seperti Kulim (M) Bhd. tidak lagi terlibat dalam perniagaan runcit makanan tetapi menumpukan kepada perniagaan utamanya sahaja iaitu perladangan.

Jelas Dzulkefly, proses rasianolisasi dilaksanakan di dalam dunia korporat apabila sesuatu organisasi perniagaan menghadapi masalah di dalam pentadbirannya atau perniagaannya tidak mencapai sasaran prestasi yang diharapkan.

"Dalam kes QSR dan KFCH, kedua-dua syarikat adalah merupakan syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia yang telah mencatatkan prestasi perniagaan yang sangat baik dari segi jualan, keuntungan dan jumlah bilangan outletnya sepanjang berada di bawah pengurusn Kulim (M) Bhd.

"Dengan kata lain QSR dan KFCH bukanlah syarikat yang "tenat atau sakit" tetapi sebaliknya adalah merupakan "syarikat lubuk emas JCorp" dengan jualan kasar mencecah RM3 bilion setahun," jelasnya.

Sehubungan itu, satu memorandum diserahkan ke pejabat Menteri Besar Johor, Khamis lalu oleh Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad disertai kira-kira 200 orang wakil PAS dari setiap daerah.

Dzulkefly juga berkata, siri jelajah juga akan diadakan ke setiap daerah bagi menjelaskan isu melibatkan kepentingan bumiputera itu.

"Rakyat Johor perlu sedar bahawa JCorp adalah syarilat GLC milik mereka, bukannya milik Umno BN yang boleh difaraidkan sesuka hati mereka.

"Ia adalah milik khazanah rakyat Johor yang perlu sentiasa dipelihara dan dipertahankan," katanya.

sumber: Harakahdaily

SIAPA YANG ARAH BUNUH ALTANTUYA

Posted: 06 Mar 2012 11:35 PM PST

KUALA LUMPUR, 6 Mac: KEADILAN mempersoalkan penghakiman penuh kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibu yang tidak menyatakan motif pembunuhan secara langsung wanita berkenaan.

Naib Presiden KEADILAN, N Surendran berkata, dalam sistem keadilan, motif pembunuhan amat penting untuk merujuk apakah niat tertuduh melakukan jenayah tersebut.

"Ia juga berkait rapat siapa lagi yang terlibat di sebalik pembunuhan ini dan siapa yang mengarahkan suspek melakukan pembunuhan," katanya ketika dihubungi Keadilan Daily.

Semalam, Hakim dalam kes pembunuhan kejam Altantuya Shaariibuu tidak menyentuh secara langsung mengenai motif dua anggota polis yang dituduh membunuh wanita Mongolia itu dalam penghakiman penuh selepas memberikan keputusan perbicaraan berkenaan dua tahun lalu.

"Walau apapun motif itu, ia adalah perkara undang-undang di mana motif walaupun releven, adalah tidak penting untuk pembunuhan itu dijalankan," kata Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Zaki Md Yasin dalam penghakiman bertulisnya setebal 70 mukasurat.

Beliau bagaimanapun menyatakan seorang dari tiga tertuduh iaitu Abdul Razak Baginda mungkin mempunyai motif untuk membunuh Altantuya kerana wanita tersebut pernah mengugut penganalisis politik itu.

Namun, hakim berkata ia tidak boleh jadi asas kepada mahkamah memanggil tertuduh berkenaan untuk membela diri.

Mengulas lanjut, Surendran berkata tindakan mahkamah itu menimbulkan banyak persoalan adakah ia percubaan untuk melindungi pihak lain yang didakwa terlibat dalam kes berkenaan.

"Kita lihat ia (penghakiman penuh itu) sesuatu yang aneh. Kita tak tahu apa motif mahkamah," ujarnya.

Mayat Altantuya dijumpai diletupkan dengan bahan peledak C4, yang hanya boleh diperoleh dari kementerian pertahanan, di Hutan Simpan Puncak Alam, Shah Alam pada Oktober 2006.

Dalam kes itu, tiga tertuduh dihadapkan ke mahkamah, termasuk Abdul Razak Baginda- kenalan rapat perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Abdul Razak kemudian dibebaskan oleh mahkamah pada Oktober 2008 tanpa diarah membela diri.

Bagaimanapun, dua anggota polis dari Unit Tindakan Khas – Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar , didapati bersalah dan dijatuhi hukuman gantung.

Pada 2009, seorang bekas anggota cawangan khas, P Balasubramaniam yang juga pernah bertugas untuk Abdul Razak mengaitkan pembunuhan Altantuya dengan Abdul Razak dan Najib dalam akuan bersumpahnya.

Tiada ulasan:

Pengikut