Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan |
- M’sia sekongkol syarikat urus niaga dengan Israel
- Hai Siri 4
- Hukuman tidak patah semangat bantah ISA
- Ceramah Di Machang
- PAS bersama tangisan, derita rakyat Palestin
- Tengku Mahkota rasmi Tahun Melawat Kelantan
M’sia sekongkol syarikat urus niaga dengan Israel Posted: 22 Feb 2012 08:04 PM PST KUALA LUMPUR, 23 Feb: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) kesal dan membantah keras dasar kerajaan mengizinkan syarikat Malaysia berurusniaga dengan syarikat atau kerajaan Israel. "Kerajaan Malaysia tidak boleh berlepas tangan dengan mengatakan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel tetapi merestui syarikat Malaysia mengadakan hubungan perniagaan dengan Israel," kata Pengerusi Shura, Abdul Ghani Samsuddin (kanan) dan Setiausaha Agung Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid (kiri) dalam kenyataan bersama kepada Harakahdaily. Ini, kata mereka sama dengan mengatakan sebuah ketua rumah tidak mahu mengiktiraf perompak tetapi membenarkan anggota keluarganya berurusan dengan perompak untuk mendapat keuntungan bersama. "Apakah kerajaan boleh menganggap dirinya bersih dari menyokong ekonomi Israel dengan hanya mengatakan dia tidak mengiktiraf Israel tetapi masih mahu mengadakan hubungan ekonomi dengan sebuah negara haram iaitu Israel? "Bukankah ini merupakan polisi hipokrit?" soal mereka. Ini, menurut mereka dalam satu ketika Malaysia tidak mahu mengiktiraf Israel namun dalam ketika yang lain turut menyumbang kepada aktiviti ekonomi Israel. "Kami dengan ini mendesak kerajaan Malaysia mendedahkan semua syarikat semada milik swasta yang bertapak di Malaysia atau mana-mana syarikat GLC yang mengadakan urusniaga dengan mana-mana syarikat Israel," tegas mereka. Kerajaan juga, kata mereka hendaklah mendedahkan apakah barangan dan perkhidmatan Israel yang masuk ke Malaysia melalui pihak ketiga seperti Singapura dan Thailand. Bagi mereka, kerajaan perlu telus mengenai urusniaga yang dijalankan antara syarikat-syarikat Malaysia dan Israel serta hendaklah mendedahkan berapakah nilai perniagaan yang dilakukan antara pihak-pihak berkenaan dengan Israel. "Kami tidak dapat menerima alasan kerajaan bahawa urusniaga syarikat swasta dengan Israel tidak boleh dikawal," kata mereka lagi. Mereka menambah, dengan segala kelulusan yang berkaitan dengan import dan eskport yang pasti melalui agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, perdagangan dengan Israel sememangnya boleh dipantau dan dihalang. "Kami mendesak supaya suatu dasar yang jelas mengenai larangan berusniaga dengan mana-mana syarikat Israel hendaklah ditetapkan dengan jelas dan tegas. "Kami mengutuk keputusan pihak berkuasa yang membenarkan kapal syarikat Israel berlabuh di pelabuhan Klang," ujar mereka lagi. Mereka mempersoalkan jika Gaza dikenakan dasar kepungan (blockade) sepenuhnya oleh tentera Israel sehingga tidak memungkin mana-mana kapal luar mendekati pantai Gaza, kenapa Malaysia dengan mudah membenarkan kapal Israel berlabuh di perairan Malaysia. "Bukankah ini menunjukkan Malaysia tidak konsisten dengan penentangannya terhadap Israel?" soalnya. Justeru, tegas mereka Mapim dan Shura mendesak supaya kerajaan tidak membenarkan mana-mana kapal perdagangan Israel masuk ke dalam perairan Malaysia. "Mengizinkan kapal Israel berlabuh walaupun tidak membenarkan krewnya mendarat tidak membawa erti apa-apa kerana yang jelas ialah kebenaran memasuki perairan Malaysia itu sendiri sudah memberi mesej bahawa Malaysia merestui dan mengiktiraf Israel," ujarnya. |
Posted: 22 Feb 2012 08:03 PM PST |
Hukuman tidak patah semangat bantah ISA Posted: 22 Feb 2012 08:01 PM PST KUALA LUMPUR, 23 Feb: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melahirkan rasa simpati kepada 11 orang tahanan himpunan aman membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tahun 2009 yang dikenakan hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam. "Bagi DPPM, hukuman yang dikenakan tidak akan mematikan semangat perjuangan jutaan rakyat yang bangkit dalam himpunan terbabit kerana sememangnya ISA diterima rakyat sebagai akta yang zalim dan menindas rakyat," kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor kepada Harakahdaily. Malah, katanya DPPM percaya rakyat semakin bersemangat dan berkobar-kobar menantikan himpunan lain dalam menentang sebarang bentuk kezaliman yang berlaku. Menurutnya, mereka yang terlibat dan ditahan itu benar-benar membuktikan bahawa perjuangan menuntut keadilan bukan suatu perjuangan yang kecil dan ringan, melainkan ia menuntut pengorbanan yang besar, sekalipun terpaksa mendekam dalam penjara besi atau didenda serta dikenakan hukuman yang berat. Justeru, ujarnya DPPM mengharapkan hukuman yang dikenakan itu tidak melemahkan semangat juang para aktivis terbabit, sebaliknya ia menjadi suatu inspirasi kepada mereka untuk terus gigih berjuang menentang sebarang bentuk kezaliman di negara ini. Tambahnya, tidak ada istilah lemah semangat atau berundur sebelum memastikan negara ini benar-benar bebas dari penindasan. "Sejarah akan mengenang semua tahanan ini sebagai contoh insan yang begitu prihatin dan peka terhadap suasana yang berlaku di negara ini," ujarnya. Menurutnya lagi, mereka adalah di antara golongan yang tidak rela akta zalim dan kejam yang menafikan hak tahanan daripada dibicarakan di mahkamah terbuka. "DPPM mengharapkan para aktivis terbabit serta rakyat seluruhnya supaya bersabar seketika sehingga PRU ke-13 dalam menghadapi pelbagai bentuk cabaran," ujarnya. Katanya, DPPM memberi jaminan, Pakatan Rakyat akan memastikan ISA akan dihapuskan seluruhnya apabila mentadbir Putrajaya kelak serta kebebasan rakyat dalam mengadakan himpunan aman. |
Posted: 22 Feb 2012 08:01 PM PST |
PAS bersama tangisan, derita rakyat Palestin Posted: 22 Feb 2012 07:59 PM PST KUALA LUMPUR, 22 Feb: PAS hari ini menegaskan lagi pendirian untuk kekal bersama 'tangisan, air mata dan derita rakyat di Palestin bagi memperjuangkan sebuah negara merdeka'. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) menegaskan bahawa keselamatan rakyat Palestin tetap menjadi agenda utama, kerana nyawa, harta dan tanah air mereka terus diganyang oleh Israel. "Justeru semua pihak perlu memberi jaminan keselamatan kepada rakyat Palestin dari kebiadaban rejim Israel," tegas beliau. Mengenai pertemuan antara Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata pertemuan itu adalah bertujuan untuk membuka ruang penjelasan kepada Anwar berhubung kenyataannya dalam Wall Street Journal pada penghujung Januari lalu. "Seperti yang ditegaskan Mursyidul Am PAS, PAS sekali lagi ingin menegaskan pendirian parti bahawa kita tetap bersama rakyat di Palestin yang berjuang bagi mendapatkan balik hak negara mereka yang telah dirampas oleh rejim Israel," kata Pesuruhjaya PAS Pahang itu. Tuan Ibrahim juga menegaskan bahawa PAS berpendirian bahawa apa jua perancangan masa depan negara Palestin hendaklah mengambil kira pendirian Hamas yang telah menerima mandat rakyat. PAS, tegasnya juga menolak road map yang ditaja oleh kuasa Barat dan mana-mana pihak yang terlibat, yang sedang memaksakan penyelesaian road map ke atas Palestin dan seluruh dunia. Beberapa pemimpin Umno, termasuk ketua pemudanya Khairy Jamaluddin dan anak Tun Dr Mahathir, Datuk Mukhriz Mahathir semalam mengaku bahawa Malaysia sememangnya ada hubungan perdagangan dengan Israel. Khairy berkata, kerajaan mempunyai polisi dan pendirian yang jelas bahawa Malaysia tidak mempunyai hubungan politik dan diplomatik dengan Israel. "Sebagai seorang ahli parlimen, saya sedar bahawa ada hubungan perdagangan antara Malaysia dan Israel tetapi ia adalah hubungan antara syarikat. "Saya harap perkara ini dapat diketahui umum bahawa kita berdagang bukan kerana kita sokong Israel tetapi ini keperluan dari segi globalisasi," katanya. Selain menolak kenyataan bloger Umno, kenyataan Khairy juga menolak kenyataan pihak pengurusan Perlabuhan Klang baru-baru ini. Westport, Port Klang melalui Ketua Korporatnya, Mejar (B) Manisegaran seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian mengakui kehadiran Kapal Israel, ZIM Integrated Shipping Services Ltd yang berlayar dari Israel. "PAS mengecam tindakan bermuka-muka kerajaan Barisan Nasional yang diterajui yang berterusan berurusniaga atau menjalin apa saja hubungan dengan rejim Israel, ketika mana rakyat di Palestin terus dibunuh dan ditekan," tegas Tuan Ibrahim. |
Tengku Mahkota rasmi Tahun Melawat Kelantan Posted: 22 Feb 2012 07:58 PM PST KOTA BHARU, 23 Feb: Tengku Mahkota Kelantan akan mewakili Sultan Muhammad Ke-V merasmikan Tahun Melawat Kelantan (TMK@12) pada 2 Mac ini. Acara yang bakal bermula 9.00 malam pada sesi sebelah malam itu akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan (gambar) memberitahu, program penuh bermakna itu akan diserikan dengan persembahan hiburan. "Kita menjemput artis tidak asing lagi, Papa Rock Malaysia Ramli Sarif, artis Indonesia Opic dan Kumpulan Nasyid Al-Walid bagi mewarnai majlis yang penuh gemilang ini," ujarnya. Katanya, akan turut serta Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta pimpinan kerajaan negeri untuk sama-sama memeriahkan majlis ini. Takiyuddin juga turut menambah, pada 2 Mac juga berlangsung acara majlis kuliah yang berpusat di Medan Ilmu yang bermula sejak jam 8.00 pagi. Menurutnya, ceramah agama akan disampaikan pendakwah terkenal, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz dan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bermula jam 9.30 pagi. "Manakala di Medan Ilmu juga motivasi terkenal Ustaz Azhar Idrus bakal menyampaikan kuliah 'Perdana Belia' kira-kira jam 5.00 petang. "Malah khutbah Jumaat khas yang bertajuk Pelancongan Adalah Sunnah akan disampaikan di semua masjid di seluruh negeri ini," ujarnya. Ketika ditanya berhubung perkembangan pelancong yang mengunjungi negeri ini dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, beliau berkata ianya begitu membanggakan. Katanya, maklumat yang diperolehi dari Pusat Penerangan Pelancongan (TIC), memberitahu perkembangan begitu positif apabila kadar kehadiran pelancong begitu bertambah berbanding biasa pada tempoh yang sama tahun lalu. Tegasnya, perkembangan itu dapat dilihat sewaktu musim cuti Tahun Baru Cina dan cuti umum baru-baru ini. "Kita menjangkakan dengan perkembangan awal ini target kita untuk mencapai kedatangan pelancong ke negeri ini antara 5.8 juta hingga 6 juta orang akan berjaya," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan