Rabu, 22 Februari 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


55 tahun Islam dimartabatkan cara Umno

Posted: 21 Feb 2012 06:32 PM PST


PAS menyahut cabaran Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak, meminta umat Islam memilih kerajaan yang mampu menjamin, memelihara serta memartabatkan kesucian agama Islam pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang ketika menyampaikan ucaptama Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan 2012. Wajib diketahui bahawa Islam adalah daripada Allah untuk seluruh alam termasuk manusia seluruhnya. Islam bukan ciptaan manusia samada manusia itu ahli PAS atau ahli UMNO atau bukan ahli mana-mana parti, termasuk manusia itu bertaraf ulama di sepanjang zaman dan mereka tidak diizinkan mencipta ajaran Islam sendiri. Mencipta ajaran sendiri yang dianggap setanding atau setaraf ajaran Islam daripada Allah adalah perkara syirik dosa besar. Firman Allah :

أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللَّهُ وَلَوْلَا كَلِمَةُ الْفَصْلِ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (21) الشورى.

21.  Apakah mereka mempunyai sekutu-sekutu selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka ajaran agama yang tidak diizinkan Allah? sekiranya tidak ada ketetapan yang menentukan (dari Allah) tentulah mereka telah dibinasakan. dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih.

Allah telah melantik Nabi Muhammad s.a.w rasul akhir zaman supaya membawa Islam ciptaan Allah serta menyampaikan Islam itu dan menafsirkan cara pelaksanaannya secara amali yang dijamin istiqamahnya dengan sifat kerasulan yang wajib terpelihara. Walaupun Allah mewafatkan Rasulullah s.a.w, namun petunjuk Islam yang sempurna tetap dipelihara Allah dalam kitabNya dan difahami oleh kumpulan yang mendokongnya. Pelaksanaannya adalah mengikut acuan daripada Allah, maka acuan yang dicipta selain daripadanya adalah palsu dan bohong.

Sejarah Islam membuktikan, hanya bangsa dan umat yang dibentuk peribadi, keluarga, masyarakat dan negaranya mengikut Islam sahaja, iaitu acuan Allah bukan acuan ciptaan manusia dan cara pelaksanaannya berpandukan Rasulullah s.a.w dan generasi awal yang mengikut jejak langkahnya, mancapai martabat yang mulia dan memperkasakan umat yang beramal dengannya di sepanjang zaman sehingga mampu mengambil alih memimpin dunia yang dirosakkan oleh tamadun sesat. Pemimpin negara yang berpegang dan beramal dengan Islam yang sempurna itu menjadi kuasa besar yang memimpin dunia.

Walau bagaimanapun, kejatuhan umat Islam di zaman mutakhir selepasnya, berlaku selepas penganut Islam meninggalkan ajaran Islam yang sempurna akibat penyelewengan pemimpin dan kerajaannya, menyebabkan tanah air dan bangsa yang menganut Islam dijajah dan dihina. Penjajah mengambil kesempatan di zaman penguasaannya, setelah gagal memurtadkan  umat Islam dengan menukar agamanya walaupun secara paksa. Lalu mereka  menukar cara dengan mengubah acuan baru pelaksanaan Islam bagi umat Islam secara halus dan licik, iaitu dengan cara melaksanakan Islam secara terpilih, beramal dengan sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain, sehinggalah ke peringkat percaya kepada sebahagian dan tidak percaya kepada sebahagian yang lain. Mereka menerapkan dasar dan konsep sekularisme yang memisahkan urusan duniawi dalam agama Kristian di negara mereka  ke dalam agama Islam yang dibentuk acuan pelaksanaannya terhadap umat Islam.

Maka Islam yang sempurna, lengkap dan berkuasa memandu seluruh urusan kehidupan, khususnya pentadbiran negara dihapuskan. Kuasa yang dinamakan agama Islam dibelenggu di bawah Jabatan Agama yang dihadkan bidangnya sekadar urusan ibadat yang terhad, undang-undang  keluarga Islam, harta pusaka dan wakaf, seterusnya Jabatan Hal Ehwal Agama diberi peranan bertindak mengawal sebarang kegiatan yang bersifat politik, ekonomi dan ajaran yang berkait dengan cara hidup mengikut syariat Islam yang memperkasakan umat Islam, disekat dengan undang-undang yang dinamakan Islam juga, bagi mengawasi khutbah jumaat dan pengajian agama. Akhirnya umat Islam jahil agamanya sendiri, para ulamanya lemah, akhirnya hilang martabatnya dan menjadi bangsa yang lemah.

Namun di setiap tanah air umat Islam muncul kumpulan yang mempertahankan Islam dan menentang penjajah di atas nama Islam dan bercita-cita Islam, walaupun ramai kalangan mereka yang gugur syahid di medan jihad, ditali gantung, dibuang negeri dan dipenjara. Akhirnya penjajah mengaku bahawa mereka terpaksa berundur dan mesti kembali pulang ke negeri masing-masing, tetapi kepentingan mereka wajib dipertahankan. Penjajah Barat yang bersikap musuh terhadap Islam dan penganutnya kerana sesat dan dengkinya tidak berundur dengan percuma, tetapi berundur dengan perancangan pula bagi menghalang wujudnya kuasa Islam yang benar-benar berwibawa memperkasakan umat Islam yang dikira mencabar kuasa Barat. Mereka tetap bersifat hasad dan bermusuh sehingga hari kiamat, begitulah pesanan Allah dalam surah Baqarah:

وَلَا يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّى يَرُدُّوكُمْ عَنْ دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُوا وَمَنْ يَرْتَدِدْ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُ هُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآَخِرَةِ وَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُون

217. Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) memesongkan kamu daripada agama kamu, seandainya mereka mampu. Sesiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.

Ayat ini tidak terhad pengajarannya di zaman Rasulullah s.a.w ketika berlakunya sebab tetapi pengajarannya berpanjangan sehingga hari kiamat. Kitab Mustika Hadis jilid kedua terbitan Jabatan Perdana Menteri, terus menjadi teks kuliah dan usrah kalangan ahli PAS, dalam bab perkara merosakkan iman menyatakan bahawa penyelewengan agama yang menghilangkan martabat umat Islam bukan sehaja keluar daripada agama Islam secara menyeluruh dengan menganut agama lain, bahkan berlaku pada setiap satu ajaran Islam daripada keseluruhannya termasuk perkara sunat. Inilah perancangan penjajah.

Lord Cromer ketua pentadbir penjajah Inggeris di Mesir dan Sudan di zaman penjajahannya menegaskan bahawa: "Pihak Barat yang terpaksa berundur, akhirnya terpaksa memberi kemerdekaan kepada tanah jajahan hendaklah merancang supaya pemimpin kerajaan selepas merdeka terdiri daripada kalangan bangsa anak negeri yang berpendidikan dan berpelajaran Barat dan boleh meneruskan dasar dan polisi Barat yang mengekalkan pengaruhnnya sehingga selepas diberi kemerdekaan, seterusnya menghalang kuasa politik Islam bertapak semula ".

UMNO adalah parti yang dipilih oleh penjajah British untuk menjadi teras kerajaan Malaysia setelah diberi kemerdekaan dan wajib diberi kekuatan untuk menang pilihanraya selama-lamanya, supaya martabat umat Islam terus lemah tidak bermaya walaupun telah mencapai kemerdekaan dan penjajah kulit putih tidak ada lagi. Inilah akibat yang menimpa umat Islam selepas lebih lima puluh tahun mencapai kemerdekaan, membina bangunan agama pada zahirnya tetapi merobek dan meruntuh sehingga melemahkan jati diri pada hakikatnya, seterusnnya boleh menjatuhkan martabat umat.

Islam yang dibawa ke rantau ini oleh para pendakwah yang berjasa, adalah Islam yang sempurna sehingga melahirkan raja-raja dan para ulama yang berjasa. Mereka menentang penjajah sejak kejatuhan Melaka pada tahun 1511. Perjuangan kemerdekaan bukannya bermula dengan penubuhan UMNO pada tahun 1946. Sejarah telah diputar belit oleh penjajah dan disambung oleh UMNO. PAS ditubuhkan menjadi mata rantai perjuangan Islam menentang penjajah, ramai kalangan penaja dan pemimpin yang menubuhkan PAS adalah bekas tahanan penjajah, saki-baki daripada para ulama dan raja-raja Melayu yang dibunuh, dibuang negeri dan dihilangkan dalam lipatan sejarah. PAS mengambil pendekatan secara damai cuba membetulkan kemerdekaan dengan memorandum bersama kumpulan Islam sehingga meletakkan beberapa perkara dalam perlembagaan, iaitu Islam agama persekutuan, hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan raja berpelembagaan. Namun UMNO yang menjadi pemimpin utama, telah menyebabkan berlakunya terhadap umat Islam seperti yang ada pada hari ini.

Islam dikekalkan oleh UMNO mengikut acuan penjajah selepas mengambil alih kepimpinan negara. Pendidikan Islam yang dilumpuhkan oleh penjajah, disambung kerjanya oleh UMNO sehingga sekolah agama rakyat yang menjadi kubu Islam dilemahkan, tulisan jawi berhuruf arab yang menjadi bahasa agama serantau dilemahkan oleh UMNO sehingga hampir hendak disimpan ke dalam muzium. Sekolah-sekolah agama sebelum dan di awal kemerdekaan yang ditubuhkan oleh para ulama sehingga melahirkan pelajar yang boleh berbahasa arab setaraf dengan orang arab, dipinda sistemnya selepas merdeka, sehingga melahirkan pelajar yang lemah bahasa arabnya dan cukup layak menjadi ulama muda terompah kayu UMNO yang diguna pakai sementara kemudian dibuang tanpa maruah. Hukum Islam dipinggirkan pelaksanaannya sehingga keruntuhan moral kalangan umat Islam paling meningkat. Jabatan agama pula lebih berperanan seperti zaman penjajah untuk mengawal kegiatan dakwah di masjid dan surau yang mengancam sekularisme sehingga tidak mampu memperkasakan umat Islam dengan agamanya, laksana tentera yang mempertahankan sekularisme di Turki.
Kadar umat Islam di awal  kemerdekaan hampir lapan puluh peratus, selepas kemerdekaan beberapa tahun menurun kepada enam puluh peratus. Kehilangan jatidiri Melayu Islam di Singapura, pada awalnya Melayu UMNO  Datuk Hamid Jumat menjadi Ketua Menteri akhirnya tenggelam, bukan salah Cina tetapi UMNOlah puncanya kerana mengambil pendekatan betapa kerasnya mempertahankan Melayu, sehingga hendak membunuh bangsa lain tetapi bodoh politik. Kedudukan Melayu Pulau Pinang yang makin lemah bukan salah kaum Cina, tetapi salah UMNO yang memimpinnya kerana mengajar Melayu leka dengan politik wang rasuah, harta wakaf sanggup diseleweng, akhirnya boleh tenggelam bersama UMNO seperti di Singapura. Kehilangan kekurangan kerusi Melayu Islam kerana UMNO terpaksa memberi sedekah kerusinya kepada rakan sejawatnya MCA, GERAKAN dan MIC. Akhir-akhir ini, kaum Cina dan India bersorak kerana calon PAS menang mengalahkan calon MCA, GERAKAN atau MIC, tetapi Melayu yang dilatih oleh UMNO pula menangis kerana rakan sejawatnya MCA, GERAKAN dan MIC kalah.

Bahasa Melayu diterima oleh semua kaum menjadi bahasa kebangsaan kerana sudah menjadi bahasa perantaraan di negara kita. Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan serta dikuatkan dengan perlembagaan bagi memperkasakan bahasa kebangsaan menjadi bahasa ilmu  dan pentadbiran, setaraf dengan bahasa lain. Tiba-tiba kedudukannya makin lemah, bukan sahaja dipinggirkan dalam urusan kerajaan malah secara zahir kelihatan diperkecilkan ucapan dan tulisannya dalam amalan di merata tempat dan amalan pemimpin sendiri. Ungkapan bahasa jiwa bangsa diserlahkan oleh para pemimpin dunia, ada kalangan pemimpin beberapa negara yang mampu menguasai beberapa bahasa, namun tetap menggunakan bahasa masing-masing sehingga di peringkat berucap di PBB dan lain-lain. Adapun pemimpin UMNO dalam negara sendiripun  lupa daratan apatah lagi kalau di luar negara, menandakan hilang jiwa bangsanya. Inikah pemimpin yang diharap meninggikan martabat umatnya ?

Hak Istimewa Melayu atau Bumiputera menjadi tongkat untuk memperkasakan Melayu Islam dalam bidang ekonomi, disalahgunakan oleh pemimpin UMNO di semua peringkat daripada menteri kabinet sehinggalah ketua cawangan UMNO dan JKKK. Dalam masa lebih lima puluh tahun,  masih tidak mampu bersaing dengan kaum yang lebih maju, setiap kali konsep Dasar Ekonomi Baru diwarwarkan tongkat hak istimewa diangkat sekadar untuk memukul atau mengugut kaum lain, bukannya untuk menguatkan diri sendiri. Peruntukannya banyak yang diketahui umum kebocorannya, sehingga Bank Bumiputrera yang berkembar dengan UMNO laksana kuku dengan isi, di mana ada pejabat UMNO disitu ada cawangan Bank Bumiputera, akhirnya terpaksa dikebumikan kerana ditelan riba dan pinjaman khianat.

Raja berperlembagaan yang diberi amanah untuk memayungi agama, sepatutnya diperkasakan oleh UMNO yang memegang tampuk politik dengan kekuatan Islam sebagai al-Din yang hebat berkuasa dengan Islam adil untuk semua. Tiba-tiba  UMNO meminda perlembagaan untuk lebih kuasa kepada UMNO dengan memalukan raja-raja, maka pindaan perlembagaan jadilah laksana tikus membaiki labu.

PAS mengajak rakyat memilih PAS ganti UMNO bagi meninggikan martabat umat dengan acuan daripada Allah yang temaktub dalam al-Quran. Firman Allah dalam surah al-Hajj (maksudnya):

40.  Dan sekiranya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan  gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi, tempat-tempat sembahyang dan masjid- masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agamaNya). Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

41.  (Iaitu) orang-orang yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma'ruf dan mencegah dari perbuatan yang munkar
; dan kepada Allahlah kembali segala urusan.

Konsep Islam menerima kewujudan masyarakat majmuk, bukan dengan semangat fanatik perkauman di kalangan kaum berbagai bangsa dan agama tetapi berkonsepkan adil dan hak yang diberi untuk semua secara sifat kemanusiaan ciptaan Allah yang ditunjuk oleh Rasulullah s.a.w. Perkara ini diserlahkan melalui Konvensyen Pakatan Rakyat secara persetujuan bersama mengekalkan konsep yang ada dalam perlembagaan tetapi diamal salah oleh Barisan Nasional yang diketuai UMNO setelah lebih lima puluh tahun mencapai kemerdekaan dengan natijah yang melemahkan martabat umat Islam dan menegangkan hubungan dalam masyarakat berbagai kaum.

PAS telah cuba sedaya upaya di negeri yang pernah diperintah dan sedang diperintah, tetapi dihalang dan diganggu secara tidak adil dan beradab serta melanggar konsep perlembagaan dan menyempitkan hak rakyat. PAS bersama Pakatan Rakyat berbagai parti dan kaum mengajak rakyat menolak pemimpin yang dipilih secara rasuah melalui politik wang dalam parti dan membeli rakyat dengan rasuah juga dalam pilihanraya yang terlalu banyak penipuannya, supaya menjadi rakyat yang berfikir secara matang, ikhlas dan berani.

Pilihanraya menentukan pilihan meninggikan martabat umat Islam,  ialah memilih PAS ganti Umno. Pakatan Rakyat ganti Barisan Nasional. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Orang yang beriman tidak harus disengat sebanyak dua kali daripada satu lubang". Tidak sedarkah  anda bahawa UMNO telah menyengat orang Melayu Islam sudah dua belas kali pilihanraya daripada satu lubang yang ditabur dengan umpan duit dan janji manis tetapi beracun jangka panjangnya.

Majlis Pelancaran Tahun Melawat Kelantan 2012

Posted: 21 Feb 2012 06:31 PM PST

Adakah bekas hakim dapat projek RM2.2 bilion?

Posted: 21 Feb 2012 06:31 PM PST


KUALA LUMPUR 21 Feb: PKR mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan isu pemberian konsesi Lebuh raya Kinrara-Damansara (KIDEX) berharga RM2.2 bilion yang didakwa melibatkan keluarga bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dan penasihat undang-undang Umno, Datuk Hafarizam Harun.


Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar (gambar) membuat gesaan itu ekoran dakwaan mengaitkan mereka dengan tragedi rampasan kuasa BN di Perak pada Februari 2009.

Justeru, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menuntut Ketua Hakim Negara, Tan Sri Ariffin Zakaria meminta Zaki mengisytiharkan asetnya dan keluarga secara bertulis berdasarkan peruntukan Seksyen 9 Kod Etika Hakim 2009.

Menurutnya, Hafarizam merupakan pengarah untuk kedua-dua belah syarikat yang menerima konsesi tersebut, Emrail Sdn Bhd dan Zabima Engineering Sdn Bhd sementara isteri Zaki merupakan pengarah di dalam Emrail, sebuah syarikat yang tidak mempunyai rekod di dalam pembinaan lebuh raya.

Katanya, mengambil kira kontroversi penganugerahan konsesi itu, Perdana Menteri mestilah respons segera berkenaan isu-isu berkaitan, antaranya pendirian berkenaan Seksyen 9 Kod Etika Hakim 2009: "Seorang hakim akan, pada masa perlantikan atau mana-mana masa kemudiannya sekiranya diminta oleh Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan membuat perisytiharan bertulis semua asetnya kepada Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan".

"Merujuk kepada peruntukan ini, Ketua Hakim Negara pada masa ini, Tan Sri Ariffin Zakaria mestilah meminta Tun Zaki Azmi membuat perisytiharan aset beliau dan keluarganya secara bertulis berikutan tuduhan-tuduhan ini," katanya lagi.

Selain itu, ujarnya PM perlu mendedahkan sebab dan kriteria pemberian tender kepada Zabima Engineering dan Emrail.

"Apakah syarikat-syarikat lain yang dipertimbangkan, dan adakah tender terbuka dibuat demi memastikan kepentingan orang ramai terpelihara?" soalnya

Beliau turut mempersoalkan bagaimana pemberian konsesi dan pakej kontrak itu selari dengan dasar pentadbiran, khususnya Model Ekonomi Baru, Inisiatif Pembaharuan Strategik dan lain-lain lagi.

"Apakah terma lengkap konsesi, kadar tol dan perkongsian keuntungan?" tanya beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Menurutnya, di dalam sms kepada Malaysian Insider, Hafarizam mendakwa bahawa syarikat-syarikatnya diserang memandangkan mereka merupakan antara bilangan kecil syarikat Bumiputera yang dianugerahkan projek itu.

Menurutnya, malang sekali apabila sebuah isu tentang ketelusan dan kebertanggungjawaban yang akan memberi impak kepada semua rakyat sekali lagi dilihat dari perspektif kaum.

Hakikatnya, ujar beliau sekiranya tuduhan itu terbukti benar, sekelompok kecil kroni akan sekali lagi mendapat durian runtuh sedangkan ramai rakyat Malaysia, termasuk majoriti masyarakat Bumiputera terpaksa menjadi mangsa projek itu.

Justeru, katanya terma perjanjian antara kerajaan dan syarikat-syarikat yang dipilih mesti didedahkan agar projek itu tidak menjadi satu lagi konsesi yang membebankan rakyat Malaysia.

"Rakyat Malaysia mempunyai harapan besar terhadap konsesi generasi kedua dan ketiga memandangkan piawai-piawai baru yang dijanjikan kerajaan. Usah kita lupa rekod buruk Kerajaan BN di dalam pemberian konsesi sebelum ini," katanya.
Beliau berkata, jawapan telus daripada Perdana Menteri mampu meyakinkan rakyat bahawa mereka tidak akan dibebani dengan lebih banyak 'bail-out' dan penswastaan semula.

Pelancaran Bilik Gerakan Pemuda PAS Dun Pulai Chondong

Posted: 21 Feb 2012 06:30 PM PST

Anwar jumpa Nik Aziz perjelas isu Israel

Posted: 21 Feb 2012 06:30 PM PST


KUALA LUMPUR, 21 Feb: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau berasa lega kerana dapat memberikan penjelasan kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung kenyataan kontroversinya tentang Israel.

Beliau juga berkata dengan penjelasan itu, beliau mengaggap salah faham yang timbul sebelum ini selesai.

"Tok Guru Nik Aziz dengar dan faham pendirian saya, dan saya pun faham pertimbangan PAS yang cukup tegas dan keras dalam soal Israel. Bagi saya, kita dah jelaskan dan perkara ini tidak berbangkit dan kita akan terus dengan program bersama seperti biasa.

"Saya rasa baik kerana telah beri penjelasan terhadap sedikit sebanyak keraguan dalam hal ini," katanya yang juga ketua pembangkang kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Pertemuan kira-kira 45 minit itu berlangsung di sebuah hotel di ibu negara pagi ini.

Turut serta pada pertemuan itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Anwar, beliau menjelaskan kepada Nik Aziz bahawa salah faham isu itu timbul ekoran media Umno yang hanya menggunakan sebahagian sahaja daripada kenyataannya yang disiarkan oleh akhbar Wall Street Journal bulan lalu.

Ianya sekaligus memberi salah tafsiran terhadap pengiktirafan Israel sedangkan ia bukan bermaksud sedemikian.

"Masalahnya saya sebut, media Umno hanya guna bahagian pertama sahaja, bahawa ada kesediaan mengiktiraf dan mengawal keselamatan tetapi tidak ditekankan 'tertakluk kepada syarat-syarat, contingent'," katanya lagi.

Antara syarat tersebut katanya termasuk pengunduran tentera Israel dari Palestin dan negara arab lain, menghentikan kepungan terhadap Gaza dan mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin.

Turut dikongsi kepada Nik Aziz katanya pendirian pemimpin Hamas Khaled Mashal yang menerima penjelasan beliau sebelum ini.

"Dalam perbincangan dengan Khaled Mashal dia sebut "I know the word contingent".

"Akhirnya saya bagi tahu (Nik Aziz), saya tunduk dengan apa yang dikehendaki Hamas dan Fatah dan apa yang dirunding di Doha dua minggu lalu," katanya.

Dalam pada itu, Anwar juga mendakwa pendiriannya dengan PAS bukan perbezaan ketara namun yang berbeza sebenarnya adalah dengan Umno.

Menurutnya, Umno hipokrit dalam isu Israel ini apabila mendabik dada kononnya mereka tidak mengiktiraf Israel sedangkan kata Anwar pada masa sama Umno juga mengadakan hubungan perdagangan dengan negara itu.

Malah perdana menteri, menteri dalam negeri dan menteri pertahanan sendiri masing masing mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari negara itu, kata Anwar.

Ijtimak Pilihanraya Ke 13 Guru PASTI Malaysia 2012

Posted: 21 Feb 2012 06:27 PM PST

PAS ajaran sesat: Pemuda Kelantan buat laporan polis

Posted: 21 Feb 2012 06:26 PM PST


(Pemimpin Pemuda PAS Kelantan bergambar selepas membuat laporan polis)

PENGKALAN CHEPA, 21 Feb: Dewan Pemuda PAS Kelantan membuat laporan polis berhubung kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendakwa PAS sebuah parti ajaran sesat, kerana ia boleh mengundang kekeliruan masyarakat.

Laporan berkenaan dibuat Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Dewan Pemuda PAS negeri Kelantan, Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, di sini.

Turut hadir memberi sokongan laporan polis itu wakil-wakil pemuda PAS kawasan antaranya dari Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas dan Kubang Kerian.

Semalam, Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan diketuai oleh timbalannya, Nik Mohamad Abdul Nik Abdul Aziz telah membuat satu laporan polis di IPD Dang Wangi berkaitan kenyataan yang berbau fitnah oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.


Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri, Mohd Nuri Mat Yaacob, ketika memberitahu media berkata kenyataan tersebut merupakan suatu fitnah dan tidak berasas untuk mengundang provokasi dan perpecahan dikalangan masyarakat.

Katanya, PAS sebuah parti yang sah dan berdaftar sejak lebih  50 tahun di negara ini malah telah memerintah beberapa buah negeri termasuk Terengganu.

"Kenyataan itu juga menolak pengiktirafan rakyat terhadap kerajaan yang ditadbir PAS khususnya Kelantan.

"Justeru laporan ini dibuat supaya pihak polis membuat siasatan dan tindakan undang-undang terhadap Datuk Seri Ahmad Said, akhbar Berita Harian serta pihak lain yang terlibat menyiarkan laporan tersebut,"ujarnya.

Laporan polis itu dibuat berikutan laporan sebuah akhbar harian pada 9 Febuari lalu yang menyiarkan kenyataan Menteri Besar Terengganu itu yang mendakwa PAS sebuah parti ajaran sesat.

PAS kerah ahli ke Himpunan Hijau 2.0 Ahad ini

Posted: 21 Feb 2012 06:26 PM PST



KUANTAN, 21 Feb: PAS Pahang mengarahkan setiap kawasan di negeri itu menghantar 1,000 ahlinya ke program Himpunan Hijau bagi membantah loji memproses nadir bumi Lynas, Ahad ini.

Pesuruhjayanya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bagi penyokong-penyokong PAS yang berada di parlimen-parlimen Kuantan, Indera Mahkota, Paya Besar dan Pekan diminta hadir lebih ramai lagi.

"PAS, parti dalam Pakatan Rakyat, NGO dan individu diminta hadir bagi menyatakan sokongan membantah kilang yang kita anggap bom jangka itu kerana lesen sementara operasi telahpun dikeluarkan oleh kerajaan.

"Semua pihak termasuk daripada Umno kita pelawa untuk hadir menyatakan bantahan kerana isu ini melibatkan kepentingan dan keselamatan negara," tambahnya.

Tuan Ibrahim yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata, setakat ini kepimpinan tertinggi ketiga-tiga parti serta ahli PAS dari Terengganu telah memberikan komitmen untuk hadir.

Katanya, kumpulan mahasiswa dan aktivis alam sekitar juga akan turut hadir bagi menyatakan sokongan.

Perhimpunan membantah Lynas di Gebeng itu merupakan yang kedua selepas perhimpunan pertama pada 9 Oktober di pantai Taman Gelora, Kuantan.

Perhimpunan kedua Ahad ini diadakan di padang awam Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) iaitu bersebelahan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 pada 26 Februari mulai bermula jam 10 pagi.

Sementara itu, Pengerusi Mobilisasi Himpunan Hijau 2.0 Nasrun Amir, berkata Jumaat ini tiga buah masjid iaitu Masjid Al-Fatah Batu 3, Balok dan Balok Makmor akan mengadakan Solat Hajat selepas Solat Jumaat bagi memohon keselamatan dan kelancaran  perhimpunan berkenaan.

Mengenai program pada Ahad ini Nasrun berkata ia akan diisi dengan pelbagai acara antaranya dendangan lagu Negaraku, bacaan doa selamatkan Malaysia, bacaan puisi oleh Sasterawan negara A. Samad Said dan pernyataan aspirasi kanak-kanak.

"Kami menjangkakan kehadiran sekitar 20,000 orang jika tanpa sebarang gangguan," jelasnya

Sebelum ini Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob secara terbuka menyatakan kerajaan negeri tidak menghalang program berkenaan dan menganggapnya sah di sisi undang-undang.

Mat Sabu pulih semangat penduduk Manek Urai

Posted: 21 Feb 2012 06:25 PM PST

KUALA KRAI, 21 Feb: Peristiwa cemas penduduk di Dun Manek Urai pada Julai 2009, diserang umpan kebendaan kini semakin dilupakan.

Sebaliknya hari ini mereka bangkit mengumpulkan semula kekuatan lama, ketika PAS hanya tinggal dua kerusi Dun pada pilihan raya umum 1978 di Kelantan.

Ketika itu PAS hanya bertahan di Dun Manek Urai dan Sering (Panchor).

Longgokan duit dikatakan diangkut menggunakan helikopter ditabur menjelang hari pengundian pada 14 Julai 2009, menambah semangat penduduk bagi mempertahankan PAS.

Semangat lama dibangkit kembali apabila ramai penduduk memenuhi program Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di padang Majlis Daerah Dabong di Manek Urai Lama petang semalam.

Semangat berkobar-kobar turut dipamerkan anak muda apabila seramai 100 belia menyambut dan mengiringi kedatangan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu ke program berkenaan.

Perarakan motosikal kapcai sejauh dua kilometer dengan mengibarkan bendera hijau seperti menenggelamkan aura kedatangan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kampung Manek Urai Baru dua minggu lalu.

Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah berkata, berbeza jauh apabila rakyat datang beramai-ramai tanpa perlu diangkut pada program yang diadakan di Markas PAS Kampung Manek Urai Lama.

"Berbeza dengan kehadiran TPM apabila guru-guru dan kakitangan kerajaan pusat dikerah hadir sehingga pelajar dibenarkan pulang awal pada hari berkenaan.

"Kita boleh lihat sendiri dua situasi yang berbeza. Saya nampak rakyat di Dun Manek Urai bangkit semula selepas mereka dikejutkan pada pilihan raya kecil lebih dua tahun lalu," katanya ketika ditemui di program berkenaan.

Menurutnya kedatangan Timbalan Presiden PAS seperti memulihkan semula semangat penyokong PAS dan Pakatan Rakyat di Dun Manek Urai.

Program Pemimpin Bersama Rakyat dianjurkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri bermula jam 3 petang. Hadir pegawai penerangan urusetia terbabit, Norhashimah Deraman.

Tiada ulasan:

Pengikut