Rabu, 15 Februari 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Umno bersubahat jika NFC pecah amanah

Posted: 14 Feb 2012 07:45 PM PST


KUALA LUMPUR, 15 Feb: Jika National Feedlot Corporation (NFCorp) telah melakukan perbuatan pecah amanah, kerajaan Umno BN bersubahat dalam perbuatan itu, kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

"Ini kali ke berapa kerajaan Umno pecah amanah duit rakyat?

"Sekarang, (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed) Nazri (Abd Aziz) sendiri yang mengaku berlaku kes pecah amanah bila NFCorp langgar syarat pinjaman. Kenapa dari awal lagi kerajaan tidak bertindak?

"Keengganan kerajaan mengambil tindakan terhadap perbuatan yang disebutkan oleh Nazri sebagai pecah amanah itu merupakan bukti yang sangat jelas bahawa kerajaan bersubahat dengan perbuatan itu," kata beliau.

Mohamad menegaskan, kerajaan tidak ada alasan lagi untuk berpura-pura tidak bersalah dan tidak pecah amanah kerana terlalu banyak perkara yang berlaku dalam NFCorp telah terdedah dan didedahkan.

"Ketua Audit Negara telah bersuara, Pengerusi NFCorp (Datuk Seri Dr Mohamed Salleh Ismail) sendiri mengaku mereka membeli kondominium di Bangsar menggunakan duit untuk projek lembu itu dan mendakwa ia pelaburan bijak, (Pengarah Strategik PKR) Rafizi (Ramli) telah membuat pendedahan demi pendedahan yang disertakan pelbagai bukti, dalam mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) juga kita difahamkan banyak yang didedahkan dan sekarang Nazri pula kata berlaku kes pecah amanah dalam NFCorp.

"Hanya (Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri) Khalid (Abu Bakar) sahaja yang mendakwa tiada unsur pecah amanah dan penyelewengan sedangkan siasat pun belum habis lagi. Orang seperti itu, tidak perlu ambilkira," katanya.

Bagi Mohamad, adalah tidak memadai jika keluarga keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil sahaja yang dipertanggungjawabkan.

"Kerajaan Umnolah pihak yang bersalah dalam isu dana RM250 juta untuk projek lembu fidlot ini.

"Mula-mula didedahkan kerajaan Umno bagi pinjaman mudah kepada NFCorp dengan melanggar peraturan kewangan, dan selepas itu sengaja tidak mahu dan enggan mengambil tindakan malah berdolak dalik dengan pembelaan demi pembelaan termasuk dari Perdana Menteri sendiri," katanya.

Mohamad mengingatkan Nazri supaya jangan sekadar membangkitkan perbuatan NFCorp melanggar syarat pinjaman sahaja.

"Mengapa diam terhadap pendedahan bahawa kerajaanlah yang terlebih dahulu melanggar peraturan kewangan apabila memberikan pinjaman mudah kepada NFCorp?" soal beliau.

Malaysian Insider semalam melaporkan, Nazri berkata, NFCorp telah melanggar syarat perjanjian pinjaman dengan kerajaan persekutuan.

"Dalam kata lain, telah berlaku kes pecah amanah. Duit tersebut, yang seharusnya digunakan untuk tujuan penternakan lembu telah digunakan untuk tujuan lain.

"Dana berkenaan telah diserahkan berdasarkan projek yang diserahkab kepada NFCorp, yang mana mereka harus menternak lembu dan menjualnya dengan kadar yang lebih rendah," jelas Nazri.

"Pinjaman itu diberikan hanya bagi tujuan itu. Sekiranya dana itu digunakan bagi tujuan lain, kita tidak perlukan peguam untuk mengetahui samada berlaku pecah amanah atau tidak, sangat mudah," kata menteri yang memegang portfolio undang-undang itu.

Abdullah Ali sertai PAS tempelak buat Ahmad Said

Posted: 14 Feb 2012 07:45 PM PST


KUALA LUMPUR, 15 Feb: Penyertaan lagenda bola sepak negara, Abdullah Ali (gambar) ke dalam PAS merupakan satu tempelak kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Ini ekoran menteri besar itu ketika berucap pada majlis menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia di Kijal minggu lepas, dilaporkan menuduh perjuangan PAS kini tersasar jauh daripada perjuangan Islam sebenar dan menyifatkan parti itu 'parti ajaran sesat'.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid berkata, sikap terbuka Abdullah yang juga rakyat negeri itu menyertai PAS bukan sahaja membuka mata banyak pihak tetapi sekaligus memberi tamparan kepada Ahmad yang membuat tuduhan jahat itu.

Katanya, bagi mereka yang berfikiran waras, tuduhan Ahmad yang juga pengerusi Umno negeri itu amat dangkal dan tidak selayaknya dikeluarkan oleh seorang yang menjadi ketua kerajaan negeri.

Apa yang pasti, katanya, kemasukan Abdullah ke dalam PAS merupakan tempelak terhadap tuduhan celupar Ahmad Said kepada PAS yang tidak masuk akal.

Abdullah, 57, menyerahkan borang permohonan keahlian PAS kepada Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada majlis ringkas yang diadakan di JKR 10, Kota Bharu, semalam.

Anak kelahiran Bukit Payong itu mengisytiharkan secara rasmi untuk menyertai PAS memandangkan parti itu satu-satunya yang memperjuangkan Islam.

Abdullah yang juga bekas Pengurus Petronas (Dagangan), berkata dengan rasuah, ketidakdilan yang berlaku dan kerajaan yang dipimpin Umno dan BN tidak ada sebab untuknya menyertai parti itu.

"Saya yakin dengan perjuangan PAS yang memperjuangkan Islam, dengan dasar perjuangannya, dengan model yang ditonjolkan oleh pemimpinnya membuatkan saya yakin inilah parti yang wajar diberi sokongan," ujarnya.

"Kenyataan Abdullah itu jelas menerima PAS sebagai parti yang memperjuangkan Islam," kata Muhyiddin ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau adalah antara kepimpinan PAS Terengganu yang turut hadir pada majlis itu selain timbalan pesuruhjaya 3, Dr Alias Razak, bendahari dan ketua penerangan, M Shukrimun Shamsudin dan Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Abdullah yang dianggap pakar tendangan sudut melengkung, inswinger adalah antara penyerang pasukan negara pada Sukan Olimpik Munich, Jerman Barat pada 1972.

Dalam perlawanan pembukaan yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen hitam putih ketika itu, Malaysia berjaya mengikat Jerman Barat 0-0 selama 60 minit sebelum bolos 0-3.

Selain Abdullah, tonggak serangan pasukan negara dibarisi oleh Shaharuddin Abdullah dan Salleh Ibrahim. Pemain lain ialah Wong Kam Fook (penjaga gol), Namat Abdullah, Shukur Abdullah, dan Soh Chin Aun.

Jerman Barat diketuai oleh Uli Honess, seorang pemain profesional.

Nik Aziz berjaya wujudkan keharmonian pelbagai kaum

Posted: 14 Feb 2012 07:44 PM PST


KOTA BHARU, 14 Feb: Rakyat Kelantan pelbagai anutan agama di bawah pentadbiran Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, diakui berjaya mewujudkan keharmonian pelbagai kaum walaupun pemimpinnya beragama Islam.


Perkara itu diakui oleh Jawatankuasa Mempromosi Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMKPA) yang diketuai Datuk Azman Amin.

Perkara itu didedahkan pada pertemuan dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, di JKR 10, di sini tengah hari tadi sempena lawatan selama empat hari.

Jawatankuasa itu dianggotai oleh pelbagai anutan agama seperti Islam, Kristian, Budha, Sikh dan lain-lain anutan agama yang diketuai oleh ketua agama masing-masing.

Selain itu, jawatankuasa ini juga turut mengagumi Masjid Jubli Perak Rantau Panjang atau lebih dikenali Masjid Beijing memandangkan reka bentuknya berupa rumah ibadat Buddha.

Azman dalam ucapan aluannya berkata, anggota jawatankuasa berkenaan begitu berpuas hati dengan lawatan itu.

"Hasil pertemuan kami dengan penganut agama lain di negeri ini mereka mengakui begitu aman di bawah pentadbiran kerajaan negeri hari ini.

"Mereka juga mendakwa tiada sebarang masaalah yang dihadapi oleh kaum mereka di sini, perkembangan ini jelas membuktikan suatu kehebatan yang ada di negeri Serambi Mekah ini," ujarnya.

Kelantan dipilih negeri kedua dilawati selepas negeri Sabah.

Sementara itu, Daozhang Tan Hoe Chieow, melahirkan kekaguman di atas pembinaan Masjid Beijing.

"Kalau tak masuk dalam masjid ni, tentu saya anggap ianya rumah ibada kaum Buddha, sungguh mengagumkan," ujarnya ketika berucap pada majlis lawatan di masjid tersebut.

Lagenda bola sepak negara, Abdullah Ali sertai PAS

Posted: 14 Feb 2012 07:43 PM PST


KOTA BHARU, 14 Feb: Lagenda bola sepak negara, Abdullah Ali, 57, hari ini menyerahkan borang permohonan keahlian PAS kepada Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada majlis ringkas di sini sebentar tadi.

Anak kelahiran Bukit Payong, Kuala Terengganu itu hari ini mengisytiharkan secara rasmi untuk menyertai PAS memandangkan parti itu satu-satunya yang memperjuangkan Islam.

Hadir pada majlis itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Timbalan Setiausaha Agung PAS Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan di JKR 10. Pemimpin PAS Terengganu yang turut hadir meraikan penyertaan Abdullah itu ialah timbalan-timbalan pesuruhjaya, Muhyiddin Abdul Rashid dan Dr Alias Razak, bendahari dan ketua penerangan, M Shukrimun Shamsudin dan Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Selain Abdullah, turut menyerahkan borang keahlian lagenda bola sepak Kelantan yang juga pemain Olimpik 1972, Salleh Ibrahim dan Kamarudin Abdullah yang juga pemain kebangsaan.

Abdullah yang juga bekas Pewngurus Petronas (Dagangan), berkata dengan rasuah, ketidakdilan yang berlaku dan kerajaan yang dipimpin Umno dan BN tidak ada sebab untuknya menyertai parti itu.

"Saya yakin dengan perjuangan PAS yang memperjuangkan Islam, dengan dasar perjuangannya, dengan model yang ditonjolkan oleh pemimpinnya membuatkan saya yakin inilah parti yang wajar diberi sokongan," ujarnya.

Abdullah juga turut berhasrat untuk turun berkempen pada pilihanraya umum nanti di seluruh negara sekiranya beliau diperlukan oleh parti.

"Insyaallah saya bersedia turun membantu untuk berkempen," ujarnya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, melahirkan rasa syukur dengan penyertaan lagenda bola sepak negara itu untuk menyertai PAS.

Tuan Guru berharap, semoga dengan penyertaan Abdullah Ali akan lebih ramai lagi yang akan menyertai PAS memandangkan tidak ada sebab rakyat di negara ini menolak perjuangan yang berlandaskan Islam itu.

"Saya benar-benar berbangga dan bersyukur," ujarnya sambil tersenyum.

Abdullah menyertai ahli PAS seumur hidup dan borang keahliannya diserahkan terus kepada Takiyuddin untuk diurus segera di peringkat PAS Pusat.

"Insya Allah bulan hadapan permohonan ini akan selesai," ujarnya ketika ditemui pada majlis itu.

Tiada ulasan:

Pengikut