KONTRADIKSI NAJIB DAN MUHYIDDIN
Lapan tuntuan Bersih masih menunggu jawapan. Satu demi satu bahan bukti tentang penyelewengan dipaparkan kepada umum. Satu demi satu penipuan di buktikan kepada khalayak umum. Semua ini adalah hasil politik jalan raya. Inilah buktinya bahawa politik jalan raya berjaya membawa perubahan. Tunjuk perasaan 9 Julai 2011 dahulu adalah satu dialektika yang telah mengubah lanskap politik negara kita.
Dialektika iailah hukum semula jadi alam ini. Hukum alam ini lahir dari kontradiksi. Kontradiksi ini wujud disekeliling kita. Semua wujudiah dihadapan mata kita ini wujud dengan kontradiksi. Hanya kita kurang sedar akan kewujudan kontradiksi ini. Ini kerana kontradiksi tidak dapat dipegang atau dilihat tetapi boleh dianalisa untuk difahami. Tidak memahami kontradiksi bermakna tidak memahami bagaimana dunia dan alam ini bergerak.
Apabila dua pekara berkontradiksi/bertentangan maka akan muncul satu pekara yang baru. Pertentangan dua pekara ini pasti akan melahirkan satu yang baru. Apabila air dimasak - api berkontradiksi dengan air - maka wap akan lahir. Wap adalah pekara yang baru yang dimaksudkan itu. Apabila orang ramai turun ke jalan raya maka berlaku bertentangan antara para demonstran di jalan raya dengan elit politik yang berkuasa. Tidak dapat tidak akan lahir sesuatu yang baru.
Hukum ini lahir semenjak alam bermula. Kita sebagai makhluk yang befikir boleh menggunakan akal dan fikrah untuk memahami hukum hukum dan kontradiksi ini. Mengenal dialektik dan kontradiksi amat penting untu memahami politik negara. Tanpa pemahaman kosep dan falsafah kontradiksi ini maka semua pemahaman politik akan salah. Ini sama juga seperti memganalisa politik tanpa memahami kelas.
Apa sangkut paut dialektik dan kontradiski dengan 8 tuntutan Bersih? Jawabnya –tunjuk perasaan Bersih 2.0 telah menajamkan pelbagai kontradisksi-kontradiksi kecil yang sedia wujud .
Sebelum berpanjangan biar saya terangkan disini tentang peranan tunjuk perasaan. Adalah salah jika kita berpendapat bahawa tunjukan perasaan telah menjatuhkan Sukarno, Raja Iran, atau Mubarak di Mesir. Ini tidak betul. Tidak ada kerajaan jatuh kerana tunjukan perasaan. Ahmad Reza Pahlevi di Tehran jatuh bukan kerana tunjuk perasaan. Mubarak di Khaerah jatuh bukan kerana tunjuk perasaan. First Lady Leila Trebelsi bersama Ben Ali lari dengan 1 tan jongkong emas ke Saudi Arabia bukan kerana tunjuk perasaan.
Kalau bukan kerana tunjuk perasaan kerana apa rejim-rejim ini runtuh?
Tunjuk perasaan itu hanyalah alat politik yang paling ampoh untuk melahir satu kontradiksi dikalangan elit pemerentah. Untuk memahami ini mari kita lihat apa yang terjadi sebelum, ketika dan sesudah 9 Julai yang lalu. Dengan melihat dan memahami 9 Julai diharapkan para pembaca akan dapat memahami apa itu kontradiksi dan apa itu dailektika.
Apabila orang ramai mula turun ke jalan raya apa yang berlalu ialah kontradiksi bertambah tajam. Ertinya berlaku pertentagan anatara dua pihak – rakyat dengan United Malay National Organisation – semakin tajam. Suasana ini adalah dialektika yang baik dalam perjuangan politik.
Pada 9 Julai lalu, Najib Razak yang mewakili United Malay National Organisation kini berhadapan dengan ujian dan dugaan dari rakyat. Umum mengetahu bahawa Najib menjadi Presiden United Malay National Organisation bukan melalui pertandingan. Najib tidak pernah bertempur dalam politik. Najib menyelit-nyelit dan menyeludup ke kerusi Presiden party. Ini di ketahui umum. Malah Najib juga dianggap seorang yang penakut. Najib takut bertempur dalam politik. Ini ditambah pula dengan riwayat Najib takut kepada bini. Dalam Malaysia ini hanya orang mati dan bayi yang belum lahir saja yang tidak pernah mendengar Tok Perawi Politik bersurah-surah tentang Najib yang takut dengan bininya.
Justeru , tunjuk perasaan Bersih 9 Julai dahulu telah menterbaraikan kain lampin Najib. Dia bukan saja dilihat penakut malah dilihat tidak memiliki ketrampilan sebagai pemimpin. Najib telah berdulak dalik. Kalau Dolah Badawi dahulu selalu berdulak dalik dalam tidor. Ini boleh juga diamponkan kerana Dolah dianggap mengigau. Najib tidak tidur- matanya buntang berjaga. Tetapi Najib ini lebih manai dari Dolah. Orang Terengganu kata Najib ini klik klok. Orang Puteh kata Najib ini flip-flop. Dalam dunia siber Najib ini dikatakan menjadi mangsa Kang Kang.
Najib yang lembik ini telah melahirkan dialektika politik yang baru didalam United Malay National Organsiation. Kontradiksi-kontradiksi kecil didalam parti ini menjadi besar dan bertambah tajam. Umum mengetahui tentang Muhyiddin Yassin yang memiliki cita-cita untuk duduk di kerusi Presiden party. Ini bukan dongeng. Ini realpolitik. Politik jalan raya 9 Julai dahulu telah menajamkan lagi kontradikssi antara Najib dengan Muhyiddin.
Najib yang berdulak dalik telah menjadi bahan ketawa bukan hanya di kalangan warga Pakatan Rakyat malah penyokong Barisan Nasional juga turut sakit kepala kerana ketawa melihat Najib yang berdulak dalik. Kerana itu, sesudah 9 Julai selain dari manusia yang bernama Ambiga dan Mat Sabu – sosok yang paling gumbira sekali ialah Muhyiddin Yassin. Ini kerana 9 Julai telah memperlekehkan kepimpinan Najib. Dalam congak politik Muhyiddin semuanya amat enteng. Apabila Najib lekeh maka yng unggul dan memiliki ketrampilan pastilah dirinya.
Kontradiksi didalam United Malay National Organisation semakin meruncing. Perbalahan antara mereka sesama sendiri semakin dilihat jelas oleh umum. Najib sesudah 9 Julai kelihatan lebih terpinggir. Kontradiksi ini telah menjemput sosok-sosok yang telah diketepikan atau dinafikan projek oleh Najib menjadi berani untuk bersuara. Mereka mula berkumpul di bawah payung Muhyiddin. Semua ini tidak akan berlaku jika tidak ada politik jalan raya 9 Julai dahulu.
Malah Lebai Desas bin Haji Desus telah mula berkata bahawa ketika Najib Razak terbaring di hospital kerana sakit lutut satu delegasi dari kumpulan Yang Berhormat telah datang menemui Najib dan meminta Najib berundur. Ini hanya desas desus. Berita ini tidak ada kesahehan sehingga satu kenyataan dari Aziz Shamsuddin keluar. Sosok ini ialah bekas orang kuat dan kaki pukul Mahathir Muhamad. Aziz telah menafikan berita dari Lebai Desas bin Haji Desus. Di Malaysia ini - penafian ini telah membuktikan kesahehan berita.
Apa yang saya gambarkan disini ialah politik jalan raya dan tunjuk perasaan telah melahirkan kontradiksi dikalangan elit politik. Lebih lama demonstrasi berlaku lebih tajam kontradiksi yang akan mucul dikalangan elit politik, elit ekonomi dan elit tentera. Apabila orang ramai semakin berani bersuara dan anak anak muda terus keluar ke jalan raya maka semua ini akan menjadi tekanan kepada elit politik. Tekanan ini menjadi kontradiski. Kontradiksi ini akan pecah apabila elit politik akan mula tuduh menuduh sesama sendiri.
Sesudah 9 Julai kita lihat bagaimana Tengku Razaleigh, Khairy Jamaluddin dan Saifuddin Abdullah memiliki pandangan yang berbeza dari Najib. Kita juga lihat bagaimana Muhyiddin sendiri tidak berkata apa apa tentang Bersih. Tuduh menuduh ini semakin kalut apabila Hishamudin Hussein mengeluarkan kenyataan bahawa kuasa telah diberikan kepada pihak polis untuk menangani dengan cara polis. Hishamudin kemudian diikuti pula oleh sepupunya. Satu minggu sebelum 9 Julai kelihatan Malaysia telah menjadi negara anak bini dan sepupu.
Kontradiksi yang dibawa oleh tunjuk perasaan 9 Julai semakin tajam. Anak anak muda dari semua bangsa telah tidak ambil pot dengan kenyataan Ketua Polis Negara. Anak anak muda juga tidak ambil pusing dengan kenyataan sepupu Najib, Menteri Dalam Negeri. Kenyataan dari Najib sendiri memang tak ada sesipa yang ambil peduli. Hanya Rosmah Mansor sahaja yang tidak bersuara. Mungkin sang Rosmah sedang sibuk menjual nasi lemak untuk menyimpan duit agar dapat membeli sebentuk lagi cicin berlian.
Kontradiksi/pertentangan antara Najib dengan Muhyiddin ini akan terus menajam. Untuk memperkuatkan diri Najib telah cuba memperbaiki imejnya. Najib telah mencadangkan penubuhan satu Jawatan Kuasa Parlimen untuk memperbaiki sistem pilihanraya. Pada awalnya langkah Najib ini dilihat cukup positif. Tetapi seperti biasa Najib telah klik klok – berdulak dalik. Najib berkata jawatankuasa ini tidak ada sangkut paut dengan pilihanraya yang boleh diadakan bila-bila masa sahaja. Kelihatan apa shaja yang dilakukan oleh Najib telah membawa 'sial' kepada dirinya sendiri.
Najib mahu mengadakan pilihanraya secepat mungkin. Lebih lama piliharaya ditangguhkan lebih bogel dirinya untuk dilihat lembik dan tidak berkualiti sebagai pemimpin. Lebih lama pilihanraya ditangguh akan lebih berani dan lebih tersusun pasokan anti-Najib begerak dalam United Malay National Organisation sendiri. Dengan mengadakan piliharaya yang cepat Najib bercongak dia dapat memileh calon yang akan setia pada dirinya. Dalam masa yang sama Najib berpeluang mengenepikan calon-calon yang berkemungkinan menyokong Muhyiddin Yassin. Ertinya 'orang-orang Muhyiddin' akan dibungkus timbang kati pada pilihanraya ini. Ini realpolitik.
Dalam politk seperti dalam kehidupan harian – kita boleh merancang tetapi Mahkamah di Peranchis telah merancang lebih lama lagi. Kes pembelian kapal selam Scorpene akan dibuka di Paris pada bulan September ini. Ini bukan kontradiksi. Inilah Tok Tok Kai yang amat amat ditakuti Najib. Ketakutan Najib ini ialah kegumbiaran untuk Muhyiddin Yassin. Kontradiksi antara Najib dan Munyiddin ini akan meletup bila-bila masa sahaja. Bila ini terjadi pasti akan lahir sesuatu yang baru.
Apakah benda baru yang akan lahir dari kontradiksi Najib/Muhyiddin ini? Apakah Najib akan diundurkan? Apakah Muhyiddin akan menjadi Presiden baru? Ketika ini saya tidak memiliki jawapan. Apa yang saya pasti ialah 8 tuntutan Bersih 2.0 tidak akan dipedulikan. Tetapi jika Najib tergelincir saya ada satu kepastian.Yang pasti ialah Rosmah akan menjadi kurus dan slim - merana makan hati berulamkan jantung kerana bukan lagi Firstv Lady.(TT)
nota:
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN terbaru
sesiapa ingin melanggan akbar
mingguan ini sila pukul talipon:
03-22-72-40-45
Tiada ulasan:
Catat Ulasan