Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan |
- Presiden PAS seru semua ahli sertai Bersih 2.0
- Pakatan sokong Bersih, selar Najib berdiam diri
- Dr Zainuddin Ibrahim SUK Kelantan baru
- Tuntutan Bersih selari dengan Islam
- Polis arah jangan jual baju Bersih
Presiden PAS seru semua ahli sertai Bersih 2.0 Posted: 23 Jun 2011 08:08 AM PDT KUALA LUMPUR, 23 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan semua ahli dan penyokong PAS agar datang ke Kuala Lumpur pada 9 Julai ini bagi menyertai perhimpunan Bersih 2.0. "Saya menyeru semua ahli dan penyokong PAS menyertai perhimpunan Bersih 9 Julai ini untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil," kata Abdul Hadi dalam sidang media bersama Harakah di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, sebentar tadi. Perhimpunan Bersih 2.0 akan diadakan di Kuala Lumpur 9 Julai ini. Pengerusi Bersih 2.0 adalah bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Srenevasan. Anggotanya terdiri daripada para pemimpin NG0, manakala PAS, PKR dan DAP menyokong perhimpunan itu. Menurut Abdul Hadi, perhimpunan tersebut mempunyai tujuan yang amat murni dan perlu disokong oleh semua pihak serta dijamin aman sesuai dengan matlamatnya yang murni. Sehubungan itu, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS serta setiap pihak yang menyertainya dilarang melakukan sebarang kekacauan, mengganggu ketenteraman awam dan kerosakan harta benda awam. "Setiap ahli PAS yang menyertainya jangan sekali-kali membawa senjata. Saya juga suka mengingatkan ahli-ahli PAS agar jangan bermusuhan dengan pihak polis," katanya yang juga ahli Parlimen Marang. Sesuai dengan nama perhimpunan itu sendiri sebagai himpunan aman, sekiranya berlaku perkara tidak diingini dalam pehimpunan itu, ia bukanlah didatangkan oleh ahli-ahli PAS dan mereka yang menyertainya. Sebaliknya, kejadian tersebut pasti dilakukan oleh pihak lain, termasuk oleh pihak Umno dan kerajaan BN, atau provokasi yang dilakukan oleh pihak polis sendiri seperti yang telah berlaku dalam siri perhimpunan-perhimpunan aman yang diadakan sebelum ini. "Oleh itu yang perlu dikawal oleh pihak polis dalam perhimpunan itu adalah pihak-pihak yang membuat provokasi dan bukan polis sendiri yang membuat provokasi," tegasnya. Umno dan Kerajaan BN, katanya, tidak perlu takut dengan perhimpunan tersebut kerana ia tidak sekali-kali terfokus kepada perkara-perkara tidak diingini, tetapi hanyalah terhadap pilihanraya di negara ini. Pilihanraya di negara ini seperti yang diketahui umum tidak pernah berlangsung dengan bersih dan adil, tetapi penuh dengan penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan BN yang memerintah menerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR). Keadaan yang sama turut dilakukan oleh Umno dan Kerajaan BN terhadap media, apabila media yang menyokongnya diberikan kebebasan untuk disebarkan dan dibaca secara meluas di segenap pelosok negara, tetapi media yang menyokong pembangkang atau PAS serta Pakatan Rakyat pula dihalang dengan pelbagai cara. "Pilihanraya yang tidak bersih itu tidak boleh dibiarkan kerana ia pasti akan menimbulkan kemarahan rakyat. Itulah yang perlu dibantah dan itulah matlamat Perhimpunan Bersih 2.0. "Matlamat tersebut sememangnya sesuatu yang baik sebab itulah PAS menyokong langkah yang diadakan oleh Bersih untuk mengadakan perhimpunan itu bagi menuntut pilihanraya yang bersih dan adil," katanya. Pihak Umno dan Kerajaan BN, tegas beliau, perlu faham perkara itu dan tidak sepatutnya menghalang perhimpunan tersebut diadakan kerana ia juga pasti memberikan kesan yang positif kepada pihak pemerintah sendiri. "Semua negara demokrasi yang maju di dunia ini tidak menghalang perhimpunan aman yang diadakan oleh rakyatnya. Malah ia akan dikawal dan diberikan kerjasama dengan baik oleh pihak keselamatan selagi perhimpunan itu tidak mengganggu ketenteraman awam. "Malah di negara-negara demokrasi maju di dunia ini, pihak pemerintah sendiri turut mengambil manfaat dari demonstrasi aman yang diadakan bagi mendengar suara rakyat untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Umno dan Kerajaan BN juga sepatutnya bersikap seperti itu demi kepentingan negara," ujar beliau. Mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa perhimpunan tersebut akan mengancam mata pencarian para peniaga dan mencemarkan imej negara di mata pelancong, beliau berkata, dakwaan tersebut ternyata tidak berasas, malah perhimpunan itu sendiri akan mendatangkan keuntungan yang besar kepada para peniaga. "Mereka yang menyertai perhimpunan itu cukup besar jumlahnya dan mereka pasti akan berbelanja. Jadi, para peniaga sendiri pasti akan mendapat keuntungan besar dengan adanya perhimpunan itu. "Manakala sepanjang perhimpunan diadakan pula, para pelancong asing pasti akan turut tertarik melihatnya kerana ia dilakukan dengan baik dan aman sehingga mereka sendiri akan kagum dengan keamanan di negara kita. "Tetapi jika pihak polis sendiri yang membuat provokasi, suasana itu pasti berbeza. Jadi yang mengubah keadaan itu bukannya pihak penganjur dan pesertanya, tetapi pihak polis, pihak Umno dan pihak Kerajaan BN sendiri," tegas beliau. |
Pakatan sokong Bersih, selar Najib berdiam diri Posted: 23 Jun 2011 08:08 AM PDT KUALA LUMPUR, 23 Jun: Pakatan Rakyat hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang mahu mengadakan himpunan aman 9 Julai ini. Menurut mereka, usaha Bersih itu wajar dalam usaha memperbaiki dan membersihkan sistem pilihan raya di negara ini yang didakwa tempang. "Justeru, Majlis Presiden Pakatan Rakyat mendokong inisiatif Bersih mengadakan himpunan secara aman supaya rakyat disedarkan agar wujud perubahan dalam sistem pilihan raya di negara ini," kata Anwar selepas mempengerusikan mesyuarat Pakatan Rakyat di pejabat Ketua Pembangkang di parlimen hari ini. Turut serta pada sidang media itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali. Pada sidang media sama, beliau turut menyelar sikap diam diri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, terhadap ancaman yang dikeluarkan pihak-pihak yang membantah usaha murni Bersih itu. Ianya termasuk ancaman dari pihak polis dan kumpulan pendesak Melayu, Perkasa yang mahu bertembung dengan pihak Bersih dengan membuat perhimpunan bantahan pada hari sama. Beliau mendakwa sikap Najib itu membuktikan Perkasa dilindungi Umno BN untuk berhadapan dengan Bersih. "Pentadbiran Najib memperalatkan suara golongan esktrem yang bertugas bagi pihak Umno untuk memperlekeh usaha yang dilakukan gabungan Bersih. "Ini adalah keterlaluan kerana Najib mengambil pendirian berdiam dan tidak menegur ugutan yang dibuat Polis, Menteri Dalam Negeri dan Perkasa. Jelas ini adalah permainan Umno untuk menakutkan orang ramai," katanya. Turut diselar termasuklah ugutan bunuh terhadap Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga dan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat, termasuk wartawan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Mahfuz pula mendakwa tindakan kerajaan membiarkan ancaman terhadap Bersih itu menyebabkan ketakutan di kalangan pelabur. "Saya anggap perbuatan kerajaan dan media arus perdana melakukan provokasi menakutkan orang ramai sebagai mensabotaj ekonomi negara," katanya. Beliau juga tidak menolak bahawa trend ancaman itu serupa dengan keadaan pada tahun 1987 yang kemudiannya membawa kepada penangkapan pemimpin pembangkang dalam Operasi Lalang. |
Dr Zainuddin Ibrahim SUK Kelantan baru Posted: 23 Jun 2011 08:07 AM PDT KOTA BHARU, 23 Jun: Setelah berkhidmat selama 33 tahun Dato' Mohd Aiseri Alias hari ini menamatkan tugasnya sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). Beliau yang akan bersara wajib 26 Jun ini mulai menjawat jawatan tersebut pada 10 Ogos 2004 menggantikan Dato' Tengku Shah Buddin Tengku Mohd Maasum. Tempatnya diganti Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato' Dr Zainuddin Ibrahim. Mohd Aiseri sebelum berada di kedudukan paling tinggi sebagai pentadbir kerajaan negeri memegang pelbagai jawatan antaranya Ketua Jajahan Tanah Merah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam. Dr Zainuddin yang juga Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan mula memikul tanggungjawab baru pada 27 Jun ini sebagai SUK ke-17. Majlis serah tugas diadakan hari ini di Dewan Teratai Kota Darulnaim dengan disaksikan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan negeri serrta Persekutuan. Berucap pada majlis itu Menteri Besar merakamkan ucapan terima kasih di atas peranan yang diberikan Mohd Aiseri dalam membangunkan kerajaan dan rakyat Kelantan. "Banyak idea yang disumbangkan olehnya dapat dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat. Terima kasih yang tidak terhingga," katanya |
Tuntutan Bersih selari dengan Islam Posted: 23 Jun 2011 08:03 AM PDT KUALA LUMPUR, 23 Jun: Tuntutan Bersih yang bermatlamatkan agar pemilihan pucuk pimpinan negara melalui pilihan raya yang telus dan bersih adalah selari dengan tuntutan Islam. Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib berkata, ini adalah kerana Islam menganjurkan agar pengikut-pengikutnya tidak melakukan pengkhianatan dalam menunaikan amanah mengurus tadbir negara ini. "Bahkan sebaliknya, perbuatan yang zalim lagi jahat yang dilakukan oleh mana-mana pihak yang beragama Islam maka hukumnya adalah haram diikuti oleh umat Islam walaupun datang dari Umno," jelasnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily. Lapan tuntutan Bersih ialah mendesak SPR membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, perkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor. Tegas Ustaz Harun yang juga Adun Manir, kebenaran tidak mengenal warna kulit, bangsa dan parti. Beliau berkata, pihak Umno BN sewajibnya sedar bahawa Islam adalah agama kebenaran dan akan mempertahankan kebenaran. Islam juga, katanya adalah agama yang bencikan kezaliman dan kejahatan. Oleh kerana itulah, jelasnya menyebarkan dan mempertahankan kebenaran adalah suatu usaha dan jihad yang mulia. Begitu juga, katan beliau memastikan kemungkaran dan kezaliman dihapuskan juga adalah suatu jihad yang sangat dituntut. "Apa sahaja tindakan, perbuatan, perkataan dan pendirian yang mempertahankan kebenaran maka ianya wajib disokong dan didokong oleh seluruh umat Islam tanpa mengira perbezaan agama, warna kulit dan kepartian," katanya lagi. Ini, ujarnya adalah kerana Islam itu adalah benar dan benar itu adalah Islam. "Sekalipun tindakan dan pendirian itu datang daripada mereka yang bukan Islam. Membela kebenaran dan menolak kezaliman adalah wajib. "Ianya merupakan suatu hukum taklifi selagi mana ianya tidak bercanggahan dengan aqidah, syariat dan akhlak Islam," ujarnya. Tambahnya, adapun dakwaan yang menyatakan bahawa PAS tidak konsisten dan mengamalkan Islam bermusim, maka Dewan Ulamak PAS meminta supaya pihak Umno memberikan bukti di manakah PAS telah meninggalkan prinsip Islamnya. Beliau mengulas laporan Utusan semalam bertajuk "Bukti PAS tidak konsisten dalam perjuangan Islam". Akhbar tersebut mengecam tindakan PAS yang sanggup bekerjasama dengan pihak Bersih yang dipimpin oleh Datuk Ambiga Sreenevasan yang didakwa merupakan individu yang tidak mempunyai inspirasi yang selari dengan prinsip perjuangan PAS. Utusan memetik kata-kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal yang berkata "Pas mengamalkan konteks agama bermusim dan bertempat. Jika sesuai dengan ideologi politik, mereka akan ikut. Langsung tak konsisten dari segi amalan agama dan politik." Tegas Ustaz Harun, seluruh rakyat Malaysia tidak buta bahawa PASlah yang memperjuangkan Islam PAS juga yang memperkenalkan hukum Islam di Kelantan dan Terengganu. "Hukum Jenayah Kanun Islam tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya di kedua-dua negeri itu adalah kerana berpunca daripada halangan yang dilakukan oleh pihak kerajaan pusat pimpinan Umno BN. "Senarai kegagalan Umno BN dalam membela hak Islam di negara adalah terlalu banyak yang tidak mampu ditulis oleh tinta di dalam ruangan yang terhad ini," ujarnya. |
Polis arah jangan jual baju Bersih Posted: 23 Jun 2011 08:01 AM PDT KUALA LUMPUR, 23 Jun: Polis malam tadi mengarahkan seorang aktivis PKR, Razali Abd Ghafur agar tidak menjual baju berwarna kuning bercetak perkataan 'Bersih' kepada orang ramai atau bakal berdepan tindakan. Amaran tersebut yang didakwa "arahan pihak atasan" diberikan kepada beliau pada majlis ceramah Jelajah Selangor Tawan Malaysia (Jelas 2) di Kampung Sungai Merab Luar, Bangi. Ceramah tersebut dihadiri Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Ketua AMK Negeri Sembilan, Nazree Yunus. "Pada mulanya dia datang ke gerai saya, minta ambil gambar. Lepas ambik gambar, saya tanya awak siapa. Dia bagtau dia polis sambil tunjuk IC polis. "Kemudian dia ambik dua helai baju Bersih, dan suruh saya jangan jual baju itu. Katanya arahan dari atasan," katanya kepada Harakahdaily hari ini. Menurutnya, beliau kemudiannya dijemput ke Balai Polis Datuk Abu Bakar Baginda dan dirakam kenyataan selama 20 minit. Arahan tersebut dipercayai ada kaitan dengan rancangan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang mahu mengadakan himpunan aman 9 Julai ini. Dalam respon segera, Shuhaimi turut mempersoal tindakan pihak berkuasa itu. "Sejak bila jual baju tak boleh? Umno BN makin gila," tulisnya di Twitter. Sebelum ini, polis juga telah memberi amaran kepada penganjur himpunan itu agar membatalkan hasrat mereka. Ratusan laporan polis juga turut dibuat diseluruh negara termasuk oleh Umno. Selain itu, polis juga memberi amaran akan membuat tangkapan awal sebagai pencegahan. Bagaimanapun, Bersih sehingga kini tetap dengan pendirian akan meneruskan himpunan itu. |
You are subscribed to email updates from Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan