Rabu, 15 Jun 2011

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Lagi kecam Utusan hina syariat Islam

Posted: 15 Jun 2011 03:00 AM PDT

KOTA BHARU, 15 Jun: Ketika pemimpin Umno masih 'trauma' pendekatan baru diperkenal PAS, Negara Berkebajikan, tiba-tiba Utusan Malaysia menyiarkan kartun disifatkan menghina syariah Islam.
Lakaran kartun tersebut jelas sekali memperlekehkan sistem keadilan dan mempersenda-sendakan syariat Islam.
Ekoran itu Pemuda PAS Kelantan turut tampil mengecam keras lakaran kartun disiarkan akhbar Umno terbabit hari ini.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Negeri, Ahmad Fadhli Shaari berkata, jelas sekali mesej yang cuba disampaikan Utusan betapa zalim dan primitifnya Islam yang menggariskan syarat empat saksi dalam penghakiman kes zina, liwat dan rogol.
Lakaran kartun yang disiarkan Utusan cuba menggambarkan seorang wanita yang mendakwa dirogol dan membuktikan dengan rakaman handphone ditolak tok penghulu kerana tiada empat saksi.
Manakala ketika wanita sama mengadu kepada polis, bukti rakaman rogol menggunakan telefon bimbit diterima.
Sindiran yang menghina itu dipercayai sengaja dicipta selepas PAS menolak ciptaan terbaru pemimpin Umno dengan video seks didakwa mereka membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat.
Sedangkan firman Allah SWT dalam Surah an-Nur, ayat 4 bermaksud "Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik."
Bagaimanapun Ahmad Fadhli berkata, jika saksi tidak dapat dibawa, video atau apa jua bukti lain yang disebut sebagai qarinah boleh diterima, namun perlulah dibuat secara tertutup tanpa sebarang hebahan kepada awam.
Dalam perkembangan lain katanya, menteri yang menjaga agama pula membuktikan tiada kes murtad di Kelantan sejak 10 tahun lalu.
"Ini menggambarkan pentadbiran berteras Islam di negeri ini berjaya mengekang gejala tersebut, sedangkan mahkamah syariah di negeri lain menerima 863 kes murtad dalam tempoh tersebut," ujarnya.
Kelantan satu-satunya negeri yang tidak mempunyai pemohonan murtad sepanjang 10 tahun lalu.
Sehubungan itu katanya, Pemuda PAS merakam setinggi-tinggi tahniah kepada kerajaan negeri dan seluruh umat Islam di atas kejayaan mengekang gejala muryad yang sedang melanda negara sekarang.
"Ini ada hubung kaitnya dengan kejayaan dasar Membangun Bersama Islam yang diperkenalkan kerajaan negeri semenjak 1990," katanya.
Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mendedahkan statistik  perrmohonan murtad di seluruh negara daripada tahun 2000 hingga 2010.
Dalam tempoh tersebut sebanyak 863 permohonan direkodkan di Sabah dengan 238 kes, Negeri Sembilan (172 kes) dan Selangor (99 kes).

Bersih 2.0: Polis patut kerjasama, bukan tangkap

Posted: 15 Jun 2011 02:59 AM PDT

KUALA LUMPUR, 15 Jun: Pakatan Rakyat amat kesal dengan tindakan pihak polis yang akan melakukan tangkapan awal atau tangkapan pencegahan terhadap penganjur Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini, memandangkan ia jelas merupakan salahguna kuasa yang dilakukan oleh pihak polis di negara ini.

Tindakan seperti itu tidak sepatutnya dilakukan oleh pihak polis kerana tangkapan yang dilakukan itu bukan sekadar bercanggah dengan amalan demokrasi, tetapi juga melakukan tangkapan terhadap orang yang belum terbukti bersalah.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Himpunan Bersih 2.0 diadakan atas tujuan yang murni bagi mendesak kerajaan melaksanakan pilihan raya yang bersih dan adil di negara ini.

Menurut beliau, pihak polis perlu faham perkara itu dan sepatutnya memberikan kerjasama yang baik kepada pihak penganjur, bukannya dengan menangkap individu yang belum terbukti bersalah bagi menghalang perhimpunan itu.

Katanya, sekiranya tindakan itu dilakukan, rakyat pasti akan menjadi lebih marah kepada kerajaan dan ia dibimbangi akan mencetuskan suasana lebih buruk di tanah air.

"Himpunan itu akan diadakan atas tuntutan rakyat. Kita nak mendesak kerajaan melaksanakan pilihanraya yang bersih dan adil. Kenapa pula polis nak melakukan tangkapan awal? Itu salah dari segi undang-undang," katanya ketika ditemui di lobi bangunan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar, seperti yang dilaporkan media tempatan hari ini.

Dalam laporan itu, Khalid berkata, pihak polis akan melakukan tangkapan awal terhadap pemimpin penganjur Himpunan Bersih 2.0 yang dijadualkan diadakan 9 Julai ini sebagai tangkapan pencegahan.

Menurut Mahfuz, tindakan tersebut jika dilakukan pasti akan turut membangkitkan kemarahan rakyat terhadap pihak polis, sedangkan pihak pembangkang atau Pakatan Rakyat tidak pernah berhasrat untuk bermusuhan dengan pihak polis.

Sementara Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Datuk Johari Abdul ketika ditemui berkata, tindakan tersebut tidak sepatutnya dilakukan oleh pihak polis kerana Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan oleh Gabungan Pilihanraya Adil dan Bersih itu adalah himpunan aman.

"Tujuan himpunan itu diadakan adalah untuk mendesak SPR mengadakan pilihanraya yang bersih dan adil di negara ini dan ia amat perlu didengar oleh SPR dan kerajaan.

"Kalau polis nak lakukan tangkapan awal, siapa yang nak ditangkap? Berapa orang yang nak ditangkap? Apa kesalahan mereka? Mana boleh polis tangkap begitu saja tanpa terbukti orang itu bersalah," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berharap agar tindakan itu tidak akan dilakukan, tetapi menyarankan pihak polis mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan pihak penganjur bagi memberikan kerjasama agar himpunan tersebut dapat diadakan dengan sempurna.

Manakala Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, Jeff Ooi pula berkata, apa pun alasan yang digunakan oleh pihak polis bagi mengadakan tangkapan itu sama ada tangkapan awal atau tangkapan pencegahan, kedua-duanya adalah kesilapan besar jika dilakukan oleh pihak polis.

Menurut beliau, tindakan tersebut jika dilakukan jelas bersalahan dengan amalan demokrasi dan lebih menyerlahkan lagi amalan pemerintahan kuku besi di negara ini oleh kerajaan BN.

"Polis perlu peka perkara itu bukannya melakukan tangkapan awal atau tangkapan pencegahan. Himpunan itu diadakan lanjutan himpunan pertama yang diadakan pada tahun 2007 lalu.

"Menerusi Himpunan Bersih 1.0 tahun 2007 lalu, Bersih menuntut SPR dan kerajaan melaksanakan 4 perkara.

"Antara perkara yang dituntut dilaksanakan oleh SPR adalah penggunaan dakwat dalam pilihanrya, bersihkan daftar pilihanraya dan mansuhkan undi pos.

"Sehingga kini SPR masih tidak melayan tuntutan Bersih itu. Jadi jika himpunan Bersih 2.0 hendak diadakan, kenapa polis pula yang hendak menghalangnya?" tanyanya hairan.

Kecam Bersih 2.0: Speaker tolak usul Zahrain

Posted: 15 Jun 2011 02:58 AM PDT

KUALA LUMPUR, 15 Jun: Hasrat Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim yang mahu Dewan Rakyat mengecam tindakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) untuk mengadakan perhimpunan 9 Julai ini, tidak kesampaian.

Ianya ekoran usul yang dikemukakan oleh beliau itu ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar(gambar) mengambil ketetapan menolak usul yang dibawanya itu mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) itu selepas berpuas hati bahawa usul itu tidak perlu disegerakan.

"Kementerian Dalam Negeri melalui Polis Diraja Malaysia telah mengambil langkah perlu sebagai persediaan untuk menangani perhimpunan BERSIH itu dan akan sentiasa memantau aktiviti-aktiviti yang dijalankan agar dapat dibanteras dan dipastikan tidak berlaku perkara yang tidak diingini yang boleh mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara," katanya.

Terdahulu selepas sesi soal jawab selesai, Zahrain mengemukakan usul meminta dewan mengambil ketetapan untuk mengecam sekeras-kerasnya segala tindakan Bersih.

Ianya termasuk gerakan 'menghasut' rakyat agar merusuh di jalanan sepertimana yang berlaku di beberapa negara Timur Tengah, termasuk Tunisia dan Mesir.

Beliau juga mahu persidangan mendesak Bersih supaya membatalkan cadangan mengadakan demonstrasi baik di Kuala Lumpur, mahupun di mana-mana negeri demi keselamatan rakyat dan negara.

Bersih yang turut disokong parti-parti politik Pakatan Rakyat serta NGO lain bercadang menghimpunkan lebih 500 ribu rakyat berarak dari beberapa lokasi di ibu negara menuju ke Istana Negara bagi menuntut reformasi pilihan raya.

Jika berjaya, ianya merupakan kali kedua diadakan selepas himpunan Bersih pertama pada 10 November 2007.

Sejak hasrat mengadakan himpunan itu dihebahkan, ianya kini mengundang reaksi penentangan oleh beberapa pihak termasuk kumpulan pendesak Melayu, Perkasa.

Presidennya, Ibrahim Ali kelmarin menegaskan mereka juga akan mengerahkan ahlinya berhimpun pada hari sama bagi menghalang peserta himpunan Bersih.

Selain itu, dalam perkembangan terbaru pihak polis juga telah mengeluarkan amaran untuk membuat tangkapan awal sebagai langkah pencegahan.

Pemuda PAS kutuk Utusan hina hukum Allah

Posted: 15 Jun 2011 02:57 AM PDT

MELAKA, 15 Jun: Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka mengutuk Utusan Malaysia kerana dengan terang-terang menghina dan mempersenda hukum Islam. 
Ruangan kartun yang disiarkan oleh akhbar itu hari ini jelas cuba mempermain-mainkan hukum Islam iaitu hukum tentang persaksian kes zina.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Aizat Baharuddin berkata, tindakan akhbar tersebut jelas cuba mempermain-mainkan hukum Islam yang datangnya daripada Allah.
"Dalam hukum Islam jelas dinyatakan bahawa apabila seseorang Islam di tuduh melakukan zina orang yang menuduh perlu dibawakan 4 orang saksi yang tidak fasiq," katanya.
Namun, katanya dialog kartun yang cuba digambarkan oleh pelukis langsung tidak sensitif pada hukum Islam bahkan mempersendakan hukum Islam.
Tambahnya, ia menggambarkan seolah-olah hukum membawa 4 orang saksi itu tidak boleh diguna pakai tetapi video dan gambar boleh dijadikan sebagai bukti.
Katanya lagi, kartun tersebut juga menggambarkan bahawa golongan agamawan begitu jahil dan tidak serius berbanding pihak polis.
Aizat berkata tidak hairanlah apabila khutbah Jumaat di Selangor mengenai tentang qazaf dan fitnah, pemuda Umno pula buat laporan, kononnya agama politikkan.
"Mereka sebenarnya mahu membiarkan orang menjadi jahil dan buta agama seperti mereka.
"Inilah akibatnya apabila akhbar menjadi alat Umno. Campur tangan Umno akan merosakkan semua, paling menyedihkan apabila agama sendiri dipersenda," katanya.
Tegasnya, Utusan Malaysia perlu meminta maaf kepada umat Islam kerana sesungguhnya penghinaan seumpama itu hanya akan merugikan umat Islam. 
"Janganlah orang Islam sendiri yang menghina hukum yang Allah tetapkan disebabkan kejahilan sendiri," katanya.

Umno jangan berlagak menyalak di luar rumah

Posted: 15 Jun 2011 02:55 AM PDT

KUALA LUMPUR, 15 Jun: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) merakamkan ucapan tahniah kepada Adun Meru merangkap Yang Dipertua Kawasan Kapar Dr Abdul Rani Osman atas perlantikan beliau sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor yang baru.
Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) berkata, DPPNS selaku sayap kanan parti akan sentiasa komited dalam usaha membantu pesuruhjaya dalam menggerakkan jentera parti di semua peringkat bagi menghadapi segala cabaran dan rintangan politik negeri Selangor khususnya dalam persiapan untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 nanti.
"Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat bersetuju dengan kenyataan Ketua Penerangan PKR Selangor yang mengatakan perlantikan Abdul Rani sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor yang baru akan menjadi 'mimpi ngeri yang berpanjangan' kepada Umno BN Selangor," katanya kepada Harakahdaily.
DPPNS turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor merangkap Adun Gombak Setia, Datuk Dr. Hasan Ali atas segala khidmat dan usaha keras beliau dalam memartabatkan perjuangan PAS dan memantapkan Pakatan Rakyat Negeri Selangor sehingga mencapai kemenangan bersejarah memerintah Negeri Selangor di dalam PRU ke 12 yang lalu.
"Khidmat beliau sangatlah dihargai oleh seluruh saf pimpinan Pemuda Negeri dan Kawasan-kawasan," katanya.
DPPNS turut menasihatkan Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor, Datuk Satim Deman supaya menjaga urusan partinya sendiri daripada meminta Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim menggugurkan Hasan daripada Kabinet Exco Negeri Selangor selaras keputusan PAS tidak melantik beliau sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor.
"Ingin Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mempertegaskan bahawa jawatan Dr Hasan sebagai Exco Negeri Selangor adalah hasil daripada persetujuan bersama kepimpinan Pakatan Rakyat Negeri Selangor dan tidak membabitkan perubahan kepimpinan di peringkat sesebuah parti.
"Janganlah Umno berlagak seperti anjing yang menyalak di luar rumah cuba mengambil kesempatan mencari publisiti politik murahan dengan mencampuri urusan parti orang lain sedangkan partinya sendiri penuh dengan masalah," tegasnya.
DPPNS yakin PAS dan Pakatan Rakyat Negeri Selangor cukup arif dan berpengalaman dalam mentadbir urus Negeri Selangor dan parti masing-masing tanpa campur tangan daripada pihak luar.
Satim katanya, sepatutnya menasihatkan Ketua Pemuda Umno Selangor, Ungku Salleh Ungku Jamal dan Ketua Pemuda Umno Selayang, Datuk Sohaimi Shahadan supaya tidak gopoh dalam mempertikaikan khutbah Jumaat baru-baru ini yang bertajuk "Jenayah Qazaf adalah berdosa besar.
"Ini adalah kerana Qazaf dan Hudud sama seperti smbahyang, puasa dan perintah-perintah lain yang terdapat di dalam Al-Quran adalah perintah Allah dan wajib dilaksanakan. Janganlah menjadi seperti pepatah Melayu seperti ayam berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi," katanya.

Ggateh Sihat

Posted: 14 Jun 2011 06:43 PM PDT




Felda kalah lagi, diarah bayar RM1.2 juta

Posted: 14 Jun 2011 06:41 PM PDT

KUALA LUMPUR, 14 Jun: Seramai 131 peneroka Felda Kemahang 1 dan 2 menerima berita gembira hari ini apabila Mahkamah Tinggi Kota Bharu mengarahkan Felda membayar RM1.2 juta kepada mereka.
Kes tersebut difailkan peneroka yang gagal mendapat semula wang caruman mereka  di bawah tabung wang tanam semula yang diuruskan Felda melalui peguam Wan Rohaimi Wan Daud.
Keputusan tersebut dibuat Hakim Datuk Mohd Azman Husin jam dan mengarahkan wang tabung tersebut ditaksirkan.
Menurut Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman sejumlah RM1.2 juta itu dikira daripada caruman pokok  peneroka termasuk caruman  yang dibuat setiap bulan selama lebih kurang 20 tahun.
Manakala dividennya juga dikira dalam tempoh 20 tahun itu.
Mazlan menyifatkan keputusan tersebut sebagai sangat menggembirakan peneroka dan membuktikan perjuangan mereka menuntut keadilan semakin mendapat perhatian.
"Ini satu keputusan yang menggembirakan yang ditunggu-tunggu selama ini dan mengulang kes yang sama yang dibawa peguam Hanipa Maidin dalam kes saman peneroka Sungai Koyan terhadap Felda sebelum ini dan ini kemenangan buat kesekian kalinya.
"Ini menandakan bahawa perjuangan warga felda mendapat tempat dan kebenaran akhirnya memihak kepada peneroka," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Ogos tahun lalu, seramai 354 peneroka Felda Kemahang 3, Kelantan, menerima ganti rugi berjumlah RM11 juta dari Felda kerana manipulasi gred buah kelapa sawit.
Mazlan juga berkata, kemenangan kali ini sangat penting untuk menyuntik semangat peneroka agar terus berjuang menuntut hak mereka.
"Ini satu keputusan yang penting kerana melibatkan lebih kurang 10 ribu lagi peneroka yang tidak mendapat wang tanam semula dan ada kesnya yang sedang dibicarakan," katanya.
Mazlan turut memberitahu, lebih kurang 700 peneroka dari sekitar Felda Jengka akan memfailkan saman terhadap Felda di Mahkamah Tinggi Temerloh berhubung  kadar perahan gred (kpg) sawit yang diterima mereka begitu rendah.
"Kes ini akan diketuai peguam Sivarasa Rasiah," katanya.
Sekretariat Task Force Felda
Sementara itu Mazlan turut memaklumkan bahawa satu diskusi mengenai akta penempatan berkelompok (GSA) 1960 berlangsung di Bangunan SUK Selangor hari ini dan dirasmikan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.
Diskusi tersebut dianjurkan oleh Sekretariat Task Force Felda yang ditubuhkan Kerajaan Negeri Selangor.
"Ahli panel terdiri daripada para peguam yang membentang dan menghurai tentang GSA dari sudut kelemahan,kepincangan dan apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk melakukan penambah baikan terhadap felda ini termasuk keadilan akta ini kepada peneroka," katanya.
Beliau berkata, hasil diskusi tersebut, mereka bersetuju untuk memperincikan semua kelemahan yang  terdapat dalam GSA ini agar dilakukan semakan semula supaya dapat memberi keadilan kepada pemilik tanah.
Mazlan merupakan salah seorang ahli jawatankuasa task force tersebut.

Perkasakan permainan kutu di kampung, pejabat

Posted: 14 Jun 2011 06:40 PM PDT

KUALA LUMPUR, 14 Jun: Aktiviti pengumpulan wang kutu yang dilakukan di kampung-kampung dan di pejabat-pejabat perlu diperkasakan bagi menjadikannya sebagai sesuatu yang cukup berfaedah kepada orang ramai.
Sehubungan itu, kerajaan BN diminta mengambil langkah perlu bagi memperluaskannya dengan memperkenalkan makanisme tertentu, sejajar dengan peranan penting aktiviti itu selama ini.
Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub (gambar) berkata, permainan kutu yang dilakukan di kampung-kampung dan di pejabat-pejabat memainkan penting bagi orang ramai dari pelbagai peringkat, sehingga ia menjadi satu permainan yang sudah tidak asing lagi kepada orang ramai.
Menurut beliau, antara keistimewaan permainan kutu termasuklah membolehkan seseorang ke Mekah untuk mengerjakan haji.
Katanya, selain itu, permainan kutu juga turut memudahkan seseorang melangsungkan perkahwinan dan memulakan perniagaan.
"Oleh itu, kerajaan perlu memperkasakan aktiviti ini bagi membolehkan industri kutu dijadikan satu kaedah yang menguntungkan kepada orang ramai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan pembentangan Rang Undang-Undang (Larangan) Kumpulan Wang Kutu (Pindaan) 2011 Bacaan Kali Yang Kedua pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Bagi pindaan rang undang-undang itu, mereka yang bersalah akan dikenakan hukuman denda RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun, berbanding undang-undang tahun 1971 yang mengenakan denda RM5,000 atau 3 tahun penjara.
Menurut Salahuddin, bagi memperkasakannya, beliau menyarankan pihak kerajaan memperkenalkan makanisme terbaik bagi membolehkan aktiviti tersebut menjadi suatu aktiviti yang lebih menarik dan lebih berfaedah kepada orang ramai.
Beliau yang juga Naib Presiden PAS turut berharap agar aktiviti pengumpulan wang kutu dikecualikan dengan sebarang tindakan undang-undang, memandangkan ia jelas berbeza dengan pengumpulan wang kutu haram yang dilakukan secara besar-besaran dan secara komersial oleh pihak-pihak tertentu.
Malah lebih jauh dari itu, beliau berharap agar aktiviti tersebut digalakkan oleh kerajaan, dengan diperluaskan lagi menerusi makanisme terbaik.
Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan diingatkan agar tidak mengharamkan aktiviti pengumpulan wang kutu yang dimainkan di pejabat-pejabat dan di kampung-kampung.
Sebaliknya aktiviti pengumpulan wang kutu di pejabat-pejabat dan di kampung-kampung perlu digalakkan kerana ia tidak berasaskan keuntungan, malah mengukuhkan ekonomi keluarga.
Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria berkata, perkara itu amat berbeza dengan penganjuran pengumpulan wang kutu yang dimainkan (dilakukan) secara besar-besaran dan komersial oleh pihak tertentu walaupun atas alasan sumbangan ikhlas.
Menurut beliau, oleh itu, sebarang pindaan undang-undang yang hendak digubal oleh kerajaan perlu memperjelaskan perkara itu bagi membolehkan aktiviti pengumpulan wang kutu yang dimainkan di pejabat-pejabat dan di kampung-kampung dikecualikan dari sebarang tindakan undang-undang.
Katanya, sekiranya undang-undang yang digubal itu turut mengenakan tindakan terhadap aktiviti pengumpulan wang kutu yang dimainkan di pejabat-pejabat dan di kampung-kampung, ia pasti menimbulkan pelbagai kesulitan kepada orang ramai.
"Pada hal pengumpulan wang kutu di pejabat-pejabat dan di kampung-kampung itu apalah salahnya. Jadi yang itu tak patutlah diharamkan," katanya ketika membahaskan pembentangan rang undang-undang berkenaan.
Menurut Nasir, pindaan rang undang-undang tersebut, jika tidak mengecualikan pengumpulan wang kutu yang dimainkan di pejabat-pejabat atau di kampung-kampung, pasti akan menjadikan undang-undang tersebut amat zalim dan tidak praktikal.
Bagi mengelakkan kejadian itu, beliau menyarankan agar pindaan rang undang-undang tersebut hanya difokuskan kepada aktiviti pengumpulan wang kutu yang dilakukan secara komersial oleh pihak tertentu.
"Pengumpulan wang kutu secara besar-besaran itu sememangnya dilakukan secara komersial, mahukan keuntungan, penuh dengan kekeliruan, berunsur penipuan dan berunsur riba.
"Ia ternyata tidak jelas penganjurnya, sering berlaku penipuan kepada orang ramai, kadar pulangan yang tidak pasti. Yang itulah yang perlu diharamkan," tegasnya.
Selain itu, beliau turut kesal apabila aktiviti pengumpulan wang kutu turut diselewengkan oleh pihak tertentu, atas alasan pinjaman Tekun, yang turut membabitkan pemimpin Umno.
Terdahulu dari itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail turut mengingatkan pihak kerajaan agar mengecualikan para pemain pengumpulan wang kutu kecil-kecilan di pejabat-pejabat dan di kampung-kampung dengan pindaan rang undang-undang tersebut.
"Malah mereka sebenarnya yang kebanyakannya kaum wanita di kampung-kampung turut memainkan peranan penting bagi pertumbuhan ekonomi negara sehingga berjaya mengumpul RM2 bilion," katanya.
Manakala Ahli Parlimen Kuala Selangor yang juga AJK Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad ketika bangun membahaskan pembentangan rang undang-undang itu meminta pihak kerajaan memperjelaskan yang mana aktiviti pengumpulan wang itu yang tidak dimasukkan dalam perniagaan dan yang dimasukkan dalam perniagaan.
Ini kerana dalam Akta Pengesahan Wang Kutu 1974 tidak memperjelaskan perkara ini, malah mengatakan walau apa-apa pun undang-undang yang berlawanan sah di sisi undang-undang dan dikuatkuasakan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menggulung perbahasan itu menegaskan, kesemua pandangan tersebut akan diambil kira oleh kerajaan.
Dengan itu, pindaan rang undang-undang itu pasti akan mengecualikan para pemain pengumpulan wang kutu kecil-kecilan yang tidak berasaskan keuntungan di pejabat-pejabat dan di kampung-kampung.

Tiada ulasan:

Pengikut