Ahad, 22 Mei 2011

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Mahfuz sah pertahan jawatan Naib Presiden PAS

Posted: 22 May 2011 01:15 AM PDT

KUALA LUMPUR, 22 Mei: Datuk Mahfuz Omar (gambar) hari ini mengesahkan beliau menerima pencalonan untuk jawatan naib presiden iaitu jawatan yang sedang disandangnya kini.
Pengesahan ini menyaksikan beliau mungkin berdepan dengan 13 lagi calon lain sekiranya kesemuanya menerima pencalonan untuk jawatan itu pada Muktamar Tahunan PAS ke-57, bulan depan.
Mereka ialah Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub, Datuk Husam Musa, Mohamad Sabu, Idris Ahmad, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Mazlan Aliman, Datuk Mohd Amar Abdullah, Dr. Mohd Hatta Ramli, Mujahid Haji Yusof Rawa, Nik Zawawi Nik Salleh dan Datuk Seri Nizar Jamaluddin.
"Saya menerima pencalonan sebagai naib presiden untuk meneruskan khidmat saya membantu presiden untuk melakukakan lonjakan ke arah PRU ke 13," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan menganggap keputusan itu sebagai mempertahankan jawatan kerana menurutnya jawatan bukan milik individu, tapi milik parti.
Sebaliknya tegas Mahfuz, beliau akan terus memberi tumpuan kepada gerak kerja parti,terutama untuk menumbangkan Umno BN.
"Saya tak suka guna istilah mempertahankan jawatan kerana jawatan bukan milik individu tapi milik parti.
"Kalau saya menumpukan soal pemilihan, saya akan hilang fokus sebenar. Jadi saya serahkan kepada kawasan untuk membuat penilaian," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
Mahfuz turut menekankan '5K' yang menjadi prinsipnya dalam memastikan PAS terus diterima masyarakat dan mampu bersama-sama Pakatan Rakyat memerangi politik perkauman yang kembali dimainkan Umno BN untuk mewujudkan rasa tidak senang antara kaum.
'5 K' tersebut ialah kejujuran, ketelusan, kebijaksanaan, kesaksamaan, dan keprihatinan/kebajikan.
"5K ini yang saya nak bawa. Jadi menjadi tanggungjawab besar bagi saya, untuk menerima pencalonan untuk bawa PAS ke dalam 'green politic' di Malaysia," katanya.
Sementara itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mengekalkan jawatan presiden parti tanpa bertanding.
Ini katanya menunjukkan ahli memberikan sepenuh kepercayaan kepada Abdul Hadi untuk terus meneraju PAS bersama Pakatan Rakyat.
"Kedudukan Tuan Guru Abdul Hadi sebagai presiden parti akan melicinkan lagi perjalanan PAS bersama Pakatan Rakyat.
"Ahli ternyata memberi penghargaan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada beliau," katanya.
Sebanyak 152 kawasan menghantar pencalonan untuk jawtan tertinggi parti namun hanya 146 diterima selepas enam borang yang dihantar tidak lengkap.

Bantulah rakyat bukan minta persiap mental

Posted: 22 May 2011 01:15 AM PDT

PARIT BUNTAR, 22 Mei: Ketua Penerangan PAS Perak, Drs Khalil Idham Lim mengkritik kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengingatkan rakyat agar bersedia secara mental bagi menghadapi tekanan ekomoni yang bakal berlaku sambil menggambarkan ia sebagai satu lagi kelemahan BN mentadbir negara.
"Kenapakah rakyat disuruh bersedia menghadapi masalah tekanan ekonomi sedangkan pemimpin BN belum menunjukkan usaha bersungguh-sungguh untuk bantu rakyat?" katanya.
Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik menyeru rakyat Malaysia supaya mempersiapkan mental masing-masing untuk menghadapi kenaikan harga pelbagai produk berikutan kenaikan harga minyak dan penurunan jumlah bekalan makanan yang diakibatkan oleh perubahan iklim sejagat.
"Kerajaan yang dikuasai oleh BN telah untung besar melalui Petronas berikutan kenaikan harga minyak di pasaran dunia, keuntungan tersebut sepatutnya boleh disalurkan kepada rakyat," katanya ketika ditemui di sini.
Tambahnya, contoh lain negara sepatutnya telah memiliki kekuatan dan lonjakan kemajuan dalam bidang  pertanian yang hebat setanding negara jiran seperti Thailand yang tidak bergantung harap dengan bekalan makanan dari negar luar secara total.
Menurutnya yang juga Adun Titi Serong, kelesuan BN mentadbir negara kian terserlah berikutan langkah demi langkah yang diambil kononnya sangat mengambil berat isu serta soal kebajikan rakyat namun terbukti ianya satu pembohongan kepada rakyat.
"Pada hemat saya usaha BN untuk membela rakyat yang sebetul tidak dibela sejak 50 tahun, tetapi ditutup mata melalui media pro BN untuk mengaburi rakyat dari mengatahui perbuatan terkutuk Umno BN yang lebih suka merompak wang rakyat secara terhormat selepas setiap kali diberi mandat untuk memerintah," ujarnya.
Katanya, pemimpin Umno BN sepatutnya mempersiapkan mental untuk menjadi pembangkang di Malaysia selepas PRU 13 kerana rakyat telah muak dengan lakonan mereka.

PRU 13: Umno Pulau Pinang bakal hilang kerusi

Posted: 22 May 2011 01:15 AM PDT

BAYAN LEPAS, 22 Mei: Umno dan Barisan Nasional (BN) jangan bermimpi untuk merampas kembali Pulau Pinang dari Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya umum yang akan datang.
"Rakyat negeri ini telah celik dan sedar selama ini mereka telah dibohongi oleh parti pemerintah sebelum 2008," kata Exco Kerajaan Negeri, Abdul Malik Abul Kassim (gambar) pada majlis jamuan teh di padang awam, Permatang Damar Laut, petang semalam.
Menurutnya, PR bukan saja mampu mengekalkan kedudukan 29 kerusi yang telah berjaya dirampas dalam pilihan raya umum ke-12 yang lalu, sebaliknya yakin boleh membolos kawasan yang menjadi kubu kuat Umno dan BN dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.
"Kita telah membuat kajian dan penyelidikan mengenai kedudukan kerusi-kerusi yang mampu dimenangi dan ditawan oleh PR dalam pilihan raya yang akan datang.
"Berdasarkan kepada percaturan yang dibuat, PR yakin bukan saja 29 kerusi yang ada dikekalkan milik PKR, PAS dan DAP, sebaliknya kerusi-kerusi Umno yang sudah tidak layak diterajui oleh mereka akan jatuh ke tangan PR," tegasnya lagi.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Maung, tidak menolak kemungkinan ini berdasarkan kepada kenyataan sedia ada, di mana rakyat semakin condong untuk menyokong PR jika dibezakan dengan BN.
"Hentakan, serangan bertubi-tubi yang dilakukan oleh Umno dan BN terhadap PR menyebabkan rakyat semakin menolak mereka. Dasar perkauman yang bersifat cauvanis diamalkan oleh BN memberi impak yang negatif kepada mereka.
"Umno dan BN menyedari hakikat penolakan rakyat di Pulau Pinang terhadap kepimpinan mereka, tetapi ia cuba dinafikan melalui provokasi yang dilakukan melalui pelbagai elemen, semata-mata untuk mengkaburkan pandangan rakyat," ujarnya lagi.
Malah katanya, niat Umno dan BN tidak akan kesampaian selagi kepimpinan PR mengamalkan sistem pentadbiran berdasarkan kepada amalan cekap, akauntabiliti dan telus (CAT).

Tanah runtuh: 16 meninggal dunia

Posted: 22 May 2011 01:14 AM PDT

KAJANG, 22 Mei: Kesemua 25 mangsa yang tertimbus akibat tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat semalam akhirnya berjaya dikeluarkan.

Dari kesemua jumlah itu, 16 mangsa meninggal dunia manakala 9 yang lain berjaya diselamatkan.

Mangsa terakhir dikeluarkan kira-kira jam 5.05 pagi tadi.

Pasukan mencari dan menyelamat mengambil masa kira-kira 15 jam untuk mengeluarkan semua mangsa.

Operasi yang bermula pukul 2.45 petang semalam, berakhir kira-kira 5.30 pagi ini dengan penemuan mangsa terakhir pada pukul 5.05 pagi.

Bagaimanapun ia akan diteruskan jam 8 pagi ini bagi memastikan tiada lagi mangsa terperangkap.

Mangsa yang meninggal dunia di bawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat, katanya.

Pasukan mencari dan menyelamat membabitkan seramai 754 anggota daripada pelbagai agensi bantuan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM), pasukan Smart, tentera 4 Divisyen, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan St John.

Kira-kira jam 2.30 petang semalam, seramai 25 kanak-kanak dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal di Hulu Langat.

Difahamkan ketika itu, kesemua kanak-kanak itu berada dewan makan rumah anak-anak yatim itu membuat latihan persembahan bagi satu program yang akan diadakan di madrasah itu.

Tanah runtuh: MB Selangor arah bantuan segera

Posted: 21 May 2011 06:21 PM PDT

KUALA LUMPUR, 21 Mei: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengarahkan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor, Yayasan Amal dan Briged Amal ke tempat kejadian tanah runtuh di Hulu Langat untuk memberikan bantuan segera.
"Sedih dengan berita kejadian tanah runtuh di Hulu Langat yang menyebab kematian. Kerajaan negeri akan sedia tabung bantuan mangsa dengan segera," tulisnya di laman twitter petang tadi.
Sementara Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar memaklumkan Khalid serta barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengucapkan takziah kepada keluarga kepada kanak-kanak yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Madrasah Al Taqwa Felda Semungkis, Hulu Langat.
Kerajaan Negeri telah menghantar Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor serta Yayasan Amal ke tempat kejadian untuk memberi bantuan segera kepada mangsa yang terselamat dan ahli keluarga mereka.
Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan membiayai kos keperluan kepada mereka yang terselamat dalam bencana alam ini serta petugas-petugas yang bertungkus lumus menjalankan misi mencari dan menyelamat.
Menteri Besar akan menyumbangkan RM1,000 kepada setiap keluarga yang anak mereka terkorban dalam kejadian ini sebagai tanda prihatin dengan nasib malang yang tidak dijangka ini.
Menteri Besar telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk memastikan kebajikan mereka yang terselamat dijaga.
Buat sementara waktu, kerajaan negeri menyediakan penempatan sementara kepada penghuni madrasah dan ahli keluarga mereka yang terlibat di Azwin Resort sehingga misi penyelamat dan mencari mangsa selesai dijalankan.
Menteri Besar menasihatkan keluarga mangsa-mangsa terlibat supaya bersabar dan redha dengan kejadian ini. Semoga roh mangsa yang terkorban di tempatkan bersama orang-orang beriman. Al-Fatihah.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan di laman sama memberitahu, Unit Amal bergegas ke Lembah Azwin Sungai Semungkis di mana tanah runtuh menimpa rumah anak yatim.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula berharap Unit Amal dapat menyelamatkan mangsa sambil mengiringi doa agar tidak ramai yang terkorban.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 petang tadi, seramai 24 kanak-kanak dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal, Hulu Langat.
Dilaporkan tiga mayat kanak-kanak rumah anak yatim berkenaan telah dikeluarkan dari tanah runtuh sehingga jam 6.30 petang tadi.

Tanah runtuh: Presiden PAS rakam takziah

Posted: 21 May 2011 06:21 PM PDT

KUALA LUMPUR, 21 Mei: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa tanah runtuh di Rumah Persatuan Anak Yatim Al-Takwa, Felcra Semungkis, Batu 14, Hulu Langat.
"Bersabarlah dengan ujian Allah. Semoga roh mereka yang tekorban dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh," tulis beliau di laman twitter malam ini.
Kejadian itu juga turut mendapat perhatian Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Selain mengucapkan takziah kepada kelurga mangsa yang terkorban, beliau juga mengajak seluruh rakyat Malaysia berdoa agar mangsa diberi ganjaran terbaik oleh Allah SWT.
"Takziah saya rakamkan kepada mangsa nahas tanah runtuh di Hulu Langat petang tadi.
"Semoga Allah mengurniakan ganjaran yang terbaik untuk yang terkorban dan keluarga yang kehilangan ahlinya," katanya.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 petang tadi, seramai 24 kanak-kanak dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal, Hulu Langat.
Dilaporkan lima mayat kanak-kanak rumah anak yatim berkenaan yang berumur antara 11 hingga 14 tahun telah berjaya dikeluarkan dari tanah runtuh sehingga jam 8.00 malam ini.

Tanah runtuh: Angka korban meningkat 10

Posted: 21 May 2011 06:20 PM PDT

KAJANG, 21 Mei: Sehingga jam 11 malam tadi, angka korban dalam tagedi tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Hidayah Madrasah Al-Taqwa Hulu Langat meningkat kepada 10 orang.
Dalam perkembangan terbaru juga, sembilan orang yang berjaya ditemui dengan keadaan cedera dibawa untuk dirwat di Hospital Ampang.
Pasukan penyelamat kini sedang berusaha mengesan enam lagi mangsa yang masih tertimbus.
Kira-kira jam 2.30 petang tadi, seramai 25 kanak-kanak dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal di Hulu Langat.
Menurut Ahli Parlimen Hulu Langat, Che Rosli Che Mat, pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk kampung mengeluarkan mayat dan mangsa yang cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Kajang.

Difahamkan ketika itu, kesemua kanak-kanak itu berada dewan makan rumah anak-anak yatim itu membuat latihan persembahan bagi satu program yang akan diadakan di madrasah itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pada satu sidang akhbar di sini berkata, 14 mangsa masih terperangkap dan mereka yang cedera dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan dan setakat ini keadaan mereka tidak diketahui.

Beliau berkata rumah anak yatim yang terletak berhampiran bukit itu menempatkan 49 orang termasuk penghuni dan pekerja.

Dalam insiden malang itu, sebanyak 25 orang terselamat sementara 20 pelajar dan 4 penjaga menjadi mangsa.

Tambahnya, kesemua penghuni rumah itu adalah lelaki.

"Kami difahamkan berlaku dua kali tanah runtuh secara serentak dalam sekelip mata. Semua mereka yang berada dalam dewan itu tidak sempat menyelamatkan diri," katanya.

Tiada ulasan:

Pengikut