Rabu, 2 Julai 2014

Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil

Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil


Sampai bila orang Melaka nak kempunan naik kapal terbang dari Melaka?

Posted: 01 Jul 2014 11:47 PM PDT


BATU BERENDAM - Pemimpin Dap menyindir kerajaan negeri dengan menyatakan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) lebih baik dijadikan pusat permainan layang-layang kerana sekurang-kurangnya aktiviti itu mampu menarik kedatangan pelancong.

Perkara itu dijelaskan Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong ekoran tiada satu pun pesawat komersial yang mendarat di lapangan terbang itu sejak 15 Mac lalu meskipun kerajaan negeri sudah membelanjakan sebanyak RM240 juta untuk menaiktaraf dan memanjang landasan.

Menurutnya, meskipun kerajaan negeri ada menjawab soalan bertulis ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini dengan menyatakan LTAM tetap beroperasi apabila dijadikan sebagai pusat latihan penerbangan oleh beberapa syarikat dan agensi.

Sambil menjelaskan jawapan berkenaan sebagai tidak relevan, Poay Tiong mendakwa ia sebagai satu bukti nyata langkah kurang bijak yang dibuat oleh kerajaan negeri.

"Jawapan ini tidak relevan kerana sebelum ini pun LTAM memang digunakan untuk latihan tetapi kemudiannya kerajaan negeri pada masa itu membuat keputusan untuk memanjangkan landasan untuk menarik lebih banyak syarikat penerbangan menggunakannya untuk tujuan komersial.

"Tetapi malangnya, selepas mengeluarkan belanja berjumlah RM240 juta, daripada sebelumnya ada penerbangan tapi hari ini langsung tiada kapal terbang komersial yang beroperasi di sini," katanya ketika melakukan lawatan ke LTAM di sini, semalam.

Beliau turut mendakwa, projek berkenaan sebagai satu projek gajah putih apabila kerajaan negeri ketika itu pada mulanya membuat keputusan tanpa mengambil kira keadaan sebenar sehingga mengeluarkan belanja besar bagi menambah landasan dan menaiktarafnya.

"Akhirnya terpaksa menanggung kerugian dalam setahun sehingga RM3 juta. Tahun ini kita jangka kerugiannya akan lebih besar lagi kerana tiada langsung syarikat yang beroperasi.

"Seperti mana yang dijelaskan oleh kerajaan negeri di dalam Persidangan Dun lalu, pada tahun 2012 LTAM mencatatkan pendapatan cuma berjumlah RM856,594 manakala perbelanjaan sehingga RM3.6 juta. Pada 2013 pula, pendapatan yang diperoleh cuma RM729,089 manakala perbelanjaan sehingga RM4.1 juta," katanya.

Poay Tiong berkata, biarpun beberapa bulan lalu ada syarikat penerbangan dari China berminat untuk mendarat di LTAM tetapi sehingga hari ini masih tiada sebarang perkembangan.

"Baru-baru ini juga kerajaan negeri ada mengadakan rundingan dengan Air Asia dengan FireFly dan kemungkinan besar mereka akan menggunakan LTAM tahun ini.

"Tetapi berdasarkan rekod lepas FireFly memang pernah beroperasi di sini namun akhirnya tiada sambutan sampai kerajaan negeri terpaksa tubuhkan Melaka Air dengan menyewa kapal terbang daripada FireFly namun kesudahannya juga gagal.

"Air Asia pula dari mula kerajaan negeri hendak panjangkan landasan di sini, mereka ada kata akan beroperasi di sini tetapi sudah empat tahun syarikat terbabit tak sampai-sampai," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri harus melihat bagaimana langkah hendak mengatasi masalah tersebut.

"Sebab itu saya merasakan lagi elok kerajaan negeri buka untuk rakyat Melaka bermain layang-layang sekurang-kurang mampu menarik kehadiran pengunjung sebagai satu produk pelancongan. Saya rasa hari Ahad paling sesuai kerana LTAM tidak digunakan untuk latihan.

"Dengan perbelanjaan sebanyak RM240 juta untuk menaiktaraf LTAM, adalah lebih elok wang berkenaan digunakan untuk bina rumah kos rendah dan jumlah itu boleh bina 240 unit rumah kos rendah untuk kebaikan rakyat.

"Mereka sebelum ini hina kerajaan negeri Kelantan tetapi negeri mereka hina itu sekurang-kurangnya lapangan terbang mereka ada 16 penerbangan komersial sehari biarpun tidak berstatus antarabangsa,"katanya.
Sinar Harian

Tiada ulasan:

Pengikut