Ahad, 22 Disember 2013

Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil

Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil


Selepas Bangladesh, Mesir Dan Turki.. Kini Giliran PAS?

Posted: 22 Dec 2013 08:00 PM PST

Dunia dikejutkan dengan hukuman mati terhadap Penolong Setiausaha Agung Jamaat-e-Islami Bangladesh Abdul Quader Mullah (gambar).

PAS melalui kenyataan Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menyifatkan perbicaraan as-Syahid adalah satu momokan terhadap sistem keadilan, apabila disabitkan kesalahan dengan fakta yang meragukan dan penuh dengan sentimen politik dalaman Bangladesh.

"Jelas sekali tindakan menukar hukuman asal terhadap as-Syahid dari penjara seumur hidup adalah di atas desakan politik dalaman menerusi demonstrasi jadian seperti protes Shahbag pada Februari 2013 lalu yang menjadi tulang belakang agenda jahat kumpulan sekular yang bencikan Islam," ujar Presiden PAS.

Hukuman gantung terhadap pemimpin parti Islam itu tidak syak lagi adalah perancangan jahat pemerintah Bangladesh yang merasa tertekan dengan kebangkitan rakyat untuk menjatuhkan golongan sekular.

Tahun lalu dunia di kejutkan dengan kebangkitan umat Islam Bangladesh yang berjumlah ratusan ribu keluar ke jalanraya menuntut penegakan undang-undang syariah di samping menuntut pemerintah yang ada turun dari tampuk kuasa.

Mereka turun dengan tangan kosong tetapi berjaya 'melemahkan' polis dan tentera kerajaan kerana jumlahnya terlalu ramai. Jamaat-e-Islami dijangka membuat kejutan dalam pilihan raya umum yang berlaku selepas ini.

Namun di saat Abdul Quader maut di tali gantung, rakyat Bangladesh yag sedar akan kezaliman pemerintah kepada negara paling miskin di dunia itu tidak dapat berbuat apa-apa.

Kini Presiden Mesir yang digulingkan, Mohamed Morsi pula sedang berdepat dengan ancaman maut setelah didakwa atas tuduhan terlibat dalam kegiatan keganasan dan membocorkan maklumat rahsia ketenteraan negara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pendakwa raya Mesir, Mohamed Morsi dan pertubuhan Ikhwanul Muslimin telah melakukan kekerasan dan keganasan di Mesir. Selain itu, mereka disyaki bersekutu dengan Hamas Palestin dan Hezbollah Lubnan untuk merancang "serangan keganasan".

Morsi sehingga kini masih dalam tahanan pihak tentera sejak digulingkan pada 3 Julai lalu. Bersama Morsi yang turut didakwa adalah 35 pemimpin pergerakan Ikhwanul Muslimin. Antaranya Mohamad Badie, Khairat el-Shater dan Mahmoud Ezzat. Tuduhan itu boleh membawa kepada hukuman mati atau penjara seumur hidup terhadap mereka.

Dakwaan terhadap mereka adalah konspirasi regim tentera tetapi regim itu pula yang mendakwa Ikhwanul Muslimin yang berkonspirasi. Kononnya Ikhwan merancang sejak 2005 melibatkan penghantaran pelatih ke Gaza untuk menjalani latihan tentera oleh Hezbullah dan Pengawal Revolusi Iran.

Regim tentera terus berkelentong dengan dakwaan, selepas penggulingan Presiden Mubarak pada 2011, pasukan terbabit melancarkan serangan terhadap pasukan keselamatan seluruh Mesir. Kononnya kumpulan itu mahu tubuhkan negara Islam di Sinai Utara dan penasihat keselamatan Morsi iaitu Essam El-Haddad didakwa membocorkan maklumat kepada Iran dan Hezbullah sebagai membalas kerjasama yang diberikan sebelum ini.

Rakyat Mesir tentu ketawa besar dengan dakwaan tersebut sebagaimana rakyat Malaysia pernah ketawa dengan pelbagai tuduhan terhadap pihak pembangkang dahulu, lebih-lebih lagi semasa ISA masih bertaring. 

Pengalaman puak sekular Mesir menumbangkan kerajaan yang dipih secara sah oleh rakyat nampaknya menjadi sumber inspirasi puak sekular Turki. Tiba-tiba sahaja pihak berkuasa berkaitan keadilan di Turki (bebas dari cengkaman mana-mana parti politik) menahan berpuluh individu berprofil tinggi atas dakwaan rasuah. Berpuluh ketua polis dipecat sekaligus menyaksikan penahanan 51 orang termasuk anak kepada tiga menteri kerajaan pimpinan Erdogan dan beberapa ahli perniagaan terkenal.

Perdana Menteri Reccep Tayyip Erdogan menyifatkan penahanan itu merupakan konspirasi dan operasi kotor untuk menentang kerajaan pimpinannya. Sementara Timbalan Perdana Menteri Bulent Arinc berkata, operasi tersebut merupakan perang psikologi terhadap Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP).

Abdul Quader Mullah menerima 'padah' sewaktu partinya bergerak menuju kemenangan. Dr. Mohamad Morsi pernah berada di puncak kekuasaan, dijatuhkan dan sedang menunggu 'padah'. Manakala konspirasi menjatuhkan Reccep Tayyip Erdogan sedang diaktifkan pada fasa awal. Ketiga-tiganya adalah negara yang kononnya meraikan demokrasi. Perangai jahat puak sekular sama sahaja di mana-mana.

Jangan ada pihak terfikir (khususnya golongan agamawan) bahawa kerajaan sekular Malaysia lain dari yang lain kerana kononnya terdapat kebaikan yang terpancar. Percayalah mereka tetap sanggup melakukan apa saja bagi mempertahankan kekuasaan.

Kerajaan '47 peratus' yang sedang berkuasa kini berdepan dengan kemarahan melampau dari rakyat akibat tekanan kos hidup yang berpunca kegagalan mereka menguruskan ekonomi. Ramai kini marahkan BN, Najib, Rosmah serta seluruh pemimpin kerajaan Pusat, termasuk dari ahli dan penyokong BN sendiri.

Kemarahan berkaitan isu 'bread and butter' atau persoalan periuk nasi selalunya melampaui batas politik. Bila rakyat lapar dan tertekan mereka akan hilang rasa hormat pada kerajaan memerintah. Pada masa itu apa-apa saja boleh berlaku.

BN cuba menimbulkan isu Syiah untuk mengalih perhatian rakyat tetapi nampaknya gagal. Tuduhan yang cuba dikaitkan dengan PAS hanya jadi bahan gelak ketawa rakyat. Di saat genting ini pihak pembangkang kena bersedia dengan sebarang konspirasi yang besar kemungkinan dirancang oleh pemerintah. Mereka boleh beralih kepada isu lain pula, yang selama ini tidak pernah terfikir oleh kita.

Pemerintah yang terdesak kerana kebangkitan rakyat yang alami tekanan kos hidup, akan sanggup lakukan apa saja demi mengalih tumpuan rakyat dari isu yang dihadapi. Juga demi mengekalkan kekuasaan mereka.

Seperti di Bangladesh, Mesir dan Turki, pihak pembangkang di Malaysia; khususnya kumpulan Islam mesti bersedia menghadapi konspirasi puak sekular – termasuk ancaman terhadap para pemimpin PAS! Jangan pandang enteng… ~harakahdaily




Tiada ulasan:

Pengikut