Jumaat, 8 November 2013

Blog Rasmi Dewan Pemuda PAS Puchong

Blog Rasmi Dewan Pemuda PAS Puchong


DPP Puchong menyokong kenyataan KETUA PENERANGAN PAS PUSAT, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung isu Kenyataan akhbar YB Karpal Singh.

Posted: 07 Nov 2013 02:40 PM PST


Kenyataan Akhbar Dewan Pemuda PAS Puchong

DPP Puchong menyokong kenyataan KETUA PENERANGAN PAS PUSAT, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung isu Kenyataan akhbar YB Karpal Singh.


Dalam kenyataan akhbar YB Karpal Singh yang bertarikh 5 Nov 2013 yang disiarkan di dalam sinar harian online, beliau telah menyebutkan bahawa parti politik atau persatuan yang berasaskan kaum dan agama dibatalkan pendaftaran atau diubah suai agar boleh disertai oleh semua rakyat tanpa mengira batasan kaum dan agama. Perkara ini telah dibidas oleh Ketua Penerangan Pas Pusat, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataannya dalam akhbar yang sama pada keesokan harinya yang mana Yang Berbahagia Dato' telah mengingatkan YB Karpal Singh Supaya tidak berkata mengikut selera semata-mata. 

DPP Puchong melihat dari kacamata kelompok bawahan dalam Parti yang mana sentiasa ingin melihat kejernihan hubungan antara Rakan Sekutu dalam Pakatan Rakyat yang sentiasa menjadi perhatian rakyat marhaen, barisan pengamal media dan tidak ketinggalan pihak lawan iaitu Barisan Nasional yang sudah tentunya merasa gembira dengan pandangan terbaru YB Karpal Singh ini. 

Dalam pemerhatian kami, YB Karpal Singh telah cuba mengheret isu parti dan pertubuhan berasaskan agama dan kaum ini ke dalam kancah permasalahan berkaitan isu kaliman Allah yang dibangkitkan oleh pertubuhan lain. Sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman luas, beliau seharusnya berfikiran lebih matang dan mengambil kira  impak-impak lain yang bakal mendatang dalam setiap kenyataan yang dikeluarkan di hadapan media. Apakah salahnya PAS yang telah pun bertapak lebih 50 tahun dalam negara ini sebagai sebuah pertubuhan politik yang berasaskan agama Islam pada kacamata YB Karpal Singh? Adakah Beliau turut berpendapat bahawa PAS telah mengabaikan aspek perpaduan kaum? Ataupun beliau turut berpendirian bahawa PAS telah meminggirkan keadilan walhal jelas PAS telah melakukan yang terbaik dalam menyemai benih perpaduan dalam kalangan rakyat sebagaimana yang disebutkan oleh Yang Berbahagia Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man ketika mana mengulas komitmen PAS ketika menerajui kerajaan kelantan dan kedah yang termaktub dalam lipatan sejarah.

Selain itu DPP Puchong turut berbesar hati untuk merungkai kekeliruan berkaitan bahayanya parti politik atau pertubuhan yang ditubuhkan berasaskan agama dan kaum sebagaimana yang disebutkan oleh YB Karpal Singh dalam kenyataan tersebut. Bertepatan dengan kebimbangan yang turut diluahkan oleh Ustaz Syarhan Humaizi Halim,Ketua Dewan Pemuda Negeri selangor dalam kenyataan rasmi beliau berkaitan isu ini,kami sangat optimis untuk menyatakan Parti PAS sekali-kali tidak akan mendatangkan bahaya kepada rakyat bahkan akan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada Agama kami dan seterusnya rakyat seluruhnya. Untuk pengetahuan, Islam adalah agama yang mementingkan penerapan Islam dalam setiap perbuatan dalam kehidupan. Sementalahan pula,tidak ada larangan dalam perlembagaan Malaysia yang menghalang setiap individu untuk menganut dan mengamalkan ajaran dalam mana-mana agama dalam negara ini. Justeru, tidak seharusnya ada halangan dari mana-mana pihak untuk membatalkan atau menggubal sesuatu yang kami yakini termasuklah berpolitik secara islam dan atas nama islam itu sendiri.

Akhir sekali, kami turut melahirkan rasa syukur apabila YB Lim Kit Siang telah tampil memberikan kenyataan berhubung isu ini bagi menjernihkan keadaan yang telah mula menjadi keruh. Sebagaimana yang menjadi telahan kami sejak dari awal, ia merupakan sebahagian daripada kerja-kerja jahat media untuk melaga-lagakan PAS dan YB Karpal Singh. Justeru, kami mengsyorkan kepada YB Karpal Singh agar satu tindakan undang-undang diambil ke atas media terbabit kerana telah cuba menyalakan api permusuhan antara PAS dan YB Karpal Singh. Cara sebegini mudah-mudahan dapat memberikan pengajaran kepada mereka supaya lebih beretika ketika mana menyampaikan berita kepada para pembaca. Apatah lagi fitnah yang cuba dijaja oleh media ini boleh menimbulkan permusuhan bukan sahaja antara dua Parti Politik yang dominan dan bersahabat dalam pakatan rakyat, bahkan ia juga bakal mengundang ketegangan antara kaum dalam kalangan rakyat di negara ini. 

MOHD ROSHARIZAN MOHD ROZLAN
KETUA DPP PUCHONG
7 November 2013

Pasti Masih merupakan Pusat Pendidikan Pra Sekolah Yang Kondusif

Posted: 07 Nov 2013 02:18 PM PST

KENYATAAN RASMI DEWAN PEMUDA PAS PUCHONG

Pasti Masih merupakan Pusat Pendidikan Pra Sekolah Yang Kondusif

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Segala puji Bagi Allah SWT yang memberikan ruang untuk DPP Puchong mencoretkan sesuatu yang penting untuk tatapan kita bersama. Masyarakat di sekitar Puchong telah digemparkan dengan berita rompakan yang melibatkan salah sebuah Pasti di bawah pantauan DPP Puchong. Dalam laporan polis yang dibuat oleh pasti tersebut, pengurus pasti tersebut telah melaporkan bahawa dua orang lelaki yang menaiki motosikal telah bertindak nekad untuk merompak premis pasti tersebut yang sedang beroperasi. Namun usaha itu tidak berjaya dan polis kini sedang giat memburu kedua-dua perompak tersebut yang dipercayai masih bebas.

Untuk makluman, setiap pasti yang beroperasi dalam negara ini telah dibekalkan dengan manual pengurusan pasti yang perlu dipatuhi dan dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan. Amalan pengurusan yang berhemah ini sentiasa dipantau agar kualiti murid pasti yang dihasilkan mencapai tahap yang digariskan oleh Pasti Malaysia. Pasti bukan setakat cemerlang dari sudut kurikulum dan ko-kurikulum,bahkan ianya sentiasa terkehadapan dari sudut persekitaran pembelajaran yang kondusif dan ceria. Ini terbukti dengan penganjuran pertandingan 3K (Kebersihan, keceriaan dan keselamatan) antara pasti-pasti di seluruh Malaysia pada setiap tahun.

DPP Puchong merasa sangat kesal dengan kejadian yang menimpa salah sebuah pasti di puchong pagi semalam. Wakil kami yang pergi melihat ke tempat kejadian telah mendapatkan maklumat secukupnya daripada saksi dan mangsa yang terlibat dan kami serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan. Atas rasa tanggungjawab, kami memohon maaf kepada mangsa yang terlibat termasuk guru dan ibu bapa atas pengabaian aspek keselamatan yang berlaku di luar jangkaan dan pemantauan kami. Kami akan memastikan prosedur keselamatan yang ditetapkan akan dipatuhi bukan sahaja di pasti ini, bahkan seluruh pasti yang terdapat dalam kawasan puchong ini. Kami turut menyeru kepada seluruh jentera pasti di setiap cawangan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam menitikberatkan soal keselamatan guru dan murid-murid. 

MOHD ASHRUL HISYAM BIN ABDUL JALIL
KETUA PENERANGAN 
DPP PUCHONG
8 NOVEMBER 2013

Tiada ulasan:

Pengikut