Isnin, 16 September 2013

Pakatan Rakyat

Pakatan Rakyat


Kerabu Bersuara ®

Posted: 16 Sep 2013 03:06 PM PDT


MUHAMAD MAT YAKIM

AMAT menarik untuk kita terus memerhati apa yang berlaku dalam Pas sekarang terutama berkaitan isu resolusi ulama yang mahu parti itu mengkaji semula tahaaluf siyaasi dengan DAP dan PKR.

Hal tahaaluf siyaasi bukan perkara baru dalam Pas. Dan tidak melampau jika dikata, itulah juga perkaranya yang jadi kebimbangan majoriti senyap dalam parti terutama akar umbi yang tidak ada apa-apa kepentingan.

Manakala Datuk Harun Taib pula - yang teruk diserang sesetengah pihak selepas multaqa yang memutuskan resolusi itu - memangnya diketahui sering bersikap lantang terhadap pemimpin DAP, terutama Karpal Singh.

Bukan sekali dua Datuk Seri Abdul Hadi Awang terpaksa menenangkan keadaan dengan memberi alasan bahawa kenyataan Harun semata-mata pendapat peribadinya, bukan pendirian parti selepas ketua ulama itu menegur Karpal terutama dalam isu yang berkaitan dengan negara Islam dan kalimah ALLAH.

Umum mengetahui bahawa hubungan Hadi dengan Harun sangat rapat. Namun demi mengekalkan keyakinan DAP dan PKR terhadap Pas, Hadi terpaksa untuk tidak berpihak kepada Harun. Bukan sekali, bukan dua. Namun Harun tetap tidak berkurang juga lantangnya menegur pemimpin DAP.

Kemuncaknya adalah kelmarin apabila dalam multaqa ulama di Alor Setar, Harun secara berterus terang meminta tahaaluf siyaasi dikaji semula. Pandangannya itu kemudian diangkat menjadi resolusi. Lagi sekali Harun menghantar rakan karibnya, Abdul Hadi ke penjuru dilema!

Soalnya, apakah perkara yang disuarakan Harun itu salah ataupun disuarakan secara salah?

Satu aspek yang penting dalam dunia ilmu cara Islam ialah berhujah di atas fakta. Itulah sebabnya perlu kajian untuk mengenal pasti keberuntungan atau kerugian yang mungkin berlaku pada Pas dalam perjuangannya mendaulatkan Islam.

Kita tahu bahawa antara keharusan tahaaluf siyaasi ialah Islam mesti dominan, dan mungkin Harun juga kalangan ulama yang bermultaqa di Alor Setar tempoh hari berasa ragu akan hal ini lalu minta dikaji. Harun sebaliknya dihentam dan cara begini tidak mengikut disiplin ilmu apabila berlaku percanggahan pendapat.

Kita bimbang jika itu tandanya bahawa dalam Pas sudah hilang rasa hormat kepada ulama.

Meskipun mungkin mudah bagi mereka yang menentang Harun untuk menjawab bahawa tanggapan itu bukan meliputi semua ulama dalam Pas melainkan hanya yang cuba mengusik hubungan dengan DAP dan PKR sahaja, namun tertanya-tanya juga oleh kita, apa mungkin orang Pas hari ini lebih kasihkan Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng berbanding ulama?

Apakah pengaruh kedua-duanya itu lebih kuat mencengkam dalam Pas berbanding ulama yang pernah ditatang tinggi oleh ahli Pas selama ini?

Pada penghujung 1980-an, seorang pemimpin Pas Kedah, Abdul Wahab Abdul Rahman, pernah dikritik hebat oleh ahli dan pemimpin Pas dari serata negeri hanya kerana aksinya yang mengangkat tangan dan menuding jari ketika membahaskan satu usul dalam muktamar - barang kali disebabkan kebiasaannya sebagai seorang guru - yang menurut para pengkritik adalah peri laku biadab yang tidak seharusnya dilakukan di hadapan pemimpin-pemimpin parti yang rata-ratanya adalah para ulama.

Namun itu dulu. Apakah kini ulama sudah boleh diperlakukan lebih daripada itu? Dikutuk, dimaki sudah tidak jadi kesalahan pada era tahaaluf siyaasi?

Pemuda di bawah kepimpinan Cikgu Pa (Datuk Mustafa Ali) mengetepikan Datuk Asri Muda untuk memberi tempat kepada golongan ulama. Tercatat dalam sejarah bahawa pada muktamar 22 Oktober 1982 itulah, Pemuda Pas telah mengemukakan usul menolak ucapan dasar Yang Dipertua (Asri) dan menubuhkan Majlis Syura Ulama yang kemudian diluluskan oleh muktamar.

Harun tidak melakukan apa-apa kesalahan. Beliau menyuarakan pendirian daripada persepsinya sebagai ulama yang mengetuai sayap yang diiktiraf dalam struktur organisasi Pas. Lebih daripada itu, apa yang disuarakannya itu juga adalah resolusi satu multaqa yang dihadiri oleh ulama-ulama Pas sendiri.

Apa mungkin Harun tersilap menilai kedudukan ulama dalam Pas hari ini?

Apakah ini tandanya kesan tarbiyah Anwari lebih kuat dalam kalangan orang muda Pas berbanding tarbiyah tarbawi oleh akademi Pemudanya? Jika demikian, apakah Pas boleh terus menaruh harap kepada generasi mudanya untuk terus memperjuangkan matlamat asasinya?

Barang kali atas sebab inilah Pas ketika era Ustaz Fadzil Noor telah meletakkan garis sempadan yang jelas dalam kerjasama dengan DAP. Pada PRU 1990, Pas secara rasmi bekerjasama dengan parti-parti politik Islam dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

Kita bukan mahu menafikan apa yang disebut oleh Tok Guru Nik Aziz ketika mengulas isu itu yang berkata, Pas tidak rugi dalam permuafakatan dengan DAP mahupun PKR kerana kerjasama itu membolehkan banyak perkara mengenai Islam diperjelaskan kepada pemimpin bukan Islam daripada kedua-dua parti itu.

Namun untuk menghentam dan mengenepikan ketua ulama hanya kerana beliau minta dikaji semula hubungan dengan DAP dan PKR, sebenarnya ada kerisauan yang lebih besar dalam kepala kita terhadap masa depan Pas!

Biaqpila

Posted: 16 Sep 2013 03:04 PM PDT

Gambar seorang lelaki tanpa seluar dipercayai suspek diedarkan kepada orang ramai di sekitar Bukit Payung dan Alor Limbat melalui pelbagai media baru termasuk gambarnya ditampal di tiang lampu isyarat di Marang.

MARANG - "Sebaik sahaja tersedar daripada tidur, saya lihat ada lelaki separuh bogel memakai topeng 'Zorro' berada atas badan. Saya cuba menjerit namun mulut saya penuh dengan cecair seperti minyak dan ditutup," kata mangsa, seorang pelajar berumur 17 tahun.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, pelajar terbabit mendakwa lelaki separuh bogel itu telah memasukkan cecair seperti minyak dipercayai telah dicampur bahan lain ke dalam mulutnya agar dia tidak sedarkan diri.

Bagaimanapun lelaki yang tidak memakai seluar itu tidak sempat berbuat apa-apa apabila bapa pelajar terbabit juga tersedar daripada tidur lalu memeriksa bilik anak perempuannya sebelum menyergah lelaki itu yang kemudiannya melarikan diri.

Menurut mangsa, lelaki terbabit hanya sempat mengambil telefon bimbit miliknya dan bersyukur kerana tidak diapa-apakan.

Namun mangsa yang tinggal di Kampung Tok Renek itu masih trauma dan tidak dapat melupakan kejadian menimpanya.

"Nasib baik lelaki itu tidak sempat bertindak ganas dan saya bersyukur kerana kejadian disedari bapa, namun saya tidak akan dapat melupakan kejadian itu sampai bila-bila, malah masih berasa takut seolah-olah dia akan datang semula.

"Keluarga juga risau kejadian berulang dan mereka sudah membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Payung di Marang dan kami berharap lelaki itu akan dapat diberkas dengan segera" katanya ketika menghubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan dan menurutnya, kes berkenaan masih dalam siasatan serta disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, difahamkan lelaki separuh bogel dipercayai mengalami masalah mental itu juga digelar sebagai 'orang minyak' oleh penduduk kampung kerana sering berkeliaran di sekitar Bukit Payung dan Padang Midin, Kuala Terengganu.

Malah, kelibat lelaki tanpa seluar itu berjaya dirakam penduduk di kawasan berkenaan dan diedarkan kepada umum melalui laman facebook, whatsApp dan media baru lain termasuk gambarnya ditampal di tiang lampu isyarat di kawasan Bukit Payung, di sini.

Kejadian itu juga menyebabkan JKKK Padang Midin dan Belia Bestari (BBest) Kampung Padang Midin, Kuala Terengganu menubuhkan satu pasukan rondaan di kawasan kampung berkenaan.

Menurut Pengerusi JKKK Padang Midin, Razali Shahul Hamid, rondaan di kawasan kampung bermula pada jam 12 malam hingga 6 pagi setiap hari dan disertai ahli jawatankuasa belia BBest serta penduduk kampung tersebut.

"Rondaan ini telah dijalankan sejak dua tahun lalu dan kita adakan dengan lebih giat selepas beberapa siri kejadian membabitkan lelaki dipercayai kurang siuman yang digelar sebagai orang minyak itu dikatakan mula berkeliaran termasuk di Tok Renek.

"Tok Renek masih di bawah pentadbiran JKKK Padang Midin. Kampung ini terletak di sempadan kawasan polis Kuala Terengganu dan Marang, jadi kami akan memberikan kerjasama penuh dalam membantu dua pihak berkuasa itu memberkas lelaki terbabit," katanya.

NAK TAU CARA CAJ HANDPHONE DI MANA SAJA ANDA BERADA?
RUANG IKLAN TEKS RM10 SEBULAN

Tiada ulasan:

Pengikut