Khamis, 4 April 2013

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


PRU13: Gerak kerja PAS lebih baik dari 2008

Posted: 03 Apr 2013 04:40 PM PDT



MARANG: Mesej PAS kepada rakyat agar dapat membuat perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13 ) ini ke arah yang lebih baik bagi menyelamatkan negara dan rakyat seluruhnya.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS akan mengemukakan calon-calon yang bertanding pada pilihan raya kali ini di kalangan yang paling bertanggungjawab serta beramanah.

"Mesej kita (PAS) kepada rakyat Malaysia seluruhnya supaya membuat (perubahan) yang menyelamatkan negara dan rakyat secara yang menyeluruh.

"Insya Allah, kita akan kemukakan calon-calon yang paling bertanggungjawab, yang paling menunaikan amanah sama ada dibuktikan melalui kerajaan-kerajaan yang kita (Pakatan Rakyat) perintah, melalui kawasan-kawasan yang sudah dimenangi, melalui Pusat-pusat Khidmat Masyarakat yang dilakukan di kalangan kita (PAS) kepada rakyat sepanjang tahun 2008 hingga 2013 dan rakyat dapat menilainya," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di kediamannya di Kampung Rusila, ekoran pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, hari ini.

Menurutnya, meski pun PAS belum lagi sebagai sebuah parti yang memerintah kerajaan Pusat tetapi dapat menunaikan tanggungjawab mengikut kemampuan dengan penuh keikhlasan.

Sehubungan itu, Presiden PAS turut mengulangi penegasan parti bahawa PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihan raya kali ini.

"Alhamdulillah, kita telah selesai membuat penyusunan dan pembahagian dengan sebaik-baiknya. Malah, lebih baik dari pilihan raya tahun 2008 di mana gerak kerja dan jentera kita lebih baik dari masa-masa yang lalu," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut mendesak agar kerajaan Barisan Nasional berlaku adil dan telus dalam pilihan raya umum kali ini.

Katanya, perlawanan politik dalam negara yang mengamalkan prinsip demokrasi mesti diadakan di atas 'padang' yang sama rata.

"Harapan kami, pilihan raya secara demokratik dalam erti kata yang sebenar dapat dilaksanakan. Sebagaimana di tempat lain menjalankan demokrasi sebenar seperti di Indonesia, Filipina, Thailand, Mesir dan termasuk di negara lain yang sentiasa membuat pembaharuan," tegasnya di hadapan 30 pengamal media di negeri ini.

Selain itu, Ustaz Abdul Hadi turut menasihatkan semua pengamal media agar menjalankan kerja secara ikhlas, jujur dan profesional.

"Cuma saudara kena catit apa yang kita lapor. Itu hal saudaralah. Tunaikan secara profesional sebagai wartawan. Kita tahu di Malaysia ini, yang atas macam-macam ceritalah. Kita (PAS) akan bagi kerjasama dan laluan kepada wartawan, jaga keselamatan. Media rakan kita," ujarnya.

Hadir sama pada sidang media tersebut Pesuruhjaya dan Setiausaha PAS negeri, Mohd Abdul Wahid Endut dan Yahaya Ali, Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing dan Timbalan DHPP negeri, Jefri Chua.

Bubar Parlimen tingkat semangat petugas PAS

Posted: 03 Apr 2013 04:40 PM PDT


TEMERLOH: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan akan membawa aspirasi parti dan manifesto Pakatan Rakyat dalam mendekati para pengundi di kawasan Parlimen Temerloh.
Ini berikutan beliau telah diamanahkan oleh PAS untuk bertanding di Parlimen Temerloh pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Selain aspirasi parti dan manifesto Pakatan Rakyat, beliau turut merungkaikan serta memperjelaskan dokumen Negara Berkebajikan untuk pengetahuan seluruh rakyat.

"Selain daripada agenda utama PAS dan Pakatan Rakyat, saya juga akan meninjau isu-isu yang berkaitan dengan penduduk tempatan dan kita akan melihat bagaimana kita boleh selesaikan," katanya kepada Harakahdaily sewaktu program jelajah Negara Berkebajikan di Temerloh petang semalam.

Katanya lagi, jentera PAS telah berada pada peringkat akhir.

"Jentera kita sebenarnya telah bersedia untuk menghadapi pilihanraya bila-bila masa sahaja sejak dari tahun lepas lagi," ujarnya.

Beliau menambah, dengan pembubaran parlimen yang diumumkan semalam telah menaikkan semangat petugas dan jentera parti untuk bekerja 24 jam.

Menurutnya, prinsip kerja yang dilakukan secara berpasukan iaitu gandingan PAS, PKR dan DAP akan menjadikan gerak kerja lebih mantap.

"Saya percaya gandingan ini akan menjadikan yang terbaik dalam kita menghadapi Barisan Nasional (BN).

"Kita mempunyai peluang yang tinggi untuk mencapai kemenangan terutamanya momentum anak muda dan juga kaum bukan Melayu yang terus memberi sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat," kata beliau lagi.

Beliau pasti, siapa jua persaingnya pada pilihan raya nanti bukan satu masalah yang besar kerana gerak kerja serta sokongan dari semua lapisan masyarakat akan memberikan kemenangan kepada Pakatan Rakyat nanti.

Rakyat sambut bubar Parlimen macam nak raya

Posted: 03 Apr 2013 04:39 PM PDT


TEMERLOH: Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man melihat keghairahan rakyat menyambut pembubaran parlimen yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kali ini luar biasa.

"Seluruh rakyat sambut pengumuman bubar parlimen seperti nak sambut raya, semuanya kerana rakyat dah tunggu hampir dua tahun, sedangkan media kawalan Umno setiap hari memainkan isu politik dan pilihan raya," katanya ketika berceramah di atas treler Negara Kebajikan PAS yang sampai ke bandar Temerloh petang tadi.

Hari ini merupakan hari ketiga jelajah treler berkenaan selepas ke Raub, Bentong, Jerantut, Maran, Bandar Jengka, Lanchang dan bersebelahan terminal bas ekspres petang ini sebelum bertolak ke Bera.

Lebih 1,000 mendengar amanat pemimpin bersempena pembubaran parlimen hari ini.

Turut berucap Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hasan, Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri Pahang, Abdul Majid Hasan, Yang Dipertua PAS Kawasan, Md Jusoh Darus, Ketua Muslimat PAS Pahang, Salamiah Mohd Nor, Adun Kuala Semantan, Syed Hamid Syed Mohamad dan Ketua Penerangan PAS Pahang, Suhaimi Saad.

Tuan Ibrahim yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata, Pakatan Rakyat (PR) memasuki pilihan raya kali ini dengan cukup bersedia.

"Tidak terjangkau kita akan membariskan calon-calon bekas pegawai tinggi tentera, pegawai tinggi kerajaan,  pegawai tinggi Felda dan artis.

"Justeru marilah kita bekerja keras kerana rakyat nak tengok janji-janji yang  PR tawarkan terlaksana demi kebajikan yang tunggu-tunggu selama ini," katanya.

PRU13: MB mengadap Sultan Kelantan esok

Posted: 03 Apr 2013 04:39 PM PDT

KOTA BHARU: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menghadap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V esok bagi mendapatkan perkenaan Tuanku bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan.

Tuan Guru berkata, beliau akan mengadap sultan Kelantan malam esok di Istana Telipot selepas menghadiri majlis penutup Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Kelantan.

"Terserah kepada baginda untuk menentukan bila-bila pembubaran negeri Kelantan," katanya kepada media di sini.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Lajnah Politik dan Piihanraya PAS Negeri, di sini sebentar tadi.

Tuan Guru turut memberitahu, beliau juga akan menghadiri mesyuarat bersama menteri-menteri besar dan ketua menteri di bawah Pakatan Rakyat di ibu negara petang esok.

Sementara itu, mengulas tentang peluang PAS di negeri itu, Tuan Guru berkata beliau hanya berdoa supaya pemerintahan di Kelantan tetap berada di bawah kepimpinan Islam.

Beliau juga berharap rakyat Kelantan akan mengekalkan kerajaan negeri yang ada hari ini.

"Kita berdoa kepada Allah SWT supaya Kelantan tetap di bawah pentadbiran Islam," ujarnya.

Tiada ulasan:

Pengikut