Selasa, 19 Mac 2013

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


PRU13: PAS lancar web khas dan hijau.fm

Posted: 18 Mar 2013 04:32 PM PDT


KUALA LUMPUR: Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat dengan kerjasama Jabatan IT PAS Pusat (JITP) membangunkan satu laman web PRU13 untuk menyebarkan maklumat-maklumat  berkaitan dengan PAS bagi Pilihanraya Umum ke-13 melalui capaian http://pru13.pas.org.my

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, laman PRU13 ini akan diisi dengan maklumat-maklumat seperti biodata calon-calon Dun dan Parlimen yang PAS bertanding serta berita-berita dan aktiviti pilihanraya yang berkaitan yang dihubungkan dengan laman web induk, PAS yang boleh dicapai melalui http://www.pas.org.my

Katanya, selain daripada perkhidmatan-perkhidmatan media baru yang telah sedia ada sebelum ini seperti webtv, facebook dan twitter, mulai 16 Mac juga Lajnah Penerangan PAS Pusat dan Jabatan IT PAS Pusat menerusi Urusetia Media Baru (UMB) telah memulakan perkhidmatan radio internet di bawah jenama Hijau.fm dengan menyiarkan liputan Xpresi Ulama Muda dari Gunung Semanggol.

"Radio hijau.fm ini boleh dilayari menerusi http://www.hijau.fm akan beroperasi 24 jam sehari untuk menyampaikan maklumat-maklumat khususnya berkaitan dengan PAS dan Pakatan Rakyat serta program-program dan aktiviti-aktiviti pilihanraya setelah parlimen dibubarkan," ujarnya.

Menurutnya, mulai 16 Mac laman utama PAS versi2 juga dipertingkatkan dari menggunakan aplikasi Joomla 1.5 kepada Joomla 2.5 dengan design baru yang lebih segar untuk menyebarkan maklumat-maklumat parti dan kenyataan-kenyataan rasmi sebagai rujukan semua pihak yang berminat.

PRU13: Lim Kit Siang bertanding di Gelang Patah

Posted: 18 Mar 2013 04:31 PM PDT

KUALA LUMPUR: Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang diumumkan secara rasmi bertanding di Parlimen Gelang Patah, Johor pada Pilihan raya Umum ke-13 nanti.

Pengumuman itu dibuat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Sambutan Ulang tahun ke-47 DAP di Johor Baharu, malam ini, lapor blog Jalan Pulang.

Turut hadir semasa pengumuman tersebut dibuat ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Mahfodz Mohamad dan Pengerusi PKR negeri, Datuk Chua Jui Meng.

Kerusi tersebut disandang calon BN daripada MCA, Tan Ah Eng yang mendapat 33,630 undi mengalahkan calon PKR, Zaliha Mustafa yang memperoleh 24,779 undi dengan majoriti 8,851 undi pada pilihanraya umum lalu.

Kit Siang yang merupakan anak jati Batu Pahat kini berusia 72 tahun dan antara pemimpin politik veteran bakal bertanding bagi penggal ketujuh.

Pada PRU12, beliau bertanding di Parlimen Ipoh Timur mendapat 37,364 undi menewaskan calon BN, Liew Mun Hon yang mendapat 15,422 undi dengan majoriti 21,942 undi.

Ceramah Umum 22hb Mac 2013

Posted: 18 Mar 2013 04:30 PM PDT

Pengerusi, AJK Persatuan Kerabat Perak sertai PAS

Posted: 18 Mar 2013 04:30 PM PDT



BERUAS: Pengerusi Persatuan Kerabat dan Waris Negeri Perak, Raja Rozmal Raja Yaacob mengisytiharkan menyertai PAS.

Beliau menyerahkan borang permohonan keahlian PAS bersama 30 AJK dan ahli persatuan itu kepada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam satu program ceramah politik di Beruas, dekat sini malam tadi.

Dalam ucapannya, Raja Rozmal berkata, penyertaan tersebut tidak didorong oleh sesiapa tetapi atas kesedaran sendiri setelah melihat perjuangan PAS adalah benar.

Menurutnya, penyertaannya juga akan memberi ruang kepada beliau dan ahli jawatankuasa membantu PAS dan Pakatan rakyat untuk memenangi PRU13 nanti.

Di akhir ucapannya, Raja Rozmal membacakan ikrar dengan mengatakan akan memberi sokongan padu kepada Pakatan Rakyat.

"Saya mewakili anak-anak Raja dan Waris Negeri Perak akan menyatakan sokongan penuh tidak berbelah bahagi demi memastikan kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan melalui perjuangan yang dibawa oleh PAS," katanya dan disambut dengan laungan takbir oleh ribuan hadirin. (Gambar atas.)

Sementara itu, Mohammad Sabu berkata, kemasukan Raja Rozmal itu memberi isyarat jelas bahawa rakyat di semua peringkat dan golongan inginkan perubahan.

Kata beliau, Umno tidak senang dengan suasana sekarang kerana ia telah menggugat impian mereka untuk terus berkuasa di negara ini.

Tegasnya, momentum perubahan tersebut telah memuncak dan tiada sesiapa yang boleh menghalang rakyat untuk terus membuat perubahan.

Malaysia Harini mohon maaf kepada YDP PAS Jeli

Posted: 18 Mar 2013 04:28 PM PDT


KOTA BHARU: Selain memohon maaf, akhbar Malaysia Harini perlu membayar sejumlah ganti rugi kepada Yang Dipertua PAS Jeli, Mohd Apandi Mohammad berhubung kes saman fitnah.

Mahkamah Tinggi di sini juga memutuskan defenden perlu membayar ganti rugi teladan, ganti rugi melampau dan ganti rugi punitif kepada plaintif.

Kes itu yang sepatutnya dibicarakan hari ini, bagaimanapun diselesaikan secara rundingan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Defendan yang disaman iaitu wartawan Rudysham Abdul Raof, Razali Yahya (Ketua Pengarang Eksekutif), Izwan Mat Yasir (Eksekutif Pemasaran), Jurnal Agrotani (penerbit) dan Percetakan Kembara Sdn Bhd.

Peguam plaintif, Hisham Fauzi berkata, defendan juga bersetuju membuat permohonan maaf secara bertulis kepada Apandi dan diiklankan dalam akhbar Sinar Harian tempoh tujuh hari tarikh perintah dibuat.

"Akhbar Malaysia Harini juga perlu menyiarkan di muka utama akhbar berkenaan permohon maaf itu dan di mana-mana bahagian lain akhbar terbabit selama enam hari.

"Defendan juga bersetuju membayar sejumlah gantirugi kepada Apandi sebagai gantirugi penyelesaian dan kos," katanya di sini. Kelima-lima defendan diwakili peguam Bhag Singh.

Akhbar Malaysia Harini bertarikh 21 Mei 2012 sehingga 3 Jun 2012 menyiarkan berita bertajuk 'PAS Kelantan sangat buas jual tanah' dan 'Nik Aziz hanya bela pemimpin bukan rakyat'.

Dalam berita yang ditulis akhbar itu mendakwa "Terbaru hasil siasatan dan maklumat dalaman mendapati Yang Dipertua PAS Jeli, Mohd Apandi Mohamad 'dihadiahkan' tanah seluas 392 ekar di Mukim Kuala Pahi, Kuala Krai."

Tulisan itu juga mendakwa tanah yang rakyat usahakan sejak berpuluh tahun dirampas kerajaan PAS Kelantan kononnya bagi membangunkan ladang tetapi pemimpinnya rakus bagi dijadikan harta peribadi.

Kalau tukar kerajaan Islam tunggulah pembalasan – Dr Asri

Posted: 18 Mar 2013 04:27 PM PDT


KOTA BHARU: "Kalau kita tukar kerajaan Islam kepada yang lebih teruk, tunggulah pembalasan di akhirat kelak," kata mantan Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Asri Zainal Abidin.

Beliau berkata, rakyat semestinya mengekalkan kerajaan yang ada di Kelantan sekarang.

"Sepatutnya Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) turut sama mempertahankan Kelantan," katanya pada Wacana Perdana bertajuk 'Pasca PRU13: Di Mana Melayu Islam?' di Dewan Jubli Perak MPKB di sini kelmarin.

Wacana itu turut menampilkan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha ISMA, Mohd Hazizi Abdul Rahman, manakala seorang lagi penalis, Datuk Shamsul Najmi sebagai mewakili Umno tidak hadir.

Prof Madya Datuk Dr Mohamad Agus Yusof bertindak sebagai moderator. Orang ramai memenuhi segenap ruang dewan berkenaan.

Ramai lagi mengikuti wacana itu di atas padang di luar dewan. Hadir sama pengarah program, Ahmad Baihaki Atiqullah.

Dr Asri juga berkata, PAS bergerak seiring dengan pertubuhan Islam di seluruh dunia yang semakin mendapat tempat selepas kebangkitan Arab.

Tuan Ibrahim pula menyifatkan ISMA sebagai kacau daun apabila bercadang meletak calon di kawasan tertentu pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Katanya, kalau sekadar hendak tanding tujuh kerusi parlimen sudah tentu ISMA tidak mampu menjadi sebuah parti yang dominan.

Mohd Hazizi sebelum itu menyifatkan kuasa tawar menawar orang Melayu sekarang semakin lemah selepas PRU 2008.

"Sekiranya situasi itu terus kekal kuasa politik orang Melayu akan bertambah lemah. Ini kerana hanya apabila ada kuasa barulah boleh buat peraturan untuk Islam," ujarnya.

Namun hujah itu ditolak Tuan Ibrahim apabila menyebut pada PRU 2004 kerusi yang dimenangi calon Islam sebanyak 123 kerusi, namun telah bertambah kepada 130 kerusi pada PRU 2008.

Bagaimanapun kata beliau ada pihak cuba mengelirukan keadaan sebenar apabila DAP menang lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum lalu.

"Kalau disebut DAP ramai orang seolah-olah nampak macam Cina sangat, sedangkan MCA dan Gerakan mereka tidak lihat macam parti Cina pula," tambahnya.

Bertindak terhadap imam, dangkalnya MB T'ganu

Posted: 18 Mar 2013 04:27 PM PDT

KUALA LUMPUR: Dalam Ulamak PAS Pusat menyifatkan gesaan Menteri Besar Terengganu agar Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mengambil tindakan terhadap imam yang menjadi penceramah kepada parti pembangkang sebagai tidak wajar.

Setiausahanya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tindakan itu hanya menunjukkan kedangkalan pemikiran pemimpin Umno khususnya Datuk Seri Ahmad Said yang memisahkan antara agama dan politik.

"Kalaulah ini menjadi matlamatnya, maka jelas bahawa kurangnya kefahaman yang sepatutnya ada pada seorang pemimpin negeri.

"Alangkah baiknya jikalau seorang yang bergelar Menteri Besar menyatakan tindakan akan diambil terhadap imam jika ucapannya menyalahi hukum syarak dan tidak membetuli hukum hakam Islam," katanya kepada Harakahdaily.

Ahmad Said hari ini dilaporkan mengarahkan Maidam mengambil tindakan terhadap imam yang berceramah mewakili pembangkang.

Katanya, perbuatan itu tidak sepatutnya berlaku kerana imam terbabit bertugas dengan kerajaan, dibayar gaji oelh kerajaan dan sepatutnya mengikut dasar kerajaan negeri.

Mengulas lanjut Khairuddin berkata, apa yang peliknya, setiap kali imam-imam dihimpunkan oleh kerajaan, tanpa segan silu boleh pula Umno BN menyuapkan dakyah kepartian kepada imam-imam tersebut.

"Jangan jadikan imam dan pendakwah yang bersifat "Amfusana Amfusuni" sehingga hilangnya "Haibah" seorang ulama," katanya.

Menurut beliau lagi, sejarah Islam pernah menukilkan bagaimana al-Hasan al-Basri seorang penasihat yang berani menyatakan kebenaran berdepan pemimpin yang zalim.

Sejarah Terengganu pula menunjukkan keberanian Tok Ku Paloh berdepan dengan penjajah Inggeris, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong dan ramai lagi.

Perjuagan Islam katanya ibarat air bah yang besar, jika disekat dengan benteng yang kukuh sekalipun, sudah pasti ia merempuhnya dan memecahkan benteng tersebut bagi meneruskan perjalanan aliran air itu mengikut ketentuan Ilahi.

"Sepatutnya pemimpin perlu menegakkan kebenaran bukan hanya mengisi tembolok dan perut mereka untuk menyelamatkan kerusi yang mereka pegang semata-mata sehingga sanggup mengadaikan agama.

"Sementelahan lagi dengan hampirnya PRU13, jelas nampak betapa gelabahnya pemimpin Umno untuk mempertahankan saki baki kuasa yang akan hilang," tegasnya

Royalti: 3 kali Umno BN bohongi rakyat T’ganu

Posted: 18 Mar 2013 04:27 PM PDT


Mohd Fauzi menunjukkan poster penyerahan memo pada 20 Mac ini di Wisma Darul Iman.

KUALA TERENGGANU: Rakyat Terengganu sebenarnya telah dibohongi oleh pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) sebanyak tiga kali, dalam isu mahu mengembalikan semula hak royalti yang dinafikan sejak tahun 2000.

Pengerusi Sekretariat Royalti Terengganu, Mohamad Fauzi Abu Samah berkata mengikut perkiraan pihaknya sudah tiga kali rakyat negeri ini ditipu dengan janji-janji mahu mengembalikan hak royalti tersebut.

Namun begitu, katanya janji tersebut belum 'ditepati' pemimpin Umno BN yang dibuat oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

"Janji hanyalah tinggal janji. Janji yang tidak ditepati untuk mengembalikan semula hak royalti kepada negeri Terengganu," ujarnya pada satu sidang media di kediaman Penaung Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Tengku Ibrahim Sultan Ismail, dekat sini, hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah dan Timbalan Pengerusi DHPP Terengganu, Jefri Chua.

Penipuan pertama, kata Mohd Fauzi pada 14 Jun 2008 oleh Abdullah, diikuti pada 13 Disember 2008 oleh Najib sendiri ketika pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dan penipuan ketiga pada 11 Mac 20011 oleh Ahmad.

Menurutnya, lebih malang lagi apabila Terengganu menarik balik kes saman kerajaan negeri terhadap Petronas dan kerajaan Persekutuan pada 21 Mac 2012 yang lalu.

Sehubungan itu, kata Mohamad Fauzi, satu memorandum bersama tandatangan rakyat Terengganu akan diserahkan kepada MB Terengganu berkait dengan penarikan balik saman royalti oleh kerajaan negeri.

Beliau turut menyeru agar seluruh rakyat Terengganu yang prihatin dan bermaruah agar bersama-sama dengan kumpulan NGO berkenaan pada 20 Mac di Wisma Darul Iman.

"Kami akan hantar memorandum bersama tandatangan rakyat Terengganu, yang akan diketuai oleh YM Tengku Seri Paduka Raja Tengku Ibrahim di Wisma Darul Iman pada jam 9.30 pagi, insya Allah," tegasnya.

Tiada ulasan:

Pengikut