Khamis, 26 April 2012

AMK BATU

AMK BATU


Posted: 26 Apr 2012 01:42 AM PDT

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia bertemu YAB Dato Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

Melihat kepada perkembangan hari ini, isu pendidikan percuma cukup luas dibicarakan. Bukan sahaja di peringkat kerajaan pusat dan negeri-negeri, malah wacana ini dibicarakan pada peringkat akademik, Universiti dan para ibu bapa di seluruh negara.

AMK melihat isu ini sebagai urusan yang wajar disegerakan untuk membuktikan bahawa pentadbiran dan tatakelola kerajaan Pakatan Rakyat mampu melaksanakannya, walaupun dilemparkan dengan pelbagai tohmahan.Justeru AMK berhasrat mengadakan satu kunjungan hormat untuk bertemu YAB Dato' Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dengan tujuan berbicara dan menyampaikan sumbang saran tentang dasar pendidikan percuma, khususnya di negeri Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat.

Satu surat kunjungan hormat telah dihantar ke Pejabat Menteri Besar. Maka, AMK dengan penuh harapan agar YAB Dato' Menteri Besar mempunyai ruang untuk berdiskusi. AMK percaya dan yakin, setelah empat tahun mentadbir negeri Selangor. YAB mampu sekali lagi mendepani isu ini dengan merangka satu dasar pendidikan percuma, khususnya di semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang dimiliki kerajaan negeri Selangor.

Kami, di peringkat AMK mewakili golongan anak muda akan sentiasa berada di belakang kepimpinan YAB dalam meneruskan agenda merakyatkan ekonomi dan pendidikan di negeri Selangor. Oleh yang demikian, Selangor mampu menjadi model dan peneraju pendidikan percuma di peringkat nasional.


Setiausaha
Angkatan Muda Keadilan
Julailey Jemad

Posted: 26 Apr 2012 01:33 AM PDT

Kenyataan Media Angkatan Muda Keadilan Malaysia
26 April 2012

Bersih 3.0 : Datuk Bandar Kuala Lumpur Jangan Angkuh 

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyelar kenyataan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail dalam beberapa respon beliau mengenai Perhimpunan Aman Bersih 3.0 yang akan diadakan pada 28 April 2012. Terdahulu, beliau menyatakan penolakan kelulusan kepada Bersih untuk menggunakan Dataran Merdeka kerana kononnya perhimpunan ini bukanlah program bersifat nasional dan berteraskan politik. 

AMK berharap Datuk Bandar tidak lupa apabila pada 27 Jun 2009, Dataran Merdeka juga menjadi medan pelancaran logo 1Malaysia yang jelas merupakan kempen politik berterusan Umno-BN sehingga kini. Jika dibandingkan dengan Bersih, motif Bersih lebih jelas dan transparen : memperjuangkan sistem pilihanraya yang adil dan telus. 

Solidariti telah ditunjukkan oleh rakyat Malaysia di luar negara, malahan masyarakat antarabangsa seantero dunia turut bersama-sama menyatakan sokongan mereka ke atas Bersih 3.0 ini. Terkini pada 25 April 2012, Datuk Bandar sekali lagi memberi amaran kepada Bersih bahawa tindakan keras akan diambil jika mereka meneruskan hasrat untuk berhimpun di Dataran Merdeka pada 28 April ini. Alasan yang diberi ialah Dataran Merdeka berada di bawah tangungjawab DBKL melalui kuasa Datuk Bandar melalui undang-undang yang digunapakai sejak 1992 dan ini, kononnya, jelas bertentangan dengan Akta Perhimpunan Aman 2011. 

AMK melihat kenyataan Datuk Bandar ini jelas bersifat 'mala-fide', dalam keadaan beliau bersikap selektif dalam menentukan apa jenis program yang boleh dianjurkan di Dataran Merdeka. Malah, kenyataan ini juga sebenarnya menimbulkan pertikaian apabila beliau kemudiannya menawarkan beberapa lokasi lain. 

Apa bezanya jika Dataran Merdeka menjadi lokasinya? Mengapa perlu perubahan lokasi dicadangkan di saat-saat terakhir? Apakah mereka khuatir jika Dataran Merdeka menjadi saksi gelombang kuning kebangkitan rakyat menolak penyelewengan sistem pilihanraya Malaysia? 

AMK melihat ini jelas merupakan sekatan-sekatan politik yang dilakukan oleh Umno-BN, di mana kemungkinan suspek terbesar ialah Menteri Wilayah Persekutuan dengan "memperkudakan" institusi Datuk Bandar Kuala Lumpur dan DBKL untuk menghalang dan mencetuskan provokasi awal ke atas Bersih 3.0. 

AMK menggesa agar Datuk Bandar tidak bersikap angkuh dengan siri-siri kenyataan yang hanya menunjukkan kegusaran mereka untuk berhadapan dengan ketidakpuasan hati rakyat. AMK turut mendesak agar Perdana Menteri, sekiranya benar beliau komited dengan agenda wassatiyyah, tidak bersikap jumud dengan menyalahgunakan agensi kerajaan seperti DBKL untuk menghalang rakyat menyuarakan pendapat mereka. Adalah amat malang, apabila agenda membersihkan sistem pilihanraya nasional daripada elemen penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan juga penggunaan pengundi-pengundi yang diragui statusnya. 

Tindakan menghalang Bersih 3.0 hanya membuktikan bagaimana pihak-pihak ini sanggup menggunakan segenap kuasa yang mereka ada - termasuk menghalalkan penyelewengan pilihanraya - demi memastikan Umno-BN terus berkuasa.

Tiada ulasan:

Pengikut