Oleh SHIRZAD LIFEBOAT
JIKA tajuk di atas ini merupakan tajuk berita utama sebuah akhbar arus perdana, maka anda boleh yakin betapa ia hanyalah akhbar milik Umno-BN yang boleh mencipta berita seperti ini. Ini kerana dari segi 'spin', akhbar negara komunis pun boleh angkat bendera putih.
Tapi itu bukan berita yang disiarkan oleh mereka.
Bagaimanapun, sengaja saya nak 'spin'kan al-kisah rakyat Kelantan berhijrah ke Perak kerana kononnya kerajaan PAS tak tahu menguruskan ekonomi. Mungkin ada dua tiga kerat rakyat Kelantan daripada kalangan penganut Umno yang mencuba nasib di Perak sejak negeri itu dirampas kembali oleh BN. Mereka ini mungkin benci dengan pembangkang.
Hakikatnya, bukannya semua yang membenci Umno-BN menyukai Pakatan Rakyat. Ada yang tidak berapa berkenan dengan KeADILan. Terdapat juga yang tak berapa suka dengan PAS.
Begitu juga terdapat sesetengah daripada mereka ini yang tidak sebulu dengan DAP.
Demikian pun, mereka ini sanggup mengenepikan ketidaksukaan mereka terhadap partiparti ini kerana mereka mahukan Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan Persekutuan sebaik sahaja pengumuman dibuat oleh SPR tentang kemenangan calon ke-148 daripada Pakatan Rakyat memenangi kerusi Parlimen (sekiranya jumlah kesemua kerusi Parlimen masih lagi 222).
Solidariti dan kesatuan mereka adalah padu. Mereka membawa budaya baru dalam politik Malaysia. Sekiranya gagal dicalonkan sekalipun, mereka dan para penyokong mereka tetap berada di belakang Pakatan – sesuatu yang bertentangan dengan budaya Umno-BN di mana seseorang individu dan penyokongnya segera berpaling tadah sebaik sahaja namanya tidak tersenarai dalam senarai calon.
Tapi itu Umno-BN. Perjuangan adalah hanya untuk individu atau paling-paling untuk parti yang dianggotainya. Tetapi bagi ahli-ahli Pakatan Rakyat dan penyokong mereka, perjuangan bukan untuk kepentingan individu, bukan untuk mendapatkan projek kerajaan, bukan untuk parti, tetapi perjuangan adalah untuk mengembalikan hak rakyat, maruah negara dan keluhuran undang-undang negara ini yang sudah tercemar dengan sebegitu rupa sehinggakan tidak ada sesiapa lagi percaya Umno-BN boleh memperbetulkannya.
Dalam 'roadshow' terbaru sebagai persediaan PRU13, Pengerusi BN merangkap Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak sudah mula memutarkan lagu langgam evergreen Umno- BN, "Tidak boleh pakai cerita pembangkang ini sebab mereka tidak mempunyai kemampuan untuk urus tadbir negara kita dengan baik. Sehari dua ini pun sudah nampak bercelaru. Jadi tak usah dengar kalau mereka (pembangkang) datang. Dengar, tapi masuk telinga kanan, keluar telinga kiri."
Itu ayat-ayat klasik pemimpin BN macam Najib yang rakyat sudah muak bin mual untuk mendengarnya. Ia sudah sampai ke tahap bukan sahaja masuk telinga kanan keluar telinga kiri, tapi nak diterima oleh terima kanan pun sudah tak mampu lagi. Tak larat.
Siapa yang gadai siapa? Tak payahlah Najib nak sebut pasal gadai. Selama ini pun semua hak-hak rakyat telah tergadai oleh Umno-BN.
Dan tak payah juga Najib sebut kononnya sehari dua ini pun pentadbiran Pembangkang sudah bercelaru. Ini macam kata dulang paku serpih. Apakah pentadbiran Umno-BN tidak bercelaru? Kalau pandai sangat mengurus negara, tak adalah isu NFC, tak adalah bagi projek berbilion ringgit untuk kroni Umno, tak adalah kemelut PKFZ, dan macam-macam lagi.
(Tunggulah nanti. Menjelang PRU13, setiap media Pembangkang dan termasuk penyokong individu akan menggunakan setiap ruang yang ada bagi menunjukkan segala apa yang digadai dan apa yang dicelarukan oleh kerajaan Umno- BN).
Kita akui PAS, DAP dan KeADILan tak ada pengalaman secara kolektif memerintah kerajaan. Tapi kalau mereka tak ada kemampuan untuk melakukan tadbir urus dengan terbaik sekalipun, ia sudah tentu tidak seburuk apa yang telah dilakukan oleh Umno-BN.
Sudah sampai masanya kita mulakan budaya kerajaan alternatif. Takkan balik-balik tengok muka yang sama, parti yang sama. "Apa susah sangat, kalau esok-esok Pakatan Rakyat ternyata busuk macam BN, BN pulak dah wangi balik, kita undilah balik BN.
Tapi kalau Pakatan Rakyat bagus, jangan haraplah BN nak berkuasa semula," kata seorang bekas penyokong tegar Umno yang juga kebetulan Ketua Cawangan Umno dalam sebuah Bahagian di selatan Johor.
Seorang lagi orang lama dalam politik yang agak masak dengan aspirasi orang Umno di peringkat akar umbi mengatakan Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh berkata apa sahaja tetapi zaman BN letak batang kayu sebagai calon dan boleh menang majoriti besar sudah berlalu.
Katanya, banyak kawasan parlimen di negeri itu akan berpindah tangan ke Pakatan Rakyat dan ada kemungkinan di peringkat Dun BN akan gagal memenangi malah majoriti mudah sekalipun untuk membolehkannya membentuk kerajaan negeri.
Katanya, kalau tanya pemimpin Umno, memanglah mereka tetap mengatakan BN akan menang.
Tapi cuba tanya rakyat biasa Johor dan ahli-ahli Umno dan pemimpin kecil-kecilan di peringkat cawangan. Sentimen amnya tidak lagi berpihak kepada Umno-BN.
Malah menurutnya, sudah ada golongan orang Umno sendiri yang mempopularkan slogan 'ABU'.
Dalam pada itu Najib juga menyeru kaum India agar 'berjalan bersama saya'. Ayat ini macam pernah dengar. Oh ya. Pada zaman Pak Lah dulu – "bekerja bersama saya."
Lagu langgam 'evergreen' Umno- BN terus berkemudang. Mungkinlah betul kata Najib kerajaan BN di bawah kepimpinannya telah memberikan peruntukan RM400 juta kepada sekolah-sekolah Tamil. Tapi pokoknya apakah dengan pemberian serupa itu maka ternoktahlah semua masalah yang dihadapi kaum India dari sejak BN memeritah bermula dari Merdeka?
Taakulan atau deduksi Najib adalah sesuatu yang tipikal bagi Umno-BN – kita dah buat ini untuk rakyat, maka kita dah berbudi kepada rakyat, maka rakyat mesti mengundi kita.
Tetapi ini bukanlah menghairankan sangat. Ini adalah minda universal pemimpin Umno. Justeru sebab itulah ada Ahli Parlimen BN daripada Umno, yang juga merupakan orang lama dalam politik, dan berijazah ekonomi boleh merumuskan bahawa bukti kerajaan negeri Kelantan tidak tahu menguruskan ekonomi ialah kerana berbondong-bondongnya rakyat negeri itu berhijrah ke Perak untuk jual tomyam.
Kalau beginilah mentaliti pemimpin tertinggi Umno dan seluruh pemimpin Umno yang bergelar YB, apa lagilah harapan yang dapat kita sandarkan kepada mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan