Selasa, 13 Mac 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Undur: Shahrizat lebih berani dari menteri lelaki

Posted: 13 Mar 2012 01:22 AM PDT


KUALA LUMPUR, 13 Mac: Wanita Pakatan Rakyat menasihatkan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil agar turut meletakkan jawatan sebagai Ketua Wanita Umno bagi mengurangkan tekanan yang dihadapinya.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof berkata,  melihat kepada tekanan yang dihadapi Shahrizat dari ahli partinya sendiri, sudah tiba masanya Shahrizat melapaskan jawatannya.

"Sebagai kepimpinan wanita kami menasihatkan beliau, untuk meringankan bebanan dengan tekanan pembangkang dan daam parti sendiri, sebaiknya beliau juga meletakkan jawatan sebagai Ketua Wanita Umno.

"Dalam keadaan sekarang beliau cukup tertekan malah kita melihat pendedahan yang dibuat ahli parti dia sendiri," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Sementara itu tegasnya, tidak berbangkit soal Shahrizat berkorban dengan melepaskan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebaliknya berkata, Sharizat cuma tidak menyambung kontraknya sebagai senator.

"Isu peletakan jawatan Shahrizat yang rata-rata dalam media mengatakan pengorbanan beliau yang begitu besar dengan mengorbankan jawatan.

"Yang sebenarnya beliau bukan berkorban apa-apa sebab beliau telah tamat tempoh sebagai ahli Dewan Negara. Tak timbul isu perngorbanan," katanya yang juga Ketua Muslimat PAS Pusat.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin memuji keberanian Shahrizat bertindak demikian berbanding menteri-menteri lelaki yang lain.

"Saya beri kredit di atas kebenanian beliau berbanding menteri lelaki yang lain yang telah diheret dengan skandal tapi tidak berani meletakkan jawatan. Adakah (Datuk Seri) Najib, (Tan Sri) Muhyidin (Yassin) dan (Datuk Seri) Noh (Omar) berani letak jawatan?" soalnya.

Terdahulu, usul yang dikemukakan beliau agar Dewan Rakyat membincangkan skandal NFC ditolak Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia atas alasan ia masih dibicarakan di mahkamah.

Zuraida bagaimanapun menjelaskan, beliau tidak meminta dewan membincangkan kes suami Shahrizat yang sedang didakwa di mahkamah namun ingin tahu bagaimana dana itu boleh diberikan kepada seorang menteri.

"Saya sebut isu ini bukan mengenai pengerusi NFC tapi kebertanggungjawaban kementerian kewangan dan kementerian pertanian yang gagal memantau projek ini sehingga sampai keadaan yang sangat teruk hampir semua wang digunakan untuk kepentingan peribadi dan cara projek itu diluluskan dan cara pelaksanaannya," jelasnya.

Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi pula berkata, apa yang terjadi ke atas Shahrizat itu jelas menunjukkan politik Umno terlalu kotor.

Sehubungan itu ujarnya, meninggalkan Umno adalah tindakan yang sesuai bagi Shahrizat.

"Kes ini menunjukkan parti Umno tidak memberi tempat sebaiknya untuk kepimpinan wanita.

"Kita sarankan Shahrizat atas sentimen kita yang tinggi kita sarankan Shahrizat mengambil tindakan bijak dengan tinggalkan Umno," katanya.

Soalan bagi jawab lisan ahli Parlimen PAS

Posted: 13 Mar 2012 01:21 AM PDT

Berikut adalah soalan-soalan daripada ahli Parlimen PAS bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini, 13 Mac.


Dato' Seri Abdul Hadi bin Awang [Marang] minta PERDANA MENTERI menyatakan tentang kedudukan konsep Wasatiyyah di dalam dasar-dasar pemerintahan negara pada masa kini dan apakah pelan menyeluruh yang dirangka oleh pihak Kerajaan untuk melaksanakan konsep tersebut.


Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli [Kuala Krai] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan bagaimana barangan dari Israel dikatakan boleh berada di dalam pasaran Malaysia.

Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap] minta MENTERI PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN menyatakan masalah liputan WiFi, 3G dan telefon bimbit yang berlaku di sekitar Padang Terap dan usaha-usaha yang diambil untuk mengatasinya.

Tuan Haji Che Uda bin Che Nik [Sik] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan jelaskan mengapa berlakunya penyelewengan akidah dan bertambahnya kes jenayah di kalangan belia hari ini adalah kerana ketidak berkesanan subjek pendidikan Islam dan Moral di sekolah yang di ajar sebagai satu pelajaran akademik, tidakkah pihak Kementerian berhasrat untuk mengkaji semula silabus subjek ini supaya unsur-unsur akidah dapat di terap melalui program amali, kem-kem ibadah dan interaksi dengan rumah-rumah ibadat (masjid dan surau) serta ulama tempatan untuk membentuk akidah dan tingkah laku pelajar yang terpuji.


Tuan Mohd. Abdul Wahid bin Endut [Kuala Terengganu] minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan bilakah jalan yang dibina semenjak mantan Menteri Kerja Raya, Dato' Seri Samy Vellu yang menghubungkan Bandar Simpang Pulai di Perak ke Kuala Berang di Terengganu akan siap sepenuhnya.

Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan penyelarasan yang dibuat dengan Kementerian Pengajian Tinggi dalam melatih guru-guru supaya ia selari dengan keperluan di Sekolah.

Dato' Dr. Haji Mohd Hayati Bin Othman [Pendang] minta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan apakah tindakan Malaysia terhadap apa yang berlaku di Syria pada masa ini serta apakah peranan Malaysia di dalam OIC dalam menghadapi kemelut di negara tersebut.

Puan Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang] minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan berapa ramai gadis terlanjur dalam jagaan rumah kebajikan dan sekolah harapan di seluruh negara dan berapa ramai yang telah berjaya dipulihkan sepenuhnya dari terus terlibat dengan aktiviti zina.

Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad [Kuala Selangor] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan apakah ciri-ciri utama Skim Insurans Kesihatan Nasional yang telah pun banyak dibicarakan dalam media perdana dan media baru, tetapi masih tidak diperjelaskan oleh pihak Kementerian. Sejauh manakah pandangan dan konsultasi berlaku dengan rakyat dan seluruh 'stakeholders' yang lain dalam merumuskan skima ini.

Sekitar Persidangan Orang Kurang Upaya (OKU) Darulnaim Peringkat Kebangsaan

Posted: 13 Mar 2012 01:20 AM PDT

Kos bertunang: Rakyat masih tunggu jawapan Najib

Posted: 13 Mar 2012 01:14 AM PDT


KUALA LUMPUR, 13 Mac: Rakyat masih menunggu jawapan dan bukti pembayaran daripada akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pembayaran majlis pertunangan anak beliau sebanyak RM409,767 di Hotel Shangri-La.

"Sehingga kini Pejabat Perdana Menteri hanya menafi perbelanjaan ini daripada wang rakyat, sedangkan saudara Rafizi Ramli berjaya membuktikan dengan fakta, tempahan ini  dibilkan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO)," kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad (gambar).

Katanya, ketika rakyat disuruh mengikat perut kerana indeks harga pengguna yang meningkat, subsidi hendak dikurangkan, barang keperluan harian terus melonjak, tiba-tiba Perdana Menteri boleh membelanja sejumlah wang yang begitu besar untuk majlis pertunangan anak beliau.

Menurutnya, rakyat tidak kisah kalau benar wang itu daripada poket peribadi beliau dengan Datin Seri Rosmah.

"Memang rakyat sudah maklum mereka berdua ialah suami isteri yang banyak wang.

"Tetapi jika ia menggunakan harta rakyat untuk kemewahan peribadi maka ia perlu disiasat hingga ke akar umbi, lebih-lebih lagi penafian sudah dibuat secara rasmi," ujarnya kepada Harakahdaily.

Jika berlaku sebalikanya, kata beliau maka ia satu pembohongan yang besar dilakukan oleh seorang Perdana Menteri.

Justeru, tegasnya orang yang berbohong tidak layak untuk memegang amanah rakyat dan mesti diturunkan segera daripada tampuk kuasa.

Beliau berkata, wang sebanyak RM409,767 hanya untuk satu malam majlis pertunangan anak Najib dan Rosmah sedangkan untuk kos seorang siswazah Fakulti Pergigian untuk  tempoh empat tahun hanya RM151,208, Fakulti Perubatan  untuk tempoh lima tahun (RM235,390) dan Fakulti Farmasi untuk tempoh empat tahun (RM56,360).

Laksana konsep wasatiyyah secara menyeluruh

Posted: 13 Mar 2012 01:14 AM PDT


KUALA LUMPUR, 13 Mac: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) menegaskan konsep wasatiyyah yang diperkenalkan kerajaan harus dilaksanakan secara menyeluruh.

Katanya, konsep itu harus dilaksanakan sebagaimana dituntut agama Islam berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "bagitulah Allah menjadikan kamu manusia supaya kamu dapat menjadi saksi dan model umat Islam kepada umat-umat yang lain".

Ketika mengemukakan soalan tambahanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pagi ini, Abdul Hadi berkata Islam mengamalkan pendekatan bahawa agama itu ada kuasa, malangnya hari ini agama seolah-seolah diketepikan.

Malah tambahnya, apabila pendekatan itu tidak diamalkan maka fitnah memfitnah antara satu sama lain, keruntuhan moral dan rasuah berlaku di kalangan orang Islam.

Bukan itu sahaja, katanya kesalahan berhubung Islam misalnya penyelewengan wang zakat, faraid, hatta fitnah dibicarakan dalam mahkamah sivil.

"Kita sudah memerintah lebih 50 tahun tetapi kita masih dibelenggu dengan hal-hal seperti ini.

"Apakah perkara ini termasuk dalam agenda membebaskan umat Islam terus dibelenggu dalam masalah ini?" Tanya beliau yang juga Presiden PAS.

Terdahulu, Abdul Hadi dalam soalan asalnya meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan kedudukan konsep wasatiyyah di dalam dasar-dasar pemerintahan negara pada masa ini dan apakah pelan menyeluruh yang dirangka oleh pihak kerajaan untuk melaksanakan konsep tersebut.

Sementara itu, Najib dalam jawapannya menjelaskan kerajaan memperkenalkan konsep wasatiyyah sebagai gagasan negara di mana konsep itu ada persamaan dari segi nilai-nilai yang menjadi amalan agama lain.

Shahrizat boleh dedah 'bukan dia saja bermasalah'

Posted: 13 Mar 2012 01:13 AM PDT


KUALA LUMPUR, 13 Mac: PAS menggesa Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mahu berundur dari jawatan menteri April ini, tampil membuat pendedahan siapa lagi yang bermasalah dalam parti itu.

Naib presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, sekarang ini adalah masa dan peluang terbaik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berbuat demikian.

"Kita minta Shahrizat tampil ke hadapan, dedahkan siapa lagi pemimpin Umno yang dia pernah kata 'bukan dia seorang sahaja bermasalah' sebelum ini.

"Inilah masa terbaik untuk dia dedahkan siapa mereka yang lain demi menyelamatkan negara," katanya kepada Harakahdaily.

Shahrizat yang turut terpalit dengan skandal RM250 juta Perbadananan Feedlot Kebangsaan (NFC) sebelum ini pernah berkata "beritahu saya, pemimpin Umno yang mana tiada masalah" ketika beliau diasak dengan desakan meletakkan jawatan.

Bagaimanapun kelmarin, Shahrizat mengumumkan mahu berundur sebagai menteri Menteri Pembangunan Wanita, keluarga dan masyarakat, itupun selepas tempoh pelantikannya sebagai senator tamat bulan April ini.

Ekoran itu, Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena menyeru Shahrizat yang didakwa dijadikan 'mangsa' oleh Umno dalam skandal NFC, agar tampil mendedahkan siapa lagi pemimpin Umno yang turut bermasalah.

Adalah tidak adil jika segala masalah dalam Umno itu hanya dibebankan seluruhnya kepada Shahrizat sedangkan ramai lagi yang sepatutnya menanggung akibatnya, kata Mahfuz.

Bekas TMB Kelantan pengerusi JK Pemandu

Posted: 12 Mar 2012 04:42 PM PDT


KUALA LUMPUR, 12 Mac: PAS menghidupkan semula Jawatankuasa Pemandu yang pernah dibentuk sebelum ini dengan melantik bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman sebagai pengerusi.

Empat lagi anggota adalah, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, AJk PAS Pusat Datuk Kamarudin Jaffar, Naib Ketua Dewan Ulama Datuk Dr Mahfodz Mohamed, dan Pengerusi Lujnah Undang-undang PAS Pusat Asmuni Awi.

Pelantikan itu diumumkan oleh Mustafa dalam sidang media lewat petang tadi selepas mengadakan mesyuarat bulanan PAS Pusat di Pejabat Agung Jalan Raja Laut.

Sebelum itu, Timbalan Presiden PAS Muhamad Sabu menegaskan Jawatankuasa Pemandu sebenarnya telah diwujudkan sejak tahun 1990 dan ia bukan badan eksekutif tetapi sebagai badan penasihat.

"Pemandu ini kadang kala aktif kadang kala tidak aktif, jadi kita aktifkan semula hari ini. Pemandu ini tidak boleh ganggu mana-mana petadbiran negeri," katanya.

Jawatankuasa Pemandu ini terus kekal untuk negeri yang dimenangi PAS dalam pilihan raya umum 1999 dan 2008. Tetapi apabila keadaan sudah stabil, jawatankuasa tersebut tidak meneruskan peranan ini.

Selain memberi nasihat, jelas Mustafa jawatankuasa ini berfungsi antara lain memantau pelaksanaan manifesto negeri sama ada di negeri yang menang atau kalah dalam pilihan raya.

"Setiap kali adanya PRU, kita ada manifesto sebagai janji kepada rakyat, jadi jawatankuasa pemandu memantau pelaksanaan manifesto tersebut," katanya.

Malah katanya, jawatankuasa ini bukan dikhususkan untuk negeri Kedah sahaja tetapi untuk semua negeri yang PAS ada terlibat.

"Termasuk juga boleh memberikan pandangan kepada negeri-negeri Pakatan Rakyat," katanya.

Sebelum ini, pelbagai tafsiran liar sesetengah media yang membuat tafsiran salah terhadap penubuhan jawatankuasa pemandu yang dibentuk PAS.

Jawatankuasa Pemandu  berperanan menjadi penasihat kepada kerajaan negeri yang disertai PAS bukan untuk pimpinan tertentu sahaja tetapi untuk semua.

Sesetengah media melaporkan kononnya PAS membentuk jawatankuasa ini untuk mengurangkan kuasa MB Kedah.

Shahrizat sahajakah yang berhenti? Seorang lagi?

Posted: 12 Mar 2012 04:42 PM PDT


Shahrizat Jalil mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan hanya pada 8hb April nanti apabila penggal keahliannya di Dewan Senat tamat tempohnya. Perletakkan jawatan ini sepatutnya sudah diambilnya sebaik sahaja terbongkar salahlaku keluarganya menyalahgunakan wang pinjaman dari kerajaan untuk mengendalikan perniagaan NFC itu. Tetapi setidak-tidaknya beliau mengambil juga tindakan untuk melepaskan jawatan kabinet yang dipegangnya melalui pintu belakang itu.
Walaupun beliau pada mulanya berusaha untuk mengekalkan jawatan itu, tetapi etika politiknya yang nyata sangat menjengkelkan itu tidak berdaya beliau untuk mempertahankan jawatan yang amat beliau sayangi itu. Sesungguhnya itu sahaja jalan yang tinggal untuknya lakukan kerana kesalahan etikanya sangat menjelikkan kerana suaminya itu mendapat pinjaman semudah itu kerana kedudukan Shahrizat didalam kabinet negara.

Seperti yang saya nyatakan dahulu, jika Shahrizat itu hanya seorang bidan kampung, Salleh tidak mungkin mendapat pinjaman dengan menggunakan wang rakyat dengan semudah itu. Semua keistimewaan-keistimewaan yang didapati oleh ahli keluarga pemimpin ini telah banyak memerah wang dan harta rakyat. Tetapi Shahrizat ini malang sedikit kerana beliau tidak mempunyai kuasa dan pengaruh sepenuhnya.

Seandainya beliau seorang Perdana Menteri beliau tidak akan terpaksa meletakkan jawatan kerana ada kes-kes yang lebih besar dilakukan oleh pemimpin yang lebih besar dari Sharizat itu tidak diambil tindakan sehingga hari ini. Perbezaan diantara Shahrizat dan yang lain ialah Shahrizat tidak pandai menyorokkan perlakuan beliau dan keluarga beliau.

Jumlah yang melibatkan RM250 juta itu amat besar tetapi jumlah RM1.8 billion yang dipergunakan secara 'direct' dari wang rakyat untuk menyelamatkan perniagaan anak seorang pemimpin besar pada tahun 1998 dahulu tidak diambil tindakan sampai kehari ini. Sebab apa? Sebabnya ia dilakukan oleh seorang Perdana Menteri semasa itu. Banyak lagi perkara-perkara seperti ini dilakukan oleh pemimpin-pemimpin dalam BN selama ini dan ianya masih dilakukan mereka.

Masing-masing saling membantu diantara satu dengan lain untuk menutup 'barang curi' masing-masing kerana semuanya melakukan perkara-perkara yang sama. "Lu jaga gua, gua jaga lu'; itulah kaedahnya. Hanya kes Shahrizat ini diketahui oleh Ketua Audit Negara dan pihak pembangkang secara terperinci. Untuk memecahkan kegiatan ala 'cartel' dikalangan pimpinan BN inilah merupakan satu usaha yang amat susah kerana mereka mempunyai kuasa yang dipergunakan habis-habisan untuk mempertahankan salahlaku mereka ini.

Sekarang Shahrizat telah mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dari kerajaan kerana kesilapan dan kesalahan beliau. Apa yang kita tunggu sekarang ialah untuk melihat samada ada-kah tidak sifat 'accountability' dari pimpinan atasan yang memberikan kelulusan kepada projek biayaan kerajaan NFC ini. Kita hendak juga melihat samada Menteri yang bertanggungjawab meluluskan projek yang menjijikkan ini dahulu.. Menteri Pertanian semasa itu saya sudah lupa siapa dia……ada orang kata dia dah jadi Timbalan Perdana Menteri…

Adakah Menteri ini akan turut meletakkan jawatan kerana kalau mengikut etika kepimpinan negara maju, Menteri yang bertanggungjawab meluluskannya juga wajar meletakkan jawatan. Ini merupakan asas kepada semangat demokrasi yang beretika dan Menteri yang meluluskan projek ini semasa itu mesti mengambil 'accountability' kepada skandal kewangan yang dilakukan oleh NFC ini.

Menteri ini boleh memilih untuk tidak mengambil 'accountability' terhadap isu ini tetapi nanti janganlah hendak beretorik untuk menjadikan negara ini sebagai negara maju pula. Ini adalah isu besar jika benar kita hendak mencapai ketaraf negara maju. Negara maju yang berkembang pesat mesti diikuti dengan etika kepimpinan yang tinggi. Kalau tidak persepsi ramai yang menganggap Malaysia sebagai 'Zimbabwe in different name' itu tidak akan berjaya kita hakiskan.

Pada tahun 2007 yang lalu seorang menteri Britain yang buta penglihatannya bernama Blankert (ejaan nama tak pasti) telah meletakkan jawatannya sebagai menteri dalam negeri kerana kesilapan kecil tetapi oleh kerana ia menjejaskan etika kepimpinannya maka beliau meletakkan jawatan dari menganggotai kabinet Britain.

Kesalahannya ialah kerana mempercepatkan proses permohonan teman wanitanya untuk mendapatkan permit kerja untuk orang gajinya. Itu sahaja kesalahannya. Tetapi itu jelas menjejaskan etika kepimpinan negara. Maka beliau mengambil masa hanya tiga empat hari sahaja untuk mengambil keputusan meletakkan jawatannya. Menteri Britain itu tidak mengambil masa berbulan-bulan utuk mengambil keputusan untuk berhenti seperti yang dilakukan oleh Shahrizat.

Dengan keputusan Shahrizat untuk berhenti itu ia bermakna Shahrizat mengakui kesalahannya. Jika Shahrizat mengaku kesilapan atau kesalahannya maka adalah 'natural' menteri yang bertanggungjawab meluluskan projek NFC ini juga mengambil langkah yang sama, iaitu berhenti sahaja dan mengikut langkah Shahrizat itu. Tetapi ini tidak mungkin berlaku kerana mereka tidak mahu menerima asas-asas perlu untuk menempah tempat untuk meletakkan negara kepada kategori negara maju kerana meletakkan jawatan kerana isu ini dianggap sebagai perkara yang tidak munasabah bagi mereka.

Begitulah tingginya etika kepimpinan negara maju dan jika kita mahu mengambil iktibar dari tindakan ahli jemaah kabinet Britain ini, itu merupakan permulaan untuk menjadikan negara ini sebagai negara maju dengan ketinggian etika kepimpinannya. Kalaulah apa yang dilakukan oleh pimpinan kita itu dilakukan di Britain kerajaan kita sudah lama dikuburkan oleh rakyat. Tetapi untungnya pimpinan rasuah kita ini ialah kerana rakyat telah dididik untuk menerima sahaja apa yang dilakukan oleh pimpinan yang tidak bertanggungjawab kepada rakyatnya.

Kerajaan negara-negara maju ini menjadikan etika kepimpinan sebagai elemen terpenting dalam pentadbiran kerajaan. Ini ialah kerana yang hendak dijaga mereka bukannya jawatan mereka tetapi untung nasib negara mereka pada masa-masa yang akan datang. Tetapi disini pimpinan kita lebih mementingkan kuasa sahaja, tidak kira samada mereka itu berguna kepada negara dalam jangka masa yang panjang.

Kalau tidak, tidaklah kita terdengar kata-kata seperti, "kita akan pertahankan Putrajaya dengan cara apa sekali pun" kata Najib pada suatu ketika dahulu. Kata-kata ini menonjolkan satu sikap yang amat negatif kepada sistem demokrasi negara. Sikap kuno ini lah yang menyebabkan negara kucar kacir, bukannya oleh sistem demokrasi itu sendiri.

Kepada BN demokrasi itu bermakna, kemenangan hanya hak mutlak BN, bukannya untuk mengikut selera rakyat yang mengundi. BN kini menggunakan kumpulan pengacau pula. Tugasnya hanyalah untuk mengganggu majlis-majlis pihak PR. Itu merupakan tanda-tanda 'desperation' yang ada didalam pemikiran pihak BN khususnya UMNO.

Dua malam yang lepas saya menjadi penceramah jemputan bersama dengan TS Khalid Ibrahim di Seri Menanti dimana sekumpulan 20 orang penyokong UMNO mengganggu ceramah dan majlis itu tanpa segan dan silu selama 15 minit.

Berkat kesabaran pihak kami, mereka telah dapat diusir dari majlis itu. Dalam hati saya, tidak dapat saya menghilangkan persepsi dan keyakinan saya yang tindakan itu merupakan tindakan pihak pemerintah yang begitu fakir nilai kepimpinan mereka. Apabila sokongan merosot mereka mengambil tindakan yang tidak beradab dan bersopan.

Dari kumpulan inilah yang bergegar-gegar hendak jadikan negara kita negara maju tetapi tindakan kumpulan ini membayangkan yang kemajuan yang dijanjikan itu tidak mungkin tercapai sampai bila-bila. Segala pelan transformasi Najib hanya tinggal pelan sahaja. Ia tidak akan kemana…seperti dulu juga. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Muslimat PAS mahu Shahrizat pertahankan diri

Posted: 12 Mar 2012 04:40 PM PDT


KUALA LUMPUR, 12 Mac: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mempertikai keputusan Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tanpa mengemukakan bukti bahawa beliau tidak bersalah.

Timbalan Ketua DMPP, Dr. Siti Mariah Mahmud (gambar) berkata, sekiranya Shahrizat benar-benar tidak terlibat dalam skandal National Feedlot Corporation (NFCorp), beliau perlu mempertahankan diri.

"Memang dari segi siasatan SPRM sampai sekarang belum ada apa-apa keputusan. Beliau meletakkan jawatan atas desakan. Sekiranya dia yakin yang dia tidak bersalah dan tak ada kena mengena dengan dana NFC, pertahankan diri.

"Kalau saya, saya akan pertahankan diri. kalau saya tidak bersalah, pantang orang sebut saya bersalah," kata beliau ketika ditemui selepas istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Kota Raja itu juga berkata, hanya dengan mengatakan Shahrizat tidak bersalah, namun ingin mengundurkan diri demi kebaikan Umno BN, itu bukan pembelaan diri yang baik.

"Saya juga bersimpati (terhadap Shahrizat) kerana apabila dakwaan-dakwaan ini tidak dipertikai atau tidak ditolak dengan bukti-bukti yang kukuh, maka ia akan tinggal sebagai dakwaan dan Shahrizat tidak ada peluang membela diri.

"Bagi saya tidak adil seseorang itu tidak diberi peluang membela diri dan setakat mengatakan dia tidak ada kena mengena dengan perkara ini, itu bukan satu pembelaan diri yang baik," katanya.

Sehubungan itu ujar beliau, perkara ini harus dijadikan iktibar oleh semua pihak sama ada kerajaan atau Pakatan Rakyat iaitu jawatan seseorang itu dalam kerajaan tidak boleh diambil kesempatan oleh ahli keluarga untuk mendapatkan apa-apa projek.

"Dari segi undang-undang dana itu diberi secara sah oleh kementerian. Sekarang ini persoalannya ialah kenapa diberi kepada keluarga Shahrizat dan dana itu digunakan untuk apa?

"Jadi sebagai peringatan kepada semua menteri atau bakal menteri atau semua yang memegang jawatan kerajaan, kita tidak boleh ada kepentingan ataupun keluarga kita sendiri pun tidak boleh mendapat peluang ini melalui jawatan yang kita pegang.

"Kalau seseorang menteri boleh mengatakan sesuatu kontrak itu diberi tidak ada kena mengena dengan dia, dia kena beri bukti.

"Ini bukan sahaja untuk kerajaan BN tapi untuk mana-mana kerajaan hatta Pakatan Rakyat sekalipun, setiap penjawat mesti sedia berkorban bahawa ahli keluarga tidak boleh dapat manfaat daripada jawatannya," tegasnya.

Semalam, Shahrizat mengumumkan pengundurannya apabila tempoh pelantikannya sebagai Anggota Dewan Negara tamat pada 8 April ini.

Bagaimanapun, beliau akan kekal sebagai Ketua Wanita Umno dan Ketua Wanita BN.

Tiada ulasan:

Pengikut