Jumaat, 9 Mac 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Ulama juga insan seni - Nik Aziz

Posted: 09 Mar 2012 08:49 AM PST


KOTA BHARU, 9 Mac: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, meminta masyarakat memahami pengertian insan seni sebenar kerana ulama juga tergolong dalam golongan artis.


Menurutnya, sekiranya artis dimaksudkan dengan insan seni malah golongan ulama juga mempunyai keseniannya yang tersendiri.

Katanya, kerana keseniannya itu golongan ulama berjaya meyakinkan golongan bukan Islam atau yang jauh dari Islam untuk mendekati dan menerimanya hasil kelunakan seni bahasa yang disampaikan ulama.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena kunjungi selebriti Oki Sentiana Dewi, heroin filem Ketika Cinta Bertasbih dari Indonesia dan selebriti dakwah Kapten Hafiz, di JKR 10, petang tadi.

Kedua-dua selebriti berkenaan akan menjayakan program 'Bicara Selebriti' ke-4, anjuran kerajaan negeri di Kelantan Trade Cantre mala mini.

Menurut Tuan Guru, sebelum ini masyarakat hanya mengenali pelawak, pelukis, pelakon, penyanyi sebagai artis, namun golongan ulama sebenarnya adalah artis.

"Cara Rasulullah berdakwah juga mengikut seni sehingga manusia terpikat dengan ajaran Islam, al-Quran juga mempunyai seninya yang tersendiri sehingga bila mendengarnya manusia akan terpegun," ujarnya.

Pada masa yang sama beliau melahirkan rasa syukur pada golongan artis termasuk Oki Sentiana Dewi yang sudi datang ke Kelantan bersama ibunya.

Katanya, dengan kehadiran artis ke negeri ini akan melenyapkan tohmahan buruk masyarakat Kelantan menolak golongan terbabit.

Majlis pertunangan anak Najib dibiaya kerajaan?

Posted: 09 Mar 2012 08:48 AM PST


PETALING JAYA, 9 Mac: PKR hari ini mendakwa kerajaan telah menaja majlis pertunangan anak perempuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berjumlah RM409,767.00.

Pengarah strateginya, Rafizi Ramli berkata, dokumen rasmi dari sebuah hotel di Kuala Lumpur yang diperolehinya itu membuktikan bahawa segala bayaran bagi majlis tersebut dibiayai oleh Pejabat Perdana Menteri.

Rafizi berkata, ianya berupa bayaran majlis bankuet di Hotel Shangri La yang didakwa menyediakan katering untuk majlis berkenaan.

"Hari ini PKR mengemukakan bukti kukuh bahawa majlis tersebut dibiayai oleh rakyat apabila keseluruhan urusan tempahan dan pembayaran dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri.

"Ini dokumen untuk bukti-bukti yang jelas, yang mana perbelanjaan sepenuhnya sebanyak RM409,767 ribu telah digunakan," jelasnya pada sidang media di pejabat PKR hari ini.

Perbelanjaan tersebut menurut Rafizi meliputi kos jamuan VIP seramai 36 orang sebanyak RM18,792, kos jamuan tetemu seramai 862 orang sebanyak RM309,975 dan juga kos pengendalian majlis RM81,000.

Menurut Rafizi lagi, PKR juga telah membuat semakan dan berjaya mengesahkan bahawa individu-individu di dalam dokumen tersebut adalah sahih dan bekerja di organisasi masing-masing.

"Dengan pendedahan ini PKR berpendapat sudah sampai masanya satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan menyiasat penyelewengan wang rakyat oleh Perdana Menteri termasuk barisan kabinetnya.

"Kita mahu Najib menjawabnya pada sidang dewan rakyat minggu depan, dari mana peruntukan itu diambil," katanya lagi.

Pakatan Rakyat kuat, rakyat dapat nikmat

Posted: 09 Mar 2012 08:47 AM PST


KUALA LUMPUR, 9 Mac: Kualiti hidup rakyat semakin meningkat sejak Pakatan Rakyat kuat, kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.


Selama ini, katanya pemimpin BN melayan rakyat sekadar melepas batuk di tangga yang mana banyak nikmat yang diperolehi oleh rakyat apabila BN tenat.

Di samping itu, tambahnya berbagai usaha dilakukan untuk menarik hati rakyat  supaya menyokong BN dalam keadaannya tenat.

Menurutnya, antara faedah yang rakyat perolehi, terbaru kerajaan  memansuhkan tol di Batu 9 menghala Kuala Lumpur dan tol di Batu 11 menghala ke Kajang selain memansuhkan tol Lebuhraya Pantai di Kampung Medan menghala ke Kuala Lumpur.

Di samping itu, katanya GST, saman ekor, cukai 6%  pra bayar telefon, 1Care Malaysia telah ditangguhkan.

Begitu juga, ujarnya kadar tol tidak dinaikkan, harga petrol juga tidak dinaikkan semuanya gara-gara takut rakyat menolak BN di dalam PRU13 nanti.


"Rakyat tidak pernah terbayang sejak merdeka 55 tahun, tiba-tiba kerajaan memberi wang RM500 kepada rakyat yang pendapatan isi keluarga bawah RM3,000. Kerajaan terpaksa mencari wang sebanyak RM2.5 bilion," ujarnya.

Menurutnya lagi, begitu juga RM100 kepada setiap pelajar sekolah dan RM200 untuk pelajar universiti.

"Semuanya gara-gara tidak tahan dengan asakan tawaran Buku Jingga Pakatan Rakyat," ujarnya lagi.

Forum pru 13

Posted: 08 Mar 2012 02:51 PM PST

Najib panik, batalkan SBPA menjelang pilihan raya

Posted: 08 Mar 2012 02:49 PM PST


KUALA LUMPUR, 8 Mac: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disifatkan panik menghadapi tekanan kakitangan awam sehingga membatalkan Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dicadangkan sebelum ini.

Demikian kata ADUN Pantai Jerejak, Pulau Pinang, Sim Tze Tzin melalui twitternya hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan, kerajaan membatalkan rancangan untuk menggunakan SBPA berikutan bantahan kakitangan awam.

Najib berkata, kerajaan akan menggunakan skim yang ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) dengan penambahbaikan.

Najib juga mengumumkan, satu suruhanjaya khas dibentuk bagi mengkaji perkhidmatan awam negara.

Langkah kerajaan untuk menangguhkan SBPA adalah kerana takut reaksi kakitangan awam yang mungkin memberontak dalam pilihan raya akan datang.

Namun dipercayai, ia akan kembali kepada skim ini selepas pilihan raya umum nanti jika Barisan Nasional (BN) kekalkan berkuasa.

"Ha ha ha...tiada keputusan sehinggalah pilihan raya," kata anggota Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dalam Twitternya mengulas keputusan kerajaan mengenai hal ini.

Namun begitu, dengan pengumuman Najib, jurang gaji antara kakitangan awam akan terus meningkat dengan penyelarasan gaji yang diumumkan Najib.

Ini kerana, perbezaan peratus kenaikan gaji antara kakitangan awam peringkat rendah hanya sedikit sahaja berbanding dengan kakitangan peringkat atasan.

Najib berkata, kumpulan pengurusan dan profesional akan naik 13 peratus, kumpulan Utama dan khas A, B dan C 9 peratus, Turus 3 dan 2 8 peratus manakala Turus 1 dan KSN 7 peratus.

Walaupun peratusan kakitangan bawahan lebih tinggi tetapi oleh kerana gaji mereka hanya kecil sahaja, kenaikan ini rendah sahaja.

Misalnya jika kakitangan awam RM500, dengan kenaikan gaji 13 peratus, mereka akan mendapat kenaikan gaji sebanyak RM65 sahaja.

Namun untuk KSN dan Turus 1, oleh kerana gaji mereka tinggi misalnya RM12,000 sebulan, dengan kenaikan gaji 7 peratus, mereka mendapat kenaikan gaji sebanyak RM840 dalam pelarasan ini.

Kenaikan ini dilihat lebih baik berbanding SBPA yang dikatakan kakitangan paling rendah hanya mendapat kenaikan RM1.70 sahaja berbanding RM8,000 kakitangan paling tinggi.

Bagi Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Pakatan Rakyat mempunyai saham dalam perubahan ini kerana hasil desakan merekalah SBPA tidak jadi dilaksanakan.

"SBPA dibatalkan & Sistem Saraan Malaysia (SSM) ditambahbaik. Tentunya hasil desakan PR," katanya dalam Twitter.

Anak Muda Pertahan Dun Kemuning

Posted: 08 Mar 2012 02:48 PM PST

Hari Wanita: Kelantan buka rumah Sinar Harapan

Posted: 08 Mar 2012 02:45 PM PST





(Datin Tuan Sabariah memotong reben sebagai tanda perlancaran rumah Sinar Harapan.)

KOTA BHARU, 8 Mac: Simbolik kepada sambutan Hari Wanita Sedunia hari ini, Kerajaan Kelantan telah membuka dengan rasminya rumah perlindungan wanita 'Sinar Harapan'.

Rumah empat bilik yang terletak di Pengkalan Chepa itu telah dirasmikan oleh isteri Menteri Besar, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak pagi tadi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar, timbalannya Rohani Ibrahim, Anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, Anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof dan Ahli Dewan Negara, Mumtaz Mohd Nawi.

Ubaidah (gambar) ketika berucap pada majlis itu berkata, rumah perlindungan untuk kaum wanita telah lama dirancang oleh kerajaan negeri, bagaimanapun hanya hari ini ianya dapat dirasmikan sepenuhnya.

Beliau memberitahu, antara tujuan ianya ditubuhkan untuk membimbing dan mendidik para penghuni sementara di rumah berkenaan supaya kembali ke pangkal jalan.

"Bukan semua kaum wanita yang bermasaalah dapat tinggal di sini, hanya mereka yang benar-benar memerlukan sokongan seperti diusir dari rumah, mangsa penderaan rumahtangga, keluarga.

"Mangsa rogol, penderaan seks atau yang dirujuk oleh mahkamah, Jabatan Halehwal Agama Islam, polis, badan-badan NGO dan berbagai lagi yang bertauliah," ujarnya.

Beliau berkata, tempoh jagaan sementara paling maksimum enam bulan sebelum mereka diserahkan kepada pihak yang lebih berwajib, sama ada ke pangkuan keluarga, berdikari atau sebagainya.

Tegasnya, beberapa aktiviti telah diatur sebagai motivasi diri kepada mereka, iaitu kaunseling, motivasi dan peningkatan jatidiri, kemahiran asas, kemahiran kerjaya, rawatan perubatan apabila diperlukan.

Menurutnya lagi, penganiayaan terhadap wanita termasuk kanak-kanak semakin berleluasa.

"Penganiayaan terhadap golongan ini bukan sahaja secara fizikal, sebaliknya mental seperti mengeluarkan kata-kata yang kasar, menghina dan berbagainya.

"Ekoran itu golongan terbabit rasa tertekan dan tidak bersemangat untuk meneruskan hidup, kerana itu sokongan pihak lain perlu untuk membantu mereka," ujarnya.

Sinar Harapan yang bertemakan 'Datang Dengan Seribu Kenangan…Pulang Dengan Seribu Impian' telah menyediakan beberapa kemudahan untuk golongan terbabit.

Antaranya tempat penginapan, buku-buku untuk bacaan semasa di samping kuliah agama dan motivasi yang akan disampaikan oleh kaunseling.

Pemuda PAS simpati nasib Imam Hoslan

Posted: 08 Mar 2012 02:44 PM PST




(Imam Hoslan ketika bercakap dengan Harakahdaily sebelum ini)

KUALA LUMPUR, 8 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melahirkan rasa simpati ke atas Tuan Haji Hoslan Hussin yang telah dijatuhkan hukuman penjara setahun atas kesalahan menghina mahkamah ekoran tindakan beliau membaling kasut ke arah panel hakim bulan lepas.

Keberanian tindakan beliau  sememangnya telah menggemparkan negara dan ia kejadian yang jarang berlaku di negara ini, kata Ketua Penerangan Pemuda PAS, Riduan Mohd Nor.

Bagi DPPM, apa yang berlaku ke atas beliau adalah suatu manifestasi kemarahan rakyat bawahan yang cuba mempertahankan hak mereka untuk diadili secara adil.
Beliau berjaya mencuit perhatian ramai pihak termasuk masyarakat antarabangsa supaya mengambil berat terhadap kes beliau, kata Riduan (gambar).

DPPM, katanya, mengharapkan supaya beliau mendapat perbicaraan yang adil di mahkamah terbuka di negara ini.

Kes yang menimpa beliau menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya jangan memperkecilkan golongan rakyat bawahan, tegasnya.

"Akhirnya, DPPM mendoakan semoga Haji Hoslan tabah menghadapi ujian yang melanda beliau.

"DPPM juga berusaha membantu keluarga meringankan beban mereka beliau sepanjang tempoh hukuman dikenakan ke atas beliau," katanya.

Tiada ulasan:

Pengikut