Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan |
- Bersama Angkasawan Negara Pada 25 November 2011
- 'Angkat keris', 'hidup Melayu' perjuangan sempit
- Fidlot: BN hadapi krisis keyakinan rakyat
- Hayati 'Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali'
- Kalau Shahrizat letak jawatan, Muhyiddin pun sama
- PKFZ: Apa maksud Nazri 'isu lebih besar'
- Sekitar majlis makan malam mesra kaum 2011
- NFC disalah guna untuk keluarga pemimpin Umno
- Sekitar Forum Bicara Bajet 2012 Untuk Siapa?
Bersama Angkasawan Negara Pada 25 November 2011 Posted: 16 Nov 2011 10:33 PM PST |
'Angkat keris', 'hidup Melayu' perjuangan sempit Posted: 16 Nov 2011 06:06 PM PST KOTA BHARU, 17 Nov: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, perjuangan yang dibawa pihak tertentu dengan 'mengangkat keris' dan melaungkan 'Melayu' adalah perjuangan sempit. Bahkan, katanya perjuangan seperti itu mengkhianati perjuangan Islam yang telus dan luas. "Pada saat pihak lain 'mengangkat keris' dan melaungkan-laungkan 'hidup bangsa' dengan merendah-rendahkan martabat kaum lain, kami di Kelantan mengangkat 'persamaan darah' dan keturunan di tempat yang sepatutnya serta menafikan sebarang bentuk penindasan, ketidakadilan dan diskriminasi kaum," ujarnya. Beliau berkata terdapat di negara ini orang Melayu menyempitkan perjuangan mereka dengan fokus perjuangan hanya untuk bangsa Melayu saja, sedang itu salah dari segi Islam. "Itu mengkhianati perjuangan Islam yang telus dan luas, bahkan ada yang mengangkat keris, menyebut Melayu itu menyebabkan orang Cina menjadi dendam dan marah, sedangkan 'khazanah' di Malaysia ini dipenuhi oleh (khazanah) orang Cina. Ini kerana mereka lebih kaya daripada orang Melayu," jelasnya yang juga Mursyidul Am PAS.. Beliau bercakap kepada pemberita pada Majlis Makan Malam Mesra Kaum 2011 di Dewan Perniagaan Cina di sini malam tadi. Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Lama. Majlis merupakan 'projek perintis' Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) itu dihadiri lebih 700 orang terdiri dari wakil pimpinan pelbagai kaum. Selain itu, Menteri Besar turut memaklumkan demi mempastikan kebajikan kaum bukan Melayu dan non-muslim terjaga, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM1.7 juta dalam Bajet 2012 yang dibentang dan diluluskan persidangan Dewan Negeri Kelantan baru-baru ini. Bajet itu untuk sumbangan kebajikan khusus bagi masyarakat bukan Islam. Mengulas lanjut, beliau berkata, budaya Kelantan yang menjunjung nilai-nilai Islam telah membina masyarakat majmuk, harmoni dan bertoleransi tinggi. "Dan ini membawa kepada perpaduan erat antara kaum tanpa dasar kebangsaan. "Bahkan dari segi kebudayaan termasuk kaum Cina, mereka bebas mempersembahkan budaya mereka termasuk tarian naga," katanya sambil menambah bahawa pada awal pemeriahan Kerajaan Negeri (1990-an), selaku Menteri Besar beliau menekankan agar Islam 'berada di tampuk pemerintahan'. "Ini penting supaya dalam masa yang sama, hak rakyat non-muslim terpelihara dengan baik di bumi Kelantan ini khususnya," katanya. |
Fidlot: BN hadapi krisis keyakinan rakyat Posted: 16 Nov 2011 06:05 PM PST KOTA BHARU, 17 Nov: Timbalan Pesuruhjaya III PAS Negeri Kelantan Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah mendakwa Umno BN kini sedang berdepan 'krisis keyakinan rakyat' yang teruk. Menurut Mohd Amar, keadaan itu berlaku ekoran penyelewengan yang didedahkan melalui Laporan Ketua Audit Negara 2010 termasuk salah guna kuasa dalam isu National Feedlot Corporation membabitkan keluarga menteri kanan kerajaan. "Keseluruhan kepimpinan Umno Barisan Nasional kini secara kolektifnya terjejas teruk. "Mereka sampai kini tidak boleh menyelesaikan isu-isu yang ditimbulkan, bahkan sehingga hari ini Timbalan Perdana Menteri terpaksa meminta National Feedlot tampil membuat penjelasan sendiri. "Ini bererti, penjelasan yang dibuat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar dan juga beberapa orang lain, tidak boleh menyelesaikan masalah," katanya. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, bercakap kepada pemberita pada Majlis Makan Malam Mesra Kaum 2011 di Dewan Perniagaan Cina di sini malam tadi. "Jadi, ini satu benda yang besar. "Isu 'audit' ini sendiri menjejaskan penghormatan rakyat kepada pemimpin Umno dan BN. "Kita bukan kira satu dua orang individu, tetapi keseluruhan, kepimpinan Umno BN secara kolektifnya terjejas teruk," dakwa Mohd Amar. Terdahulu, majlis makan malam tersebut dirasmikan Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Turut hadir Exco Kerajaan Negeri Dato Anuar Tan Abdullah. National Feedlot Corporation (NFC) Sdn Bhd. dimiliki oleh keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil. Syarikat itu, sebelum ini, didakwa telah membelanjakan sebanyak RM250 juta dana awam yang diperuntukan dalam bentuk pinjaman mudah. Sementara itu, mengulas kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, beliau berkata 'Tuan Guru' itu sendiri merupakan satu 'kekuatan' kepada PAS dan Pakatan Rakyat khususnya. "Dan dari sudut lain, kita melihat corak kepimpinan Islam yang dibawa Tuk Guru ini boleh diterima seluruh lapisan masyarakat. "Jadi pada pandangan kita, ini menunjukkan bahawa kepimpinan Islam ini bukanlah suatu benda asing dalam masyarakat terutama dalam konteks Kelantan," katanya. |
Hayati 'Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali' Posted: 16 Nov 2011 06:05 PM PST SHAH ALAM, 17 Nov: "Sesiapa yang ingin menjadi calon pada pilihan raya nanti perlu menghayati serta meresapi setiap isi kandungan di dalam buku ini, barulah layak untuk memikul tanggungjawab sebagai calon," jelas Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Anwar menyatakan demikian pada program pelancaran buku hasil tulisan mantan Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali berjudul 'Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali' di Shah Alam Convention Centre malam tadi juga memberitahu perjuangan yang ditunjukkan oleh Syed Husin adalah satu perjuangan politik bukannya bersifat peribadi. "Jelas apa yang ditunjukkan dalam perjuang beliau bukan untuk kepentingan peribadi dan apa yang dilakukan olehnya perjuangan untuk sebuah landasan politik bagi mengembalikan arah politik negara. "Ingat dalam kita menongkah arus perjuangan sekarang jangan kita lupa apa yang dulu kerana tanpa perjuangan dulu tidak akan yang sekarang," jelasnya. Anwar berharap setiap pemimpin di dalam Pakatan Rakyat terutamanya PKR boleh meneliti setiap baris isi kandungannya kerana ia dapat memberi kesedaran pada setiap pembaca tentang langkah perjuangan yang sebenar. Sementara itu Syed Husin menitik beratkan bukan pujian yang diperlukan oleh setiap individu jika ia merasakan dirinya seorang pejuang tetapi satu keikhlasan yang lahir dari jiwa individu tersebut. "Bila menyebut tentang perjuangan nada yang sama kita akan katakan, saya ingin jelaskan kita mesti menteladani semangat perjuangan yang telah dilakukan oleh pihak sebelum kita. "Perjuangan sebelum kemerdekaan kemudian timbulnya reformasi sehingga wujud tsunami politik negara pada pilihanraya yang lepas memberi isyarat yang jelas kepada kita bahawa Putrajaya sebenarnya sudah hampir dengan kita, jadi hayati perjuangan semoga impian kita tercapai," kata beliau. Buku memoir itu merupakan kenangan hidup Syed Husin tentang perjuangan politiknya untuk menegak keadilan, kebajikan dan kebenaran bagi rakyat. Ia juga menceritakan mengenai penyertaan, kegiatan, pengalaman dan pandangan beliau terutama berhubung beberapa peristiwa politik yang melibatkan rakyat. Pendidikan, kegiatan akademik serta luar akademik diceritakan kerana sedikit sebanyak mempengaruhi sikap hidup Syed Husin, terutama terhadap bidang politik yang lebih setengah abad diceburinya. Selain itu juga soal politik juga ditumpukan di dalam memoir itu berpusat kepada catatan-catatan tentang penyertaan dan pengalaman penulis serta sikap, pandangan dan fikirannya terhadap beberapa isu, perkembangan, peristiwa dan kontroversi politik yang berlaku dalam parti dan negara. Memoir itu memberi latar belakang dan menjelaskan beberapa perkara seperti apa yang berlaku selepas kemenangan parti-parti pembangkang di lima negeri, pembentukan Pakatan, percubaan Umno-Barisan Nasional untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan terutama Selangor, percubaan Anwar yang dianggap gagal berkaitan 16 September dan sebagainya. Memoir itu mendedahkan banyak juga hal mengenai pertimbangan yang tidak diketahui umum tentang mengapa dan bagaimana sesetengah keputusan politik telah diambil Turut hadir semasa majlis perlancaran buku itu adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan juga beberapa pemimpin-pemimpin di dalam PKR. |
Kalau Shahrizat letak jawatan, Muhyiddin pun sama Posted: 16 Nov 2011 02:44 PM PST KUALA LUMPUR, 16 Nov: Jawapan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada desakan supaya Datuk Seri Shahrizat Jalil meletak jawatan mengundang rasa kasihan Mohamad Sabu. "Kasihan sungguh pada Muhyiddin apabila membaca jawapannya itu. Nampak tak berdaya sungguh beliau hendak memikirkan jawapan yang meyakinkan kepada tuntutan supaya Shahrizat meletak jawatan. "Maklumlah, Muhyiddin tentu tahu beliau juga perlu meletak jawatan kerana beliau adalah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika projek lembu itu diserahkan kepada keluarga Shahrizat," kata Timbalan Presiden PAS itu. Mohamad percaya, Muhyiddin juga tentu tahu bahawa Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin tidak akan berani menuntut Shahrizat meletak jawatan tanpa restu secara diam-diam orang atasan. "Sebab itu nampak bingkas sungguh Muhyiddin memberikan jawapan sedangkan sebelum ini beliau membisu mengenai isu NFC (Pusat Fidlot Kebangsaan) itu," kata beliau. Mohamad tidak percaya Bung Moktar berani melakukan sesuatu yang menimbulkan kemarahan seluruh kepimpinan tertinggi Umno. Tindakan seperti itu boleh membunuh kerjaya politiknya, kata beliau lagi. "Kalau tidak ada restu, saya tidak percaya dia berani tunjuk hero minta Shahrizat berundur. "Bukan Shahrizat sahaja yang terasa sakitnya. Muhyiddin lebih terasa lagi," kata Mohamad. Isnin lalu, ketika berucap dalam sidang Dewan Rakyat, timbalan pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) itu menuntut Shahrizat meletakkan jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berikutan penglibatan keluarganya dalam NFC. Ketika menjawab tuntutan itu, Muhyiddin berkata, Ketua Wanita Umno itu tidak perlu meletakkan jawatan dalam kabinet dan parti kerana beliau tidak terlibat secara langsung dalam projek penuh kontroversi yang diuruskan oleh anggota keluarganya itu. "Seruan Bung itu saya fikir tak perlulah sangat. Soal-soal sebegini khusus di kalangan kita sama kita (sesama Umno) kerana ia tidak secara langsung menyatakan Shahrizat terlibat. "Sebenarnya, ini soal operasi perniagaan yang diuruskan oleh keluarga tetapi Shahrizat sendiri tidak terlibat," katanya. Sebelum ini, beberapa blog dan laman sosial ahli-ahli Umno menuduh Muhyiddin mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Zaharin Mohd Yasin pernah menuduh Timbalan Presiden Umno itu membuka jalan kepada kemenangan pembangkang. Selepas itu, katanya, "Muhyiddin Yasin akan minta PM Najib letak jawatan saperti yang pernah dia lakukan kepada (Tun) Abdullah Hj Ahmad (Badawi)". Zaharin, yang menuduh Muhyiddin sebagai "anak paria", "penyamun besar" dan "perosak Umno", mendakwa beliau mempunyai maklumat bahawa Muhyiddin terbabit hendak menjatuhkan Najib. |
PKFZ: Apa maksud Nazri 'isu lebih besar' Posted: 16 Nov 2011 02:39 PM PST KUALA LUMPUR, 16 Nov: PAS meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mendedahkan pandangan beberapa anggota kabinet berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) pada 2002. Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, ianya berdasarkan keterangan Nazri di mahkamah sebagai saksi ke-20 perbicaraan pendakwaan dalam kes Tun Dr Ling Liong Sik itu. Nazri seperti dilaporkan media kelmarin memberikan keterangan kepada mahkamah bahawa ramai anggota kabinet termasuk beliau sendiri tidak bersetuju dengan projek PKFZ namun terpaksa bersetuju atas kerana 'bimbang menjadi isu besar'. Nazri ketika itu merupakan Menteri Pembangunan Usahawan. "Saya minta Nazri jelaskan kepada media dan masyarakat, apa butiran pandangan anggota kabinet yang tak berstuju dan apa apa yang dimaksudkan Nazri dengan 'isu yang lebih besar' itu," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini. Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mempertikai tindakan anggota kabiet ketika itu yang bersetuju dengan cadangan projek PKFZ walaupun tahu ia akan gagal dan membazirkan wag negara. Tambahnya, tindakan itu menunjukkan anggota kabinet BN tidak berperanan sepenuhnya sebaliknya hanya menjadi "pak turut". "Tak sewajarnya bila mereka tak bersetuju tapi akhirnya terpaksa bersetuju sedangkan mereka tahu cara pengendalian projek PKFZ itu akan mendatangkan masalah kepada negara. "Nampak sangat anggota kabinet ini takut dengan kuasa yang ada pada Perdana Menteri dan akhirnya mereka menjadi pak turut, tak berfungsi dalam kabinet, hanya memberikan pandangan untuk tak bersetuju," katanya. Beliau juga bimbang amalan in masih berterusan dalam kabinet BN. "Lemahlah anggota kabinet kalau begini caranya. Mungkin amalan ini masih berterusan dalam kerajaan BN," katanya lagi. Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar pada sidang media sama berkata perbicaraan skandal PKFZ lebih banyak menimbulkan persoalan berbanding menemui jawapan. Justeru beliau mencadangkan Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat kes tersebut. "Perbicaraan PKFZ lebih banyak menimbulkan persoalan daripada menjawab. Nazri sebagai ahli kabinet senior sepatutnya memberi maklumat ini kepada PAC misalnya. "Ia menimbulkan lebih banyak kekeliruan yang patut diselesaikan bukan sahaja di peringkat mahkamah tapi di peringkat Suruhanjaya Diraja kerana melibatkan berbilion wang rakyat," kata beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. |
Sekitar majlis makan malam mesra kaum 2011 Posted: 16 Nov 2011 02:38 PM PST |
NFC disalah guna untuk keluarga pemimpin Umno Posted: 16 Nov 2011 02:35 PM PST KUALA LUMPUR, 16 Nov: PKR hari ini mendedahkan beberapa transaksi yang dilakukan National Feedlot Corporation (NFC) bagi mengukuhkan bukti bahawa syarikat itu disalahguna untuk kepentingan keluarga dan ahli-ahli politik Umno BN. Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution hari ini menunjukkan senarai empat transaksi yang dilakukan dari tahun 2008 hingga 2009. Pada awal penubuhan NFC 2008, syarikat yang dikaitkan dengan suami dan keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil itu membiayai perbelanjaan Shahrizat sebanyak RM26,400. Ditanya ke mana perbelanjaan itu dilakukan, Saifuddin bagaimanapun mahu Shahrizat sendiri menjawabnya. "Jika benar isu NFC tiada kena mengena dengan Shahrizat, sewajarnya beliau langsung tidak ada urusan dengan syarikat ini apatah lagi menggunakan wang NFC untuk membiayai perbelanjaan beliau," kata Saifuddin pada sidang medi di lobi Parlimen hari ini. Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang turut berkata, NFC membayar sejumlah RM398,640 kepada dua pengarah NFC, Datuk Dr. Mohamad Salleh Ismail dan Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh pada 2009 sebagai bayaran sewa pejabat NFC di Mont Kiara. "Tindakan menggunakan wang NFC dari dana RM250 juta untuk mambayar sewa kepada pengarah-pengarah NFC perlu juga dijawab Shahrizat," katanya. Selain itu, NFC mendermakan lembu-lembu yang dibiayai menggunakan wang rakyat kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Mansor pada 1 September 2009 bernilai RM5,281.87 dan Adun di Negeri Sembilan, Yunus pada 30 November 2009 bernilai RM2,640.93. "Kalau isu yang serupa melibatkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum ini, SPRM juga perlu tangkas menyiasat NFC, Datuk Shaziman dan YB Yunus kerana mendapat lembu yang dibiayai rakyat," katanya lagi. Saifuddin juga mendedahkan, NFC menjual lembu secara hutang kepada pimpinan Umno seperti Datuk Seri Zulhasnan Rafique bernilai RM70,000 pada tahun 2008, yang hanya dibiayai pada tahun 2009. "PKR boleh sahaja mendedahkan secara terperinci setiap perbelanjaan yang melibatkan ramai lagi pemimpin Umno dan dana rakyat berjumlah RM250 juta ini," tegasnya. Selain itu kata Saifuddin, sejak menerima pinjaman mudah daripada kerajaan berjumlah RM250 juta, NFC tidak pernah sekali pun membayar balik kepada kerajaan sama ada pembayaran pinjaman pokok atau pun faedah 2 peratus yang dikenakan. "Jika ia benar-benar sebuah pinjaman seperti yang didakwa pimpinan Umno, maka sekurang-kurangnya NFC perlu membayar RM5 juta setahun kepada kerajaan dalam bentuk faedah pinjaman," katanya. |
Sekitar Forum Bicara Bajet 2012 Untuk Siapa? Posted: 16 Nov 2011 02:33 PM PST |
You are subscribed to email updates from Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan