Jumaat, 15 Julai 2011

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


PERASMIAN CHENG HO INTERNATIONAL FOOD FESTIVAL 2011.

Posted: 14 Jul 2011 06:16 PM PDT








Azhar tuntut keadilan kematian Baharuddin

Posted: 14 Jul 2011 06:08 PM PDT

KUALA LUMPUR, 14 Julai: Anak saudara Allahyarham Baharuddin Ahmad, Azhar Kassim, hari ini tampil di ibu pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), di sini, untuk menuntut keadilan di atas kematian bapa saudaranya.
Beliau tampil bersama Jawatankuasa Bersih 2.0, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan beberapa saksi tindakan penggunaan kekerasan tidak munasabah polis lain ketika menyuraikan perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.
Ketika membuat pengaduannya, Azhar berkata, kematian Allahyarham amat mengejutkan beliau dan seluruh keluarganya kerana Allahyarham tidak mengalami masalah kronik.
"Dia sihat. Dia tak menghidapi masalah jantung. Dia tak ada penyakit lelah. Dia hanya ada sedikit penyakit darah tinggi tetapi tak kronik. Kematiannya berlaku dengan tiba-tiba. Jadi kematiannya amat memeranjatkan saya dan seluruh keluarganya. 
"Allahyarham adalah bekas tentera dan kini menjadi polis simpanan. Beliau bukan orang kaya. Beliau meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak yang masih kecil dan masih bersekolah," katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon kepada pihak Suhakam untuk menuntut keadilan dari pihak kerajaan berhubung kematian bapa saudaranya itu.
Allahyarham Baharuddin Ahmad didakwa meninggal dunia disebabkan kekasaran polis dan kegagalan mereka untuk memberikan bantuan perubatan yang sepatutnya dan pada masanya kepada beliau.
Cerita mengenai punca kematian Baharudin mula merebak sebaik sahaja jenazah Allahyarham dikeluarkan dari rumah mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 3 pagi 10 Julai lalu selepas menjalani post mortem.
"Empat tulang dadanya didapati patah manakala tiga batang giginya juga patah," kata Azhar kepada pihak Suhakam yang diwakili oleh Naib Pengerusi Suhakam, Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee dan Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sa'ani Abdullah. 
Bersih 2.0 dalam kenyataannya 11 Julai lalu mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad sambil menuntut pihak berkuasa supaya tidak berdalih lagi dengan hakikat bahawa polis telah menggunakan kekerasan yang berat terhadap para peserta Bersih 2.0.
"Ini (kematian Baharuddin) hanyalah salah satu daripada pelbagai tindakan polis pada 9 Julai yang lalu yang mengakibatkan kecederaan teruk," tegas kenyataan itu.
Sementara empat peserta perhimpunan aman itu yang turut membuat pengaduannya masing-masing menceritakan pengalaman traumatik mereka apabila diperlakukan oleh pihak polis dengan tidak sepertinya.
Salah seorang daripada mereka mendakwa seorang anggota polis mengancam untuk membunuhnya ketika menangkapnya, sewaktu beliau sedang berjalan kaki di hadapan Dataran Pahlawan dengan sepupunya pada jam 4.10 petang selepas perhimpunan itu telah bersurai.
Menurutnya, kemudian dia ternampak sekumpulan FRU hendak menyerbu ke arah seorang lelaki muda yang tidak melakukan apa-apa kesalahan tetapi hanya sedang berdiri di atas jalan.
"Saya meminta mereka jangan memukul lelaki itu kerana dia tidak berbuat apa-apa pun. Anggota FRU menyerbu ke arah saya, manakala sepupu saya yang meminta polis jangan memukulnya, turut ditangkap," katanya.
Beliau mendakwa polis menendang dan menumbuknya semasa ditangkap dan mencederakan di bahagian atas dahinya dan di bahagian bawah tangannya.
Pengadu lain termasuk aktivis Sarawak, Hii Tiong Huat yang ditahan sehari sebelum perhimpunan aman itu turut menceritakan tindakan yang tidak sepatutnya yang dilakukan oleh pihak polis terhadap beliau, apabila beliau ditendang dan ditumbuk sesuka hati oleh pihak polis.
Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah yang turut hadir di pejabat Suhakam hari ini bagi menyerahkan memorandum bagi pihak mangsa-mangsa kekerasan polis pada perhimpunan itu, ketika membacanya pengaduannya antara lain turut menyebut kenyataan awal Bersih 2.0 berhubung kes yang membabitkan Allahyarham Baharuddin. 
Manakala antara bukti-bukti kes lain pula yang turut disebut oleh beliau termasuk kejadian cederaan lutut Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pada hari perhimpunan itu akibat tindakan kekerasan polis yang melanggar motosikal yang ditumpanginya.
Sejurus selepas itu, Mohamad Sabu turut hadir di pejabat Suhakam dengan berkerusi roda yang terpaksa ditolak oleh pembantunya untuk menceritakan sebahagian pengalaman buruknya pada perhimpunan itu kepada pihak Suhakam.

Isu baca hadis: Islam bukan untuk Melayu sahaja

Posted: 14 Jul 2011 06:06 PM PDT

KUALA LUMPUR, 14 Julai: Al Quran dan Hadis diturunkan sebagai rahmat seluruh alam, dan bukan hanya untuk orang Islam sahaja dan Islam pula bukan hak orang Melayu sahaja. 

Itu tegasan dan penerangan yang dibuat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man(gambar) apabila beliau terbaca laporan mengenai Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman yang membidas wakil rakyat PAS dan PKR beragama Islam kerana tidak bersuara ketika  Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim memetik hadis untuk menguatkan hujahnya dalam satu pembentangan di DUN Selangor semalam.

Satim berhujah bahawa Ng tidak layak menggunakan hadis untuk hujahnya kerana beliau seorang bukan Islam dan tidak memahami hadis tersebut.

Menurut Tuan Ibrahim iaitu Ketua Penerangan PAS, isu orang bukan Islam memetik ayat al-Quran dan Hadis masih menjadi isu yang belum selesai hanya kerana sikap dan pemikiran segelintir pemimpin-pemimpin Umno yang masih terkongkong dengan persepsi bahawa ia adalah satu kesalahan untuk orang bukan Islam memetik ayat al-Quran atau hadis.

"Alasan mereka mudah dan cetek, kerana tidak faham ayat al-Quran atau hadis. Kalau orang Melayu yang petik ayat al-Quran atau hadis tidak jadi masalah, walaupun mereka juga tak faham," tegur beliau.

Tuan Ibrahim juga menasihatkan orang Islam untuk memahami betapa ramainya orang bukan Islam di dunia ini yang memetik ayat al-Quran dan hadis dalam tulisan atau ucapan mereka di seluruh dunia.

Tapi mengapa para ulama atau Majlis Fatwa tidak mengeluarkan fatwa untuk mengharamkannya?

"Sebab isu utama ialah hukumnya haram atau dicegah hanya sekiranya mereka atau kita umat Islam memetik dengan tujuan menghina atau mempermain-mainkan al-Quran atau hadis.

"Kalau mereka memetik untuk menguatkan hujah mereka, maka ia tidak dilarang bahkan ianya telah ada nilai kepercaaan kepada kebenaran al-Quran atau hadis. Seandainya petikan tersebut tersasar dari maksud sebenar, maka mereka yang memahami nas wajiblah membetulkannya," terang Tuan Ibrahim dalam kenyataannya hari ini.

Pada pandangan Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, menghalang orang bukan Islam daripada mendekati sumber utama Islam (al-Quran atau hadis) menyebabkan mereka semakin jauh daripada memahami asas agama Islam – dan ini akan membantutkan perkembangan agama Islam.

"Kerana itu, Umno tak perlu menunding jari kepada wakil rakyat PAS atau PKR kerana tindakan itu mengambarkan kejahilan mereka dalam memahami isu ini," selar beliau.

Beliau turut menambah bahawa isu umat Islam berhadapan dengan golongan bukan Islam bukanlah isu yang baru kerana sudah ratusan tahun lamanya umat Islam telah berhadapan dengan golongan bukan Islam.

"Maka seandainya orang bukan Islam tidak dibenarkan memetik ayat Quran atau hadis, tak mungkin tiada sebarang fatwa melarangnya. Untuk itu kita sebagai umat Islam hendaklah memandu golongan bukan Islam memahami dan mengkaji kebenaran Islam, semoga dengan kajian tersebut mereka terbuka hati untuk menerima Islam. InsyaAllah," nasihat beliau.

Terdahulu, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib berkata, al-Quran dan hadis merupakan sumber rujukan untuk kesejahteraan sekalian manusia.

"Sebagai orang Islam kita seharusnya menggalakkan penganut agama lain mempelajari tentang al-Quran dan hadis untuk mengenal Islam secara lebih mendalam dan bukannya mengherdik dan bertindak di luar akhlak Islam yang akhirnya menjauhkan bukan Islam dengan Islam," kata beliau.

Bersih gelombang ketiga boleh berulang

Posted: 14 Jul 2011 06:06 PM PDT

RANTAU PANJANG, 14 Julai: Dewan Muslimat PAS Pusat turut membayangkan kemungkinan gelombang ketiga Bersih berulang sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus angkuh dan enggan berubah.
Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusuf berkata, berdasar kepada situasi sekarang nampaknya rakyat tidak teragak-agak meneruskan gelombang Bersih 3.0.
"Mungkin gelombang itu akan lebih hebat lagi.  Kita melihat keangkuhan SPR dan kerajaan seolah-olah mengenepikan pandangan rakyat," katanya ketika ditemui selepas perasmian Masjid Al-Mujahidin dan penyampaian kelulusan hak milik tanah kepada penduduk di Kampung Kubang Kual, hari ini.
Perasmiannya disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Hadir sama Adun Gual Periuk, Mohamad Awang, wakil-wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan.
Tanggal 9 Julai lalu menjadi detik bersejarah apabila puluhan ribu rakyat menghadiri perhimpunan anjuran Bersih 2.0 biar pun dihalang pasukan polis.
Malah lebih 100 pemimpin Pakatan Rakyat dan orang ramai ditangkap lebih awal hanya kerana memakai baju Bersih 2.0 dan berwarna kuning.
Siti Zailah yang juga anggota parlimen Rantau Panjang berkata, kerajaan juga seperti tidak menghiraukan titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong supaya perhimpunan rakyat berlaku secara aman.
Menurut beliau sekiranya perhimpunan rakyat itu dibiarkan berlangsung secara aman tanpa gangguan polis seperti di negara lain, sudah tentu tidak berlaku kecederaan dan kematian.
Namun malangnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disifatkan tidak mempunyai kematangan berpolitik sehingga menganggap perhimpunan anjuran Bersih sebagai musuh negara.
"Tindakan provokasi dan serangan gas pemedih mata dan tembakan air berkimia menyebabkan rakyat marah," katanya.
Menurutnya himpunan Bersih 1.0 pada 2007 membuktikan tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa kerana provokasi polis tidak berlaku.
Oleh itu beliau mencadangkan satu suruhanjaya khas perlu diwujudkan bagi menyiasat dakwaan kekasaran pasukan polis sehingga di luar batasan kemanusiaan.
Manakala di Kota Bharu semalam, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Zulkifli Mamat berkata, imej Perdana Menteri kini semakin tercalar biar pun baru dua tahun menduduki kerusi tersebut.
Katanya, sikap berdolak dalih Najib dan Menteri Dalam Negeri menghalang perhimpunan aman Bersih 2.0 diadakan di Stadium Merdeka menyebabkan rakyat marah.
"Rakyat melihat ketidakupayaan Perdana Menteri menunaikan janjinya bagi menyediakan tempat kepada Bersih 2.0 menyebabkan orang ramai begitu kecewa.
"Sekali kata boleh dan di masa lain pula kata tidak boleh. Ini sudah tentu menimbulkan kemarahan rakyat," katanya selepas majlis penyerahan tugas sukarelawan Festival Makanan Antarabangsa Kelantan Cheng Ho di pekarangan Bazar Tok Guru, petang semalam.
Turut hadir Presiden Pertubuhan Sukarelawan Hijau Kelantan (Green-V), Mohd Adilan Mat Jusoh dan timbalannya Norsham Sulaiman.
Zulkifli yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat berkata, sebagai pemimpin tertinggi negara Najib perlu konsisten dalam mengeluarkan kenyataan.
Beliau juga menyokong cadangan banyak pihak supaya ditubuh Suruhanjaya Diraja bagi mengkaji tuntutan Bersih 2.0 dan keganasan pasukan polis terhadap orang ramai 9 Julai lalu.

Tahniah 11 doktor berani akui hospital ‘diserang’

Posted: 14 Jul 2011 06:05 PM PDT

KUALA LUMPUR, 14 Julai: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) merakamkan ucapan tahniah di atas keberanian dan kesanggupan kumpulan 11 orang doktor dari Hospital Tung Shin dan Hospital Bersalin Cina di Jalan Pudu untuk tampil menyanggah tuduhan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengatakan hospital tersebut tidak 'diserang' oleh pihak polis semasa himpunan Bersih 9 Julai yang lalu.
Malahan, kata ketuanya Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) berkata, kumpulan doktor tersebut yang terdiri daripada Datuk Dr Musa Nordin, Dr Sheikh Johari Bux, Dr Ng Kwee Boon, Dr Ng Swee Choon, Dr Jeffrey Abu Hassan, Dr David Quek, Dr Mary Cardozo, Dr Ahmad Farouk Musa, Dr Mazeni Alwi, Datin Low Low Paik See dan Dr Steve Wong sanggup mengemukakan afidavit bersumpah jika perlu untuk pertahankan kebenaran.  
DPPNS, katanya cukup berbangga di atas komitmen yang telah ditunjukkan oleh para doktor tersebut semata-mata kerana ingin menegakkan kebenaran dan mempertahankan nilai-nilai "integriti moral, maruah, dan ketelusan".
"Sudah pasti pendedahan ini memberikan tamparan hebat kepada pembohongan Menteri Kesihatan dan pihak PDRM sebelum ini yang menceritakan perkara sebaliknya," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga, ujarnya mengecam sikap tidak bertanggungjawab Menteri Kesihatan dan pihak PDRM sebelum ini yang telah membuat 'pembohongan'dan penafian kepada seluruh rakyat Malaysia terhadap isu serangan ke atas hospital terbabit sedangkan terdapat pembuktian daripada saksi-saksi yang ditangkap semasa himpunan tersebut, pelbagai rakaman video, pengamatan dan pemantauan daripada Majlis Peguam dan lain-lain pihak menceritakan kisah yang sebaliknya.
"Bagaimanakah rakaman kejadian serangan ke atas hospital tersebut telah tersebar luas di laman-laman web dan menjadi tontonan masyarakat sedunia sedangkan pada masa yang sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein mengatakan pihak polis juga ada merakamkan kejadian pada hari tersebut tetapi tiada serangan yang dimaksudkan berlaku?" soalnya.
Ini, katanya merupakan satu bala apabila pemimpin semakin berleluasa melakukan pembohongan dan penipuan semata-mata kerana ingin mempertahankan tampuk kekuasaaan.
Beliau menambah, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan keberanian kumpulan 11 orang doktor itu untuk mendedahkan kebenaran sebenar kejadian yang berlaku semasa himpunan Bersih tempoh hari tidak akan disusuli dengan tekanan dan ancaman oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap mereka.
"DPPNS mengharapkan semoga dengan pendedahan ini akan dapat menyedarkan rakyat Malaysia betapa kronik dan rosaknya akhlak pemimpin Umno BN yang sanggup mempergunakan institusi awam dan media massa untuk kepentingan mereka selain berterusan berbohong dan menipu untuk mempastikan rakyat terus diperbodohkan dan dapat dipergunakan di dalam Pilihanraya Umum yang ke 13 nanti," katanya.
Justeru, tambahnya Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menuntut supaya Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, Menteri Kesihatan dan Ketua Polis Negara meletakkan jawatan secara bermaruah di atas pertanggungjawaban insiden serangan ke atas Hospital Tung Shin dan Pusat Bersalin Cina semasa Himpunan Bersih 2.0 oleh pihak PDRM pada 9 Julai lalu.

PAS sambut baik Suhakam adakan siasatan awam

Posted: 14 Jul 2011 06:04 PM PDT

KUALA LUMPUR, 14 Julai: PAS menyambut baik dan mengalu-alukan langkah yang diambil oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) untuk mengadakan siasatan awam terhadap dakwaan keganasan polis ketika menyuraikan perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menegaskan, beliau bersetuju dengan langkah yang diambil oleh Suhakam itu dan bersedia memberikan segala kerjasama yang diperlukan.
Dalam masa yang sama, beliau berharap agar Suhakam memainkan peranan lebih berkesan termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung perkara itu.
Katanya, setelah siasatan awam diadakan, Suhakam perlu memainkan peranan di PBB bagi membawa Malaysia keluar dari keadaan primitif terutama berhubung pengendalian perhimpunan aman.
"Sebelum ini, Suhakam telah pun mengadakan beberapa siasatan awam yang melibatkan beberapa perkara lain, tetapi tetap juga tidak diendahkan oleh kerajaan.
"Sekarang diharap Suhakam akan turut memainkan peranan berkesan di PBB untuk meminta Malaysia keluar dari keadaan primitif," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sebelum itu, beliau turut hadir bersama Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bagi membuat pengaduan kepada pihak Suhakam berhubung keganasan polis dalam menyuraikan perhimpunan aman pada 9 Julai lalu. 
   
Dalam pengaduannya yang didengar oleh Naib Pengerusi Suhakam, Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee dan Pesuruhajaya Suhakam, Muhammad Sa'ani Abdullah itu, beliau antara lain meluahkan rasa kesalnya dengan tindakan pihak polis yang melanggar motosikal yang ditumpanginya pada hari perhimpunan itu, sehingga menyebabkan beliau mengalami kecederaan lutut yang teruk.
Akibatnya, beliau terpaksa berkerusi roda dan akan menjalani pembedahan esok di sebuah hospital di Petaling Jaya bagi memulihkan kembali lututnya, tetapi terpaksa memakan masa agak lama dan mengganggu kehidupan hariannya.
Sebelum itu, Khaw Lake Tee dan Muhammad Sa'ani turut mendengar aduan dari pihak Bersih 2.0, Suaram dan beberapa orang saksi yang menjadi mangsa kekerasan pihak polis dalam menyuraikan perhimpunan itu.
Beberapa hari lalu, pihak Suhakam turut mendengar aduan dari beberapa pihak lain berhubung tindakan penggunaan kekerasan melampau pihak polis dalam menyuraikan perhimpunan itu termasuk dari Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Sekitar jam 12.15 tengah hari tadi, Khaw Lake Tee dan Muhammad Sa'ani turut menerima memorandum dari peserta perhimpunan Bersih 2.0 yang diketuai Ahli jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.

Selepas itu, Khaw Lake Tee mengumumkan akan mengadakan siasatan awam terhadap dakwaan keganasan polis ketika menangani perhimpunan tersebut Sabtu lalu.
Bagaimanapun, pihak Suhakam masih belum bersedia untuk memperincikannya pada hari ini, sebaliknya sedang mengkaji bidang rujukan siasatan tersebut yang akan diumumkan kemudian.

Tiada ulasan:

Pengikut