Isnin, 4 Ogos 2014

Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil

Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil


72 keluarga dikesan hidap virus Aids di Melaka

Posted: 04 Aug 2014 04:25 AM PDT

ALOR GAJAH: Sebanyak 72 keluarga terdiri daripada penagih dadah dan anggota keluarga mereka dikesan menghidapi virus Aids di Melaka.
    
Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri Datuk Latipah Omar berkata daripada jumlah itu, 299 orang adalah Orang Kena Pengawasan (OKP) yang mendaftarkan diri secara sukarela dengan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Melaka.
    
"Mengikut rekod kira-kira 75 peratus daripadanya merupakan penagih dadah tegar manakala 15 peratus pula adalah mangsa terdiri daripada anak serta isteri yang dijangkiti melalui penagih dadah berkenaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis rumah terbukanya sempena Aidifitri di sini, semalam.
    
Beliau berkata angka tersebut dikhuatiri lebih berikutan bilangan sebenar pembawa virus Aids dalam kalangan penagih dadah serta anggota keluarga mereka sukar dikesan.
    
Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri bersama Pemadam Melaka sedang berusaha mengesan bilangan sebenar penghidap virus berkenaan untuk diberi bantuan dan sokongan.
    
Latipah berkata antara usaha yang dilaksanakan termasuk pendekatan turun padang dengan memberi kesedaran kepada penagih dan bekas penagih mengawal pengambilan dadah melalui pelaksanaan rawatan methadone.
    
Beliau berkata Pemadam dan Agensi Antidadah Kebangsaan Melaka juga sedang mengumpul maklumat dan data sebenar penghidap HIV/AIDS yang lain daripada kumpulan OKP yang berdaftar.
    
Katanya, sehingga hari ini sebanyak 2,992 OKP berdaftar dengan Pemadam Melaka dan kerajaan negeri sedang mengumpul maklumat mengenai anggota keluarga mereka yang berkemungkinan dijangkiti virus tersebut.
    
"Kerajaan negeri sentiasa bersikap terbuka menerima golongan penghidap virus tersebut dan tidak pernah menyisihkan mereka kerana sebahagian daripadanya adalah mangsa," katanya.
    
Sehubungan itu, katanya penghidap HIV/AIDS dalam kalangan penagih dadah dan anggota keluarga mereka dinasihat menghubungi pihaknya bagi mendapatkan rawatan serta bantuan lain. - Bernama

Harakahdaily

Muslimat Melaka, Adun Bukit Baru rai anak yatim

Posted: 04 Aug 2014 04:21 AM PDT

MELAKA: Bersempena Ramadan yang mulia ini Dewan Muslimat PAS Melaka dan Sekretariat Adun Bukit Baru telah mengadakan majlis meraikan golongan fakir miskin dan anak yatim di sini baru-baru ini sekali gus menyumbangkan barangan keperluan harian serta duit raya kepada mereka.

Program dirasmikan oleh Adun Bukit Baru, Dr Md Khalid Kassim dan turut dihadiri Ketua Muslimat Melaka, Kintan Man serta Ahli Parlimen Bukit Katil, Samsul Iskandar Mat Akin.

Menurut Dr Khalid, masyarakat diharapkan sentiasa prihatin dengan golongan kurang berkemampuan seperti fakir miskin dan anak yatim kerana mereka merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat yang memerlukan perhatian kita.

"Saya mengalu-alukan sumbangan dalam apa jua bentuk kepada golongan ini kerana mereka perlu dibantu bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka apatah lagi dalam keadaan tekanan kenaikan harga barangan keperluan yang makin meningkat.

"Kita mengharapkan dengan usaha yang sedikit ini dapat meringankan kesusahan mereka dan dapatlah mereka menyambut hari raya yang bakal tiba tidak berapa lagi dalam suasana ceria seperti orang lain," ujar beliau.

Dr Khalid meminta kerajaan tidak menyisihkan golongan ini dalam pemberian bantuan yang sepatutnya kerana masih berlaku penafian bantuan hanya kerana mereka menyokong Pakatan Rakyat khususnya di Melaka.

"Dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi semua rakyat mempunyai hak walaupun berbeza dari segi pandangan mahupun latarbelakang politik kerana ianya dijamin di dalam perlembagaan negara kita.

"Ianya tidak dilaksanakan oleh Umno/BN yang tidak memberikan peruntukan kepada wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat walaupun dipilih oleh rakyat di sesuatu kawasan.

"Walau bagaimanapun kita berusaha dengan sedaya mungkin untuk membantu golongan ini dan terima kasih diucapkan kepada para penderma serta penyumbang  yang diharapkan segala bentuk sumbangan itu diterima Allah sebagai amal jariah kita,"katanya.

Harakah 27 - 29 RAMADAN 1435 / 25 - 27 JULAI 2014

Tiada ulasan:

Pengikut