Rabu, 9 Julai 2014

Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil

Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil


Ini yang dikatakan membela Melayu? Pemilikan tanah MCL terjejas akibat dimiliki syarikat bukan Melayu

Posted: 08 Jul 2014 03:58 PM PDT

Intisari Laporan Audit Negara bagi negeri Melaka menyatakan bahawa dalam pelaksanaan kawalan pemilikan tanah bagi orang-orang Melayu, Negeri Melaka tidak menggunakan Enakmen Rizab Melayu. Oleh itu tiada tanah simpanan Melayu seperti yang terdapat di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia. Di Negeri Melaka, tanah ini dikenali sebagai Tanah Adat Melaka atau Malacca Customary Lands (MCL) yang wujud di bawah Malacca Lands Customary Rights Ordinance of the Straits Settlements SS Cap.125.

Ordinan ini telah dimansuhkan dengan berkuatkuasanya Akta Kanun Tanah Negara (Hakmilik Pulau Pinang dan Melaka) 1963 atau Akta 518 pada 1 Januari 1966. Mengikut Seksyen 108 Akta 518, MCL hanya boleh dipindah milik, digadai, dipajak, atau diturun milik kepada orang Melayu sahaja. Sewaan atau lien atau kaveat amanah, surat tadbir kuasa atau surat kuasa wakil atau geran Probet tidak boleh diwujudkan atas kepentingan orang bukan Melayu.

Bagaimana boleh syarikat milik Melayu MCL ada ahli lembaga pengarah & pemilik syer bukan Melayu?

Semakan Audit terhadap 218 maklumat syarikat MCL yang diperolehi melalui Perkhidmatan e-Info Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati ahli lembaga pengarah dan pemegang syer bagi 11 daripada syarikat tersebut turut dianggotai dan dimiliki oleh orang bukan Melayu. Kesannya pemilikan tanah MCL yang sepatutnya hanya untuk orang Melayu akan terjejas kerana terdapat tanah MCL yang dimiliki oleh syarikat bukan Melayu.


Mengikut Seksyen 94(1) Akta 518, Syarikat MCL adalah syarikat yang didaftar di bawah Akta Syarikat 1965 di mana semua anggotanya adalah Melayu, undang-undang tubuhnya melarang pindah milik sahamnya kepada orang selain dari orang Melayu dan salah satu matlamat syarikat adalah berurusan dengan MCL.

Pendedahan yang dibuat menerusi proses audit menunjukkan kelemahan pentadbiran yang mengakibatkan pemilikan hartanah yang sepatutnya dibawah orang Melayu terjejas. Siasatan terperinci perlu dilakukan oleh pihak berwajib bagi menjawab laporan audit dan tindakan yang tegas perlu diambil segera jika terbukti berlaku penyelewengan di dalam agensi kerajaan yang berkaitan.

Sumber maklumat : Laporan Audit Negara

Musab Umair

Tiada ulasan:

Pengikut