Isnin, 16 Jun 2014

Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil

Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil


Isu pengambilan tanah Kampung Padang Jambu, Melaka

Posted: 16 Jun 2014 12:51 AM PDT

BUKIT BARU, MELAKA: Penduduk Kampung Padang Jambu, Melaka, memohon penjelasan kerajaan negeri berhubung cadangan pengambilan tanah mereka bagi tujuan pembesaran Kolej Perubatan Manipal yang terletak bersebelahannya.

Baru-baru ini, satu dialog mengenai isu tersebut telah diadakan di antara Pengerusi Lajnah Tanah PAS Pusat, Mazlan Aliman dan sebahagian daripada 15 orang penduduk yang terlibat di mana ianya turut dihadiri Pengerusi Lajnah Tanah PAS Melaka, A Kadir Shohod; Pengerusi Sekretariat Dun Bukit Baru, Yusuf Wahab serta AJKnya, Yasim Musa dan Ustaz Ibrahim Duralim.

Menurut Mazlan Aliman pihaknya telah memohon penjelasan sebenar berkenaan cadangan pengambilan tanah itu kerana ianya melibatkan kediaman kampung tradisi penduduk yang telah tinggal di situ sejak sekian lama.

"Kerajaan negeri atau wakilnya JKKK kena berterus-terang kepada penduduk kerana mereka mendengar desas-desus yang mengatakan bahawa tanah mereka akan diambil bagi pembesaran Kolej Manipal
dan jalan raya.


"Orang datang ukur tanah dah datang beberapa kali dan bila ditanya mereka tak mahu memberikan maklumat kepada penduduk menyebabkan penduduk runsing dan bingung memikirkan nasib yang akan menimpa sekiranya tanah mereka diambil secara tiba-tiba," ujarnya.

Jelas beliau, penduduk dicadangkan menubuhkan satu jawatankuasa bertindak bagi memudahkan berurusan dengan pihak berwajib dan bagi tujuan mempertahankan kampung itu daripada proses pengambilan tanah.

"Sekiranya tidak boleh dipertahankan lagi mereka layak mendapat bayaran pampasan yang setimpal kerana telah tinggal di situ lebih 40 tahun dan terpaksa memulakan semula kehidupan baru di tempat yang lain pula.

"Persoalannya adalah mengapa isu seperti ini seringkali terjadi dan ianya melibatkan kawasan kediaman penduduk sedangkan banyak lagi kawasan tanah kerajaan yang terbiar tidak digunakan bagi tujuan tersebut," katanya.

Harakah 11 - 14 SYAABAN 1435 / 9 - 12 JUN 2014 


MusabUmair

Tiada ulasan:

Pengikut