Ahad, 4 Mei 2014

Pakatan Rakyat

Pakatan Rakyat


DIALOG RAKYAT

Posted: 04 May 2014 03:21 PM PDT

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM  : Dakwaan terbaru Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bahawa pemberian air percuma di Selangor menyebabkan catuan air baru-baru ini ternyata tidak disenangi dan dikecam warga laman sosial.

Semalam, Najib dilaporkan berkata langkah populis Kerajaan Negeri untuk memberikan air percuma dan keengganannya menaikkan tarif air adalah punca kekurangan air di negeri ini.

Facebook

Tinjauan Selangor Kini di laman media sosial Facebook mendapati rata-rata pembaca mengecam kenyataan selain ada yang menjadikan kenyataan Najib sebagai bahan lawak jenaka dan sindiran.

"Dekat Johor dan Negeri Sembilan tiada air percuma malah mahal pun kena catu, sudah pergilah 'selfie' di sana," tulis Sariph Sariphuddin.

"Air dengan air percuma adalah perkara berbeza. Air percuma kerana ia adalah tanggungjawab pemerintah kepada rakyatnya bukan menekan rakyat dengan pelbagai cukai. Semua orang tahu catuan disebabkan kemarau dan air empangan berkurangan. Jangan buat kenyataan yang kurang cerdik," luah seorang lagi pemilik akaun Facebook, Roshan Rashid.

Sementara itu, ramai juga yang membandingkan catuan baru-baru ini dengan catuan sewaktu pemerintahan Barisan Nasional (BN) pada tahun 1998.

air pahang"Teringat pula tahun 1998, empat bulan juga kena catu sebab keadaan cuaca, jadi fikir-fikirkanlah ya masa tu siapa yang pegang," kata Rossi Hail.

"Tahun 1998 Selangor catu air selama 150 hari kerana cuaca, 1998 bukan PR," ulas Joe Faris pula.

Selepas kontroversi kangkung, 'selfie' bersama Presiden Amerika Syarikat, Obama , kenyataan terbaru Najib kali ini turut mengundang sindiran warga laman sosial.

"Aku hairan juga, banyak betul yang komen kutuk Najib, maknanya banyaklah rakyat tak suka tapi dia tak sedar ke rakyat tak suka dia atau dia buat tak tahu saja," sindir Mohd Firdaus Abdullah di Facebook.

"Beri air percuma menyebabkan musim kemarau, jadi kerajaan berhasrat naikkan tarif air supaya tak kemarau lagi- Jibby," sindir seorang lagi, Anwar Haldir Aswad.

Sejak penghujung Februari lalu, Kerajaan Negeri mengambil langkah melakukan penjadualan atau catuan air ekoran musim kering luar biasa yang menyebabkan paras empangan semakin merosot.

Bagaimanapun, minggu lepas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan catuan ditamatkan ekoran paras empangan semakin meningkat selain taburan hujan di hilir yang banyak membantu pengurangan pelepasan air di Empangan Sungai Selangor. EZY

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sekali lagi mengingatkan PAS agar tidak terpengaruh dengan 'sokongan' Umno dalam isu pelaksanaan hudud yang jelas berniat untuk menimbulkan perpecahan dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, Umno sebelum ini bertegas tidak ingin melaksanakan undang-undang itu walau pun berkemampuan berbuat demikian.

"Pada 25 September 2011, kerajaan mengisytiharkan tidak akan menguatkuasakan hudud di Malaysia. Ternyata Umno tiada prinsip dan kini hanya menyokong hudud untuk membuat perangkap politik terhadap PAS, untuk melaga-lagakan PAS dengan DAP dan memecahkan Pakatan.

"Jika PAS terus bersama-sama dengan Umno, ia akan dilihat sebagai mudah terpedaya, malah mengkhianati pengundi bukan Islam. Itu akan memudahkan Umno untuk menghancurkan Pakatan.

"PAS perlu seirus bertanya pada diri sendiri, 'Adakah Umno berbaloi untuk dipercayai?'" tegasnya dalam satu kenyataan.

MCA bisu dengan sokongan UMNO

Ahli Parlimen Bagan itu turut menyifatkan MCA sebagai terlalu terdesak untuk kembali dilantik ke dalam kabinet kerajaan, sehingga sanggup menggadaikan prinsip dengan membisu terhadap sokongan Umno berhubung pelaksanaan hudud di Kelantan.

Guan Eng berkata, tiada sekali pun pimpinan MCA bangun mengkritik Umno yang secara terbuka menyokong hudud.

"Sejak lima minggu lalu bermula 27 Mac, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai gagal mengkritik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan menteri lain (yang membuat kenyataan).

"Beliau juga gagal membantah Jamil berhubung (cadangan) penubuhan jawatankuasa teknikal hudud antara kerajaan pusat dan kerajaan Kelantan pada 2 Mei lalu," katanya.

Jelas, katanya lagi, kebimbangan MCA bahawa parti itu tidak akan mendapat sebarang jawatan dalam kabinet telah menyebabkan pimpinannya takut untuk melawan Umno yang menghasut PAS untuk melaksanakan hudud di negeri itu.

Guan Eng merujuk kenyataan Jamil pada 27 Mac lalu di Parlimen, bahawa kerajaan BN akan menyokong sebarang usaha PAS Kelantan untuk melaksanakan hudud yang menjadi pencetus isu ini kembali berbangkit.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam satu ucapannya semalam mempelawa MCA untuk kembali menyertai kabinet, bertentangan dengan keputusan parti itu sebelum ini yang enggan dilantik dalam jemaah menteri ekoran kekalahan memalukan dalam Pilihanraya Umum ke-13. –Roketkini.com

ALHUSSEYN

Posted: 04 May 2014 03:10 PM PDT

Walaupun PAS menyatakan dengan jelas niatnya melaksanakan hudud di Kelantan, terdapat kumpulan dalam parti itu yang menentangnya, kata seorang ahli panel dalam satu forum mengenai hukum Islam itu, malam tadi.

 Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Mohamed Hanipa Maidin mengakui bahawa pelaksanaan hukum hudud perlu ditangguhkan‎ sehingga rakyat Malaysia benar-benar bersedia menerima undang-undang Islam tersebut.

 Bagaimanapun, menurut Hanipa, ia merupakan pendapat peribadinya dan tidak mewakili pendirian PAS yang mahu pelaksanaan undang-undang Islam itu disegerakan.

 "Pandapat saya, hudud bukan merupakan keutamaan. Bagaimanapun sebagai pemimpin saya kena mempertahankan agenda politik parti," katanya pada satu forum "hudud@Malaysia?" bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur (KLSCAH) di Kuala Lumpur.

 Ahli Parlimen Sepang itu menegaskan pelaksanaan hukum hudud di negeri Kelantan merupakan kemahuan rakyat di negeri itu sendiri yang memberi mandat kepada PAS untuk merealisasikan undang-undang Islam tersebut.

 "Hudud inilah yang dimahukan rakyat Kelantan, mereka memberi mandat kepada PAS jadi kerajaan negeri dengan menggunakan demokrasi," katanya.

 Hanipa turut menangkis kritikan ‎ daripada Pengarah Eksekutif Islamic Renaissance Front (IRF) Dr Ahmad Farouk Musa, yang mendakwa pelaksanaan hudud di Kelantan bertujuan mendiamkan suara masyarakat Islam dan bukan Islam.

 Hanipa yang merupakan seorang peguam, berkata PAS tidak pernah membuat keputusan melaksanakan hudud bagi mendiamkan pendapat rakyat, bahkan parti Islam itu terbuka dalam menerima kritikan daripada rakan Pakatan Rakyat (PR) sendiri.


Dewan Perhimpunan Cina Selangor dipenuhi hadirin pelbagai lapisan masyarakat untuk forum 'hudud@Malaysia?', malam semalam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 3 Mei, 2014.

"Saya tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan Dr Farouk, kalau benar PAS bertujuan untuk senyapkan segala pendapat tidak mungkin saya ada di sini.

 "Kita juga terbuka dalam menerima semua pendapat termasuk rakan kita DAP. Bagi PAS, semua pihak berhak mengemukakan apa yang dirasakan dan kita hormati suara mereka. Jadi kami juga berharap anda juga menghormati hasrat PAS dan rakyat Kelantan," katanya.

 Selain Hanipa dan Dr Farouk, forum tersebut turut menampilkan peguam, Syahredzan Johan, dan penasihat perundangan 'Save Sarawak River' Abun Sui Anyit daripada Sarawak.

 Forum itu turut mendapat sambutan luar biasa apabila dewan dipenuhi dengan kehadiran kira-kira 200 orang ramai daripada pelbagai kaum dan peringkat umur.

 ‎Sebelum ini, The Malaysian Insider melaporkan rang undang-undang persendirian (hukum hudud) yang bakal dibentangkan PAS bertujuan mendapatkan kuasa daripada Parlimen untuk membenarkan Kelantan mewujudkan undang-undang perkara jenayah yang terletak di bawah bidang kuasa persekutuan.

 Ia juga ingin meluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah, di mana hukuman maksima dihadkan kepada tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan diganti.

 Sebaliknya, ia mahu kuasa menjatuhkan hukuman bunuh, sebatan dan potong tangan bagi jenayah mengikut hudud diberikan kepada Kelantan.

 Hanipa berkata, pelaksanaan hukum hudud hanya menyasarkan kepada jenayah berat sahaja.

 Katanya, tahap bukti yang diperlukan adalah sangat teliti dan tidak dibuat sebarangan dalam menentukan seorang itu bersalah atau tidak.

Dr Ahmad Farouk Musa mempertikaikan tindakan kerajaan Kelantan membuat lawatan ke Brunei yang bakal melaksanakan hudud, dan berkata ia perlu menghantar wakil ke New Zealand untuk mempelajari kejayaannya menangani jenayah. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 3 Mei, 2014.Seorang lagi panelis, Dr Farouk dari IRF mempertikaikan hukum hudud kerana di dalam al-Quran tidak tertulis hukuman bagi kesalahan zina dan murtad.

 Beliau mempersoalkan adakah dengan pelaksanaan undang-undang Islam itu dapat mengurangkan jenayah seperti didakwa PAS Kelantan.

 Dr Farouk membentangkan senarai 10 negara paling selamat di dunia, tetapi Arab Saudi, negara yang mengguna pakai undang-undang hudud, berada di kedudukan ke 131.

 ‎"Keadilan dan kesaksamaan sentiasa menjadi mesej jelas dalam negara Islam, bagaimanapun statistik yang didedah membuktikan sebaliknya," katanya.

 ‎Menurut Dr Farouk, ‎daripada kerajaan Kelantan membelanjakan puluhan ribu ringgit menghantar delegasi ke Brunei bagi memahami pelaksanaan hudud, PAS perlu menghantar wakil mengkaji urus tadbir kerajaan yang baik di negara paling selamat di dunia, iaitu New Zealand.

 Beliau turut mencabar pemimpin PAS untuk bertemu dengan raja dan sultan untuk mendapatkan sokongan mengenai hudud kerana golongan monarki dilihat berada di atas undang-undang.

 ‎ Syahredzan pula mempersoalkan, biarpun hudud hanya tertakluk kepada masyarakat Islam dan perbicaraan hanya akan diadakan di Mahkamah Syariah, apakah negeri mempunyai kuasa perundangan untuk membicarakan kes jenayah daripada Putrajaya.

 "Parlimen tidak boleh memberi kuasa kepada kerajaan negeri di mana ia akan dipisahkan kepada dua perundangan jenayah‎.," kata beliau.

 Syahredzan berkata sekiranya Perlembagaan dipinda bagi membolehkan hudud dilaksanakan, ia akan mengganggu struktur asas Perlembagaan Persekutuan.

 Sementara Abun daripada Sarawak berkata, rakyat Malaysia tidak bersedia dengan pelaksanaan hukum hudud kerana faktor penduduk yang terdiri daripada berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya di negara ini.

 "‎Perjanjian yang dipersetujui Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia akan tercemar sekiranya kerajaan persekutuan bersetuju untuk meminda Perlembagaan untuk melaksanakan hudud," katanya. – Rencana oleh DIYANA IBRAHIM dan Gambar oleh Nazir Sufari The Malaysian Insider, 3 Mei, 2014.

Tiada ulasan:

Pengikut