Kolumnis Mingguan Malaysia, Johardy Ibrahim hari ini mendedahkan antara sebab Air Asia enggan berpindah ke KLIA 2 ialah penggunaan Aerobridge yang dijangka memerlukan Air Asia membayar RM 85 setiap kali mendarat atau RM 0.25 setiap penumpang.
Sebanyak 80 aerobridges tersedia di situ. Tetapi rupa-rupanya perihal aerobridges ini menjadi agenda perdebatan antara syarikat penerbangan tambang murah AirAsia dengan pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Pelik? Memang pelik. Kalau tanya saya, memang akan pilih aerobridges. Bayangkan warga emas kena berjalan dalam cuaca panas atau hujan, sambil mengendong beg masing-masing. Bagaimana ibu bapa yang ada bayi. Kasihan.
Perdebatan AirAsia berkisar kepada model perniagaannya iaitu masa pusingan pantas bagi meningkatkan penggunaan pesawat. Secara ringkasnya, sejurus sahaja pesawat mendarat, penumpang keluar, kira-kira 10 minit kemudian kumpulan penumpang baharu menaiki pesawat dan berlepas semula.
Kaedah ini adalah kunci kepada formula penerbangan tambang murah iaitu membolehkan pesawat terbang lebih kerap ke sesuatu destinasi dalam sehari, terutama untuk penerbangan pendek antara sejam ke tiga jam penerbangan.
Oleh itu, AirAsia merayu diberikan pengecualian menggunakan aerobridges kepada MAHB pada 2011 iaitu semasa pembinaan klia2. Dalam semangat sebagai rakan perniagaan, kehendak AirAsia dipersetujui MAHB, yang tentunya harus menawarkan pengecualian serupa kepada syarikat penerbangan lain.
Aerobridges
Bagaimanapun, permintaan itu hanya di klia2. Di lapangan terbang lain di Malaysia, AirAsia menggunakan aerobridges seperti di Kuching, walaupun ada pesawat lain mengerahkan penumpang berjalan di atas landasan. Mungkin AirAsia akur kepada permintaan pelanggan yang merasa sangat leceh tanpa menggunakan aerobridges.
Lapangan terbang di negara lain di rantau ini mengenakan perintah mandatori (wajib) untuk menggunakan aerobridges bagi kesenangan dan keselamatan penumpang. Bila sesebuah syarikat tidak mahu menggunakan aerobridges, pesawat terpaksa berhenti di kawasan hujung terminal dan bas digunakan bagi mengangkut penumpang.
Dalam hal ini, AirAsia menyatakan syarikat itu mematuhi peraturan seumpamanya di luar negara kerana tiada pengecualian diberikan. Di klia2, AirAsia minta pengecualian. Dan MAHB beri pengecualian. Maka ketika itu, klia2 dibina tanpa dipasang aerobridges. Ini bukan cerita rekaan saya. Rujuk kenyataan akhbar MAHB dalam laman web mereka.
Tetapi keputusan itu ditarik balik oleh Kementerian Pengangkutan yang mahu keselesaan dan keselamatan penumpang diutamakan. Maka aerobridges dipasang. Seorang pegawai memberitahu, isu ini adalah termasuk dalam 'isu-isu yang belum selesai' seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar, Rabu lalu.
Lihat dari segi kos. Caj MAHB kepada syarikat penerbangan untuk menggunakan aerobridges ialah RM85 sekali pakai. Ambil contoh pesawat A320 membawa 180 penumpang, kos puratanya adalah kurang daripada 25 sen setiap penumpang. Caj ini adalah terendah di Asia.
Menyaksikan siri terbaharu perdebatan AirAsia dan MAHB, mungkin ramai akan kehairanan. Kenapa AirAsia berkeras enggan berpindah ke klia2? Ini menyebabkan MAHB dikritik kerana seolah-olah memanjakan AirAsia dan sekarang dibalas tuba. Apa yang kita kena tahu ialah sejak 2002, MAHB memberikan AirAsia pelbagai dan paling banyak insentif sehingga berjaya menjadi penerbangan paling berjaya hari ini.
Lagi aneh bila AirAsia berterusan menyalahkan MAHB kerana didakwa tidak menyediakan klia2 yang 'benar-benar' boleh berfungsi dan selamat, landasan mendap dan retak. Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sudah mengesahkan masalah itu telah diatasi dan selamat digunakan. Pun tak percaya?
Persoalannya, kenapa syarikat penerbangan lain seperti Malindo Air tidak berpendapat sedemikian dan akur untuk beroperasi di klia2 pada 2 Mei ini?
Walau apa pun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah menyatakan pendiriannya. Pindah! Tinggalkan LCCT yang umpama pasar malam mega. Sesak dan merimaskan. Letak kereta pun sampai ke bulatan besar. Terimalah klia2. Lebih baik, lebih selesa untuk kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan